Bekas Speaker Dewan Negara: Kembalikan Kuasa Raja Seperti Sebelum 1993

Yang Dipertua SA Vigneswaran yang tamat tempoh sebagai speaker Dewan Negara hari ini menyeru kerajaan pusat agar menarik balik pindaan kontroversial pada tahun 1993 berkaitan kuasa raja-raja Melayu.

Dalam ucapan amanat di Bangunan Parlimen hari ini, Vigneswaran yang merupakan speaker Dewan Negara yang ke-14 berkata pindaan kontroversial itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya sebagai Yang di-Pertua yang bersara untuk menyeru kepada kerajaan agar menarik balik pindaan kontroversial 1993 yang hangat didebatkan sehingga kini.

“Pada pendapat saya, (pindaan) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan di mana pindaan dibuat tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja dan telah mengurangkan kuasa Raja Melayu dan kedaulatan institusi diraja harus dikembalikan,” kata Vigneswaran.

Sila baca: Kuasa Eksekutif Agong Yang Kurang Diketahui

Pindaan perlembagaan pada 1993 diluluskan oleh parlimen antaranya untuk menghapuskan kekebalan raja-raja Melayu, yang membolehkan mereka didakwa di mahkamah jika melanggar undang-undang.

Sementara itu Vigneswaran yang juga presiden MIC berkata, beliau berharap kuasa raja-raja Melayu akah dikembalikan seperti pada zaman kemerdekaan.

Sila baca: Raja Melayu Payung Negara

“Dalam banyak perkara penting, kuasa raja-raja Melayu sangat jelas diperlukan bagi menjamin kestabilan politik dan masa depan masyarakat majmuk di negara ini,” tambahnya lagi. -{Malaysiakini]

Isu PATI: NGO Perlu Turun Padang, Kerjasama Dengan NTF – Aris

Pihak badan bukan kerajaan (NGO) disaran turun padang untuk melihat sendiri implikasi negatif pencerobohan pendatang tanpa izin terutamanya dalam aspek kedaulatan negara, dan bukan sekadar lantang memperjuangkan hak pendatang tanpa izin serta kemanusiaan di media sosial.

Komander Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF), Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah berkata ia pastinya akan membuka mata masyarakat dalam memberikan gambaran sebenar impak negatif kemasukan pendatang tanpa izin terhadap negara kerana pihak NGO mempunyai khalayak penyokong yang ramai dan berpengaruh.

Beliau berkata NGO perlu merujuk kepada sumber sahih sebelum membuat sebarang kenyataan dan tidak menularkan berita tidak tepat kerana ia mengundang persepsi negatif terhadap kredibiliti pasukan keselamatan negara.

“Selain itu, sebagai entiti (NGO) yang didengari di persada antarabangsa, pihak NGO diseru meraih perhatian komuniti antarabangsa terutamanya negara jiran agar bekerjasama menangani masalah pendatang tanpa izin secara bersepadu,” katanya kepada Bernama dalam wawancara khas di ibu pejabat NTF, di sini, baru-baru ini.

Aris berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan segelintir NGO yang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka di media sosial berhubung kaedah dan langkah kerajaan dalam mengendalikan pendatang tanpa izin.

“NGO perlu mengetahui bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi penguatkuasa yang lain ditugaskan untuk menjaga keselamatan negara dan perlu memberi pelindungan kepada rakyat daripada segala bahaya termasuklah wabak COVID-19. 

“Sebenarnya objektif NTF dan NGO adalah sama dan ia bukan persaingan siapa suara lebih lantang, kita boleh bekerjasama cuma keutamaan berbeza yang beruniform ada misi mereka manakala NGO mempunyai penyokong serta mempunyai fungsi tersendiri,” katanya.

Aris berkata NTF tidak sewenang-wenangnya mengusir pendatang tanpa izin memandangkan golongan ini mempunyai pelbagai taktik bagi memastikan diri mereka tidak dihantar pulang sekiranya ditahan. 

“Saya ingin mengambil contoh kes penangkapan Rohingya di perairan Langkawi baru-baru ini, bot yang membawa 269 pendatang tanpa izin bersama mayat seorang wanita itu didapati sengaja dirosakkan menyebabkan NTF menerusi keputusan Majlis Keselamatan Negara tidak meneruskan pengusiran,” katanya.

Beliau berkata disebabkan itu, Malaysia terpaksa menanggung beban untuk melakukan ujian saringan COVID-19 dan menyediakan tempat tahanan sementara untuk mereka di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi.

“Sebelum ketibaan pendatang tanpa izin ini di perairan negara mereka perlu melalui beberapa negara tetapi mengapa NGO-NGO ini tidak menyalahkan negara serantau kerana tidak mengambil tindakan awal seperti menyekat bot-bot asing ini?

Setelah tindakan pengusiran dibuat oleh kerajaan, NGO-NGO berkenaan lantang bersuara mengenai kemanusiaan dan menidakkan kepentingan rakyat Malaysia sendiri,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial terdapat beberapa NGO dilihat mempersoal dan menyalahkan kaedah dan langkah pihak kerajaan dalam menguruskan pencerobohan pendatang tanpa izin. -{BERNAMA]

Kamarudin Md Nor Ganti Husam Terajui KADA

Pengerusi Bersatu Kelantan, Kamarudin Md Nor dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) berkuat kuasa 16 Mei lalu bagi menggantikan posisi yang sebelum ini disandang oleh Naib Presiden Amanah, Husam Musa.

Perkara itu didedahkan melalui kenyataan ucapan tahniah Kada melalui laman Facebooknya, semalam.

“Semoga Kada terus mengorak langkah memenuhi agenda untuk kesejahteraan petani seterusnya membantu dalam menjamin bekalan makanan negara,” kata kenyataan itu.

Sementara itu Kamarudin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut.

“Maaf saya belum masuk pejabat Kada lagi, insya-Allah minggu depan,” katanya.

Terdahulu surat pelantikan Kamarudin itu tular di media sosial sejak semalam.

Ia ditandatangani Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee yang menyebut pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik (Kamarudin) sebagai pengerusi Kada selama 2 tahun berkuat kuasa 16 Mei 2020 hingga 15 Mei 2022,” kata Ronald.

Sebagai rekod sebelum ini Husam yang juga pengerusi PH Kelantan yang dilantik menerajui agensi itu sejak 1 Mac 2019. -{Malaysiakini]