UUM Larang Pensyarah Politik Menulis Tulisan Politik

Universiti Utara Malaysia (UUM) dilapor melarang pensyarah kanannya, Kamarul Zaman Yusoff daripada membuat catatan berkaitan politik di platform media sosial.

Kamarulzaman sebelum ini dikenali dengan sikapnya yang lantang mengkritik bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan (PH).

The Star melaporkan, Kamarul Zaman mengesahkan beliau diberi amaran daripada pentadbiran UUM Rabu lalu setelah laporan dibuat berhubung hantaran yang tidak didedahkan.

“Ya, saya diberi amaran untuk tidak mengulanginya.

“Sekiranya ada laporan lain, tindakan akan diambil terhadap saya,” kata Kamarul Zaman yang bertugas di Kolej Undang-Undang, Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa UUM.

Kamarul Zaman sebelum ini berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan pegawai tertinggi universiti atau kakitangan pengurusan universiti yang lain.

Beberapa hari selepas pilihan raya umum ke-14 diadakan dan Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri ketujuh, Kamarul Zaman melepaskan jawatannya sebagai pengarah Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (Mapan) UUM.

Beliau pada masa itu mengatakan sudah tiba masanya mengundurkan diri kerana wujud persepsi bahawa beliau “anti-Mahathir” dan perkara itu akan menimbulkan kesulitan bagi pihak universiti.

Pandangan kritikal Kamarul Zaman mendapat perhatian sehingga Mahathir sendiri tampil mengejutkannya dalam sebuah forum sebelum PRU14, ketika beliau sedang bercakap . -{Malaysiakini]