Gugur Keahlian Tun Mahathir, Muhyiddin Ucap “Selamat Maju Jaya”

Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin berkata, pengguguran keahlian Dr Mahathir Mohamad dan 4 pemimpin lain tidak dilakukan secara terburu-buru, walaupun terdapat banyak desakan supaya mereka dikenakan tindakan.

Katanya, beliau mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan apa saja tindakan perlu berlandaskan perlembagaan parti serta tiada individu yang mengatasi perlembagaan parti.

“Mereka tidak dipecat daripada parti, sebaliknya perbuatan mereka melanggar perlembagaan parti telah menyebabkan keahlian mereka terhenti serta-merta.

“Tentunya kita berasa dukacita dengan pilihan dibuat Mahathir untuk tidak berada bersama-sama kita dalam wadah dan haluan perjuangan parti, sepertimana yang diputuskan Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Mahathir bersama pengikutnya yang lain memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan, walaupun parti memutuskan sebaliknya. Jika itu pilihan Mahathir, saya ucapkan selamat maju jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lalu, keahlian Mahathir bersama anaknya, Mukhriz serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah, dihentikan serta-merta selepas mereka mengingkari parti dengan menyertai blok pembangkang di Dewan Rakyat yang bersidang pada 18 Mei lalu.

Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, Pengerusi Lembaga Disiplin, Megat Najimuddin memaklumkan isu membabitkan Mahathir dan 4 pemimpin lain “tidak lagi relevan” untuk dibawa ke lembaga disiplin parti itu “apabila kedudukan keahlian mereka terhenti” mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3.

Muhyiddin yang mengumumkan dirinya memangku jawatan pengerusi PPBM, meminta ahli parti bersabar dan bertenang kerana beliau yakin ia akan terus teguh selepas menghadapi banyak cabaran sejak penubuhannya.

“Kita sudah menempuh banyak duri dan ranjau dalam perjuangan, yang penting kita tidak berjuang demi mana-mana individu, tetapi demi agama, bangsa dan negara kita.

“Marilah kita rapatkan saf bersama saya untuk terus perkukuhkan kerajaan yang sudah kita tubuhkan demi masa depan Malaysia yang lebih aman dan sejahtera.” -{Free Malaysia Today]

Tun Mahathir, Syed Saddiq & Mukhriz Dipecat PPBM

Keahlian Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam PPBM ditamatkan selepas mereka mengingkari parti dengan menyertai blok pembangkang di Dewan Rakyat.

Dalam surat pemecatan bertarikh hari ini yang dilihat FMT, keahlian Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah dalam parti itu turut dihentikan.

Menurut surat itu, ahli Parlimen terbabit duduk bersama blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat sehari pada 18 Mei lalu.

“Maka dengan ini, dimaklumkan bahawa menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan PPBM, keahlian anda dalam PPBM adalah terhenti serta-merta,” demikian menurut surat yang ditandatangani Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya.

Fasal 10.2.2 perlembagaan PPBM menyatakan pemberhentian dan pemecatan ahli berlaku apabila mereka mengisytiharkan keluar parti.

Fasal 10.2.3 pula menyatakan pemberhentian dan pemecatan ahli berlaku apabila mereka menyertai atau menjadi ahli parti politik lain.

FMT sedang menghubungi Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin dan Suhaimi untuk mendapatkan pengesahan mereka.

Mahathir ialah pengerusi dan seorang daripada pengasas PPBM, manakala anaknya Mukhriz ialah timbalan presiden yang bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti bulan depan.

Syed Saddiq pula ialah ketua Pemuda PPBM, manakala Maszlee dan Amiruddin pernah menjadi menteri pendidikan dan timbalan menteri kewangan di bawah kerajaan Pakatan Harapan. -{Free Malaysia Today]

Royalti Minyak Sarawak: Ambil Iktibar Sikap Persekutuan Tun Rahman Ya’kub (Video)

Royalti minyak sering dijadikan isu politik dalam kalangan pemimpin-pemimpin parti, khasnya di Sarawak. Ramai yang membelakangkan semangat persekutuan dalam menangani perkara ini sehinggakan wujud gerakan-gerakan seperti Sarawak for Sarawakians.

