ڤ.ر.ک. چيني: 3 چالون برتنديڠ

Baca versi Rumi di sini.

ڤڠروسي سوروهنجاي ڤيليهن راي مليسيا⹁ ازهر عزيزان هارون مڠعمومکن بهاوا 3 چالون اکن برتنديڠ ڤد ڤيليهن راي کچيل N23 چيني يڠ باکل برلڠسوڠ ڤد بولن دڤن.

چالون٢ ترسبوت اداله⹁ تڠکو زاين الهشام بن تڠکو حسين ﴿بيبس⹁ رومه﴾⹁ محمد شريم بن محمد زاين ﴿باريسن ناسيونل﴾⹁ دان محمد شکري بن محمد راملي ﴿بيبس⹁ کونچي﴾.

ڤيليهن راي کچيل اين مروڤاکن ڤيليهن راي کچيل ڤرتام سجاق کريسيس ڤوليتيک 2020⹁ يڠ مڽکسيکن ڤرتوکرن کراجاءن درڤد کراجاءن ڤاکتن هارڤن کڤد کراجاءن ڤريکاتن ناسيونل.

اين جوݢ مروڤاکن ڤيليهن راي کچيل ڤرتام سجاق ڤنولارن ڤندميک کوۏيد-19⹁ دان سݢالا توݢاسن ڤيليهن راي کچيل اين هندقله مڠايکوت ايس او ڤي ﴾SOP﴿ ڤرينته کاوالن ڤرݢراقن ڤموليهن.

کروسي ديوان اوندڠن نݢري چيني کوسوڠ سوسولن کماتين ڤڽانداڠڽ⹁ ابو بکر هارون⹁ 60⹁ دهوسڤيتل کوالا لومڤور عقيبة سراڠن جنتوڠ ڤد 6 مي لڤس.

ڤد ڤيليهن راي عموم ک-14⹁ ابو بکر يڠ ممڤروليه 10٬027 اوندي⹁ منڠ دڠن ماجوريتي 4٬622 اوندي منوسکن چالون ڤاس⹁ محمد فاضل نور عبدالکريم يڠ ممڤروليه 5٬405 اوندي⹁ دان چالون ڤرتي کعاديلن رعيت محمد غزالي اثنين يڠ منداڤت 1٬065 اوندي.

PRK Chini: 3 Calon Bertanding

Baca versi Jawi di sini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Azhar Azizan Harun mengumumkan bahawa 3 calon akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil N23 Chini yang bakal berlangsung pada bulan depan.

Calon-calon tersebut adalah, Tengku Zainul Hisham bin Tengku Hussin (BEBAS, Rumah), Mohd. Sharim bin Md. Zain (Barisan Nasional), dan Mohd. Shukri bin Mohd. Ramli (BEBAS, Kunci).

Pilihan Raya Kecil ini merupakan Pilihan Raya Kecil pertama sejak Krisis Politik 2020, yang menyaksikan pertukaran kerajaan daripada kerajaan Pakatan Harapan kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Ia juga merupakan Pilihan Raya Kecil pertama sejak penularan pandemik Covid-19, dan segala tugasan Pilihan Raya Kecil ini hendaklah mengikut SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Kerusi DUN Chini kosong susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada 6 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi, menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi, dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.