PRK DUN Chini 4 Julai

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Chini, Pahang diadakan pada Sabtu, 4 Julai depan.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun turut mengumumkan hari penamaan calon pada 20 Jun manakala tarikh mengundi awal ialah pada 30 Jun.

Kerusi DUN Chini kosong susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada 6 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi, menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi, dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.

Terdahulu SPR membincangkan tarikh penting urusan PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya itu. -{Bernama]