Masalah Pengawalan Emosi Dalam Kalangan Remaja

Baca versi Jawi di sini.

Sebagai seorang remaja, kita berada di era peralihan ke alam dewasa di mana kita perlu berusaha untuk menjadi lebih matang serta belajar mengawal diri secara fizikal dan emosi dalam menjalani kehidupan sehari-hari.

Pada peringkat ini, mungkin ada di antara kita yang keliru di antara kehendak dan tanggungjawab. Kita mahukan lebih kebebasan tetapi pada masa yang sama, kita gagal mendisiplinkan diri serta bertanggungjawab ke atas tingkah laku kita sendiri.

Ramai yang berpendapat bahawa para remaja cenderung untuk memberontak dan sukar mengawal emosi, malah tidak dapat dinafikan bahawa ada dalam kalangan remaja yang menghadapi tekanan emosi dan masalah kesihatan mental.

Mereka yang menghadapi masalah emosi sering kali suka menyendiri dan kemurungan, ada yang tidak dapat mengawal perasaan sedih dan marah serta boleh bertindak agresif tanpa sebab, malah kadang kala bertindak di luar dugaan termasuk mencederakan diri sendiri atau orang lain di sekeliling mereka.

Sering juga kita mendengar ada remaja bertindak memilih jalan yang salah untuk mengatasi masalah ini, contohnya dengan merokok, menghisap vape, menghidu gam, mengambil minuman keras, terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bahan-bahan terlarang lainnya dan berbagai-bagai lagi perbuatan negatif yang lain.

Masalah tekanan emosi biasanya bukanlah sesuatu yang tidak dapat diselesaikan jika remaja terbabit sedar akan masalah yang mereka hadapi serta mempunyai semangat yang kuat dan disiplin diri yang tinggi untuk berusaha mengatasinya. Sokongan dan perhatian ibu bapa juga adalah amat penting dalam membantu para remaja untuk membina kekuatan mental dalam menghadapi cabaran.

Namun masalah akan timbul jika tekanan emosi tidak ditangani dengan cara yang betul. Ini boleh menyebabkan remaja terbabit tidak dapat mengawal emosi dan seterusnya menghadapi masalah lain termasuk masalah kesihatan mental.

Ada yang bertukar menjadi pembuli, bertindak secara tidak waras dan ada yang sanggup mencederakan orang lain atau membunuh diri. Kerap kali mereka tidak merasa bersalah di atas perbuatan mereka, malah mereka merasakan bahawa mereka mempunyai sebab untuk menjustifikasikan segala perbuatan mereka itu.

Malangnya, kini peratusan remaja yang mengalami masalah tekanan emosi adalah tinggi dan perkara ini amatlah membimbangkan kerana jika masalah ini tidak ditangani dengan baik, negara bakal berhadapan dengan berbagai-bagai masalah yang lebih besar.

Lebih teruk lagi, ada segelintir remaja bermasalah yang menggunakan alasan tekanan emosi sebagai cara untuk menuntut perhatian, membebaskan diri daripada tanggungjawab dan juga untuk menjustifikasikan perbuatan negatif mereka supaya mereka tidak dipersalahkan.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa antara faktor yang menyebabkan remaja menghadapi tekanan emosi ialah tekanan pelajaran dan peperikaan, harapan ibu bapa yang terlalu tinggi, kurang perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa, persaingan dengan saudara kandung dan kawan-kawan, suasana persekitaran yang tidak kondusif serta penggunaan media sosial secara tidak terkawal.

Tragedi malang seperti kematian ahli keluarga terdekat, mengalami pengalaman yang mengerikan dan remaja yang dibuli secara fizikal atau secara emosi khasnya oleh orang-orang dewasa terdekat yang sepatutnya melindungi para remaja juga meninggalkan kesan emosi yang sangat berat untuk dihadapi oleh para remaja.

Sukar untuk orang yang tidak prihatin untuk memahami perasaan mangsa dan hanya mereka yang pernah mengalami tragedi sebegini yang boleh benar-benar memahami perasaan mangsa; namun ini tidak harus dijadikan sebab untuk mereka mengalah dan terus tertekan.

Sebagai seorang remaja yang pernah mengalami tragedi yang sebegini, saya memahami perasaan anda, tetapi kita harus cuba bangkit dan jangan biarkan tragedi memusnahkan hidup kita.

