Ahmad Said Sedia Dijel

Versi Jawi akan menyusul.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said sedia dikenakan tindakan ekoran tular gambarnya bertemu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar di kediamannya di Telok Kalong di sini yang dikatakan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau meminta supaya tindakan itu hanya dikenakan ke atasnya bukan melibatkan individu lain yang bersamanya ketika itu.

“Saya sanggup masuk jel, kalau itu menjadi satu kesalahan yang tidak boleh ditoleransi dan merupakan satu kesalahan besar.

“Tetapi saya mohon supaya jangan ambil tindakan ke atas anak-anak buah saya yang sedang bekerja untuk mengagihkan barangan keperluan harian kepada rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, pertemuan bersama Menteri Besar Terengganu itu berlaku secara tidak dirancang.

“Sebelum pertemuan itu saya bersama sukarelawan DUN Kijal bergotong-royong menyiapkan barangan yang akan diagihkan kepada penduduk di kawasan ini.

“Secara kebetulan ketika itu Menteri Besar (Ahmad Samsuri) dalam perjalanan ke Terengganu dan sedang berada di Karak.

“Memandangkan dalam perjalanan sehala, beliau ingin singgah di rumah saya untuk berbincang beberapa perkara melibatkan urusan rakyat yang perlu diselesaikan,” katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata, ketibaan Menteri Besar Terengganu menarik perhatian kumpulan sukarelawan yang ketika itu berada di kediamannya.

“Mungkin disebabkan teruja, secara tak sedar semua yang ada di situ ingin merakam gambar sampai terlupa jarak sosial yang perlu dijaga dan tempoh penguatkuasaan PKP yang sedang berlangsung,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, seramai 20 sukarelawan kini bekerja bersamanya sejak 15 hari lalu untuk membantu mengagihkan barangan keperluan harian kepada kira-kira 10,000 penduduk di DUN itu.

“Bantuan ini perlu disalurkan segera kalau boleh sebelum puasa ini saya mahu pastikan semua penduduk memperolehnya sebab itulah kita bekerja siang dan malam.

“Aktiviti agihan bantuan dan untuk mendapatkan bekalan ini bukan dibuat secara suka-suka. Ia telah mendapat kebenaran dan dipantau,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini seramai 6,391 keluarga di DUN itu telah menerima bantuan keperluan ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Setakat ini kita telah menerima sebanyak lapan tan kampit beras lima kilogram, 11 tan gula dan 10 tan tepung gandum. Masih ada pertambahan bekalan barangan lagi.

“Kita masih berusaha untuk mengagihkan bantuan yang berbaki lagi kepada kira-kira 4,000 keluarga,” katanya. -{Sinar Harian]

جيوا يڠ کوسوڠ هاروس دإسي

Baca versi Rumi di sini.

دعوة اداله ايليمن يڠ ساڠت ڤنتيڠ دالم اوسها ممبنتوق کهيدوڤن يڠ سجهترا. اڤابيلا مأنسي برجاي ددعوةکن سوڤاي طاعة کڤد الله سبحان وتعالى، مريک تيدق اکن ملاکوکن ڤرکارا٢ بوروق يڠ مروسقکن کهيدوڤن مريک، کهيدوڤن اورڠ لاين دان کادأن عالم سکيتر‮.

دعوة جوݢ بوليه ددفينيسيکن سباݢاي ݢرقن برتروسن مڠاجق مأنسي ک جالن الله سبحان وتعالى سوڤاي مريک منداڤت کبهاݢيءن دان کسلامتن ددنيا دان د خيرات‮.

لامن ويب راسمي مفتي ولايه ڤرسکوتوان

نامون، اڤابيلا برچاکڤ سؤال دعوة، اد دالم کالڠن مشارکت يڠ مراساکن بهاوا توݢس بردعوة هاڽ ترلتق دباهو ݢولوڠن يڠ ترتنتو سهاج، خاصڽ مريک يڠ ڤاکر دالم بيدڠ اݢام‮.

اوليه ايت اداله منجادي تڠݢوڠجواب کيت اونتوق مڽدرکن مشارکت بهاوا توݢس بردعوة اداله ساتو کواجيڤن دان تڠݢوڠجواب اساس باݢي ستياڤ اومت اسلام، تنڤا مڠيرا سياڤاڤون کيت‮.

ايبو باڤ مستي بردعوة کڤد انق٢، ابڠ دان کاکق بوليه بردعوة کڤد اديق٢، دوکتور بوليه بردعوة کڤد ڤساکيت، ڤارا رماج هندقله بردعوة کڤد راکن سبايا دان بݢيتوله ستروسڽ‮.

الله سبحان وتعالى برفرمان ددالم ايات ١٠٤ سوره علي عمران بهاوا هندقله اد دانتارا کيت سباݢاي اومت اسلام يڠ بردعوة اونتوق ممباوا کڤد کبايکن سرتا منچݢه درڤد ڤرکارا يڠ ساله دان مروسقکن‮.

