بلوق ڤمباڠکڠ برسوارا تنڤا تون محضير؟

Baca versi Rumi di sini.

مجليس ڤريسيدن ڤاکتن هارڤن ڤتڠ سمالم تله مڠلوارکن ساتو کڽاتأن ميديا برکنأن چادڠن مريک اونتوق مڠاداکن سيدڠ ڤرليمين سچارا ڤنوه سلاما دوا ميڠݢو ممندڠکن سيکتور ايکونومي تله دبنرکن براوڤراسي‮.

مناريق سکالي⹁ اڤابيلا کڽاتأن يڠ دتنداتاڠني اوليه داتوق سري انور إبراهيم⹁ محمد سابو دان ليم ݢوان ءيڠ ايت تيدق مڽبوت اڤا٢ تنتڠ ڤنديرين تون  محضير اتاو مڽاتکن بهاوا مريک تله منداڤتکن ڤنداڠن دان نصيحت تون محضير دالم ايسو اين‮.

سجق برلاکوڽ کريسيس ڤوليتيک 2020 بارو٢ اين⹁ راماي يڠ ترتاڽ٢ ادکه تون دوکتور محضير اکن مڠتواي بلوق ڤمبڠکڠ ددالم سيسي ڤرليمين يڠ باکل برلڠسوڠ ڤد 18هاريبولن مي اين؟

سباݢاي اهلي ڤرتي ڤريبومي برساتو مليسيا⹁ تون سڤاتوتڽ برادا ددالم بلوق کراجأن ڤريکتن ناسيونل⹁ نامون تون برڤيهق کڤد ڤاکتن هارڤن دان سڤاکت مننتڠ کراجأن ڤريکتن ناسيونل يڠ دڤيمڤين اوليه ڤريسيدن ڤرتي تون سنديري ايايت تن سري محي الدين يسٓ‮.

والاو باݢايماناڤون تياد سالهڽ جک مريک تيدق ممينتا ڤنداڠن تون⹁ ممندڠکن تون اداله اهلي ڤرتي ڤريبومي برساتو مليسيا يڠ بوکن لاݢي منجادي سباهاݢين درڤد ڤاکتن هارڤن‮.

نامون⹁ اوليه کران تون اداله تونجڠ کڤد کمناڠن ڤاکتن هاڤرن ددالم ڤيليهن راي عموم ک-14⹁ مک ڤد حقيقتڽ⹁ ڤاکتن هارڤن تله ترهوتڠ بودي کڤد تون داتس کجايأن مريک. ماله ڤد کتيک ايت⹁ تون دأڠکت سباݢاي ڤميمڤين ترولوڠ. ملاءينکن جک سبنرڽ مريک تيدق ڤرنه مراسا ترهوتڠ بودي کڤد تون‮.

نتيجهڽ⹁ اڤاکه اين ممبري ݢمبارن بهاوا تون بوکن لاݢي چالون اوتام اونتوق جاوتن کتوا ڤمبڠکڠ؟

مک⹁ کاره مانکه لڠکه تون دان اڤاکه ڤرچاتورن تون منجلڠ تاريخ 18هاريبولن مي 2020؟

Blok Pembangkang Bersuara Tanpa Tun Mahathir?

Baca versi Jawi di sini.

Majlis Presiden Pakatan Harapan petang semalam telah mengeluarkan satu kenyataan media berkenaan cadangan mereka untuk mengadakan sidang Parlimen secara penuh selama dua minggu memandangkan sektor ekonomi telah dibenarkan beroperasi.

Menarik sekali, apabila kenyataan yang ditandatangani oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng itu tidak menyebut apa-apa tentang pendirian Tun Mahathir atau menyatakan bahawa mereka telah mendapatkan pandangan dan nasihat Tun Mahathir dalam isu ini.

Sejak berlakunya Krisis Politik 2020 baru-baru ini, ramai yang tertanya-tanya adakah Tun Dr. Mahathir akan mengetuai blok pembangkang di dalam sesi Parlimen yang bakal berlangsung pada 18hb Mei ini?

Sebagai ahli PPBM, Tun sepatutnya berada di dalam blok kerajaan Perikatan Nasional (PN). Namun Tun berpihak kepada Pakatan Harapan (PH) dan sepakat menentang kerajaan PN yang dipimpin oleh presiden parti Tun sendiri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walau bagaimanapun tiada salahnya jika mereka tidak meminta pandangan Tun, memandangkan Tun adalah ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bukan lagi menjadi sebahagian daripada PH.

Namun, oleh kerana Tun adalah tunjang kepada kemenangan PH di dalam Pilihan Raya Umum ke-14, maka pada hakikatnya, PH telah terhutang budi kepada Tun di atas kejayaan mereka. Malah pada ketika itu, Tun diangkat sebagai pemimpin terulung. Melainkan jika sebenarnya mereka tidak pernah merasa terhutang budi kepada Tun.

Natijahnya, apakah ini memberi gambaran bahawa Tun bukan lagi calon utama untuk jawatan Ketua Pembangkang?

Maka, ke arah manakah langkah Tun dan apakah percaturan Tun menjelang tarikh 18hb Mei 2020?