Para remaja harus kuat, sentiasa berusaha untuk berfikiran dan bersikap positif serta tidak mudah mengalah dalam menghadapi musibah.

Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagu; pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

Maka kita para remaja harus menjadikan tragedi yang kita hadapi sebagai satu cabaran yang bersifat positif dan kita perlu membina kekuatan diri demi untuk menjadi insan yang lebih baik.

Rintangan serta cabaran akan ada di mana sahaja, malah, tiada siapapun yang akan dapat lari daripada menghadapi dugaan hidup; namun iman dan takwa akan membezakan cara kita menangani masalah tekanan dan gangguan emosi.

Adalah menjadi tanggungjawab bagi kita untuk meminta petunjuk daripada Allah SWT dalam apa jua keadaan kerana itulah yang diajar oleh agama kita.

Perkara ini harus diajar dan ditanam di dalam minda anak-anak sejak daripada awal lagi, agar mereka dapat membina kekuatan diri dan berusaha menjadi lebih matang apabila mereka meningkat remaja.

Dengan ini, para remaja akan memasuki era peralihan kepada alam dewasa dengan lebih bersedia dan tidak terpinga-pinga dalam menggalas tanggungjawab yang lebih besar dari hari ke hari.

Jika tidak, akan berterusanlah berlakunya perkara-perkara negatif yang terjadi hanya kerana kegagalan manusia mengawal emosi akibat tiada disiplin diri.

Di sesetengah negara-negara Barat contohnya di Amerika Syarikat, perkara-perkara sebegini bukan lagi asing, contohnya, kes-kes tembakan dan pembunuhan beramai-ramai telah banyak berlaku, termasuklah di sekolah-sekolah dan di dalam sesetengah kes, pelakunya adalah murid di sekolah itu sendiri.

Bagi kebanyakan pelakunya, mereka merasakan bahawa tindakan mereka itu adalah wajar dan mereka mempunyai sebab untuk bertindak demikian; begitu juga dengan kes-kes membunuh diri.

Jika kita tidak mengambil langkah secara serius untuk memperbetulkan keadaan ini, maka masalah ini akan merebak dengan lebih parah dalam kalangan generasi yang akan datang dan ianya akan menjadi semakin sukar untuk diperbetulkan.

Bayangkan apabila generasi yang tidak lagi dapat mengawal emosi menjadi ibu bapa, guru dan pemimpin negara; apakah nilai dan sikap yang akan mereka perturunkan kepada anak bangsa nanti?

Apakah yang bakal terjadi kepada negara dan tamadun bangsa yang telah kita bina selama ini?

Maka terjadilah keadaan yang dikatakan sebagai undang-undang rimba, di mana setiap manusia hidup berdasarkan undang-undang mereka sendiri tanpa menghormati hak orang lain namun pada masa yang sama memaksa orang lain hidup berdasarkan undang-undang yang mereka cipta.

Prinsip moral dan konsep kehidupan bermasyarakat tidak lagi wujud, malah mereka tidak lagi menghormati undang-undang agama serta negara. Mereka merasakan bahawa hanya mereka sahaja yang betul walaupun pada hakikatnya mereka mengalami masalah mental dan tidak lagi hidup bertamadun.

Maka para remaja mesti bijak mengawal emosi, hidup berdisiplin serta menghormati peraturan dan undang-undang agama dan negara. Pilihan ada di tangan kita, kita insan beragama maka kita tidak boleh tunduk kepada kehendak nafsu dan melayan emosi.

Bergaullah bersama mereka yang akan membantu kita menjadi insan yang lebih baik dan jika kita menghadapi masalah tekanan emosi, mintalah pertolongan daripada mereka yang benar-benar ikhlas mahu membantu kita.

Remaja mesti berhati-hati agar jangan sampai kita dipergunakan oleh mereka yang hanya mahu mengambil kesempatan di atas kelemahan diri kita.

Sebagai orang Islam kita mesti berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT dan taat kepada perintahNya serta percaya kepada qada’ dan qadar dan belajar untuk memahami konsep Rukun Iman ini.

مسئله ڤڠاولن ايموسي دالم کالڠن رماج

Baca versi Rumi di sini.

سباݢاي سأورڠ رماج⹁ کيت برادا دإيرا ڤراليهن کعالم ديواس دمان کيت ڤرلو بروسها اونتوق منجادي لبيه ماتڠ سرتا بلاجر مڠاول ديري سچارا فيزيکل دان ايموسي دالم منجالني کهيدوڤن سهارين.

