Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1441

سمبوتن رمضان تيدق هاروس ترحد ڤد اورڠ اسلام سهاج: منتري اݢام

Baca versi Rumi di sini.

منتري دجابتن ڤردان منتري ﴿حال إيهول اݢام﴾ داتوق ذوالکفل محمد البکري، ممينتا رعيت مليسيا اݢر برصبر سڤنجڠ بولن رمضان يڠ اکن کيت سمبوت دالم ماس تردکت اين‮.

بلياو مڠيڠتکن سلوروه ورݢنݢارا تنتڠ کبياساان بهارو يڠ دسبوت ڤردان منتري، دان منکنکن بهاوا رعيت مليسيا هاروسله مڽمبوت بولن رمضان دڠن کبياساان بهارو اين‮.

“کيت باکل مڽمبوت رمضان دڠن ‘new normal’ ﴿کبياساان بهارو﴾. سوده ڤستيڽ اݢق سوکر باݢي کيت دالم ممبياساکن ساتو ڤرکارا يڠ تيدق بياسا. نامون ساي يقين اد حکمهڽ.“

اين ترماسوقله دري سݢي عبادت دان کهيدوڤن سهارين، دمان اومت اسلام کبياساانڽ کمسجد اونتوق منونايکن صلاة جماعه، تتاڤي تاهون اين مسجد٢ تيدق دبنرکن اونتوق دبوک باݢي ممبندوڠ وابق کوۏيد-١٩‮.

بلياو منݢسکن بهاوا ڤرکارا اين تيدق مڠهالڠ اومت اسلام اونتوق برعبادت، تتاڤي اي اداله باݢي منجامينکن کسلامتن سلوروه ورݢ مليسيا اݢر تربندوڠ دري وابق کوۏيد-١٩‮.

داتوق ذوالکفل جوݢ مڠيڠتکن بهاوا بولن رمضان اين اداله بولن برصدقه، دان عمالن صدقه ايت بوکن سهاج ترحد کڤد اومت اسلام سهاج، تتاڤي اورڠ اسلام جوݢ ديݢسا اونتوق برصدقه کڤد راکن٢ بوکن اسلام دان اورڠ بوکن اسلام جوݢ دݢالقکن اونتوق توروت برصدقه دالم اڤ جوا بنتوق‮.

“انچئ علي بوليه تمڤه ناسي عرب، صدقهکن کڤد اه چوڠ. ‘Aunty’ تم بوليه تمڤه کي ايف سي ﴿ايم ݢوريڠ﴾ صدقهکن کڤد ڤوان واني. انچئ نوردين بوليه تمڤه ناسي کرابو صدقهکن کڤد ‘Uncle’ موثو. رمضان اداله بولن صدقه، دان برکوڠسي کݢمبيرأن دڠن سسياڤا سهاج سکليليڠ کيت.”

بلياو توروت مڠيڠتکن سلوروه رعيت مليسيا اونتوق جاڠن ممباذير، دان اونتوق ماکن دان مينوم سأداڽ‮.

منجواب سؤالن يڠ سريڠ دتاڽ اورڠ ايايت اڤاکه يڠ هاروس دبوات سڤنجڠ هاري سماس ڤرينته کاولن ڤرݢرقن ددالم بولن رمضان اين، داتوق ذوالکفل مڠشورکن سموا اونتوق ملاکوکن عبادت درومه اتاو تمڤت ماسيڠ٢ باݢي ممنفعتکن بولن يڠ ڤنوه برکة اين‮.

ڤکرجا باريسن هادڤن دايڠتکن اونتوق تروس برعبادت سقدر يڠ ممڤو، دان مريک دواجبکن اونتوق تروس برڤواسا، ملاءينکن جک دخواطيري اکن منججسکن فوکوس مريک ددالم ڤکرجأن مريک، مک اداله هاروس باݢي مريک اونتوق بربوک دڠن لبيه اول دان مڠݢنتيڽ ڤد هاري لاءين‮.

“کڤد ‘frontliners’ ﴿ڤکرجا باريسن هادڤن﴾، سيسيبوق مانڤون اندا جاڠن لوڤا اونتوق برسحور. ڤد سحور ايت اد برکةڽ … اندا ڤرلو کوات اونتوق کامي دمي نݢارا…

“سڤنجڠ رمضان موڠکين اد يڠ کڤناتن برکرجا تراوتماڽ ‘frontliners’ ﴿ڤکرجا باريسن هادڤن﴾ يڠ کيت کاسيهي. ڤواسا تتڤ واجب مڠيکوت کممڤوان، تتاڤي دهاروسکن بربوک ڤواسا اڤابيلا تق ممڤو ملقساناکن ڤواسا سڤنجڠ هاري ترسبوت، اتاو دخواطيري سکيراڽ منروسکن عبادت ڤواسا اکن منججسکن فوکوس دان کممڤوانڽ اونتوق مراوات ڤساکيت.“

صلة الرحيم جوݢ هاروس دإرتکن سڤرتي بياسا، دڠن تيکنولوݢي يڠ وجود رعيت مليسيا بوليه برهوبوڠ دڠن کلوارݢ دکامڤوڠ اتاو صحابة٢ مريک دڠن مڠݢوناکن ڤڠݢيلن ۏيديو تيدق کيرا دمان جوا مريک برادا‮.

