Ada MP Yang Hilang Parti? (Video)

Selepas kecoh berita bahawa sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bertemu Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat satu kenyataan yang sangat panas berkenaan perkara ini.

Akhbar Sinar Harian melaporkan bahawa Tun Dr Mahathir berkata, apabila ditanya tentang sebab perjumpaan tersebut, Azmin menerangkan kepada Tun bahawa kumpulan Ahli Parlimen BN itu “sudah ‘hilang’ parti” dan “tidak tahu apa hendak buat”.

Saya tanya Azmin apa dia bincang (dalam pertemuan itu), dia kata orang UMNO (Ahli Parlimen BN yang berjumpa dengan Mohamed Azmin) sudah ‘hilang’ parti.

“(Mereka) tidak tahu apa hendak buat. Jadi mereka tanya sama ada hendak masuk parti lain atau tidak.”

Sinar Harian – Ahli Parlimen jumpa Azmin mengadu ‘hilang’ parti.

Bagaimanapun dakwaan ini pantas ditangkis oleh tujuh daripada Ahli Parlimen BN yang menghadiri perjumpaan tersebut.

Melalui satu kenyataan bersama, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Datuk Salim Sharif, Datuk Jalaluddin Alias, Ramli Mohd Nor, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Abdul Rahman Mohamad dan Datin Mastura Mohd Yazid berkata bahawa pertemuan itu hanyalah berhubung usaha untuk mendapatkan peruntukan pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing.

“Merujuk kepada laporan berita berkaitan sidang media Tun Mahathir petang tadi, kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya pemimpin UMNO sudah hilang parti dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan sama ada masuk parti lain atau sebaliknya.

Tidak pernah sekalipun pendirian sedemikian disebut oleh mana-mana Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) semasa pertemuan tersebut,” kata kenyataan itu.”

Sinar Harian – ‘Kami tak ada sebut hilang parti’

Justeru, apakah benar kata Tun yang mereka mengadu telah kehilangan parti?

Sudah tentu berbagai soalan bermain di minda rakyat, contohnya:

  • Apakah Tun Dr Mahathir tersilap faham tentang apa yang cuba diceritakan oleh Azmin?
  • Mungkinkah Azmin tidak mahu menceritakan perkara sebenarnya tentang apa yang mereka bincangkan kepada Tun?
  • Ataupun, apakah Tun atau Ahli Parlimen BN yang sedang cuba menyembunyikan sesuatu?

Bagi saya, agak mengejutkan kalau benar Ahli Parlimen BN merasakan bahawa mereka ‘telah hilang parti’ di kala BN baharu sahaja menang besar di Tanjung Piai.

Walau apapun, setakat ini kita masih belum mendengar komen balas daripada Azmin berkenaan dengan kenyataan Tun ini.

Kita cuma boleh membuat berbagai andaian tentang apa yang tersirat dan tersurat di sebalik pertemuan tersebut, namun kebenarannya hanya mereka yang tahu.

Semoga pemimpin yang dipilih rakyat sentiasa amanah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Kita sebagai rakyat mengharapkan pemimpin yang benar-benar ikhlas dan yang mampu memimpin negara berlandaskan undang-undang tertinggi negara serta memberi kesejahteraan hidup kepada rakyat jelata.

Rencana berkaitan: