UMNO Negeri Johor mencadangkan agar lantikan jemaah menteri yang bakal dibuat dalam masa terdekat dilakukan secara profesional dengan memilih individu bersih, berkualiti, serta berintegriti.
Menurut Bendahari UMNO Johor, Datuk Md Jais Sarday, kabinet baharu di bawah Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak seharusnya dilihat sebagai kabinet Melayu sahaja, dan menteri-menteri haruslah mempunyai nama yang bersih bagi menjaga imej negara.
“Ahli Parlimen yang menghadapi tuduhan mahkamah tidak boleh menjadi sebahagian daripada kabinet baru kerana ia membabitkan soal kepercayaan dan integriti.”
Kata Md Jais, dengan perkembangan mutakhir politik negara, ia adalah harapan terakhir kerajaan untuk melantik individu yang dapat mengubah ekonomi dan membantu meringankan beban rakyat, seperti yang berlaku sebelum ini.
“Tan Sri Muhyiddin juga diharapkan tidak melantik Ahli Parlimen yang mempunyai latar belakang tercemar untuk menjadi sebahagian dalam kabinet baharu yang bakal dibentuk.
“Namun, ada cara lain untuk memberi ganjaran kepada mereka yang setia termasuk memberi kedudukan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya di dalam sebuah kenyataan yang dilapor oleh akhbar Harian Metro hari ini.
Beliau juga yakin bahawa Menteri Besar Johor ke-18, Datuk Hasni Mohammad, akan melantik barisan Exco secara profesional termasuk wakil masyarakat Cina dan India dalam kepimpinannya.
“Saya percaya beliau (Hasni) seorang pemimpin berpengalaman, dapat melakukan yang terbaik untuk memperbaiki ekonomi negeri dan membantu rakyat,” katanya.