کونسيڤ امر معروف نهي موڠکر اداله کونسيڤ يڠ امت ڤنتيڠ ددالم اجرن اݢام اسلام، دان اياڽ مروڤاکن ترس اوتام دالم ݢرقن دعوة‮.

فرمان الله سبحان وتعالى‮:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُون‮.

‮﴿‮‮دان هندقله اد دانتارا کامو سيݢولوڠن اومت يڠ مڽرو کڤد کباجيکن، مڽوروه کڤد يڠ م’روف دان منچݢه دري يڠ موڠکر مريکله اورڠ٢ يڠ برونتوڠ.‮﴾

‮﴿سوره علي عمران: ٤٠١﴾

دعوة بوليه دلاکوکن سچارا لڠسوڠ ماوڤون سچارا تيدق لڠسوڠ، چونتوهڽ ممڤرکتيقکن اخلاق دان کڤريبادين ترڤوجي سڤرتي يڠ دتونتوت اوليه اݢام کيت جوݢ مروڤاکن ساتو اوسها دعوة يڠ برکسن‮.

ڤارا رماج يڠ سڤاتوتڽ لبيه ممهمي ڤراسان ݢولوڠن رماج ڤاتوت بردعوة کڤد راکن سبايا دان ساليڠ ايڠت-مڠيڠاتي دالم اوسها کيت اونتوق منجادي انسان٢ يڠ لبيه باءيق‮.

رماج هاري اين سڤاتوتڽ لبيه برهيمه تيڠݢي حاصيل درڤد ديديقن ايبو باڤ يڠ لبيه برڤلاجرن، منعمتي ڤروسيس ڤنديديقن فورمل يڠ برکواليتي سرتا ممڤروليهي ڤلباݢاي منفعة حاصيل درڤد ڤروݢرام٢ يڠ دلقسانکن اوليه ڤيهق سکوله دان کمنترين٢ يڠ برکاءيتن. مالڠڽ، حاصيل کاجين منداڤتي بهاوا ڤرکارا يڠ سباليقڽ تله برلاکو دمان سماکين راماي ݢولوڠن رماج ترليبت دالم ݢجالا سوسيال‮.

اڤاکه مشارکت هاري اين هاڽ ممنتيڠکن ڤنديديقن اکادميک سمات٢ سهيڠݢ مڠابايلن سؤال ممبنتوق مورل دان تيڠکه لاکو ݢينراسي مودا؟

تنڤا ڤڠيسين کروهانيان يڠ مڽلوروه، جيوا رماج منجادي کوسوڠ دان اين منجادي ڤونچا کڤد برلاکوڽ مسئله کچلاروان مينتل دان ڤلباݢاي مسئله مينتل لاينڽ، يڠ جک تيدق دتاڠني دڠن تونتس، اکن مڽببکن نݢارا ترڤقسا برهادڤن دڠن ڤلباݢاي مسئله سوسيال دالم کالڠن رماج‮.

اسڤيک کروهانيان ددالم کهيدوڤن سهارين سماکين لاما سماکين ترهاکيس سهيڠݢ اد يڠ مڠڠݢڤ سؤال عبادت هاڽله سواتو ريتوال، ستروسڽ ݢاݢل ممبودياکن کهيدوڤن براݢام.

کݢاݢالن ممبودياکن کهيدوڤن براݢام تله ممڤورق-ڤرانداکن کهيدوڤن مأنسي کران اݢام مروڤاکن ڤقسي کڤد کهيدوڤن يڠ سجهترا‮.

مک ݢرقن مڠهيدوڤکن بوديا دعوة دالم کالڠن رماج ڤاتوت دبري کاوتامأن سباݢاي ساله ساتو اوسها کيت اونتوق ممبنتوق مشارکت يڠ لبيه چمرلڠ‮.

جک رماج بوليه دبڠکيتکن اونتوق ممبڠکيتکن راکن٢ سبايا منوجو ک اره کبايکن دان منولق سݢالا کموڠکرن، مک ݢرقن اين بوليه منجادي ساتو ݢرقن يڠ ديناميک دالم ممبنتوق ساتو ݢينراسي يڠ برکواليتي‮.

