کوۏيد-١٩: سلاڠور تڠݢوه صلاة دمسجد، سوراو هيڠݢ ٣١ مي

Baca versi Rumi di sini.

سلطان سلاڠور مڠارهکن تيمڤوه ڤنڠݢوهن صلاة جمعة، صلاة سچارا برجماعه دان اکتيۏيتي چرامه دان کليه دسموا مسجد، سوراو دان موسوللا دسلاڠور دلنجوتکن سهيڠݢ ٣١ مي دڤن‮.

ستياءوسها سوليت کڤد سلطان شرافو الدين إدريس شه، محمد منير بني برکات ارهن بارو اکن دکلوارکن سکيراڽ وابق کوۏيد-١٩ داڤت دبندوڠ دان دأتسي دالم ساتو تيمڤوه يڠ لبيه اول‮.

“مليهت کڤد ڤرکمبڠن سماس ستاتيستيک کيس جڠکيتن کوۏيد-١٩ دسلوروه سلاڠور، سلطان منظاهيرکن کبيمبڠنڽ ترهادڤ ٦٫٥ جوت ڤندودوق سلاڠور يڠ موڠکين اکن تردده کڤد جڠکيتن وابق اين سکيراڽ لڠکه٢ ڤينچيݢاهن تيدق دأمبيل دڠن برسوڠݢوه٢،” کاتڽ دالم کڽاتأن‮.

سلطان جوݢ مڠارهکن صلاة جمعة هندقله دݢنتيکن دڠن صلاة ظهر دان صلاة فرض، سرتا صلاة سنة تراويح ڤد بولن رمضان تاهون اين هندقله دلاکوکن درومه ماسيڠ٢‮.

سلطان شرافو الدين جوݢ کچيوا دڠن ڤڽيبارن بريتا٢ ڤلسو دان ۏيدياو٢ ڤلسو برکاءيتن وابق ايت يڠ سماکين منولر‮.

سموا ڤيهق دايڠتکن سوڤاي لبيه برتڠݢوڠجواب دان تيدق مريک٢ بريتا يڠ بوليه منيمبولکن کݢليسهن دکالڠن رعيت‮.

“سلطان جوݢ برهارڤ اݢر رعيت تيدق موده ممڤرچايأي دان هندقله مڽمق ترلبيه دهولو کصحيحن ستياڤ بريتا يڠ دتريما دميديا سوسيال،” کاتڽ‮.

Covid-19: Selangor Tangguh Solat di Masjid, Surau Hingga 31 Mei

Baca versi Jawi di sini.

Sultan Selangor mengarahkan tempoh penangguhan solat Jumaat, solat secara berjemaah dan aktiviti ceramah dan kuliah di semua masjid, surau dan musolla di Selangor dilanjutkan sehingga 31 Mei depan.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah, Mohamad Munir Bani berkata arahan baru akan dikeluarkan sekiranya wabak Covid-19 dapat dibendung dan diatasi dalam satu tempoh yang lebih awal.

“Melihat kepada perkembangan semasa statistik kes jangkitan Covid-19 di seluruh Selangor, sultan menzahirkan kebimbangannya terhadap 6.5 juta penduduk Selangor yang mungkin akan terdedah kepada jangkitan wabak ini sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil dengan bersungguh-sungguh,” katanya dalam kenyataan.

Sultan juga mengarahkan solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat Zohor dan solat fardhu, serta solat sunat Tarawih pada bulan Ramadan tahun ini hendaklah dilakukan di rumah masing-masing.

Sultan Sharafuddin juga kecewa dengan penyebaran berita-berita palsu dan video-video palsu berkaitan wabak itu yang semakin menular.

Semua pihak diingatkan supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mereka-reka berita yang boleh menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat.

“Sultan juga berharap agar rakyat tidak mudah mempercayai dan hendaklah menyemak terlebih dahulu kesahihan setiap berita yang diterima di media sosial,” katanya. -{Free Malaysia Today]