کراجأن منروسي کڤوتوسن کابينيت تله بيسيتوجو اونتوق منوبوهکن داڤور إطعام، دمان مسجد٢ اکن مماسق اونتوق دأݢيهکن کڤد ڤندودوق ستمڤت‮.

چارا يڠ دبوات اداله، والاوڤون مسجد تروس دتوتوڤ دان دکونچي، تتاڤي ٦ ڤتوݢس ترڤيليه يڠ مان جارقڽ دجاݢ، برڤاکاين توڤيڠ موک دان لاين٢، سرتا مڠݢوناکن ڤنسانيتسي تاڠن، اکن مماسق ماکنن دان اکن ممبوڠکوسڽ سلڤس وقتو عصر اونتوق دأݢيهکن کڤد رومه٢ دکاواسن سکليليڠ‮.

اين اداله باݢي مڠݢنتيکن جاموان بربوک ڤواسا براماي٢ يڠ سريڠ داداکن دستياڤ مسجد دان سوراو سلاما اين‮.

کراجأن تله مڠڠݢرکن بهاوا باݢي ڤروݢرام اين کراجأن هاڽ اکن بلنجا لبيه کورڠ ٢٫١٦ جوت ريڠݢيت مليسيا باݢي تيمڤوه ٣٠ هاري دڠن باجيت ١٬١٠٠ ريڠݢيت مليسيا دستياڤ ٧٢ مسجد يڠ دڤيليه؛ مک ستياڤ هاري ٢٥٬٢٠٠ کلوارݢ اکن دبري ماکنن ايايت لبيه کورڠ ٣ جوت اينديۏيدو برکڤرلوان باݢي تيمڤوه سبولن دولايه ڤرسکوتوان سهاج‮.

داتوق ذوالکفل جوݢ مڠيڠتکن بهاوا بازر رمضان تيدق دبنرکن اونتوق براوڤرسي ڤد تاهون اين، دان سباليقڽ رعيت بوليه ممبلي ماکنن ملالوءي ڤرخدمتن ڤڠهانترن کرومه درڤد کداي٢ دان ريستورن يڠ مڽدياکن ماکنن اونتوق بربوک‮.

بلياو توروت منݢسکن بهاوا اين منونجوقکن بهاوا اسلام مروڤاکن اݢام يڠ سنڠ، دمان جک وجود هالڠن اتاو سسواتو يڠ بربهاي، اسلام تيدق ممقسا اومتڽ اونتوق برعبادت هيڠݢ ممبهاياکن ديري، تتاڤي سباليقڽ سنتياس ممڤوڽاءي جالن الترناتيف دمان جوا‮.

“صفة اݢام الله اين اداله موده. اي تيدق ممببنکن دان تيدق ممبرتکن…  الله تيدق منتکليفکن کڤد سساورڠ ملاءينکن دالم رواڠ ليڠکوڤ کممڤوانڽ.“

Sambutan Ramadhan Tidak Harus Terhad Pada Orang Islam Sahaja: Menteri Agama

Baca versi Jawi di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri, meminta rakyat Malaysia agar bersabar sepanjang bulan Ramadhan yang akan kita sambut dalam masa terdekat ini.

Beliau mengingatkan seluruh warganegara tentang “the new normal” atau kebiasaan baharu yang disebut Perdana Menteri, dan menekankan bahawa rakyat Malaysia haruslah menyambut bulan Ramadhan dengan kebiasaan baharu ini.

“Kita bakal menyambut Ramadhan dengan new normal. Sudah pastinya agak sukar bagi kita dalam membiasakan satu perkara yang tidak biasa. Namun saya yakin ada hikmahnya.”

Ini termasuklah dari segi ibadat dan kehidupan seharian, di mana umat Islam kebiasaannya ke masjid untuk menunaikan solat jemaah, tetapi tahun ini masjid-masjid tidak dibenarkan untuk dibuka bagi membendung wabak Covid-19.

