Percaturan Mahathir: Siapa Untung, Siapa Rugi?

Baca versi Jawi di sini.

Dua berita politik hangat telah dilaporkan oleh media-media utama semalam:

  1. Cadangan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri ke-7 oleh Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
  2. Cadangan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri ke-8 oleh Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Saya tidak menjangka akan adanya cadangan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri ke-7 kerana:

  1. Usul ini mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub di dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
  2. Usul ini tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
  3. Ahli-ahli Parlimen telahpun membuat keputusan tentang siapakah calon Perdana Menteri yang mereka pilih di hadapan Yang di-Pertuan Agong ketika sesi temuduga di Istana Negara.
  4. Peletakan jawatan Tun sebagai Perdana Menteri ke-7 telah diterima dan Yang di-Pertuan Agong telah melantik Perdana Menteri ke-8. Tun sendiri memilih untuk melepaskan jawatan dan bukannya dipaksa atau dipecat.

Perkara 43(2)(a) memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri.

Sila baca: Kuasa Eksekutif Agong Yang Kurang Diketahui

Perlembagaan tidak memberi hak mutlak kepada Ahli-ahli Parlimen untuk memilih Perdana Menteri.

Namun usul undi percaya terhadap Perdana Menteri ke-7 oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menolak usul itu kerana penjelasan yang dinyatakan dalam usul berkenaan tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan jawatan Perdana Menteri.

Berita Harian (Speaker tolak usul Shafie untuk undi percaya Dr Mahathir)

Saya tertanya-tanya tentang apakah tujuan usul sebegini dicadangkan?

Jika hanya bertujuan untuk menjatuhkan Perdana Menteri ke-8, kenapa harus mencadangkan usul yang mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong serta tidak selari dengan peruntukan undang-undang utama negara?

Apakah ianya satu langkah nekad untuk memastikan Tun menjadi Perdana Menteri ke-9 jika Perdana Menteri ke-8 berjaya dijatuhkan?

Berkenaan cadangan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri ke-8 oleh Perdana Menteri ke-7:

  1. Apakah yang diharapkan oleh Tun jika usul Tun diterima dan Perdana Menteri ke-8 tidak lagi mendapat undi majoriti Dewan Rakyat?
  2. Apakah Pakatan Harapan (PH) yang merupakan suara terbesar blok pembangkang akan memilih Tun sebagai Perdana Menteri ke-9?

Semalam Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa PH telah menamakan beliau sebagai Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution telah memaklumkan keputusan Majlis Presiden tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat, seperti yang dilaporkan The Star Online.

Maka, jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukannya Tun Dr. Mahathir yang telah dipilih sebagai Ketua Pembangkang; secara zahirnya kita melihat bahawa calon Perdana Menteri PH kemungkinan besarnya adalah Anwar dan bukannya Tun.

Kita tahu bahawa Tun telah meletak jawatan akibat pertelingkahan dalaman PH yang mahukan Tun segera menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sila baca: Krisis Politik 2020: Ke Manakah Kita?

Inilah titik tolak kepada berlakunya satu krisis politik yang mengakibatkan keruntuhan kerajaan PH dan bagaimana kebijaksanaan budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan tugas eksekutif baginda sebagai Ketua Utama Negara telah berjaya menstabilkan negara di saat-saat yang genting itu.

Sila baca: TERKINI – Yang di-Pertuan Agong Panggil Ketua-ketua Parti Kemuka Calon PM

Meneliti keadaan politik semasa, jika cadangan usul undi tak percaya oleh Tun diterima, bukankah ianya membuka peluang kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri ke-9? Apakah ini tujuan Tun dalam mencadangkan usul tersebut?

Sila baca: Tun Mahathir Salahkan Anwar Punca Tidak Dilantik PM8?

Demokrasi bukanlah tiket untuk Ahli-ahli Parlimen menukar-nukar selera memilih Perdana Menteri setiap kali mereka rasakan mahu berbuat demikian. Malah perkataan demokrasi tidak langsung tertulis di dalam Perlembagaan, yang merupakan undang-undang utama negara.

Perkara ini melibatkan soal kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat; ajaran agama telah menggariskan soal hukum, adab dan tanggungjawab di antara pemimpin dan rakyat.

Jangan sampai terjadi keadaan gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah.

Janganlah kerana kuasa, negara binasa. Ahli-ahli Parlimen dipilih untuk menunaikan tanggungjawab mereka kepada rakyat; itulah tanggungjawab hakiki mereka yang patut diutamakan.

Seperti kebanyakan rakyat Malaysia, saya mengharapkan sebuah negara yang stabil seperti yang pernah kita nikmati, apalagi di saat kita berhadapan dengan wabak Covid-19 sekarang ini dan bukannya kerajaan yang berganti-ganti setiap beberapa bulan.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Utama Negara dan terbukti peruntukan Perkara 32 Perlembagaan inilah yang telah menyelamatkan negara ketika Krisis Politik 2020 yang tercetus akibat percaturan pemimpin-pemimpin politik.

