[Video] Sultan Abdullah Mengangkat Sumpah Sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI – Rakaman Penuh Istiadat

TPM – Orang Asli Cameron Highlands Fikirkan BN Masih Kerajaan Punca Kekalahan PH

Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah ibni Sultan Ahmad Shah al-Musta’in Billah, Sultan bagi Negeri Pahang Darul Makmur, dipilih untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong XVI bagi Malaysia bagi tempoh lima tahun berkuatkuasa 31hb Januari 2019.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad sebentar tadi, di dalam kenyataan rasminya setelah Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong diadakan di Istana Negara pagi tadi.

Mesyuarat tersebut turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Semoga Allah S.W.T. Melanjutkan Usia Tuanku

[VIDEO] Letupan Bunga Api Semasa Sambutan Hari Thaipusam 2019 – 34 Cedera

Benarkah Orang Melayu Akan Mundur Akibat Perjuangkan Agama dan Bangsa?

Laungan azan oleh Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari berkumandang di Stadium Merdeka menyambut pengisytiharan Persekutuan Tanah Melayu oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957. Sepertimana seorang bayi yang baru dilahirkan disambut dengan laungan azan, begitu jugalah kelahiran Persekutuan Tanah Melayu. Maka pada tarikh bersejarah itu, lahirlah sebuah negara Islam baharu yang berdaulat dan merdeka.

Islam menjadi asas kepada pembinaan negara ini memandangkan sembilan negeri-negeri yang bergabung membentuk Persekutuan Tanah Melayu adalah dibawah pemerintahan Raja-Raja Melayu Islam. Malah, sejak dahulu lagi undang-undang tubuh negeri telah mengangkat Islam sebagai agama bagi negeri, contohnya negeri Johor dan Terengganu.

Namun kini, ada yang mengatakan bahawa jika orang Melayu kekal memperjuangkan agenda agama (Islam) dan bangsa (Melayu), mereka akan terus mundur.

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memartabatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Manakala Perkara 160(2) mendefinasikan orang Melayu antara lainnya sebagai “seseorang yang menganuti agama Islam”. Ini bermakna di antara ciri utama orang Melayu ialah mesti beragama Islam; jika tidak beragama Islam, maka gugurlah identiti Melayu bagi individu tersebut.

Saya sedang membaca sebuah buku yang bertajuk, “Melayu Perkasa”. Buku ini adalah sebuah daripada buku-buku yang dihadiahkan kepada saya oleh penulisnya, Profesor Dr. Sidek Baba, seorang sahabat karib arwah ayah yang saya anggap sebagai guru saya. Di dalam buku ini Dr. Sidek membincangkan tentang betapa pentingnya untuk bukan sekadar menerapkan tetapi juga untuk memelihara jati diri kita sebagai umat Melayu.

Saya amat tertarik dengan apa yang beliau bincangkan di dalam bab keempat yang bertajuk, “Umat Melayu Adalah Cerminan Islam” di mana Dr. Sidek menguraikan bagaimana orang Melayu begitu sinonim dengan Islam sehinggakan dilihat sebagai cerminan imej Islam.

“Oleh itu, bangsa Melayu di Malaysia adalah cerminan yang mendukung imej Islam. Baik fahaman dan amalan Islam di kalangan orang Melayu maka baiklah imej Islam itu sendiri. Sekiranya pada diri orang Melayu tedapat pekerti yang buruk, maka imej Islam juga turut buruk. Ada korelasi yang tinggi antara kehebatan imej Islam pada pandangan orang bukan Islam menerusi watak-watak Melayu yang mereka lihat.”

Ini jelas membuktikan bahawa di Malaysia, orang Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan. Jika terpisahnya Islam daripada Melayu, maka hilanglah makna Melayu, kerana asas dan teras kepada bangsa Melayu adalah agama Islam. Di dalam bab kelapanbelas yang bertajuk, “Konflik Pemikiran di Kalangan Tenaga Umat”, Dr. Sidek menulis tentang betapa pentingnya asas-asas bangsa Melayu seperti Bahasa Melayu dan agama Islam di dalam kehidupan orang Melayu.

“Sekiranya hal ini berlaku (hilangnya asas-asas bangsa Melayu), teras kekuatan umat Melayu akan beransur-ansur hilang dan menyebabkan fahaman sekular dan liberal mengambil tempatnya. Ianya bakal menghasilkan konflik yang berterusan antara kelompok yang ingin berubah mengikut acuan Barat dengan kelompok yang ingin maju mengikut semangat yang ummatik.”

Islam ialah asas kejayaan. Seperti yang pernah saya katakan, Al-Quran ialah kitab suci yang merungkai segala disiplin ilmu, cuma akal manusia biasa adalah terbatas dan tidak terdaya untuk mengkaji dan memahami segala perkara yang tertulis di dalam Al-Quran. Maka, mana mungkin perjuangan yang berasaskan Islam boleh memundurkan bangsa Melayu? Buktinya, tokoh-tokoh hebat seperti Al-Khwarizmi (Bapa Algebra), Al-Zahrawi yang mempelopori bidang pembedahan, Jabir ibn Haiyan (Bapa Kimia)Al-Haytham (Bapa Optik Moden), Ibnu Battuta, Ibnu Khaldun, Al-Biruni, Ibnu Sina, Al-Khindi dan ramai lagi mempunyai latar belakang pendidikan agama Islam yang kuat.

Ibnu Sina yang dikenali sebagai Bapa Perubatan Moden merupakan seorang hafiz yang mendalami pembelajaran fiqh. Banyak juga karya-karya yang dikarangnya adalah mengenai falsafah Islam. Di negara Barat, Ibnu Sina lebih dikenali dengan nama yang telah dilatinkan iaitu Avicenna. Malah, tulisan beliau, “Al-Qanun Fi Al-Tibb” telah dicetak semula dengan tajuk, “Avicenna’s Canon Of Medicine” di New York pada tahun 1973.

Agama adalah amat penting kepada kesejahteraan sesebuah negara bangsa. Agama membawa kepada ketaatan, ketaatan membawa kepada kepatuhan kepada undang-undang, kepatuhan kepada undang-undang membawa kepada keseragaman, keseragaman membawa kepada ketamadunan dan ketamadunan membawa kepada kejayaan.

Apakah memperjuangkan agenda Melayu sudah tidak releven lagi pada hari ini? Namun, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri menegaskan bahawa BERSATU tegas berjuang mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera; walhal parti ini baru sahaja ditubuhkan.

Bagi orang Melayu Malaysia, hidup kita adalah berteraskan ajaran Islam. Maka sudah tentulah jati diri orang Melayu juga adalah berteraskan agama Islam. Ini bermakna agama Islam adalah asas kehidupan dan perjuangan bangsa Melayu. Maka, di manakah kebenaran dakwaan bahawa orang Melayu di Malaysia akan terus mundur jika mereka menjadikan Islam dan bangsa Melayu sebagai asas dan agenda perjuangan mereka?

Sebuah bangsa tanpa jati diri yang utuh adalah bagaikan sebatang tiang yang reput.

Tulisan berkaitan:

Sultan Abdullah Yang di-Pertuan Agong XVI?

Hari ini, Sultan Abdullah ibni Sultan Ahmad Shah akan dimasyhurkan secara rasmi sebagai Sultan bagi Negeri Pahang Darul Makmur. Perkara ini telah diumumkan oleh Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman ibni Sultan Haji Ahmad Shah semasa sidang media khas keputusan Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang berhubung kedudukan takhta Diraja Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan pada 12 Januari yang lalu.

Ini membawa kita kepada persoalan apakah Sultan Abdullah bakal dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia XVI? Mengikut sistem penggiliran, Raja seterusnya yang bakal ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas Sultan Kelantan ialah Sultan Pahang. Maka jika berdasarkan sistem penggiliran, maka benarlah Sultan Abdullah bakal menjadi Yang di-Pertuan Agong XVI.

Perkara ini telahpun diperbincangkan sejak timbulnya khabar angin bahawa Sultan Muhammad V akan meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong; dan seterusnya menjadi lebih hangat setelah pengumuman rasmi perletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong XV. Ramai di kalangan rakyat yang mendoakan agar Sultan Abdullah segera dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang dan seterusnya dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI. Saya telah mengulas perkara ini di dalam artikel saya yang bertajuk, “Rakyat Sibuk Meneka Siapa DYMM Agong XVI”.

Yang di-Pertuan Agong mestilah berkemampuan untuk memikul dan melaksanakan tanggungjawab yang berat, seperti apa yang termaktub di dalam Sumpah Jawatan Bagi Yang di-Pertuan Agong, di dalam Bahagian I, Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan. Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah sebelum menjalankan fungsinya mengangkat dan menandatangani Sumpah Jawatan.

Perkara yang sangat penting di dalam Sumpah Jawatan Bagi Yang di-Pertuan Agong ialah Baginda bersumpah atas nama Allah dengan lafaz “Wallahi, Wabillahi, Watallahi” untuk memelihara pada setiap masa agama Islam. (Sila rujuk: Lawmakers Must First Understand the Law)

Ini bermakna tugas yang paling penting bagi Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu memelihara pada setiap masa agama Islam.

Semasa menjadi Pemangku Raja Pahang, Baginda Sultan Abdullah begitu tegas dalam mempertahankan dan memelihara kesucian agama Islam serta berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri. Sebagai contoh, Baginda bersuara tentang golongan yang mahu mengubah lanskap sosial politik negara berdasarkan penerimaan dasar kesaksamaan fahaman Barat dan tidak mengambil kira kesucian agama Islam, sensitiviti rakyat serta kedaulatan Raja-Raja Melayu. Berhubung isu kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof berhubung isu tangkapan khalwat, Baginda dengan tegas bertitah bahawa penguatkuasaan operasi khalwat di negeri Pahang tetap diteruskan seperti amalan sebelumnya. (Sila rujuk: Pahang Akan Terus Cegah Maksiat – Tengku Abdullah). Baginda juga berusaha untuk memartabatkan tulisan Jawi.

Saya berdoa agar Negeri Pahang akan kekal aman dan damai serta gagah dan maju; dan paling penting agama Islam akan diangkat tinggi, teguh dan terampil, serta didaulatkan dan dimartabatkan di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Al-Haj ibni Sultan Ahmad Shah Al-Haj, InsyaAllah. Dan begitu juga keadaannya di seluruh Persekutuan Malaysia, Tanah Air yang amat kita cintai.

!دولت توانكو

Tulisan berkaitan:

Daulat Tuanku! Sultan Abdullah akan dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang Darul Makmur

Sultan Abdullah ibni Sultan Ahmad Shah akan dimasyhurkan sebagai Sultan Negeri Pahang Darul Makmur baharu, setelah keputusan tersebut dibuat semasa Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja semalam, di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.

Hal ini disahkan semasa sidang media khas keputusan Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang berhubung kedudukan takhta Diraja Pahang di Istana Abu Bakar, sebentar tadi.

Baginda akan dimasyhurkan secara rasmi sebagai Sultan Pahang pada 15hb Januari nanti di Istana Abu Bakar.

Lagi berita akan menyusul.

ULASAN: Perkataan “Liberal” ditambah kepada Rukun Negara?

Memahami asas kenegaraan adalah amat penting demi memelihara kesejahteraan dan keharmonian negara. Setelah peristiwa hitam 13 Mei 1969, kerajaan Malaysia telah merangka Rukun Negara sebagai satu inisiatif untuk menyatukan semula rakyat dan mempupuk semangat nasionalisme di antara masyarakat yang berbilang kaum untuk berdiri bersama tanpa pertelingkahan. Namun sejauh manakah rakyat menghayati erti Rukun Negara?

Baru-baru ini, telah tular sekeping gambar yang memaparkan Rukun Negara yang dikatakan diambil daripada sebuah buku sekolah. Saya menerima gambar dan mesej ini berulang kali di WhatsApp, manakala di Facebook pula, gambar itu muncul di Suapan Berita saya berkali-kali daripada berbagai-bagai sumber.

Mesej yang diterima menyatakan rasa tidak puas hati dan marah kerana terdapat perkataan “liberal” di dalam ayat:

“… membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak …”.

Ramai yang meminta kerajaan menyiasat penerbit dan penulis buku tersebut, kerana dikatakan telah menambah perkataan “liberal” kepada teks Rukun Negara dengan tujuan untuk mempromosikan ideologi liberalisme di sekolah. Malah ada juga yang telah menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan.