کالاو ڤلباݢاي بوديا نيݢاتيف چونتوهڽ هندونيسمى برجاي دڤروموسيکن سباݢاي ساتو بوديا يڠ ممبڠݢاکن، لنتس دأڠکت اوليه سباهاݢين رماج سباݢاي چارا هيدوڤ مريک، کناڤ کيت تيدق بروسها اونتوق منراڤکن نيلاي مورني بوديا دعوة سباݢاي ساتو بوديا يڠ بوليه دتريما اوليه رماج؟

والاوڤون دري سݢي رياليتيڽ، تيدق سموا رماج اکن دان ماهو منريما ݢرقن اين نامون بايڠکن جک ببراڤ کومڤولن رماج برجاي ددعوة اونتوق بوکن سهاج منجادي انسان يڠ باءيق، تتاڤي جوݢ مڠاجق راکن دان کنلن مريک منوجو ک اره کبايکن، سواتو وقتو ننتي اياڽ اکن منجادي ساتو بوديا هيدوڤ ݢولوڠن رماج‮.

اياڽ بوکنله ساتو ڤرکارا يڠ مستحيل اونتوق منجادي کڽاتأن جک درانچڠ دڠن باءيق دان دلاکوکن دڠن إخلاص دمي منداڤتکن کريهءن الله سبحان وتعالى. ڤرکمبڠن بوديا نيݢاتيف جوݢ مماکن ماس يڠ لاما سبلوم دتريما سباݢاي لومرح کهيدوڤن دان کمودينڽ دأڠکت سباݢاي چارا هيدوڤ اوليه مريک يڠ ترليبت‮.

مالڠڽ ڤرکارا اين اݢق سوکر اونتوق ديݢرقکن سچارا برسڤادو تنڤا سوکوڠن دان دوقاوڠن ڤيهق يڠ برڤڠاروه دان برکممڤوان اونتوق مڽدياکن ڤراسارنا يڠ کوندوسيف سرتا مرڠک ستراتيݢي يڠ برکسن‮.

نامون والاوڤون تيدق برݢرق دباوه ساتو ݢرقن يڠ بسر، ڤارا رماج ماسيه بوليه منونايکن تڠݢوڠجواب بردعوة برمولا درڤد مناصيحتي ديري سنديري اونتوق منجادي انسان يڠ لبيه باءيق، ستروسڽ منولوڠ اورڠ لاين منجادي لبيه باءيق دسمڤيڠ بروسها اونتوق ممليهارا کلستارين عالم سکيتر‮.

ڤرانن ايبو باڤ دالم منديديق انق٢ ممبودياکن نيلاي٢ مورني سرتا ممبري کسدرن دان ممبيمبيڠ مريک اونتوق هيدوڤ برڤندوکن اجرن اݢام اداله امت ڤنتيڠ اونتوق ملاهيرکن ݢينراسي مودا يڠ کنتل ايمانڽ سرتا سايڠکن اݢام‮.

نامون جک ايبو باڤ تيدق ڤرنه ممڤرکنلکن انق٢ مريک کڤد دنيا دعوة مک اياڽ منجادي ساتو دنيا يڠ بݢيتو اسيڠ کڤد انق٢ مريک‮.

رماج سباݢاي باکل ڤميمڤين هاري ايسوق هاروس کمبالي کڤد فطره دان بڠکيت اونتوق بردعوة دالم ستياڤ ڤرکارا يڠ کيت لاکوکن اݢر اياڽ منجادي سباهاݢين درڤد بوديا هيدوڤ رماج. بياساکن يڠ بتول دان بتولکن يڠ بياسا‮.

Jiwa Yang Kosong Harus Diisi

Baca versi Jawi di sini.

Dakwah adalah elemen yang sangat penting dalam usaha membentuk kehidupan yang sejahtera. Apabila manusia berjaya didakwahkan supaya taat kepada Allah SWT, mereka tidak akan melakukan perkara-perkara buruk yang merosakkan kehidupan mereka, kehidupan orang lain dan keadaan alam sekitar.

Dakwah juga boleh didefinisikan sebagai gerakan berterusan mengajak manusia ke jalan Allah SWT supaya mereka mendapat kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan di akhirat.

Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan

Namun, apabila bercakap soal dakwah, ada dalam kalangan masyarakat yang merasakan bahawa tugas berdakwah hanya terletak di bahu golongan yang tertentu sahaja, khasnya mereka yang pakar dalam bidang agama.

Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyedarkan masyarakat bahawa tugas berdakwah adalah satu kewajipan dan tanggungjawab asas bagi setiap umat Islam, tanpa mengira siapapun kita.

Ibu bapa mesti berdakwah kepada anak-anak, abang dan kakak boleh berdakwah kepada adik-adik, doktor boleh berdakwah kepada pesakit, para remaja hendaklah berdakwah kepada rakan sebaya dan begitulah seterusnya.

Allah S.W.T. berfirman di dalam ayat 104 Surah Ali Imran bahawa hendaklah ada di antara kita sebagai umat Islam yang berdakwah untuk membawa kepada kebaikan serta mencegah daripada perkara yang salah dan merosakkan.

Konsep amar makruf nahi mungkar adalah konsep yang amat penting di dalam ajaran agama Islam, dan ianya merupakan teras utama dalam gerakan dakwah.