Sila baca: Titah Sultan Selangor Mengenai Dakwaan Kerajaan Pintu Belakang

Tanah Melayu Tanah berdaulat, Tanah ini ada tuannya. Semoga Allah memberkati Tanah bertuah ini, aamiin.


ڤرچاتورن محضير: سياڤا اونتوڠ، سياڤا روݢي؟

Baca versi Rumi di sini.

دوا بريتا ڤوليتيک هاڠت تله دلاڤورکن اوليه ميديا٢ اوتام سمالم:

  1. چادڠن اصول اوندي ڤرچاي ترهادڤ ڤردان منتري ک-7 اوليه اهلي ڤرليمين سمڤورنا⹁ داتوق سري محمد شافعي اڤدل.
  2. چادڠن اصول اوندي تيدق ڤرچاي ترهادڤ ڤردان منتري ک-8 اوليه اهلي ڤرليمين لڠکاوي⹁ تون دوکتور محضير محمد.

ساي تيدق منجڠک اکن اداڽ چادڠن اصول اوندي ڤرچاي ترهادڤ ڤردان منتري ک-7 کران:

  1. اصول اين ممڤرتيکايکن کواس يڠ دڤرتوان اݢوڠ سڤرتي يڠ ترمکتوب ددالم ڤرکارا 43﴿2﴾﴿a﴾ ڤرلمباݢأن ڤرسکوتوان.
  2. اصول اين تيدق سلاري دڠن ڤرکارا 43 ڤرلمباݢأن ڤرسکوتوان.
  3. اهلي٢ ڤرليمين تلهڤون ممبوات کڤوتوسن تنتڠ سياڤاکه چالون ڤردان منتري يڠ مريک ڤيليه دهادڤن يڠ دڤرتوان اݢوڠ کتيک سي    سي تمودوݢ دايستان نݢارا.
  4. ڤلتقن جاوتن تون سباݢاي ڤردان منتري ک-7 تله دتريما دان يڠ دڤرتوان اݢوڠ تله ملنتيق ڤردان منتري ک-8. تون سنديري مميليه اونتوق ملڤسکن جاوتن دان بوکنڽ دڤقسا اتاو دڤچت.

ڤرکارا 43﴿2﴾﴿a﴾ ممڤراونتوقکن کواس کڤد يڠ دڤرتوان اݢوڠ اونتوق ملنتيق ڤردان منتري.

سيلا باچ: Kuasa Eksekutif Agong Yang Kurang Diketahui ﴿کواس ايکسيکوتيف اݢوڠ يڠ کورڠ دکتاهوي﴾ – ددالم توليسن رومي

ڤرلمباݢأن تيدق ممبري حق مطلق کڤد اهلي-٢ ڤرليمين اونتوق مميليه ڤردان منتري.

نامون اصول اوندي ڤرچاي ترهادڤ ڤردان منتري ک-7 اوليه داتوق سري محمد شافعي اڤدل تله دتولق اوليه سڤيکر ديوان رعيت.

“سڤيکر ديوان رعيت⹁ تن سري محمد عارف محمد يوسف منولق اصول ايت کران ڤنجلسن يڠ دڽاتاکن دالم اصول برکنأن تيدق سلاري دڠن ڤرکارا 43 ڤرلمباݢأن ڤرسکوتوان کران اي ممڤرتيکاي کواس يڠ دڤرتوان اݢوڠ دالم اوروسن جاوتن ڤردان منتري.”

بريتا هارين ﴿Speaker tolak usul Shafie untuk undi percaya Dr Mahathir﴾

ساي ترتاڽ٢ تنتڠ اڤاکه توجوان اصول سبݢيني دچادڠکن؟

جک هاڽ برتوجوان اونتوق منجاتوهکن ڤردان منتري ک-8⹁ کناڤ هاروس منچادڠکن اصول يڠ منچابر کواس يڠ دڤرتوان اݢوڠ سرتا تيدق سلاري دڠن ڤراونتوقن اوندڠ٢ اوتام نݢارا؟

اڤاکه اياڽ ساتو لڠکه نيکد اونتوق ممستيکن تون منجادي ڤردان منتري ک-9 جک ڤردنا منتري ک-8 برجاي دجاتوهکن؟

برکنأن چادڠن اصول تيدق ڤرچاي ترهادڤ ڤردان منتري ک-8 اوليه ڤردان منتري ک-7:

  1. اڤاکه يڠ دهارڤکن اوليه تون جک اصول تون دتريما دان ڤردان منتري ک-8 تيدق لاݢي منداڤت اوندي ماجوريتي ديوان رعيت؟
  2. اڤاکه ڤاکتن هارڤن يڠ مروڤاکن سوارا تربسر بلوک ڤمبڠکڠ اکن مميليه تون سباݢاي ڤردان منتري ک-9؟

سمالم داتوق سري انور ابراهيم تله مڠومومکن بهاوا ڤاکتن هارڤن تله مناماکن بلياو سباݢاي کتوا ڤمبڠکڠ دان ستياءوسها اݢوڠ ڤاکتن هارڤن داتوق سري صيف الدين ناسوتيون تله ممعلومکن کڤوتوسن مجليس ڤريسيدن ترسبوت کڤد سڤيکر ديوان رعيت⹁ سڤرتي يڠ دلاڤورکن اخبر The Star Online.