Hayati hakikat sejarah dan ambillah iktibar daripada semangat persekutuan pemimpin terulung Sarawak, Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub, yang dijelaskan oleh Pengasas PETRONAS sendiri, Tengku Razaleigh Hamzah.

Kelemahan “Jawi Converter” Yang Perlu Kita Sedari

Baca versi Jawi di sini.

Kita berbangga dengan semangat membara rakyat Malaysia untuk mengembalikan kegemilangan tulisan Jawi, iaitu tulisan asal bahasa Melayu.

Adanya alat dalam talian seperti laman sesawang Ejawi yang menyediakan khidmat pertukaran tulisan Rumi ke Jawi telah membantu mempermudahkan kerja kita.

Namun, malang sekali apabila ramai yang tidak menyedari bahawa versi Jawi yang dihasilkan melalui aplikasi itu mesti disemak kembali ejaan dan formatnya kerana terdapat beberapa kesalahan yang sering berlaku.

Proses ini bukan senang untuk dilakukan, kerana ia memerlukan pembacaan yang teliti dan juga kesabaran yang tinggi, apatah lagi bagi saya yang masih dalam proses mempelajarinya tulisan Jawi.

Banyak perkara yang harus diambil berat apabila kita mahu menukar tulisan Rumi kepada Jawi dan saya sering merujuk kepada akhbar Utusan versi Jawi untuk memahirkan diri dan lebih memahami proses ini.

Ejaan istilah sasar dalam tulisan Jawi adalah mengikut sebutan, berbeza dengan ejaan Rumi di mana ejaannya akan mirip atau sama dengan ejaan dari istilah sumber dan tidak semestinya mencerminkan sebutannya secara sepenuhnya.

Saya mengambil contoh tangkap layar di bawah:

Saya mengira hantaran tersebut harus dibaca, “Alhamdulillah, kes baru Covid-19 dah makin kurang menurut page official KKM. Harap takda (tiada) gelombang ke-3”.

Kita perhatikan contoh kesalahan ejaan yang sering berlaku hasil penggunaan aplikasi ini:

  1. Ejaan Covid-19 bukanlah “چۏيد-١٩”, tetapi sebaliknya “کوۏيد-19” kerana sebutannya adalah “/’kəʊvɪd/” dan bukannya “/’tʃɒvɪd/”, namun alat-alat seperti Ejawi akan menukarkan huruf “C” dengan huruf “چ” kerana lazimnya dalam bahasa Melayu huruf “C” berbunyi “/tʃ/”, seperti “cemara” atau “cereka”. Namun Covid-19 ialah kata nama khas yang mana huruf “C” bunyinya “/k/” dan harus dieja menggunakan huruf “ک” dan bukannya “چ”.
  2. Perkataan “ققم” bukanlah versi Jawi untuk “KKM” iaitu akronim kepada Kementerian Kesihatan Malaysia. Kebanyakan alat penukar tulisan Rumi-Jawi mengidentifikasi akronim sebagai satu perkataan, kerana sistemnya tidak dapat membezakan di antara akronim dan perkataan.
    Cara yang sepatutnya adalah sama ada menulis setiap huruf dalam akronim tersebut di dalam ejaan Jawi iaitu “کي کي عيم”, ataupun yang lebih baiknya menulis nama penuh kementerian tersebut iaitu “کمنترين کصيحتن مليسيا”.
  3. Perkataan singkatan “takda” ditukar kepada “تقد”, satu perkataan yang tidak wujud dan sukar untuk dikenal pasti.

Di bawah adalah satu lagi hantaran di laman Facebook yang sepatutnya berbunyi, “Wah, bangga pulak (pula) rasa bila PM sebut grup Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official 😅”.

