Video – Mukhriz: Najib Protagonis Sebenar Kejatuhannya!!

Rupa-rupanya Dato’ Seri Najib Razak adalah protagonis sebenar yang telah menjatuhkan Dato’ Seri Utama Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah?

Tidak terbayang bahawa saya akan mendengar perkara ini ketika mengikuti ucapan bekas Menteri Besar Kedah itu tadi.

Amat mengejutkan tapi itulah kenyataan yang diutarakan oleh Mukhriz ketika sidang media di Wisma Darul Aman tadi, kenyataan yang beliau sebut sebanyak dua kali!

“Walaupun arahan untuk menjatuhkan saya di Kedah datangnya dari Presiden Bersatu melalui Dato’ Seri Hamzah Zainuddin, tetapi protagonis sebenar masih orang yang sama dengan dulu, iaitu Dato’ Seri Najib Razak.”

Ketika menjawab soalan pemberita, bekas Menteri Kedah itu sekali lagi membuat dakwaan yang sama:

“We’re still fighting on. Because it’s the same culprit, actually. Yea, Najib is still behind the scenes.”

Saya tidak pernah menduga begitu besar kuasa Perdana Menteri ke-6 walaupun beliau tidak lagi menjawat jawatan Perdana Menteri atau Presiden UMNO!!

Mukhriz Letak Jawatan MB

Mukhriz Mahathir hari ini mengumumkan peletakan jawatan menteri besar Kedah ke-13, selepas Pakatan Harapan hilang sokongan majoriti.

Gabungan itu hilang sokongan majoriti selepas 6 Adunnya beralih menyokong pakatan yang dipimpin PAS awal minggu ini.

Ini kali ke-2 beliau meletakkan jawatan ketua kerajaan negeri itu, kali pertama pada Februari 2016 susulan perselisihan dengan perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Gabungan itu menang di Kedah dengan 19 kerusi berbanding 17 kerusi pembangkang. PAS mengetuai blok lawan dengan 15 kerusi, manakala Umno 2 kerusi.

Kerajaan baru sudah dijangka akan terbentuk selepas ketua pembangkang, Muhammad Sanusi Md Nor dari PAS, mengumumkan beliau peroleh sokongan 23 Adun, majoriti dalam kalangan 36 wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Beliau berkata wakil rakyat yang menyokong PN menandatangani akuan berkanun.

Adun Sidam, Robert Ling dan Adun Lunas, Azman Nasrudin baru-baru ini mengumumkan keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong Perikatan Nasional.

Sanusi berkata PN juga mendapat sokongan 4 wakil rakyat PPBM, tanpa Mukhriz dan Adun Bukit, Amiruddin Hamzah. -{Free Malaysia Today]