Pengaruh Negatif Hiburan Terhadap Remaja

[Rencana saya ini pernah disiarkan di Utusan Online Premium pada 11hb September 2019]

Industri hiburan yang berkembang pesat beriringan dengan kemajuan teknologi telah membuka seluas-luasnya capaian pengguna kepada pelbagai media hiburan, hasilnya hiburan percuma boleh diakses dengan mudah pada bila-bila masa sahaja, semuanya semudah di hujung jari.

Sebagai sebuah industri perniagaan yang berorientasikan keuntungan, para pemain industri hiburan amat bijak mengeksploitasikan kehendak naluri manusia yang sukakan hiburan untuk mengaut keuntungan yang besar.

Malah hiburan juga sering dijadikan alat propaganda halus untuk mencapai berbagai tujuan, sama ada untuk tujuan yang baik seperti untuk menaikkan semangat patriotisme mahu pun sebaliknya seperti untuk mengembangkan pengaruh dan ideologi anarkisme yang boleh memberi impak yang buruk kepada kesejahteraan negara.

Mungkin kerana pemikiran yang belum matang dan amat senang dipengaruhi, maka golongan remaja menjadi antara golongan sasar utama kepada industri hiburan dalam memasarkan produk mereka, ditambah dengan sikap sesetengah ibu bapa yang memberikan anak remaja mereka sepenuh kebebasan untuk memilih jalan hidup sendiri.

Pengaruh hiburan kepada remaja adalah amat besar, malah ianya mempengaruhi pembentukan akhlak, nilai kehidupan dan cara hidup remaja.

Pada ketika ini, muzik K-Pop yang menjadi kegilaan ramai remaja di seluruh dunia mempunyai pengaruh yang amat besar ke atas peminatnya kerana K-Pop bukan hanya dipasarkan sebagai satu genre muzik tetapi ia juga dipromosikan sebagai satu budaya dan cara hidup.

Maka warna rambut, solekan, fesyen pakaian dan segala-galanya yang berkaitan dengan cara hidup anggota kumpulan K-Pop menjadi ikutan peminat sehinggakan kehidupan mereka berkiblatkan budaya K-Pop.

Pengaruh genre muzik punk yang membawa mesej ke arah ideologi anarkisme juga memberi kesan yang amat negatif di dalam pembentukan sahsiah dan jati diri remaja.

Begitu juga mesej genre muzik black metal yang bertentangan dengan nilai dan ideologi negara kita yang berteraskan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Ketaksuban remaja kepada budaya sebegini tidak boleh dipandang ringan kerana ianya boleh menjatuhkan ketamadunan sesuatu bangsa, khasnya bangsa kita yang berteraskan nilai-nilai ketuhanan dan agama; melentur buluh biarlah dari rebungnya, mencegah lebih baik daripada mengubati.

Ramai remaja yang terpengaruh dengan nilai kehidupan yang digambarkan melalui cerpen, novel, drama, filem dan sebagainya yang bercorak fiksyen dan bukannya menggambarkan realiti kehidupan yang sebenarnya.

Akibatnya, ramai remaja gagal memahami erti kehidupan di alam nyata akibat terpengaruh dengan nilai-nilai yang disogokkan kepada mereka sehingga ada yang terkeliru dan merasa kecewa dengan realiti hidup yang sebenarnya.

Dalam karya fiksyen, protagonis yang dahulunya berkelakuan tidak baik akan mendapat hidayah dan akan berubah dalam sekelip mata, dan akhirnya semua masalah akan selesai dan mereka dapat hidup bahagia; namun realiti kehidupan tidaklah semudah ini.

Hasilnya remaja gagal memahami semangat dan kepentingan nilai patriotisme serta tanggung jawab mereka kepada nusa dan bangsa.

Banyak karya hiburan yang kononnya membawa imej Islam telah gagal membawa nilai Islam yang sebenarnya, contohnya dalam pergaulan di antara bukan mahram, akhlak seta adab, tetapi malangnya nilai yang digambarkan oleh media hiburan inilah yang mewarnai kehidupan remaja.

Remaja yang tenggelam dalam dunia hiburan biasanya lalai dan tidak dapat fokus kepada pelajaran mereka dengan sepenuh hati serta menghabiskan banyak masa yang berharga dengan berhibur, seolah-olah itulah keperluan hidup mereka yang utama.

Menonton wayang gambar di pawagam, menonton konset, bermain permainan video adalah di antara hobi yang memerlukan perbelanjaan yang agak besar dan ada kalanya remaja sanggup memimjam wang untuk membeli tiket konsert, hanya untuk menonton persembahan artis kesayangan mereka.

Ada remaja yang tidak berkira untuk berbelanja ke arah hiburan tetapi sangat berkira untuk membeli buku berkaitan pelajaran, ilmiah, agama dan sebagainya yang boleh membantu mereka menambah ilmu pengetahuan.

Walaupun membaca ialah satu hobi yang bermanfaat, namun jika bahan bacaan yang dibaca hanyalah buku atau majalah bercorak hiburan, ianya tidak akan membawa banyak faedah kepada pembacanya, malah boleh membawa kesan negatif jika mutu tulisan dan nilai yang disampaikan adalah tidak baik dan bertentangan dengan nilai budaya dan agama kita.

Lambakan buku-buku indie yang tidak dikawal kandungan dan mutu bahasanya juga boleh memberi impak negatif kepada remaja yang lebih meminati bahan bacaan sebegini yang dianggap lebih santai, menarik dan lebih sesuai dengan jiwa mereka berbanding buku-buku terbitan arus perdana.

Penulisan yang berkongsepkan kebebasan, kekerasan, keganasan, tahyul dan memaparkan konsep dan nilai yang bertentangan dengan agama dan budaya bangsa akan merosakkan pemikiran remaja dan boleh menyebabkan mereka memberontak menentang prinsip hidup yang berteraskan undang-undang.

Kecenderungan remaja menggunakan bahasa slanga dan bahasa pasar, seperti gaya bahasa yang sering digunakan di dalam media dan bahan penulisan hiburan telah melemahkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan remaja dan seterusnya menjejaskan kedaulatan bahasa.

Lebih mengecewakan kerana bahasa slanga tidak hanya digunakan di dalam pertuturan di kalangan remaja tetapi mereka juga terbawa-bawa penggunaan bahasa slanga ke dalam bahasa penulisan mereka.

Bahasa menunjukkan bangsa; elok bahasa kan bakal hidup, elok budi kan bakal mati.

Begitulah pentingnya kedaulatan bahasa kerana bahasa bukan sahaja melambangkan budi pekerti bangsa tetapi juga menjadi lambang semangat patriotisme, hilang bahasa, lenyaplah bangsa.

Hiburan sebenarnya tidak salah, cuma berpada-padalah dan remaja mesti bijak memilih bentuk hiburan yang positif dan tidak melalaikan.

‘Edutainment’ atau pendidikan yang bercorak hiburan adalah satu medium pendidikan yang menarik dan berkesan.

Begitu juga hiburan yang bertemakan patriotisme, memupuk perpaduan serta aktiviti hiburan bersama keluarga yang boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan adalah bentuk hiburan yang sepatutnya dipilih oleh remaja.

Sebagai remaja yang bakal mencorakkan masa hadapan negara, kita mesti beringat, untung sepanjang jalan, malang sekejap mata, jangan sampai sudah terhantuk baru tengadah.

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Columnist at Utusan Malaysia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.