ڤربوالن بوچور ݢامبرکن مزلي ماليک اصلڽ تيدق تولق جاوتن مارا؟

Baca versi Rumi di sini.

بکس منتري ڤنديديقن مزلي ماليک تيدق ممبنته تاورن کراجأن ڤريکتن ناسيونل يڠ ماهو منجاديکن بلياو ڤڠروسي ڤانل ڤنصيحة بارو مارا کورڤ⹁ چابڠ ڤرنياݢان مجليس أمانه رعيت⹁ منوروت ڤربوالن ميسيج ملالوءي اڤليکسي واتسءڤ يڠ دددهکن.

ممتيق لاڤورن اخبر Free Malaysia Today⹁ تڠکڤ لاير دان ترنسکريڤ ڤربوالن ترسبوت انتارا اهلي ڤرليمين سيمڤڠ ريڠݢم ايت دڠن منتري ڤمباڠونن لوار بندر⹁ عبداللطيف احمد دکوڠسي دميديا سوسيال فيسبوک اوليه ڤڠولس ڤوليتيک ملايو⹁ قمرالزمان يوسف.

بلياو مڠݢمبرکن تيندقن مزلي منولق تاورن ايت سڤرتي ڤوسيڠن يو.

دالم کومڤولن ڤربوالن ڤد 27 اڤريل برسام اهلي جاوتنکواس ڤنصيحة مارا کورڤ يڠ بارو دتوبوهکن ايت⹁ لطيف ممڤرکنلکن مزلي سباݢاي ڤڠروسي.

مزلي: السلام عليکم دان تريما کاسيه. ساي بربسر هاتي داڤت برسام ڤاسوکن.
لطيف: سلامت داتڠ ڤڠروسي.
لطيف: ساي ايڠين اندا سموا برکنلن.
مزلي: ساي سداڠ باچ
مزلي: دان چوبا ممهمي سموا دوکومن يڠ دبريکن 😉

تيک​​​​​س اصل:

مزلي: Assalamualaykom and thank you. It’s an honour to be with team‭.
لطيف: Welcome dear Chairman
لتيف: Let u all know each other
مزلي: Am following
مزلي: And trying to grasp all the docs given 😉

ڤربوالن دانتر مزلي ماليک دان عبداللتيف ددالم ݢروڤ واتسءڤ ترسبوت

ڤد کتيک ايت⹁ سأورڠ اهلي کومڤولن ممينتا لبيه باڽق بوتيرن مڠناءي بيلڠن شريکت دان ڤراوسهأن دبنتو مارا يڠ ترکسن دڠن کريسيس کوۏيد-19.

ستوجو. سباهاݢين بسر کبيمبڠن اداله صح سلڤس ساي تليتي MCT لاݢي. ارتيکل شاه جوݢ هاروس دڤندڠ سريوس. ايديا منانم اينسترومن اسلاميک باݢي ممڤرتيڠکتکن ڤلابورن دان ڤرتومبوهن کورڤورت ساتو لاݢي يڠ مناريق⹁ والاوڤون ايديا واقف ايت موڠکين مڠونداڠ ببراڤ ڤربينچڠن. يڠ برحرمت مليا⹁ اد رانچڠن اونتوق ممڤوڽاءي جابتن ڤنصيحة ڤلابورن اسلاميک مارا کورڤ کيت سنديري سأکن-اکن يڠ بڠک اد؟

تيک​س اصل:

Agree. Most of the concerns are valid after I’ve gone through again the MCT. Shah’s article should be taken seriously too. The idea of inculcating Islamic instruments to enhance the investment and corporate growth is another interesting one, although the waqf idea might invite some discussions. YBM, any plan to have our own Mara corp Islamic investment advisory dept akin to the banks‭?

ترنسکريڤ ميسيج مزلي ددالم ڤربوالن ترسبوت

مزلي بلوم ريسڤون کتيک دهوبوڠي اخبار. باݢايماناڤون⹁ لطيف مڠسهکن ڤربوالن واتسءڤ دڠن مزلي ميمڠ برلاکو.

ڤد 8 مي⹁ لطيف مڠعمومکن ڤلنتيکن مزلي⹁ مڠاتکن اي برتوجوان اونتوق مڠواتکن ستروکتور ڤڠوروسن ڤربادنن ايت دان مڠاوصي ڤروݢرام راسيوناليساسيڽ.

تتاڤي مزلي⹁ يڠ برسڤاکت دڠن تون دوکتور محضير محمد سوسولن ڤرڤچاهن دالم ڤرتي ڤريبومي برساتو مليسيا⹁ منولق جاوتن ايت کإيسوقان هاري⹁ مڠاتکن کڤوتوسنڽ سلارس دڠن مندت يڠ دبريکن ڤڠونديڽ.

دالم ڤربوالن بربيذا دڠن لطيف⹁ مزلي منجلسکن سبب منولق جاوتن ايت.

معافکن ساي داتوق سري.
ساي ترڤقسا منولق تاورن بيلا مليهت مريک يڠ کوروڤ کمبالي.
اين برتنتاڠن دڠن اڤ يڠ دجنجيکن کڤد کيت بهاوا مريک يڠ کوروڤ تيدق اکن کمبالي.
ساي تيدق ممڤو مليهت نام ساي سباريس دڠن اورڠ-اورڠ يڠ ساي ڤنت ممبرسيهکن کوروڤسي مريک سوقتو کمنترين ڤنديديقن مليسيا داهولو⹁

تيک​س اصل:

Maafkan saya DS‭.
Saya terpaksa menolak tawaran bila melihat mereka yang korup kembali‭.
Ini bertentangan dengan apa yang dijanjikan kepada kita bahawa mereka yang korup tidak akan kembali‭.
Saya tidak mampu melihat nama saya sebaris dengan orang orang yang saya penat membersihkan korupsi mereka sewaktu KPM dahulu‭.

مزلي کڤد عبداللطيف ددالم ڤربوالن ترسبوت

لطيف منجواب ڤنجلسن ايت⹁ ممڤرسؤالکن ادکه مزلي راس ديريڽ “برسيه“⹁ دان منمبه بلياو سڤاتوتڽ لاڤور سکيراڽ ترداڤت بوقتي رسواه دالم کمنترين.

هيلو ‘bro’… ⹁ ساي اد سموا رقمن تيليفون انتارا کامو دان سسأورڠ يڠ ‘ڤنتيڠ’ دالم ڤرتي ڤر
يبومي برساتو مليسيا.
کاو ميمڠ سوکوڠ TM.اين سموا السن.

تيک​س اصل:

Halo bro…I hv all the fon recording btwn u n somebody “important” in Bersatu
U mmg sokong TM
Ini semua alasan

عبداللطيف کڤد مزلي ددالم ڤربوالن ترسبوت

بلياو ستروسڽ بريتاهو مزلي بهاوا محي الدين تيدق مناورکن جاوتن کڤد مريک يڠ بردڤن ڤندعوأن رسواه⹁ دان ڤردان منتري جوݢ لبيه ڤمأف.

بلياو مڠيڠتکن مزلي بهاوا محضير ڤرنه ممچت بلياو.

مزلي ملتقکن جاوتن منتري ڤنديديقن ڤد جانواري⹁ مڠاتکن محضير مينتا بلياو مڠوسوڠکن جاوتن ايت.

دالم ڤربوالن مريک⹁ لطيف کسل مزلي تيدق ممعلومکن کڤوتوسن منولق تاورن ايت کڤداڽ.

ساي فيکير ساي هيلڠ سأورڠ کاون.

تيک​س اصل:

I think m loosing a dear fren

عبداللطيف کڤد مزلي داخير ڤربوالن ترسبوت

Perbualan Bocor Gambarkan Maszlee Malik Asalnya Tidak Tolak Jawatan MARA?

Baca versi Jawi di sini.

Laporan di bawah dipetik daripada akhbar Free Malaysia Today.


Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik tidak membantah tawaran kerajaan Perikatan Nasional yang mahu menjadikan beliau pengerusi panel penasihat baru Mara Corp, cabang perniagaan Majlis Amanah Rakyat, menurut perbualan WhatsApp yang didedahkan.

Tangkap layar dan transkrip perbualan WhatsApp antara ahli Parlimen Simpang Renggam itu dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abdul Latiff Ahmad dikongsi di Facebook oleh pengulas politik Melayu, Kamarul Zaman Yusoff.

Beliau menggambarkan tindakan Maszlee menolak tawaran itu seperti pusingan U.

Dalam kumpulan perbualan pada 27 Apr bersama ahli jawatankuasa penasihat Mara Corp yang baru ditubuhkan itu, Latiff memperkenalkan Maszlee sebagai pengerusi.

“Assalamulaikum dan terima kasih. Saya berbesar hati dapat bersama pasukan,” tulis Maszlee dalam transkrip yang dikongsi Kamarul.

Latiff: Selamat datang Pengerusi.
Latiff: Saya ingin anda semua berkenalan.
Maszlee: Saya sedang baca
Maszlee: Dan cuba memahami semua dokumen yang diberikan 😉

Pada ketika itu, seorang ahli kumpulan meminta lebih banyak butiran mengenai bilangan syarikat dan perusahaan dibantu Mara yang terkesan dengan krisis Covid-19.

Maszlee: Setuju. Sebahagian besar kebimbangan adalah sah selepas saya teliti MCT lagi. Artikel Shah juga harus dipandang serius. Idea menanam instrumen Islamik bagi mempertingkatkan pelaburan dan pertumbuhan korporat satu lagi yang menarik, walaupun idea wakaf itu mungkin mengundang beberapa perbincangan. YBM, ada rancangan untuk mempunyai jabatan penasihat pelaburan Islamik Mara Corp kita sendiri seakan-akan yang bank ada?

Maszlee belum respon ketika dihubungi FMT. Bagaimanapun, Latiff mengesahkan perbualan WhatsApp dengan Maszlee memang berlaku.

Pada 8 Mei, Latiff mengumumkan pelantikan Maszlee, mengatakan ia bertujuan untuk menguatkan struktur pengurusan perbadanan itu dan mengawasi program rasionalisasinya.

Tetapi Maszlee, yang bersepakat dengan Dr Mahathir Mohamad susulan perpecahan dalam PPBM, menolak jawatan itu keesokan hari, mengatakan keputusannya selaras dengan mandat yang diberikan pengundinya.

Dalam perbualan berbeza dengan Latiff, Maszlee menjelaskan sebab menolak jawatan itu.

“Maafkan saya Datuk Seri. Saya terpaksa menolak tawaran bila melihat mereka yang korup kembali. Ini bertentangan dengan apa yang dijanjikan kepada kita bahawa mereka yang korup tidak akan kembali.

“Saya tidak mampu melihat nama saya sebaris dengan orang-orang yang saya penat membersihkan korupsi mereka sewaktu Kementerian Pendidikan dulu,” katanya dalam mesej yang dilihat FMT.

Latiff menjawab penjelasan itu, mempersoalkan adakah Maszlee rasa dirinya “bersih”, dan menambah beliau sepatutnya lapor sekiranya terdapat bukti rasuah dalam kementerian.

“Hello ‘bro’, saya ada semua rakaman telefon antara kamu dan seseorang yang ‘penting’ dalam PPBM, kau memang sokong TM. Ini semua alasan,” Latiff beritahu Maszlee.

Beliau seterusnya beritahu Maszlee bahawa Muhyiddin tidak menawarkan jawatan kepada mereka yang berdepan pendakwaan rasuah, dan perdana menteri juga lebih pemaaf.

Beliau mengingatkan Maszlee bahawa Mahathir pernah memecat beliau.

Maszlee meletakkan jawatan menteri pendidikan pada Januari, mengatakan Mahathir minta beliau mengosongkan jawatan itu.

Dalam perbualan mereka, Latiff kesal Maszlee tidak memaklumkan keputusan menolak tawaran itu kepadanya.

“Saya fikir saya hilang seorang kawan.” – {Free Malaysia Today]