Maksud Tersurat dan Tersirat Di Sebalik Jalur Gemilang Yang Harus Kita Fahami

Insiden demi insiden yang menghina Bendera Malaysia, Jalur Gemilang, telah berlaku sejak akhir-akhir ini. Ianya menunjukkan sikap segelintir rakyat Malaysia yang tidak patriotik dan tidak menjunjung kedaulatan negara. Bendera Malaysia merupakan panji persekutuan dan mesti dihormati, malah bendera negara mempunyai protokol-protokolnya tersendiri yang mesti dipatuhi.

Saya bukanlah pakar veksillologi, tetapi saya amat berminat tentang bidang ini sejak kecil dan banyak membaca dan membuat kajian tentang bendera-bendera di seluruh dunia. Saya menulis rencana ini untuk kolum saya di Utusan Online Premium pada 18hb September 2019. Semoga perkongsian saya ini dapat memberi manfaat.


Tidak lama dahulu, telah tular di pelbagai media sosial gambar-gambar Jalur Gemilang yang dikibarkan secara terbalik di pelbagai lokasi di seluruh negara. Ketika itu, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia bangkit membantah tindakan tersebut yang secara jelas membawa maksud penghinaan terhadap Jalur Gemilang serta menggesa tindakan tegas diambil ke atas mereka yang melakukannya. Malah berbagai teori and andaian telah dibuat mengenai perkara ini, dan masing-masing memberikan pendapat mereka tentang maksud di sebalik pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik.

Dari sudut vexillologi atau kajian bendera, setiap simbol, jalur, warna, malah apa sahaja elemen yang tertera pada sesehelai bendera itu mempunyai makna yang tersendiri, malah bendera juga mempunyai protokol yang harus difahami dan dihormati oleh orang ramai, khasnya rakyat negara tersebut.

Asas kenegaraan, latar belakang dan sejarah negara dilakarkan dengan begitu simbolik dan penuh bermakna dalam reka bentuk Jalur Gemilang, di mana hubung kait di antara agama Islam iaitu agama bagi Persekutuan dan Baginda Raja-Raja Melayu sebagai ketua kerajaan dan ketua agama Islam jelas terukir di dalam setiap elemen dan warna yang dipilih.

Sejarah Bendera Malaysia bermula daripada pertandingan mereka Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang dibuka kepada khalayak umum untuk memberi cadangan tentang reka bentuk bendera yang akan membawa nama negara baharu yang bakal ditubuhkan.

Hasil karya seorang arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Johor, Mohamed bin Hamzah yang menggabungkan elemen jalur dalam Bendera Kerajaan Majapahit, Sang Saka Getih-Getah Samudera dan elemen bulan bintang di dalam ‘canton’ merah di sudut atas kepala bendera daripada Bendera Johor telah dipilih sebagai asas reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Reka bentuk asal bendera ini kemudiannya telah melalui beberapa pindaan, di mana warna jalur biru dan putih digantikan dengan warna merah dan putih, ‘canton’ merah ditukar kepada ‘canton’ biru, dan bintang pecah 5 diubah kepada bintang pecah 11 untuk menggambarkan 11 negeri-negeri yang bersekutu di bawah satu payung iaitu Persekutuan Tanah Melayu.

Pada 26hb Mei 1950 Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan buat pertama kalinya di hadapan Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur, dan bendera tersebut dinaikkan dan berkibar secara rasminya pada 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor seiring dengan berkumandangnya Lagu Negaraku buat pertama kali di dalam sejarah.

Menjelang saat Sabah, Sarawak dan Singapura menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1963, Bendera Persekutuan Tanah Melayu dipinda dengan menambah 3 jalur baharu dan menggantikan bintang pecah 11 dengan bintang pecah 14 sebagai mewakili 3 buah negeri-negeri baharu yang akan bergabung dengan sebelas negeri-negeri yang sedia ada untuk membentuk Persekutuan Malaysia.

Kini, 14 jalur merah dan putih serta 14 bucu bintang menggambarkan perpaduan 13 buah negeri-negeri dan sebuah Persekutuan, bulan sabit pula melambangkan agama Islam, manakala bintang yang berwarna kuning turut melambangkan kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai penaung dan ketua kerajaan-kerajan negeri dan Persekutuan.

Warna-warna pada Jalur Gemilang juga ada maknanya, warna kuning ialah warna diraja yang melambangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu, warna putih ialah lambang kesucian, warna merah melambangkan keberanian manakala warna biru menjadi lambang perpaduan rakyat Malaysia.

Namun kalau dikaji dari sudut vexillologi, kita akan dapat membaca banyak makna tersirat yang amat dalam maksudnya di sebalik reka bentuk Jalur Gemilang yang jarang diberi perhatian oleh rakyat Malaysia.

Di antaranya ialah saiz bintang yang lebih kecil daripada saiz bulan sabit, ini melambangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu adalah bertunjangkan agama Islam.

Saiz ketinggian ‘canton’ biru di mana terletaknya bulan dan bintang yang melebihi daripada separuh saiz tinggi bendera menggambarkan betapa besar dan pentingnya kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta Raja-Raja Melayu sebagai tonggak peraduan rakyat.

Kedudukan ‘canton’ biru di sudut atas bahagian kepala bendera juga melambangkan kemuliaan, ketinggian serta kedudukan istimewa agama Islam dan institusi diraja di negara ini yang menjadi asas kenegaraan Malaysia .

Bagi sesetengah negara, benderanya akan dikibarkan secara terbalik ketika darurat atau peperangan.

Namun Jalur Gemilang tidak boleh dikibarkan secara terbalik dalam apa keadaan sekalipun kerana elemen-elemen yang menjadi lambang kepada prinsip asas kenegaraan Malaysia iaitu agama Islam dan Raja-Raja Melayu mestilah berada di bahagian atas kepala bendera dan tidak boleh direndahkan kedudukannya.

Maka, jika Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik, elemen yang melambangkan agama Islam dan Raja-Raja Melayu akan berada di bahagian bawah bendera, justeru satu penghinaan terhadap maruah dan kedaulatan negara bangsa.

Perkara ini juga diberi perhatian di dalam reka bentuk banner ataupun bendera tegak Jalur Gemilang di mana bulan dan bintang berada di bahagian atas banner.

Pada amnya, sebahagian daripada kejadian pengibaran Bendera Malaysia secara terbalik adalah disebabkan oleh kekhilafan dan kecuaian akibat sikap tidak bertanggungjawab serta sikap tidak ambil peduli tentang kemuliaan serta protokol bendera, dan bukannya disengajakan kerana maksud tertentu.

Namun, perkara ini tidak boleh dipandang ringan atau dibiarkan terus berlaku tanpa apa-apa tindakan oleh pihak berkuasa.

Ini ialah kerana menurut pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam, secara tersirat pemasangan bendera terbalik ini ialah ibarat melawan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan mempermainkan maruah negara; juga mencabar kedaulatan negara dan keagungan Malaysia sebagai negara merdeka.

Maka pihak berkuasa perlu melakukan siasatan yang menyeluruh serta mengambil tindakan yang lebih tegas ke atas kesalahan ini, manakala pihak kerajaan pula mestilah mengambil langkah yang lebih proaktif dalam mendidik rakyat supaya memahami dan menghormati protokol bendera berdasarkan kepentingan Bendera Malaysia sebagai lambang maruah negara.

Sebenarnya, sebelum tularnya isu bendera terbalik, saya telah beberapa kali menulis di blog saya tentang insiden-insiden di mana saya melihat bendera negeri dan bendera-bendera daerah dikibarkan secara terbalik dan juga insiden di mana bendera-bendera tegak yang digantung di dalam sebuah dewan yang saya kunjungi adalah salah reka bentuknya.

Saya juga pernah menulis tentang saiz ketinggian ‘canton’ biru pada ’emoji’ Jalur Gemilang dalam aplikasi WhatsApp yang hanya setengah daripada saiz ketinggian bendera, yang pada pendapat saya mesti diperbetulkan oleh pihak terbabit memandangkan ianya memberi implikasi yang salah tentang maksud yang tersirat di sebalik saiz ‘canton’ pada Jalur Gemilang; namun ’emoji’ tersebut masih tetap digunakan sehingga ke hari ini.

Malangnya, dalam banyak perkara kita selalunya cuma bersikap hangat-hangat tahi ayam di mana setelah masa berlalu kita tidak lagi merasakan kepentingan perkara ini dan beralih pula kepada perkara-perkara lain yang bakal ditularkan di media sosial.

Hormatilah Jalur Gemilang, bendera negara ialah identiti negara bangsa, lambang kewujudan serta kedaulatan negara; dan tanamkan kesedaran bahawa penghormatan ke atas bendera negara adalah satu simbol nasionalisme yang perlu dihayati oleh setiap rakyat yang berada di tanah air ini.

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Columnist at Utusan Malaysia.

2 thoughts on “Maksud Tersurat dan Tersirat Di Sebalik Jalur Gemilang Yang Harus Kita Fahami”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.