Firman Allah SWT:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُون

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar merekalah orang-orang yang beruntung.

(Surah Ali Imran: 104)

Dakwah boleh dilakukan secara langsung maupun secara tidak langsung, contohnya mempraktikkan akhlak dan keperibadian terpuji seperti yang dituntut oleh agama kita juga merupakan satu usaha dakwah yang berkesan.

Para remaja yang sepatutnya lebih memahami perasaan golongan remaja patut berdakwah kepada rakan sebaya dan saling ingat-mengingati dalam usaha kita untuk menjadi insan-insan yang lebih baik.

Remaja hari ini sepatutnya lebih berhemah tinggi hasil daripada didikan ibu bapa yang lebih berpelajaran, menikmati proses pendidikan formal yang berkualiti serta memperolehi pelbagai manfaat hasil daripada program-program yang dilaksanakan oleh pihak sekolah dan kementerian-kementerian yang berkaitan. Malangnya, hasil kajian mendapati bahawa perkara yang sebaliknya telah berlaku di mana semakin ramai golongan remaja terlibat dalam gejala sosial.

Apakah masyarakat hari ini hanya mementingkan pendidikan akademik semata-mata sehingga mengabailan soal membentuk moral dan tingkah laku generasi muda?

Tanpa pengisian kerohanian yang menyeluruh, jiwa remaja menjadi kosong dan ini menjadi punca kepada berlakunya masalah kecelaruan mental dan pelbagai masalah mental lainnya, yang jika tidak ditangani dengan tuntas, akan menyebabkan negara terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah sosial dalam kalangan remaja.

Aspek kerohanian di dalam kehidupan seharian semakin lama semakin terhakis sehingga ada yang menganggap soal ibadat hanyalah suatu ritual, seterusnya gagal membudayakan kehidupan beragama.

Kegagalan membudayakan kehidupan beragama telah memporak-perandakan kehidupan manusia kerana agama merupakan paksi kepada kehidupan yang sejahtera.

Maka gerakan menghidupkan budaya dakwah dalam kalangan remaja patut diberi keutamaan sebagai salah satu usaha kita untuk membentuk masyarakat yang lebih cemerlang.

Jika remaja boleh dibangkitkan untuk membangkitkan rakan-rakan sebaya menuju ke arah kebaikan dan menolak segala kemungkaran, maka gerakan ini boleh menjadi satu gerakan yang dinamik dalam membentuk satu generasi yang berkualiti.

Kalau pelbagai budaya negatif contohnya hendonisme berjaya dipromosikan sebagai satu budaya yang membanggakan, lantas diangkat oleh sebahagian remaja sebagai cara hidup mereka, kenapa kita tidak berusaha untuk menerapkan nilai murni budaya dakwah sebagai satu budaya yang boleh diterima oleh remaja?

Walaupun dari segi realitinya, tidak semua remaja akan dan mahu menerima gerakan ini namun bayangkan jika beberapa kumpulan remaja berjaya didakwah untuk bukan sahaja menjadi insan yang baik, tetapi juga mengajak rakan dan kenalan mereka menuju ke arah kebaikan, suatu waktu nanti ianya akan menjadi satu budaya hidup golongan remaja.

Ianya bukanlah satu perkara yang mustahil untuk menjadi kenyataan jika dirancang dengan baik dan dilakukan dengan ikhlas demi mendapatkan kerehaan Allah SWT. Perkembangan budaya negatif juga memakan masa yang lama sebelum diterima sebagai lumrah kehidupan dan kemudiannya diangkat sebagai cara hidup oleh mereka yang terlibat.

Malangnya perkara ini agak sukar untuk digerakkan secara bersepadu tanpa sokongan dan dokongan pihak yang berpengaruh dan berkemampuan untuk menyediakan prasarana yang kondusif serta merangka strategi yang berkesan.

Namun walaupun tidak bergerak di bawah satu gerakan yang besar, para remaja masih boleh menunaikan tanggungjawab berdakwah bermula daripada menasihati diri sendiri untuk menjadi insan yang lebih baik, seterusnya menolong orang lain menjadi lebih baik di samping berusaha untuk memelihara kelestarian alam sekitar.

Peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak membudayakan nilai-nilai murni serta memberi kesedaran dan membimbing mereka untuk hidup berpandukan ajaran agama adalah amat penting untuk melahirkan generasi muda yang kental imannya serta sayangkan agama.

Namun jika ibu bapa tidak pernah memperkenalkan anak-anak mereka kepada dunia dakwah maka ianya menjadi satu dunia yang begitu asing kepada anak-anak mereka.

Remaja sebagai bakal pemimpin hari esok harus kembali kepada fitrah dan bangkit untuk berdakwah dalam setiap perkara yang kita lakukan agar ianya menjadi sebahagian daripada budaya hidup remaja. Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa.