Dulu PH Plus, kini PH Minus?

Baca versi Jawi di sini.

Siri drama politik Malaysia terus bersambung dengan pelbagai episod hangat yang masih belum nampak kesudahannya.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik amat tegas dengan pendirian bahawa Perdana Menteri ke-4 dan ke-7, Tun Dr. Mahathir adalah calon yang paling sesuai untuk jawatan Perdana Menteri ke-9, jika PH Plus berjaya memerintah.

Kata beliau, jawatan Perdana Menteri ke-9 bukan hak mutlak Anwar Ibrahim. Pemimpin PKR pula menjawab, jawatan itu juga bukan hak mutlak Dr Mahathir Mohamad.

Umum mengetahui bahawa jawatan Perdana Menteri ke-7 pernah menjadi rebutan di antara Perdana Menteri ke-4 dan Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri ke-7.

Anwar berhasrat menjadi Perdana Menteri ke-7, namun rancangan berubah apabila Perdana Menteri ke-4 dinamakan sebagai Perdana Menteri ke-7, sedangkan Anwar masih berada di dalam penjara pada waktu itu.

Maka Anwar hendak dijadikan Perdana Menteri ke-8 oleh kerajaan PH, namun kerajaan mereka runtuh setelah Tun Dr. Mahathir meletak jawatan.

Malah kemelut perebutan jawatan inilah yang menyebabkan jatuhnya kerajaan PH.

Setelah dilantik menjadi Perdana Menteri Interim, Tun mengambil keputusan untuk menjadi Perdana Menteri semula, maka jawatan Perdana Menteri ke-8 telah menjadi rebutan Tun dan Anwar.

Namun kuasa Allah mengatasi segala-galanya, akhirnya jawatan Perdana Menteri ke-8 menjadi milik Tan Sri Muhyiddin Yassin, maka Tun dan Anwar kembali untuk berebut jawatan Perdana Menteri ke-9 pula.

Selepas mesyuarat di Pejabat PKR, pemimpin PH Plus berkata bahawa isu ini telah selesai. Ada pemerhati yang merasakan Tun tidak lagi akan bertarung untuk kerusi tersebut kerana beliau mahu bersara, terutamanya apabila beliau dikatakan telah membuat satu kenyataan yang memberikan gambaran sedemikian.

Tetapi jelas Tun akan kembali bertarung; maka, Maszlee sebagai orang Tun sudahpun membuat kenyataan mahukan Tun dilantik menjadi Perdana Menteri ke-9.

Namun menurut satu laporan akhbar Malay Mail yang bertajuk, “Sources say ‘Pakatan Plus’ mulling Anwar as DPM candidate with Shafie, but will he accept?“, ada desas-desus yang mengatakan bahawa PH akan membawa nama Anwar Ibrahim sebagai calon mereka bagi jawatan Perdana Menteri ke-9.

Manusia hanya mampu merancang, namun Allah sahajalah yang berhak menentukan segala-galanya.

Sama-samalah kita lihat siapakah yang akan menjawat jawatan Perdana Menteri ke-9 nanti.

دولو ڤاکتن هارڤن ڤلاس⹁ کيني ڤاکتن هارڤن مينوس؟

Baca versi Rumi di sini.

سيري دراما ڤوليتيک مليسيا تروس برسمبوڠ دڠن ڤلباݢاي ايڤيسود هاڠت يڠ ماسيه بلوم نمڤق کسودهنڽ.

اهلي ڤرليمين سيمڤڠ رڠݢم⹁ مزلي ماليک امت تݢس دڠن ڤنديرين بهاوا ڤردان منتري ک-4⹁ تون دوکتور محضير اداله چالون يڠ ڤاليڠ سسواي اونتوق جاوتن ڤردان منتري ک-9⹁ جک “ڤاکتن هارڤن ڤلاس” برجاي ممرينته.

کات بلياو⹁ جاوتن ڤردان منتري ک-9 بوکن حق مطلق انور إبراهيم. ڤميمڤين ڤارتي کعديلن رعيت ڤولا منجواب⹁ جاوتن ايت جوݢ بوکن حق مطلق دوکتور محضير محمد.

عموم مڠتاهوي بهاوا جاوتن ڤردان منتري ک-7 ڤرنه منجادي ربوتن دأنتارا ڤردان منتري ک-4 دان تيمبالن ڤردان منتري ک-7 انور إبراهيم.

انور برحسرت منجادي ڤردان منتري ک-7⹁ نامون رانچڠن بروبه اڤابيلا ڤردان منتري ک-4 ديناماکن سباݢاي ڤردان منتري ک-7⹁ سداڠکن انور ماسيه برادا ددالم ڤنجارا ڤد وقتو ايت.

مک انور هندق دجاديکن ڤردان منتري ک-8 اوليه کراجاءن ڤاکتن هارڤن⹁ نامون کراجاءن مريک رونتوه ستله تون دوکتور محضير ملتق جاوتن.

ماله کملوت ڤربوتن جاوتن اينله يڠ مڽببکن جاتوهڽ کراجاءن ڤاکتن هارڤن.

ستله دلانتيق منجادي ڤردان منتري اينتريم⹁ تون مڠمبيل کڤوتوسن اونتوق منجادي ڤردان منتري سمولا⹁ مک جاوتن ڤردان منتري ک-8 تله منجادي ربوتن تون دان انور.

نامون کواس الله مڠاتسي سݢالا-ݢالنيا⹁ اخيرڽ جاوتن ڤردان منتري ک-8 منجادي ميليق تن سري محي الدين ياسين⹁ مک تون دان انور کمبالي اونتوق بربوت جاوتن ڤردان منتري ک-9 ڤولا.

سلڤس مشوارت دڤجابت ڤارتي کعديلن رعيت⹁ ڤميمڤين ڤاکتن هارڤن ڤلاس برکات بهاوا ايسو اين تله سلساي. اد ڤمرهاتي يڠ مراساکن تون تيدق لاݢي اکن برتاروڠ اونتوق کروسي ترسبوت کران بلياو ماهو برسارا⹁ تراوتامڽ اڤابيلا بلياو دکاتاکن تله ممبوات ساتو کڽاتاءن يڠ ممبريکن ݢمبارن سدميکيان.

تتاڤي جلس تون اکن کمبالي برتاروڠ⁏ مک⹁ مزلي سباݢاي اورڠ تون سودهڤون ممبوات کڽاتاءن ماهوکن تون دلانتيق منجادي ڤردان منتري ک-9.

نامون منوروت ساتو لاڤورن اخبار ملاي مايل يڠ برتاجوق⹁ “Sources say ‘Pakatan Plus’ mulling Anwar as DPM candidate with Shafie, but will he accept?” ﴾سومبر: ڤاکتن ڤلاس ڤرتيمبڠ انور دان شافعي سباݢاي تيمبالن ڤردان منتري⹁ تىتاڤي اکنکه بلياو منريماڽ؟﴾⹁ اد ديساس-دسوس يڠ مڠاتکن بهاوا ڤاکتن هارڤن اکن ممباوا نام انور إبراهيم سباݢاي چالون مريک باݢي جاوتن ڤردان منتري ک-9.

ماءنسي هاڽ ممڤو مرنچڠ⹁ نامون الله سهاجله يڠ برحق مننتوکن سݢالا-ݢالاڽ.

سام-سامله کيت ليهت سياڤاکه يڠ اکن منجاوت جاوتن ڤردان منتري ک-9 ننتي.