Saya meneka bahawa tulisan ini juga ditulis dengan bantuan aplikasi menukar tulisan Rumi kepada Jawi tanpa disemak ejaannya:

  1. Perkataan “Facebook” dieja “فاچبووق” yang kalau kita baca berbunyi lebih kurang “Fachebuwuq” atau “/fɑtʃəbuwuk/”. Facebook adalah perkataan Inggeris, maka ianya boleh ditulis dalam tulisan Rumi di dalam tanda petikan, atau jika masih mahu menulis dalam tulisan Jawi, eja perkataan tersebut mengikut sebutannya iaitu “فيسبوک”.
  2. Perkataan “اوففيچيال” jika dibaca ia akan berbunyi lebih kurang “ofefichiyal” atau “/ɒfəfɪtʃiːɑːl/”. Maka “official” sepatutnya di eja “اوفيشل” atau tulis nama penuh grup Facebook tersebut iaitu “Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official” di dalam tulisan Rumi.

Inilah di antara contoh kesalahan ejaan Jawi yang mungkin tidak disedari akibat kita menyerahkan sepenuhnya kerja mengeja Jawi kepada aplikasi komputer tanpa menyemak kembali hasilnya.

Itu belum termasuk istilah-istilah yang belum didaftar ke dalam alat penukar tulisan itu, seperti “Sabah” dan “Kamaruddin” bagi sesetengah versi alat penukar tulisan, yang akan menukarnya menjadi “سابه” dan “کامروددين”, walaupun ejaan sebenarnya adalah “صباح” dan “قمر الدين”.

Saya belum mahir mengeja di dalam Jawi dan kadang kalanya saya tidak tahu bahawa ejaan yang saya tulis itu adalah salah. Contohnya ketika saya menulis rencana tentang Pilihan Raya Kecil Kimanis, saya mengeja “Sabah” sebagai “سابه” dan setelah ditegur oleh guru saya, Profesor Dato’ Naser Disa barulah saya tahu bahawa ejaan yang betul ialah “صباح”.

Pada pendapat saya, tidak salah untuk kita menggunakan alat-alat penukar tulisan Rumi ke Jawi untuk memudahkan urusan kita tetapi kita harus menyemaknya kembali dan membuat pembetulan jika ada kesalahan.

Dalam kita bersemangat untuk menggunakan tulisan Jawi, biarlah ianya dilakukan dengan penuh tertib dan teliti. Maka, kita mesti mempelajari ejaan Jawi dengan betul supaya kita mampu menjaga warisan ini dengan sempurna agar tulisan Jawi tidak bertukar menjadi satu sistem tulisan yang cacamarba.

Lihat proses penciptaan versi Jawi bagi rencana ini di sini.

کلماهن الات ڤنوکر توليسن جاوي-رومي يڠ ڤرلو کيت سداري

Baca versi Rumi di sini.

کيت بربڠݢ دڠن سماڠت ممبارا رعيت مليسيا اونتوق مڠمباليکن کݢميلڠن توليسن جاوي⹁ ايايت توليسن اصل بهاس ملايو.

اداڽ الت دالم تالين سڤرتي لامن سساواڠ اي-جاوي ﴾Ejawi﴿ يڠ مڽدياکن خدمت ڤرتوکرن توليسن رومي کجاوي تله ممبنتو ممڤرمودهکن کرجا کيت.

نامون⹁ مالڠ سکالي اڤابيلا راماي يڠ تيدق مڽدري بهاوا ۏرسي جاوي يڠ دحاصيلکن ملالوءي اڤليکسي ايت مستي دسمق کمبالي ايجأن دان فورمتڽ کران ترداڤت ببراڤ کسالهن يڠ سريڠ برلاکو.

ڤروسيس اين بوکن سنڠ اونتوق دلاکوکن⹁ کران اي ممرلوکن ڤمباچان يڠ تليتي دان جوݢ کصبرن يڠ تيڠݢي⹁ اڤاته لاݢي باݢي ساي يڠ ماسيه دالم ڤروسيس ممڤلاجريڽ توليسن جاوي.

باڽق ڤرکارا يڠ هاروس دأمبيل برت اڤابيلا کيت ماهو منوکر توليسن رومي کڤد جاوي دان ساي سريڠ مروجوق کڤد اخبار اوتوسن ۏرسي جاوي اونتوق مماهيرکن ديري دان لبيه ممهمي ڤروسيس اين.

