Krisis Politik 2020: Ke Manakah Kita?

Runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mencetuskan sebuah krisis politik yang berlarutan sehingga seminggu apabila seluruh kabinet PH terbatal selaras dengan peruntukan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan, seiring peletakan jawatan Perdana Menteri pada hari Isnin yang lalu.

Akhirnya, pada 29hb Februari 2020 kemelut politik tanah air telah mencapai penghujungnya apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8.

Merenung kembali kepada pelbagai peristiwa yang berlaku, adalah amat jelas bahawa segala-galanya adalah berpunca daripada satu perkara, iaitu perebutan kuasa, khasnya perebutan jawatan Perdana Menteri (PM).

Dimulakan dengan tekanan para pemimpin PH ke atas Tun Dr. Mahathir supaya melepaskan jawatan PM kepada Anwar Ibrahim, bersambung kepada “Langkah Sheraton” dan diikuti pula oleh peristiwa PPBM meninggalkan PH serta peletakan jawatan oleh Perdana Menteri yang menyebabkan terkuburnya kerajaan PH setelah hanya hampir 22 bulan memerintah negara.

Akibatnya negara berdepan dengan krisis yang belum pernah kita hadapi yang menyebabkan rakyat resah memikirkan masa depan negara sambil diperhatikan oleh masyarakat di seluruh dunia.

Dalam sebuah video yang dipercayai dirakam semasa satu pertemuan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan di Yayasan Al-Bukhary, Tun sendiri mengaku bahawa beliau telah tersalah strategi.

“Saya ingat selepas saya meletakkan jawatan, saya boleh bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong dan kita semua boleh menyakinkan Baginda dan memaklumkan kepadanya, saya masih mempunyai sokongan.”

Malaysia Gazette (Tun M mohon maaf, mengaku silap strategi)

Ironinya, Tun disokong oleh pemimpin pembangkang ketika ditolak oleh sekutunya sendiri; namun sokongan yang diberikan tentulah bersyarat memandangkan mereka adalah daripada parti lawan.

Hakikatnya, strategi Tun sendiri yang telah menjatuhkan dirinya daripada kerusi beliau di Putrajaya.

Sebagai seorang insan, adalah amat penting bagi kita untuk menginsafi bahawa kuasa tertinggi tidak terletak di tangan kita, dan akan ada kuasa yang lebih besar yang boleh mengubah keadaan jika itulah yang dikehendakiNya.

Di sebalik kemelut ini, kita juga dapat melihat kepentingan Institusi diRaja dalam menstabilkan suasana di kala kerajaan tumbang.

Raja kita, raja berdaulat dan berkuasa; Yang di-Pertuan Agong telah melaksanakan kuasa eksekutif baginda dengan penuh teliti dan bijaksana dalam menyelesaikan kemelut ini.

Sila baca: Kuasa Eksekutif Agong Yang Kurang Diketahui

Renungkan apa yang terjadi di negara-negara luar di kala mereka menghadapi krisis politik, oleh itu bersyukurlah negara kita masih aman.

Malangnya masih ramai dalam kalangan kita yang gagal memahami undang-undang tertinggi negara dan menganggap seolah-olah tanah ini tidak bertuan.

Malah ada juga yang keliru tentang sistem pemerintahan negara pada hal negara mempunyai Perlembagaan bertulis yang boleh dirujuk.

Tidak kurang pula yang cuba menangguk di air yang keruh tanpa memikirkan nasib anak bangsa dan masa depan negara.

Negara akan aman jika pemimpin politik bersikap amanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka.

Pemimpin juga mestilah memahami dan menghormati Perlembagaan Persekutuan dan faham bahawa undang-undang luar tidaklah terpakai di negara kita jika ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai seorang remaja, saya cuba mencari pengajaran di sebalik apa yang terjadi agar saya boleh memperbaiki diri untuk menjadi lebih matang dalam mengatur langkah melayari kehidupan.

Belajarlah daripada sejarah dan ambillah pengajaran daripada kesilapan pemimpin kita, agar kita tidak melakukan kesalahan yang sama apabila tiba giliran kita memimpin negara di masa hadapan.

Jadi, ke manakah kita akan dibawa selepas ini? Semoga Allah S.W.T. memberkati tanah yang bertuah ini.

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Columnist at Utusan Malaysia.

7 thoughts on “Krisis Politik 2020: Ke Manakah Kita?”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.