Ini jelas membuktikan bahawa rakyat Malaysia sememangnya menolak ideologi liberalisme, khasnya liberalisme agama dan amat peka dalam memerangi ancaman ini. Namun di waktu yang sama ianya juga menunjukkan bahawa ramai daripada rakyat Malaysia tidak pernah membaca dan mendalami mukaddimah Rukun Negara.

Saya membaca ayat tersebut beberapa tahun yang lalu ketika saya sedang berusaha untuk memahami maksud dan semangat Rukun Negara. Untuk mendapat kepastian, saya bertanya kepada Prof. Dr. Shamrahayu Abd Aziz, seorang pakar Perlembagaan yang amat arif tentang Rukun Negara. Aunty Sham telah menerangkan kepada saya bahawa istilah “liberal” di dalam ayat tersebut bermaksud keterbukaan menerima budaya pelbagai kaum dan bersifat dan bersikap inklusif dengan prinsip asas; tetapi tanpa mengabaikan Tuhan, undang-undang dan prinsip kesopanan dan kesusilaan sebagaimana Prinsip Rukun Negara.

Jelas, perkataan liberal di dalam ayat tersebut hanyalah khusus kepada “tradisi kebudayaan” dan bukannya dalam konteks yang lain. Liberal di sini bermaksud sikap keterbukaan di dalam menerima tradisi kebudayaan kepelbagaian kaum dan bersikap inklusif terhadap berbezaan kebudayaan; dan bukannya merujuk kepada ideologi atau fahaman liberalisme agama. Buktinya Prinsip Pertama Rukun Negara adalah, “Kepercayaan kepada Tuhan” maka, tidak logik untuk ditafsirkan bahawa Rukun Negara bersifat liberal dalam konteks agama.

Inilah yang dikatakan sikap wasatiyyah ( وسطية ) atau sikap sederhana yang bermaksud tidak bersikap terlalu ekstrim, tetapi di masa yang sama, tidak juga bersikap terlalu liberal sehingga mengabaikan hukum agama. Malah inilah prinsip yang diamalkan sejak dahulu lagi, dan dengan prinsip dan sikap inilah kita dapat hidup dengan aman dan damai di dalam satu masyarakat yang majmuk. Namun tidak dinafikan bahawa ada juga golongan yang sengaja menyalah ertikan perkataan liberal di dalam ayat tersebut dan seterusnya mendakwa bahawa ideologi negara bersifat liberal. Oleh itu adalah penting untuk kita memahami Perlembagaan, Rukun Negara dan Kontrak Sosial agar kita tahu hak kita dan tidak tertipu oleh mereka yang dengan sengaja menyalah ertikan asas kenegaraan kita.

Sebagai asas pepaduan, Rukun Negara di mulai dengan mukadimah yang menggambarkan prinsip wasatiyyah yang merupakan antara dasar negara kita, selaras dengan Ayat 256 Surah Al-Baqarah:

Rakyat Sibuk Meneka Siapa DYMM Agong XVI

Berikutan berita perletakkan jawatan Yang di-Pertuan Agong XV iaitu Sultan Muhammad V semalam, ramai rakyat Malaysia mula meneka dan memberi pendapat masing-masing tentang Sultan manakah yang bakal dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI walaupun pada hakikatnya pemilihan Ketua Utama Persekutuan Malaysia ini ditentukan oleh keputusan undi rahsia Majlis Raja-Raja dan tertakluk kepada persetujuan Sultan yang dipilih.

Raja yang seterusnya yang bakal ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong mengikut sistem penggiliran ialah Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah. Namun memandangkan Baginda sedang gering, maka pilihan yang paling popular di kalangan rakyat Malaysia berdasarkan pembacaan saya di media sosial ialah Sultan Johor dan Sultan Perak.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang merupakan Sultan negeri seterusnya yang ditabalkan selepas Sultan Pahang mengikut sistem penggiliran adalah merupakan seorang Sultan yang sangat disayangi oleh rakyat. Baginda sangat mengambil berat tentang pentadbiran negeri dan kebajikan rakyat Johor. Baginda ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada tahun 1981, dan menaiki tahkta sebagai Sultan Johor pada tahun 2010 setelah mangkatnya Baginda Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail Al-Khalidi.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang kini memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong telah menaiki tahkta sebagai Sultan Perak pada tahun 2014. Baginda dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2016. Sultan Nazrin merupakan seorang Sultan yang amat popular dan amat dihormati kerana ketokohan dan kehebatan intelektual baginda.

Berbagai reaksi diberikan netizen untuk memperkuatkan cadangan mereka. Ketokohan dan keberanian Sultan Johor yang peka dengan masalah rakyat adalah sebab kenapa ramai rakyat memilih Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI. Namun Sultan Nazrin tidak kurang hebatnya sehinggakan ramai netizen yang mendesak supaya Sultan Nazrin yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong; termasuk dengan hujah tambahan bahawa Sultan Nazrin lebih berusia daripada Sultan Johor. Bukan setakat itu sahaja, malah ada netizen yang membincangkan kemungkinan Sultan Ahmad Shah turun takhta seperti Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra, iaitu ayahanda Sultan Muhammad V pada tahun 2010 yang lalu, untuk memberi laluan kepada Tengku Abdullah menjadi Sultan Pahang dan seterusnya dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI.

Sultan Ibrahim pernah menolak jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ketika Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Oktober 2016, tetapi ini tidak bermakna kali ini Baginda juga akan menolak jika dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI.

Mengikut pandangan saya pula, demi menghormati sistem penggiliran yang ada, maka lebih cantik jika Sultan Ibrahim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI. Jika kita mahu mengambil kira apa yang dihujahkan sesetengah orang bahawa Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah telah menolak jawatan Yang di-Pertuan Agong VIII untuk memberi laluan kepada Almarhum Sultan Iskandar, kita perlu melihat bahawa Almarhum Sultan Sir Ibrahim juga telah menolak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong I ketika tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Namun berdasarkan Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan, sistem penggiliran bukanlah syarat di dalam pemilihan Yang di-Pertuan Agong; dan jika kita tidak mengambilkira sistem penggiliran demi menghormati Raja yang lebih berusia dan hebat, maka kita juga mempunyai Raja-Raja lain yang lebih berusia dan tidak kurang hebatnya seperti Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj yang terbukti sangat hebat, tegas dan merupakan seorang Raja yang sangat berwibawa.

Walau bagaimanapun, kita sebagai rakyat, khasnya rakyat Raja sepatutnya memberi kepercayaan yang sepenuhnya kepada Majlis Raja-Raja untuk membuat pilihan kerana Baginda-Baginda Raja-Raja Melayu lebih arif tentang perkara ini. Semoga Allah S.W.T. merahmati kita semua dan melindungi negara kita daripada segala perkara yang buruk.

Daulat Tuanku!

Sultan Muhammad V Letak Jawatan Yang di-Pertuan Agong

Image result for sultan muhammad v

KUALA LUMPUR: Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat-kuasa hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, berkata peletakan jawatan baginda itu selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, baginda sudah memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

“Bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V, dengan ini Istana Negara memaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat kuasa 6 Januari (Ahad) bersamaan 29 Rabiulakhir 1440H selaras Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda berusaha memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara, berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan di kalangan rakyat.

“Tuanku menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja yang memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bermula 13 Disember 2016,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Ahmad Dahlan berkata, Sultan Muhammad V turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan yang memberi kerjasama dalam mentadbir negara.

Katanya, Sultan Muhammad V selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera turut berbangga dengan pengorbanan serta taat setia yang dicurahkan kepada baginda dan negara selama ini.

“Kepada rakyat Malaysia, Tuanku bertitah supaya rakyat Malaysia terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaulat ini, supaya Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan harmoni.

“Tuanku telah bersedia berangkat pulang ke Kelantan Darul Naim untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri, dan terutamanya rakyat Kelantan bagi menjaga dan membangunkan negeri itu demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beberapa hari lalu, media sosial kecoh dengan dakwaan kononnya mesyuarat khas Majlis Raja-Raja membincangkan kedudukan baginda.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai dakwaan itu sebelum ini, berkata ia sekadar khabar angin.