ايجأن اصطلاح ساسر دالم توليسن جاوي اداله مڠيکوت سبوتن⹁ بربيذا دڠن ايجأن رومي دمان ايجأنڽ اکن ميريڤ اتاو سام دڠن ايجأن دري اصطلاح سومبر دان تيدق سمستيڽ منچرمينکن سبوتنڽ سچارا سڤنوهڽ.

ساي مڠمبيل چونتوه تڠکڤ لاير دباوه:

ساي مڠيرا هانترن ترسبوت هاروس دباچ⹁ ‭“Alhamdulillah, kes baru Covid-19 dah makin kurang menurut page official KKM. Harap takda (tiada) gelombang ke-3‭”‭.

کيت ڤرهاتيکن چونتوه کسالهن ايجأن يڠ سريڠ برلاکو حاصيل ڤڠݢونأن اڤليکسي اين:

  1. ايجأن “Covid-19” بوکنله “چۏيد-١٩“⹁ تتاڤي سباليقڽ “کوۏيد-19“ کران سبوتنڽ اداله “/’kəʊvɪd/” دان بوکنڽ “/’tʃɒvɪd/”⹁ نامون الت٢ سڤرتي اي-جاوي اکن منوکرکن حروف “C“ دڠن حروف “چ“ کران لازيمڽ دالم بهاس ملايو حروف “C” بربوڽي “/tʃ/”⹁ سڤرتي “cemara / چمارا” اتاو”cereka / چريک”. نامون Covid-19 اياله کات نام خاص يڠ مان حروف “C” بوڽيڽ “/k/” دان هاروس دإيجا مڠݢوناکن حروف “ک“ دان بوکنڽ “چ“.
  2. ڤرکاتأن “ققم” بوکنله جاوي اونتوق “KKM” ايايت اکرونيم کڤد کمنترين کصيحتن مليسيا ﴿Kementerian Kesihatan Malaysia﴾. کبڽقان الت ڤنوکر توليسن رومي-جاوي مڠأيدينتيفيکاسي اکرونيم سباݢاي ساتو ڤرکاتأن⹁ کران سيستمڽ تيدق داڤت ممبيذاکن دأنتارا اکرونيم دان ڤرکاتأن.
    چارا يڠ سڤاتوتڽ اداله سام اد منوليس ستياڤ حروف دالم اکرونيم ترسبوت ددالم ايجأن جاوي ايايت “کي کي عيم“⹁ اتاوڤون يڠ لبيه باءيقڽ منوليس نام ڤنوه کمنترين ترسبوت ايايت “کمنترين کصيحتن مليسيا“.
  3. ڤرکاتأن سيڠکتن “takda” دتوکر کڤد “تقد“⹁ ساتو ڤرکاتأن يڠ تيدق وجود دان سوکر اونتوق دکنل ڤستي.

دباوه اداله ساتو لاݢي هانترن دلامن فيسبوک يڠ سڤاتوتڽ بربوڽي ‭“Wah, bangga pulak (pula) rasa bila PM sebut grup Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official ‭😅‭”‭.

ساي منک بهاوا توليسن اين جوݢ دتوليس دڠن بنتوان اڤليکسي منوکر توليسن رومي کڤد جاوي تنڤا دسمق ايجأنڽ:

  1. اصطلاح “Facebook” دإيجا “فاچبووق“ يڠ کالاو کيت باچ بربوڽي لبيه کورڠ “Fachebuwuk” اتاو “/fɑtʃəbuwuk/”. اصطلاح “Facebook” اياله کات نام خاص يڠ برأصل دري ڤرکاتأن ايڠݢريس⹁ مک اياڽ بوليه دتوليس دالم توليسن رومي ددالم تندا ڤتيکن⹁ اتاو جک ماسيه ماهو منوليس دالم توليسن جاوي⹁ ايجا ڤرکاتأن ترسبوت مڠيکوت سبوتنڽ ايايت “فيسبوک“.
  2. ڤرکاتأن “اوففيچيال“ جک دباچ اي اکن بربوڽي لبيه کورڠ “ofefichiyal” اتاو” /ɒfəfɪtʃiːɑːl/”. مک “official” سڤاتوتڽ دإيجا “اوفيشل“ اتاو توليس نام ڤنوه ݢروڤ فيسبوک ترسبوت
    ايايت “Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official” ددالم توليسن رومي.