Beliau menegaskan bahawa perkara ini tidak menghalang umat Islam untuk beribadat, tetapi ia adalah bagi menjaminkan keselamatan seluruh warga Malaysia agar terbendung dari wabak Covid-19.

Datuk Zulkifli juga mengingatkan bahawa bulan Ramadhan ini adalah bulan bersedekah, dan amalan sedekah itu bukan sahaja terhad kepada umat Islam sahaja, tetapi orang Islam juga digesa untuk bersedekah kepada rakan-rakan bukan Islam dan orang bukan Islam juga digalakkan untuk turut bersedekah dalam apa jua bentuk.

Encik Ali boleh tempah nasi Arab, sedekahkan kepada Ah Chong. Aunty Tam boleh tempah KFC (ayam goreng) sedekahkan kepada Puan Wani. Encik Nordin boleh tempah nasi kerabu sedekahkan kepada Uncle Muthu. Ramadhan adalah bulan sedekah, dan berkongsi kegembiraan dengan sesiapa sahaja sekeliling kita.

Beliau turut mengingatkan seluruh rakyat Malaysia untuk jangan membazir, dan untuk makan dan minum seadanya.

Menjawab soalan yang sering ditanya orang iaitu apakah yang harus dibuat sepanjang hari semasa PKP di dalam bulan Ramadhan ini, Datuk Zulkifli mengsyorkan semua untuk melakukan ibadat di rumah atau tempat masing-masing bagi memanfaatkan bulan yang penuh barakah ini.

Pekerja barisan hadapan atau frontliners diingatkan untuk terus beribadat sekadar yang mampu, dan mereka diwajibkan untuk terus berpuasa, melainkan jika dikhuatiri akan menjejaskan fokus mereka di dalam pekerjaan mereka, maka adalah harus bagi mereka untuk berbuka dengan lebih awal dan menggantinya pada hari lain.

“Kepada ‘frontliners’, sesibuk manapun anda jangan lupa untuk bersahur. Pada sahur itu ada barakahnya … Anda perlu kuat untuk kami demi negara…

“Sepanjang Ramadhan mungkin ada yang kepenatan berkerja terutamanya ‘frontliners’ yang kita kasihi. Puasa tetap wajib mengikut kemampuan, tetapi diharuskan berbuka puasa apabila tak mampu melaksanakan puasa sepanjang hari tersebut, atau dikhuatiri sekiranya meneruskan ibadat puasa akan menjejaskan fokus dan kemampuannya untuk merawat pesakit.”

Silaturrahim juga harus dieratkan seperti biasa, dengan teknologi yang wujud rakyat Malaysia boleh berhubung dengan keluarga di kampung atau sahabat-sahabat mereka dengan menggunakan panggilan video tidak kira di mana jua mereka berada.

Kerajaan menerusi keputusan kabinet telah besetuju untuk menubuhkan dapur it’am, di mana masjid-masjid akan memasak untuk diagihkan kepada penduduk setempat.

Cara yang dibuat adalah, walaupun masjid terus ditutup dan dikunci, tetapi 6 petugas terpilih yang mana jaraknya dijaga, berpakaian topeng muka dan lain-lain, serta menggunakan pensanitasi tangan, akan memasak makanan dan akan membungkusnya selepas waktu Asar untuk diagihkan kepada rumah-rumah di kawasan sekeliling.

Ini adalah bagi menggantikan jamuan berbuka puasa beramai-ramai yang sering diadakan di setiap masjid dan surau selama ini.

Kerajaan telah menganggarkan bahawa bagi program ini kerajaan hanya akan belanja lebih kurang RM2.16 juta bagi tempoh 30 hari dengan bajet RM1,100 di setiap 72 masjid yang dipilih, maka setiap hari 25,200 keluarga akan diberi makanan iaitu lebih kurang 3 juta individu berkeperluan bagi tempoh sebulan di Wilayah Persekutuan sahaja.

Datuk Zulkifli juga mengingatkan bahawa bazar Ramadhan tidak dibenarkan untuk beroperasi pada tahun ini, dan sebaliknya rakyat boleh membeli makanan melalui perkhidmatan penghantaran ke rumah daripada kedai-kedai dan restoran yang menyediakan makanan untuk berbuka.

Beliau turut menegaskan bahawa ini menunjukkan bahawa Islam merupakan agama yang senang, di mana jika wujud halangan atau sesuatu yang berbahaya, Islam tidak memaksa umatnya untuk beribadat hingga membahayakan diri, tetapi sebaliknya sentiasa mempunyai jalan alternatif di mana jua.

“Sifat agama Allah ini adalah mudah. Ia tidak membebankan dan tidak memberatkan… Allah tidak mentaklifkan kepada seseorang melainkan dalam ruang lingkup kemampuannya.”