Kuasa Eksekutif Agong Yang Kurang Diketahui

Kini perhatian seluruh negara tertumpu kepada Istana Negara dalam masa rakyat mengharapkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menyelamatkan negara dan menamatkan krisis politik tanah air.

Saya sering menulis tentang peranan besar Raja-Raja Melayu, sistem Raja Berperlembagaan serta mengenai Perlembagaan Persekutuan kerana perkara-perkara ini penting dalam membentuk jati diri saya sebagai seorang anak bangsa yang cintakan negara.

Minggu ini, negara telah berhadapan satu cabaran yang amat getir apabila berlakunya krisis politik yang paling besar di dalam sejarah kerajaan Malaysia.

Akibat masalah dalaman parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH), buat pertama kali di dalam sejarah negara, sebuah kerajaan yang memerintah runtuh dengan sendirinya apabila parti PPBM keluar daripada pakatan kerajaan; sebelum Tun Dr. Mahathir bertindak meletakkan jawatannya.

Ketika saat-saat getir begini, sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara kita telah menyelamatkan negara daripada keadaan huru hara yang boleh mencetuskan keganasan kerana walaupun kerajaan telah runtuh, sistem pemerintahan negara kita masih kekal di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong.

Andaikata Malaysia tidak mempunyai Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa eksekutif dalam pentadbiran negara, kejatuhan parti pemerintah secara tiba-tiba akan meletakkan negara di dalam situasi yang lebih kritikal, ditambah lagi dengan perebutan kuasa dan pertelingkahan dalam kalangan mereka yang berkepentingan. Akibatnya rakyat bukan sahaja hilang tempat bergantung tetapi juga berdepan dengan keadaan yang tidak aman.

Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Utama Negara, yang membawa maksud bahawa baginda mempunyai kuasa eksekutif tertinggi seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 39 Perlembagaan.

Dalam menghadapi kemelut politik ini, langkah pertama yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong adalah melantik Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu.

Walaupun tidak ada peruntukan khas mengenai pelantikan seorang Perdana Menteri interim di dalam Perlembagaan Persekutuan, namun Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk membuat pelantikan itu.

Merujuk tulisan Dr Muhammad Fathi Yusof, pelantikan Perdana Menteri interim adalah berteraskan kuasa Yang di-Pertuan Agong secara umum mengikut Perkara 32(1) dan Perkara 39.

Perkara 32(1): Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana- mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV.

Perkara 39: Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada
Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan manamana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua,
bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh
mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri,
tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi
eksekutif kepada orang lain.

Perlembagaan Persekutuan

Hakikatnya, pandangan bahawa tugas dan kuasa Yang di-Pertuan Agong hanyalah terbatas kepada perkara-perkara yang bersifat “ceremonial” atau majlis adat-istiadat sahaja adalah satu pandangan yang tidak benar sama sekali.

Kekhilafan ini telah mengakibatkan ada yang beranggapan bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu hanyalah simbol tanpa kuasa kecuali sebagai Ketua Agama.

Perkara 40(2) memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri menurut budi bicara baginda. Menurut pakar Perlembagaan negara, Dr. Shamrahayu Abd Aziz, kuasa budi bicara di dalam peruntukan ini bermaksud kuasa yang dilaksanakan oleh baginda Yang di-Pertuan Agong tanpa nasihat daripada mana-mana pihak.

Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:
(a) melantik seorang Perdana Menteri;

Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan

Perlembagaan juga memperuntukkan perkara-pekara lain kepada Yang di-Pertuan Agong seperti kuasa memberi keampunan, membubarkan Parlimen, mengistiharkan darurat dan beberapa kuasa penting lain yang tidak diperuntukkan kepada orang lain, walau Perdana Menteri sekalipun.

Profesor Dr Anthony Milner, pakar kajian Sejarah Asia dari Australian National University (Universiti Kebangsaan Australia) pernah berkata bahawa Raja Berperlembagaan di Malaysia kurang diberi perhatian ahli akademik kerana tanggapan lampau, menurut satu laporan akhbar pada Julai, 2011.

Di dalam laporan yang sama, beliau menekankan bahawa sehingga hari ini, institusi itu telah menggunakan kuasa mereka untuk menentukan kepentingan rakyat tidak diabaikan, dengan memberi contoh peranan yang dimainkan Yang Di Pertuan Agong ke-13 Tuanku Mizan Zainal Abidin sewaktu demonstrasi Bersih 2.0.

Atas titah khas baginda mengenai isu itu, perhimpunan tersebut telah diadakan di stadium dan tidak di jalan raya seperti yang dirancang oleh kumpulan itu.

Semoga institusi diraja kita akan sentiasa dipelihara Allah S.W.T dan negara kita sentiasa berada di bawah rahmatNya.

Rencana berkaitan:

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Columnist at Utusan Malaysia.

19 thoughts on “Kuasa Eksekutif Agong Yang Kurang Diketahui”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.