اينله دأنتارا چونتوه کسالهن ايجأن جاوي يڠ موڠکين تيدق دسدري عقيبة کيت مڽراهکن سڤنوهڽ کرجا مڠيجا جاوي کڤد اڤليکسي کومڤوتر تنڤا مڽمق کمبالي حاصيلڽ.

ايت بلوم ترماسوق اصطلاح٢ يڠ بلوم ددفتر کدالم الت ڤنوکر توليسن ايت⹁ سڤرتي “Sabah” دان ”Kamaruddin” باݢي سستڠه ۏرسي الت ڤنوکر توليسن⹁ يڠ اکن منوکرڽ منجادي “سابه“ دان “کامروددين“⹁ والاوڤون ايجأن سبنرڽ اداله “صباه“ دان “قمر الدين“.

ساي بلوم ماهير مڠيجا ددالم جاوي دان کادڠ کالنيا ساي تيدق تاهو بهاوا ايجأن يڠ ساي توليس ايت اداله ساله. چونتوهڽ کتيک ساي منوليس رنچان تنتڠ ڤيليهن راي کچيل کيمنيس⹁ ساي مڠيجا “Sabah” سباݢاي “سابه“ دان ستله دتݢور اوليه ݢورو ساي⹁ ڤروفيسور داتوق ناصر ديسا باروله ساي تاهو بهاوا ايجأن يڠ بتول اياله “صباه“.

ڤد ڤنداڤت ساي⹁ تيدق ساله اونتوق کيت مڠݢوناکن الت٢ ڤنوکر توليسن رومي کجاوي اونتوق ممودهکن اوروسن کيت تتاڤي کيت هاروس مڽمقڽ کمبالي دان ممبوات ڤمبتولن جک اد کسالهن.

دالم کيت برسماڠت اونتوق مڠݢوناکن توليسن جاوي⹁ بيارله اياڽ دلاکوکن دڠن ڤنوه ترتيب دان تليتي. مک⹁ کيت مستي ممڤلاجري ايجأن جاوي دڠن بتول سوڤاي کيت ممڤو منجاݢ واريثن اين دڠن سمڤورنا اݢر توليسن جاوي تيدق برتوکر منجادي ساتو سيستم توليسن يڠ چاچمربا.

ليهت ڤروسيس ڤنچيڤتأن ۏرسي جاوي باݢي رنچان اين دسيني‮.

Tun Mahahthir: Saya Takkan Berhenti Cuba Jatuhkan Muhyiddin

Dr Mahathir Mohamad berikrar tidak akan berhenti daripada usaha menjatuhkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin kerana berang dengan penggantinya memberi peluang kepada parti dicemari rasuah yang ditolak pengundi dalam pilihan raya umum 2 tahun lalu, kembali berkuasa.

Sila baca: Kemelut Bersatu: Apakah Pendirian PPBM?

Rabu lalu, bekas perdana menteri itu mempersoalkan kesahihan pakatan Muhyiddin yang berusia 2 bulan setengah dengan Umno.

“Salah untuk membuat penyusunan pintu belakang ini. Kami mahu memberi rakyat kerajaan sah yang mereka pilih. Itu matlamat kami,” katanya kepada Reuters dalam wawancara melalui sidang video.

Muhyiddin yang merupakan sebahagian daripada kerajaan Mahathir, tanpa disangka dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac lalu selepas mendapat sokongan Umno untuk meraih majoriti di Dewan Rakyat.

Pembangkang mendakwa Muhyiddin mencuri kuasa dengan menukar perikatan berbanding mendapatkan jawatan nombor satu itu melalui pilihan raya.

