VIP Langgar PKP: Polis Akan Rakam Percakapan Timb. Menteri

Baca versi Jawi di sini.

Polis akan memanggil Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali bagi membantu siasatan berhubung isu tular mengenai kehadirannya pada majlis di sebuah maahad tahfiz di Lenggong, Perak, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, berdasarkan siasatan awal, timbalan menteri terbabit sebelum itu meninjau persiapan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Lenggong atas kapasitinya sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.

“Beliau diiringi sebahagian Exco negeri Perak, termasuk salah seorang pemilik sebuah maahad tahfiz.

“Exco yang juga pemilik maahad tahfiz itu kemudian membawa timbalan menteri berkenaan melawat maahad tahfiznya sebelum satu majlis makan diadakan oleh pengurusan maahad berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Razarudin berkata, mungkin kerana pihak pengurusan sudah menyediakan jamuan makan, maka timbalan menteri itu tidak menolak untuk menyertai majlis itu.

“Bagaimanapun berdasarkan gambar majlis makan yang tular di laman sosial, kesemua hadirin termasuk timbalan menteri berkenaan didapati duduk dalam keadaan berjarak antara satu sama lain.

“Bagaimanapun siasatan tetap akan dilakukan terhadap kesemua individu yang menghadiri majlis berkenaan,” katanya.

Razarudin memaklumkan pihaknya masih lagi melengkapkan siasatan termasuk memanggil kesemua yang terbabit dalam masa terdekat. -{Sinar Harian]

ڤوليس سياست اورڠ کنامأن لڠݢر ڤرينته کاولن ڤرݢرقن

Baca versi Rumi di sini.

ڤوليس اکن ممڠݢيل تيمبالن منتري کصيحتن ١، داتوق دوکتور نور عزمي غزالي باݢي ممبنتو سياستن برهوبوڠ ايسو تولر مڠناءي کحاضيرنڽ ڤد مجليس دسبواه معهد تحفيظ دلڠݢوڠ، ڤراق، سمالم‮.

کتوا ڤوليس ڤراق، داتوق رازر الدين حسين برکات، برداسرکن سياستن اول، تيمبالن منتري تربابيت سبلوم ايت منينجاو ڤرسياڤن کاکيتاڠن کمنترين کصيحتن مليسيا دلڠݢوڠ اتس کاڤسيتيڽ سباݢاي تيمبالن منتري کصيحتن‮.

‮”بلياو دايريڠي سباهاݢين اک سکو نݢري ڤراق، ترماسوق ساله سأورڠ ڤميليک سبواه معهد تحفيظ‮.

‮”اک سکو يڠ جوݢ ڤميليک معهد تحفيظ ايت کمودين ممباوا تيمبالن منتري برکنأن ملاوات معهد تحفيظڽ سبلوم ساتو مجليس ماکن داداکن اوليه ڤڠوروسن معهد برکنأن،” کاتڽ منوروت لاڤورن اوليه اخبار سينر هارين هاري اين‮.

رازر الدين برکات، موڠکين کران ڤيهق ڤڠوروسن سوده مڽدياکن جاموان ماکن، مک تيمبالن منتري ايت تيدق منولق اونتوق مڽرتاي مجليس ايت‮.

‮”‮باݢايماناڤون برداسرکن ݢمبر مجليس ماکن يڠ تولر دلامن سوسيال، کسموا حاضيرين ترماسوق تيمبالن منتري برکنأن دداڤتي دودوق دالم کادأن برجارق انتارا ساتو سام لاين‮.

“باݢايماناڤون سياستن تتڤ اکن دلاکوکن ترهادڤ کسموا اينديۏيدو يڠ مڠحاضيري مجليس برکنأن،” کاتڽ‮.

رازرودين ممعلومکن ڤيهقڽ ماسيه لاݢي ملڠکڤکن سياستن ترماسوق ممڠݢيل کسموا يڠ تربابيت دالم ماس تردکت‮.

Apakah Maksud Tersirat Perjumpaan Anwar & PM? Ini Bacaan RPK

Baca versi Jawi di sini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengunjungi Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari Selasa yang lalu di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Astro Awani melaporkan:

Dalam pertemuan yang berlangsung selama 45 minit itu, Anwar memaklumkan Perdana Menteri telah menjelaskan kepadanya berkenaan langkah yang diambil kerajaan dalam menangani COVID-19.

Astro Awani (COVID-19: Anwar Ibrahim jumpa Perdana Menteri)

Penulis politik terkenal, Raja Petra Kamarudin (RPK) melalui laman webnya, Malaysia Today, telah menulis tentang hal ini termasuk menerusi siaran videonya yang bertajuk “Sebab Apa Anwar Ibrahim Mengadap Muhyiddin Yassin”.

Raja Petra menyebut Pakatan Harapan tidak mahu mengakui bahawa Perikatan Nasional adalah satu kerajaan yang sah, sebaliknya mendakwa bahawa kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan pintu belakang; sehingga ada yang masih mendakwa tentang telah berlaku satu rampasan kuasa.

Persoalan menarik yang diperkatakan oleh Raja Petra ialah jika selama ini pemimpin pembangkang menuduh Perikatan Nasional sebagai kerajaan pintu belakang yang tidak diundi oleh rakyat, maka kenapa Anwar sebagai Ketua Pembangkang bertindak mengesahkan kesahihan jawatan dan kerajaan Tan Sri Muhyiddin melalui lawatan ini?

Malah Anwar juga telah menghebahkan tentang pertemuan dengan “Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin” di laman Facebooknya.

Hujah Raja Petra, jika Pakatan Harapan benar-benar merasakan bahawa mereka mempunyai majoriti, maka mereka tidak patut hadir ke sesi Parlimen pada 18 Mei ini sebagai tanda protes, menyebabkan Parlimen tidak dapat memenuhi korum yang diperlukan untuk bersidang.

Persoalannya apakah sebab sebenar Anwar ke Pejabat Perdana Menteri? Menurut pandangan Raja Petra, sudah tentu asbab pertemuan ini amat penting kepada Anwar, lebih-lebih lagi jika benar pemimpin pembangkang lain tidak mengetahui tentang pertemuan itu sehinggalah selepas ianya berlangsung.

Raja Petra juga membincangkan tentang jawatan Timbalan Perdana Menteri yang masih kosong dan tentang usul undi tidak percaya yang sering diperkatakan oleh pemimpin pembangkang untuk dibentang pada sidang Parlimen tidak lama lagi. Menurut andaian Raja Petra, Anwar bertemu Muhyiddin untuk mencadangkan satu perjanjian politik yang penting.

Apakah tepat bacaan politik Raja Petra kali ini? Wallahua’lam…

اڤاکه مقصود ترسيرت ڤرجومڤأن انور دان محي الدين؟

Baca versi Rumi di sini.

ڤريسيدن ڤرتي کعاديلن رعيت، داتوق سري انور إبراهيم تله مڠونجوڠي ڤردان منتري مليسيا، تن سري محي الدين يسٓ ڤد هاري ثلاث يڠ لالو دڤجابت ڤردان منتري دڤوتراجاي‮.

استرو اواني ملاڤورکن‮:

دالم ڤرتموان يڠ برلڠسوڠ سلاما ٤٥ مينيت ايت، انور ممعلومکن ڤردان منتري تله منجلسکن کڤداڽ برکنأن لڠکه يڠ دأمبيل کراجأن دالم مناڠني کوۏيد-١٩‮.

(COVID-19: Anwar Ibrahim jumpa Perdana Menteri)

ڤنوليس ڤوليتيک ترکنل، راج ڤيترا قمرالدين ملالوءي لامن ويبڽ، مليسيا توداي، تله منوليس تنتڠ حال اين ترماسوق منروسي سيارن ۏيدياوڽ يڠ برتاجوق “سبب اڤ انور إبراهيم مڠادڤ محي الدين يسٓ‮”‮‮.

راج ڤيترا مڽبوت ڤاکتن هارڤن تيدق ماهو مڠاکوي بهاوا ڤريکتن ناسيونل اداله ساتو کراجأن يڠ سه، سباليقڽ مندعوا بهاوا کراجأن يڠ اد سکارڠ اداله کراجأن ڤينتو بلاکڠ؛ سهيڠݢ اد يڠ ماسيه مندعوا تنتڠ تله برلاکو ساتو رامڤاسن کواس‮.

ڤرسوالن مناريق يڠ دڤرکاتاکن اوليه راج ڤيترا اياله جک سلاما اين ڤميمڤين ڤمبڠکڠ مينودوه ڤريکتن ناسيونل سباݢاي کراجأن ڤينتو بلاکڠ يڠ تيدق داوندي اوليه رعيت، مک کناڤ انور سباݢاي کتوا ڤمبڠکڠ برتيندق مڠسهکن کصحيحن جاوتن دان کراجأن تن سري محي الدين ملالوءي لاوتن اين؟

ماله انور جوݢ تله مڠهيبهکن تنتڠ ڤرتموان دڠن “ڤردان منتري تن سري محي الدين يسٓ“ دلامن فيسبوقڽ‮.

حجه راج ڤيترا، جک ڤاکتن هارڤن بنر٢ مراساکن بهاوا مريک ممڤوڽاءي ماجوريتي، مک مريک تيدق ڤاتوت حاضر ک سيسي ڤرليمين ڤد ١٨ مي اين سباݢاي تندا ڤروتس، مڽببکن ڤرليمين تيدق داڤت ممنوهي کوروم يڠ دڤرلوکن اونتوق برسيدڠ‮.

ڤرسوالنڽ اڤاکه سبب سبنر انور ک ڤجابت ڤردان منتري؟ منوروت ڤنداڠن راج ڤيترا، سوده تنتو اسباب ڤرتموان اين امت ڤنتيڠ کڤد انور، لبيه٢ لاݢي جک بنر ڤميمڤين ڤمبڠکڠ لاين تيدق مڠتاهوي تنتڠ ڤرتموان ايت سهيڠݢالاه سلڤس اياڽ برلڠسوڠ‮.

راج ڤيترا جوݢ ممبينچڠکن تنتڠ جاوتن تيمبالن ڤردان منتري يڠ ماسيه کوسوڠ دان تنتڠ اصول اوندي تيدق ڤرچاي يڠ سريڠ دڤرکاتاکن اوليه ڤميمڤين ڤمبڠکڠ اونتوق دبنتڠ ڤد سيدڠ ڤرليمين تيدق لاما لاݢي. منوروت انداين راج ڤيترا، انور برتمو محي الدين اونتوق منچادڠکن ساتو ڤرجنجين ڤوليتيک يڠ ڤنتيڠ‮.

اڤاکه تڤت باچان ڤوليتيک راج ڤيترا کالي اين؟والله أعلم‮…