مک⹁ جک داتوق سري انور ابراهيم دان بوکنڽ تون دوکتور محضير يڠ تله دڤيليه سباݢاي کتوا ڤمبڠکڠ⁏ سچارا ظاهيرڽ کيت مليهت بهاوا چالون ڤردان منتري ڤاکتن هارڤن کموڠکينن بسرڽ اداله انور دان بوکنڽ تون.

کيت تاهو بهاوا تون تله ملتق جاوتن عقيبة ڤرتليڠکهن دالمن ڤاکتن هارڤن يڠ ماهوکن تون سݢرا مڽراهکن جاوتن ڤردان منتري کڤد ڤريسيدن ڤرتي کعديلن رعيت⹁ داتوق سري انور ابراهيم.

سيلا باچ: Krisis Politik 2020: Ke Manakah Kita? ﴿کريسيس ڤوليتيک 2020: کمانکه کيت؟﴾ – ددالم توليسن رومي

اينله تيتيق تولق کڤد برلاکوڽ ساتو کريسيس ڤوليتيک يڠ مڠعقبةکن کرونتوهن کراجأن ڤاکتن هارڤن دان باݢايمانا کبيجقسنأن بودي بيچارا يڠ دڤرتوان اݢوڠ دالم ملقساناکن توݢس ايکسيکوتيف بݢيندا سباݢاي کتوا اوتام نݢارا تله برجاي منستابيلکن نݢارا دساعت٢ يڠ ݢنتيڠ ايت.

سيلا باچ: TERKINI – Yang di-Pertuan Agong Panggil Ketua-ketua Parti Kemuka Calon PM ﴿ترکيني – يڠ دڤرتوان اݢوڠ ڤڠݢيل کتوا٢ ڤرتي کموک چالون ڤردان منتري﴾ – ددالم توليسن رومي

منليتي کادأن ڤوليتيک سماس⹁ جک چادڠن اصول اوندي تق ڤرچاي اوليه تون دتريما⹁ بوکنکه اياڽ ممبوک ڤلواڠ کڤد انور ابراهيم اونتوق منجادي ڤردان منتري ک-9؟ اڤاکه اين توجوان تون دالم منچادڠکن اصول ترسبوت؟

سيلا باچ: Tun Mahathir Salahkan Anwar Punca Tidak Dilantik PM8? ﴿تون محضير سالهکن انور ڤونچا تيدق دلانتيق ڤردان منتري ک-؟﴾ – ددالم توليسن رومي

ديموکراسي بوکنله تيکيت اونتوق اهلي٢ ڤرليمين منوکر٢ سليرا مميليه ڤردان منتري ستياڤ کالي مريک راسکن ماهو بربوات دمکين. ماله ڤرکاتأن ديموکراسي تيدق لڠسوڠ ترتوليس ددالم ڤرلمباݢأن⹁ يڠ مروڤاکن اوندڠ٢ اتام نݢارا.

ڤرکارا اين مليبتکن سؤال کدولتن نݢارا دان کسجهترأن رعيت⁏ اجرن اݢام تله مڠݢاريسکن سؤال حکوم⹁ ادب دان تڠݢوڠجواب دانتارا ڤميمڤين دان رعيت.

جاڠن سمڤأي ترجادي کادأن⹁ ݢاجه سام ݢاجه برجواڠ⹁ ڤلندوق ماتي دتڠه.

جاڠنله کران کواس⹁ نݢارا بيناسا. اهلي٢ ڤرليمين دڤيليه اونتوق منونايکن تڠݢوڠجواب مريک کڤد رعيت⁏ ايتله تڠݢوڠجواب هاکيکي مريک يڠ ڤاتوت داوتاماکن.

سڤرتي کبڽقان رعيت مليسيا⹁ ساي مڠهارڤکن سبواه نݢارا يڠ ستابيل سڤرتي يڠ ڤرنه کيت نعمتي⹁ اڤلاݢي دساعت کيت برهادڤن دڠن وابق کوۏيد-19 سکارڠ اين دان بوکنڽ کراجأن يڠ برݢنتي٢ ستياڤ ببراڤ بولن.

ڤرلمباݢأن ڤرسکوتوان ممڤراونتوقکن بهاوا يڠ دڤرتوان اݢوڠ اداله کتوا اوتام نݢارا دان تربوقتي ڤراونتوقن ڤرکارا 32 ڤرلمباݢأن اينله يڠ تله مڽلامتکن نݢارا کتيک کريسيس ڤوليتيک 2020 يڠ ترچتوس عقيبة ڤرچاتورن ڤميمڤين٢ ڤوليتيک.

سيلا باچ:  Titah Sultan Selangor Mengenai Dakwaan Kerajaan Pintu Belakang ﴿تيته سلطان سلاڠور مڠناءي دعوأن کراجأن ڤينتو بلاکڠ﴾ – ددالم توليسن رومي

تانه ملايو تانه بردولت⹁ تانه اين اد توانڽ. سموݢ الله ممبرکتي تانه برتواه اين⹁ امين.


رنچان برکاءيتن: