Tulisan Jawi dan Identiti Malaysianya Yang Tersendiri

Walaupun berasaskan pada pohon dan akar yang sedia ada, namun ianya mempunyai pucuk daun dan buahnya yang tersendiri dan berbeza daripada pohon-pohon lain; maka inilah sepatutnya menjadi kebanggaan seluruh warga Malaysia.

Baca versi Jawi di sini.

Jawi, kebiasaannya perkataan ini hanya dikaitkan dengan tulisan Jawi, iaitu tulisan asal bahasa Melayu sebelum pengenalan tulisan Rumi kepada budaya kita.

Namun, sebenarnya definisi perkataan Jawi bukanlah hanya sekadar nama sejenis tulisan tetapi menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, Jawi bermaksud Melayu; justeru tulisan Jawi membawa makna tulisan Melayu.

Pada akhir tahun 2019, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah mengumumkan bahawa Baginda akan menggunakan tulisan Jawi di laman Twitter Baginda.

Perkara ini telah membangkitkan semangat dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengembalikan penggunaan dan memperkasakan tulisan Jawi; dan hasilnya ramai dalam kalangan warga maya telah mula menggunakan tulisan Jawi di pelbagai platform media sosial.

Namun sejauh manakah kita mengenali keistimewaan khazanah warisan kita ini, khasnya abjad yang digunakan dalam tulisan Jawi?

Walaupun benar bahawa abjad Jawi berasal daripada abjad Arab, tetapi bukan sahaja tidak kesemua abjad Jawi wujud di dalam abjad Arab, malah, tidak semua abjad Jawi ditulis dalam bentuk yang sama seperti cara tulisan abjad Arab.

Seperti yang kita maklum, huruf-huruf Jawi seperti ca (چ), nga (ڠ) dan nya (ڽ) tidak ada di dalam abjad Arab kerana berbeza dengan bahasa Melayu, bunyi-bunyi bagi huruf tersebut tidak wujud di dalam bahasa Arab.

Dalam hal yang lain, mungkin ada yang tidak menyedari bahawa terdapat juga huruf yang walaupun ada di dalam kedua-dua tulisan Arab dan Jawi, tetapi cara huruf-huruf itu ditulis di dalam kedua-dua sistem tulisan ini adalah berbeza, iaitu huruf kaf.

Mereka yang boleh membaca Al-Quran dan teks Arab tentu maklum bahawa cara menulis huruf kaf di dalam bahasa Arab adalah seperti ini, “ك”, dan bentuknya tidak berubah apabila berada di akhir sesebuah perkataan, iaitu “ـك”. Ia hanya mempunyai rupa yang berbeza apabila berada di awal atau pertengahan perkataan iaitu “كـ” atau “ـكـ”.

Dengan persepsi bahawa abjad Jawi adalah sama dengan abjad Arab, ada dalam kalangan kita yang menulis huruf kaf di dalam tulisan Jawi dengan cara yang sama dengan huruf kaf dalam tulisan Arab; walhal cara penulisan huruf kaf di dalam tulisan Jawi adalah berbeza apabila kedudukannya di akhir perkataan atau apabila ianya tidak bersambung dengan abjad lain.

Berbeza dengan bahasa Arab, cara menulis huruf kaf di dalam tulisan Jawi adalah “ک” jika tidak bersambung, dan “ـک” apabila berada di akhir perkataan, sepertimana bentuknya apabila berada di tengah-tengah dan di permulaan perkataan.

Begitu juga dengan huruf ga, yang ramai ingatkan bahawa ia ditulis seperti ini “ڬ”, namun sebenarnya ditulis begini “ݢ”.

Ini ialah kerana cara menulis huruf kaf dalam tulisan Jawi telah dipengaruhi oleh sistem penulisan bahasa Farsi, namun ianya bukanlah bermakna bahawa kesemua abjad Jawi adalah sama dengan abjad Farsi; contohnya abjad ga atau disebut gaf dalam bahasa Farsi.

Berbeza dengan tulisan Jawi, abjad tersebut ditulis seperti ini, “گ” di dalam sistem tulisan Farsi.

Malah lebih menarik, cara menulis huruf ga di dalam tulisan Jawi adalah unik kepada tulisan Jawi sahaja dan berbeza daripada cara huruf atau bunyi tersebut ditulis di dalam sistem tulisan lain.

Seperti yang kita ketahui, huruf pa (ڤ) di dalam tulisan Jawi yang membawa bunyi yang sama seperti bunyi huruf “P” di dalam tulisan Rumi tidak wujud di dalam sistem tulisan Arab dan Farsi.

Di dalam bahasa Farsi, huruf yang digunakan bagi bunyi tersebut ialah pe (پ), iaitu adaptasi daripada huruf Arab ba (ب).

Menariknya, walaupun huruf pa (ڤ) wujud di dalam tulisan lain termasuk Arab Mesir dan Kurdi, namun dalam bahasa-bahasa tersebut, huruf itu dipanggil ve dan membawa bunyi seperti huruf “V” dan bukannya digunakan untuk bunyi huruf “P” seperti di dalam tulisan Jawi.

Ini bermakna bahawa walaupun huruf-huruf seperti pa (ڤ) dan nga (ڠ) juga terdapat di dalam bahasa lain, namun sebutannya dan kegunaannya adalah berbeza berbanding dalam tulisan Jawi.

Manakala, huruf-huruf seperti ga (ݢ), nya (ڽ) dan va (ۏ) pula hanya wujud di dalam tulisan Jawi sahaja, dan tidak boleh didapati di dalam mana-mana tulisan lain di dunia ini.

Ini membuktikan keistimewaan tulisan Jawi, yang walaupun berasal daripada tulisan Arab, namun mempunyai identitinya yang tersendiri yang bertunjangkan lenggok bahasa dan budaya kita, bersesuaian dengan semangat negaranya iaitu Malaysia.

Ibaratnya, walaupun berasaskan pada pohon dan akar yang sedia ada, namun ianya mempunyai pucuk daun dan buahnya yang tersendiri dan berbeza daripada pohon-pohon lain; maka inilah sepatutnya menjadi kebanggaan seluruh warga Malaysia.

Sebaliknya, dalam hal tulisan Rumi pula, abjadnya diambil secara total daripada sistem tulisan lain dan tidak terikat dengan budaya kita, tanpa sebarang penambahan atau pengadaptasian langsung.

Justuru, hargailah warisan budaya kita, belajarlah mengenali yang mana intan dan yang mana kaca.

Hayatilah pesanan orang tua-tua, yang lama dikelek, yang baharu didukung agar kita tidak hilang khazanah negara ibarat yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Columnist at Utusan Malaysia.

2 thoughts on “Tulisan Jawi dan Identiti Malaysianya Yang Tersendiri”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.