Kemelut Bersatu: Apakah Pendirian PPBM?

Baca versi Jawi di sini.

Ramai yang merasa terkilan melihat situasi politik Malaysia kembali bergolak menjelang persidangan Dewan Rakyat pada 18hb Mei ini, dalam keadaan negara yang sedang berjuang memerangi wabak Covid-19.

Tindakan Perdana Menteri ke-7 mencadangkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri ke-8 telah mendapat perbagai reaksi daripada rakyat marhaen.

Sila baca: Percaturan Mahathir: Siapa Untung, Siapa Rugi?

Kini, tumpuan terarah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di mana keadaan mereka yang bercakaran sesama sendiri secara terang-terangan dan kegagalan untuk bersatu telah menjadi buah mulut rakyat.

Kita maklum bahawa PPBM telah berpecah kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan yang menyokong Perdana Menteri ke-7 dan kumpulan yang menyokong Perdana Menteri ke-8; maka undian Ahli Parlimen PPBM adalah penting dalam mempertahankan kedudukan presiden mereka sebagai Perdana Menteri ke-8 dan kerajaan yang memerintah.

Menariknya cara dan langkah Perdana Menteri ke-7 dan ke-8 adalah sangat berbeza di mana Perdana Menteri ke-8 yang juga Presiden parti mereka dilihat ‘tidak bising’ dalam mengatur langkah.

Tun Dr. Mahathir mahu PPBM kembali ke pangkuan Pakatan Harapan (PH); alasan beliau, besar kemungkinan PPBM akan kalah teruk dalam PRU jika mereka memilih untuk bergabung dalam Pakatan Nasional (PN).

Soalnya, adakah peluang PPBM untuk memenangi PRU akan lebih cerah jika mereka kembali kepada PH jika keputusan-keputusan PRK boleh dianggap sebagai indeks sokongan pengundi terhadap parti-parti politik, khasnya pengundi Melayu yang menjadi sasaran undi PPBM?

Hasrat Tun telah dialu-alukan oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden PAN Mohamad Sabu; jelas PH perlukan undi Ahli Parlimen PPBM untuk kembali ke Putrajaya.

Maka siapakah yang dilihat mempunyai sokongan majoriti dalam PPBM?

Pemerhati politik percaya bahawa Presiden PPBM mendapat sokongan yang lebih besar daripada Ahli Parlimen mereka, namun tiada siapa yang dapat memberikan angka yang tepat; yang jelas PPBM tidak akan dapat memberi undian yang disepakati semua ahli, atau secara en bloc.

Armada pusat mahukan mandat rakyat dipulangkan, yang mengikut tafsiran mereka bermakna kembali ke pangkuan PH dan mungkin juga supaya jawatan Perdana Menteri kembali kepada Tun semula.

Tetapi Exco Armada, Muzzammil Ismail menegaskan bahawa kenyataan itu tidak menggambarkan pendirian keseluruhan pimpinan Armada. Muzzammil juga menegaskan bahawa 144 daripada 191 ketua bahagian memberi sokongan penuh terhadap Presiden PPBM serta mencabar Armada pusat menunjukkan sokongan diraih mereka.

Yang jelas, Tun mendapat sokongan yang padu daripada Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan YB Syed Saddiq.

Reaksi Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Datuk Kamaruddin Md Nor kepada seruan Mukhriz supaya PPBM kembali ke pangkuan PH seperti yang dipetik oleh Joceline Tan menarik perhatian saya:

“Politics is a long journey. He is in the middle of the river, it is still a long way to the other side and he must have realised that it is easier to swim back, ” he said.

The Star Online (Bersatu’s 3Ms are torn two ways)

The Star melaporkan pemimpin politik berpengalaman ini berpendapat bahawa kembali ke pangkuan PH pada ketika ini bermakna berunding pada tahap kedudukan yang lemah.

“Previously, we were like a young bride, but to go back like this, we are second hand. Time to move on, ” he said.

The Star Online (Bersatu’s 3Ms are torn two ways)

Persoalannya, bagaimanakah PPBM akan meyakinkan rakyat bahawa mereka boleh menyatu padukan rakyat Malaysia jika mereka sendiri gagal bersatu?

Saya melihat perpecahan dalaman PPBM hanya akan melemahkan parti dan mengecewakan ahli-ahli mereka. Mungkin keputusan muktamad tentang arah tuju parti akan lebih jelas selepas berlangsungnya pemilihan parti mereka nanti.

Justeru, pada hari persidangan Dewan Rakyat nanti, Ahli-ahli Parlimen PPBM akan berada di blok kerajaan dan juga di blok pembangkang; apakah ini satu keadaan yang menggambarkan semangat demokrasi era norma baharu?

Mereka yang bersama blok pembangkang akan berusaha secara terbuka untuk menumbangkan presiden parti mereka sendiri daripada kerusi Perdana Menteri.

Jika usaha Tun berjaya, maka, dalam masa kurang daripada 3 bulan, Tun telah berjaya menumbangkan 2 buah kerajaan yang dipimpin oleh 2 pemimpin PPBM, iaitu parti Tun sendiri.

Cabaran seterusnya pula ialah untuk mencari kata sepakat dalam menentukan siapakah calon yang akan dipilih menjadi Perdana Menteri ke-9.

Sila baca: Krisis Politik 2020: Ke Manakah Kita?


Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Former Columnist at Utusan Online.

4 thoughts on “Kemelut Bersatu: Apakah Pendirian PPBM?”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.