Sila baca: Kemelut PPBM: Ke Mana Syed Saddiq Selepas Ini?

Awal minggu ini, kerajaan Perikatan Nasional berjaya mengelakkan undi tidak percaya yang diusulkan Mahathir, dengan bertegas Parlimen memberi keutamaan kepada usaha membendung penularan Covid-19 dan kemerosotan ekonomi.

Tetapi, Mahathir berkata, pakatan Muhyiddin hanya meraih kelebihan 2 kerusi daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat dan berkata beliau akan meneruskan kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk menggulingkan kerajaan PN.

“Itu majoriti paling kecil yang pernah diperolehi mana-mana kerajaan di Malaysia,” kata Mahathir.

“(Muhyiddin) akan berdepan masalah besar kerana apa saja peluang yang kami ada untuk membuktikan tidak sah bagi beliau menjadi perdana menteri, kami akan lakukannya.”

Katanya, parti pembangkang akan menolak rang undang-undang yang dibawakan kerajaan Muhyiddin di Parlimen, jika undi percaya tidak dibenarkan dibentang.

Sila baca: RoS Sahkan Tun Mahathir Bukan Lagi Pengerusi PPBM

“Jika semua yang dibawanya ke Parlimen ditolak, bagaimana beliau mahu teruskan?” -{Free Malaysia Today]

Anwar Jelas Kenapa Tidak Hadiri Sidang Media Tun Mahathir

Selepas dua hari menyepi, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tampil menjelaskan kenapa beliau tidak hadir dalam sidang media khas yang dipanggil Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana Isnin lalu.

Menurut Presiden PKR itu, pendiriannya jelas iaitu sidang media khas berkenaan bukan anjuran Pakatan Harapan dan tidak ada sebab untuk beliau hadir bersama dengan mantan perdana menteri ketujuh itu.

“Saya menerima banyak pertanyaan, mengapa saya tidak hadir (sidang media khas) seusai titah diraja di Parlimen. Jawapannya mudah sahaja. Itu bukan sidang media Pakatan Harapan.

“Pada mesyuarat PH sehari sebelum itu, kita telah putuskan pemimpin-pemimpin pakatan dan Bersatu serta Warisan akan melihat dan menyediakan pendirian bersama dalam isu kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan akan menandatangani.

“Oleh demikian, kita tidak akan mengadakan sidang media khas Pakatan Harapan, tapi ini tidak menghalang kalau DAP, Bersatu, Amanah dan Keadilan buat sidang media masing-masing atau Ahli Parlimen PH mengemukakan pandangan,” katanya menerusi siaran langsung Facebook beliau, hari ini.

Isnin lalu, Anwar yang merupakan Ketua Pembangkang tidak kelihatan pada sidang media yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya.

Sila baca: Titah Agong Menjelaskan Kenapa Persidangan Parlimen Hanya Ada Satu Urusan (Video)

Sebaliknya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, selain Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilihat bersama-sama pada sidang media berkenaan.

Selain itu, Ahli Parlimen PKR juga tidak kelihatan pada sidang media itu selama kira-kira 35 minit.

Bagaimanapun, ketika ditanya media, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu, berkata, Anwar sudah menandatangani kenyataan bersama yang dikeluarkan PH dan parti yang bekerjasama dengannya.

Mengulas lanjut, Anwar mengulangi dengan mengatakan, beliau tidak hadir kerana sidang media Dr. Mahathir itu bukan anjuran PH.

Tegas beliau, selepas ini PH akan mengeluarkan notis bahawa semua program atau sidang media parti itu mesti diumumkan oleh Sekretariat PH.

“Semuanya mesti melalui Sekretariat PH. Tidak boleh umpamanya saya menggunakan Sekretariat Keadilan untuk membuat program bagi pihak PH. Kita ada peraturan yang harus kita patuhi,” katanya.

Anwar baru-baru ini mengesahkan Dr Mahathir bukan lagi pengerusi PH berikutan tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa keluar parti itu daripada PH. –{MalaysiaGazette]

Sila baca: RoS Sahkan Tun Mahathir Bukan Lagi Pengerusi PPBM

RoS Sahkan Tun Mahathir Bukan Lagi Pengerusi PPBM

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi menjadi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sila baca: Tun Mahahthir: Saya Takkan Berhenti Cuba Jatuhkan Muhyiddin

Ini ekoran peletakan jawatannya di tengah-tengah kemelut politik yang berlaku pada akhir Februari lalu.

Surat daripada RoS itu memaklumkan pengunduran Mahathir sah dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memangku jawatan itu juga adalah sah.

“Jika pengerusi berhenti atau diberhentikan, presiden PPBM berhak memangku jawatan itu sehingga pemilihan diadakan, menurut Klausa 16.9 perlembagaan PPBM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.-{MalaysiaGazette]

Adakah Penjarakan Sosial Terkawal di Parlimen? (Gambar)

Ramai di antara kita yang gagal mengawal diri untuk mengamalkan penjarakan sosial apabila berkumpul secara beramai-ramai seperti perjumpaan keluarga, meraikan perayaan, dan sebagainya.

Nampaknya persidangan Parlimen juga tidak terkecuali, walaupun sidang Parlimen hari ini hanya berlangsung selama beberapa jam sahaja dan bukannya sehari atau lebih.

Ada beberapa Ahli Parlimen dilihat berkumpul secara beramai-ramai tanpa penjarakan 1 meter walaupun Parlimen telahpun menjarakkan kerusi Ahli-ahli Parlimen.

Ada juga yang “bersalaman” menggunakan siku, walhal sepatutnya hubungan fizikal tidak patut wujud langsung menurut SOP.

Ahli Parlimen sepatutnya mencontohi Yang di-Pertuan Agong yang menggunakan isyarat meletak tangan di dada sebagaimana termaktub di dalam SOP Kementerian Kesihatan Malaysia.

Nampaknya sukar bagi sesetengah dari kita untuk mengamalkan kebiasaan baharu; patutlah Dr. Noor Hisham hari ini dilaporkan berkata bahawa rakyat Malaysia perlu bersedia mengamalkan norma baharu termasuk dengan berkurung di rumah pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.


راماي دانتارا کيت يڠ ݢاݢل مڠاول ديري اونتوق مڠمالکن ڤنجاراکن سوسيال اڤابيلا برکومڤول سچارا براماءي٢ سڤرتي ڤرجومڤأن کلوارݢ، مرءيقان ڤرايأن، دان سباݢايڽ.

نمڤقڽ ڤرسيداڠن ڤرليمين جوݢ تيدق ترکچوالي، والاوڤون سيدڠ ڤرليمين هاري اين هاڽ برلڠسوڠ سلاما ببراڤ جم سهاج دان بوکنڽ سهاري اتاو لبيه.

اد ببراڤ اهلي ڤرليمين دليهت برکومڤول سچارا براماءي٢ تنڤا ڤنجاراکن 1 ميتر والاوڤون ڤرليمين تلهڤون منجارقکن کروسي اهلي٢ ڤرليمين.

اد جوݢ يڠ برسلامن مڠݢوناکن سيکو، ولحال سڤاتوتڽ هوبوڠن فيزيکل تيدق ڤاتوت وجود لڠسوڠ منوروت ايس او ڤي.

اهلي ڤرليمين سڤاتوتڽ منچونتوهي يڠ دڤرتوان اݢوڠ يڠ مڠݢوناکن عشارت ملتق تاڠن ددادا سباݢايمان ترمکتوب ددالم ايس او ڤي کمنترين کصيحتن مليسيا.

نمڤقڽ سوکر باݢي سستڠه دري کيت اونتوق مڠمالکن کبياساان بهارو; ڤاتوتله دوکتور نور هشام هاري اين دلاڤورکن برکات بهاوا رعيت مليسيا ڤرلو برسديا مڠمالکن نورما بهارو ترماسوق دڠن برکوروڠ درومه ڤد هاري راي عيدالفطري تاهون اين.