ڤد ڤريڠکت اين⹁ موڠکين اد دأنتارا کيت يڠ کليرو دأنتارا کهندق دان تڠݢوڠجواب. کيت ماهوکن لبيه کبيبسن تتاڤي ڤد ماس يڠ سام⹁ کيت ݢاݢل منديسيڤلينکن ديري سرتا برتڠݢوڠجواب کأتس تيڠکه لاکو کيت سنديري.

راماي يڠ برڤنداڤت بهاوا ڤارا رماج چندروڠ اونتوق ممبرونتق دان سوکر مڠاول ايموسي⹁ ماله تيدق داڤت دينافيکن بهاوا اد دالم کالڠن رماج يڠ مڠهادڤي تکنن ايموسي دان مسئله کصيحتن مينتل.

مريک يڠ مڠهادڤي مسئله ايموسي سريڠ کالي سوک مڽنديري دان کموروڠن⹁ اد يڠ تيدق داڤت مڠاول ڤراساءن سديه دان ماره سرتا بوليه برتيندق اݢريسيف تنڤا سبب⹁ ماله کادڠ کالا برتيندق دلوار دوݢاءن ترماسوق منچدراکن ديري سنديري اتاو اورڠ لاين دسکليليڠ مريک.

سريڠ جوݢ کيت مندڠر اد رماج برتيندق مميليه جالن يڠ ساله اونتوق مڠاتسي مسئله اين⹁ چونتوهڽ دڠن مروکوق⹁ مڠهيسڤ ۏيڤ⹁ مڠهيدو ݢم⹁ مڠمبيل مينومن کراس⹁ ترليبت دڠن ڤڽالهݢوناءن داده دان باهن٢ ترلارڠ لاينڽ دان برباݢاي٢ لاݢي ڤربواتن نيݢاتيف يڠ لاين.

مسئله تکنن ايموسي بياسڽ بوکنله سسواتو يڠ تيدق داڤت دسلسايکن جک رماج تربابيت سدر اکن مسئله يڠ مريک هادڤي سرتا ممڤوڽاءي سماڠت يڠ کوات دان ديسيڤلين ديري يڠ تيڠݢي اونتوق بروسها مڠاتسيڽ. سوکوڠن دان ڤرهاتين ايبو باڤ جوݢ اداله امت ڤنتيڠ دالم ممبنتو ڤارا رماج اونتوق ممبينا کقواتن مينتل دالم مڠهادڤي چابرن.

نامون مسئله اکن تيمبول جک تکنن ايموسي تيدق دتاڠني دڠن چارا يڠ بتول. اين بوليه مڽببکن رماج تربابيت تيدق داڤت مڠاول ايموسي دان ستروسڽ مڠهادڤي مسئله لاين ترماسوق مسئله کصيحتن مينتل.

اد يڠ برتوکر منجادي ڤمبولي⹁ برتيندق سچارا تيدق وارس دان اد يڠ سڠݢوڤ منچدراکن اورڠ لاين اتاو ممبونوه ديري. کرڤ کالي مريک تيدق مراسا برساله دأتس ڤربواتن مريک⹁ ماله مريک مراساکن بهاوا مريک ممڤوڽاءي سبب اونتوق منجوستيفيکاسيکن سݢالا ڤربواتن مريک ايت.

مالڠڽ⹁ کيني ڤراتوسن رماج يڠ مڠالمي مسئله تکنن ايموسي اداله تيڠݢي دان ڤرکارا اين امتله ممبيمبڠکن کران جک مسئله اين تيدق دتاڠني دڠن باءيق⹁ نݢارا باکل برهادڤن دڠن برباݢاي٢ مسئله يڠ لبيه بسر.

لبيه تروق لاݢي⹁ اد سݢلينتير رماج برمسئله يڠ مڠݢوناکن السن تکنن ايموسي سباݢاي چارا اونتوق منونتوت ڤرهاتين⹁ ممبيبسکن ديري درڤد تڠݢوڠجواب دان جوݢ اونتوق منجوستيفيکاسيکن ڤربواتن نيݢاتيف مريک سوڤاي مريک تيدق دڤرسالهکن.

اد ڤنداڤت يڠ مڠاتکن بهاوا انتارا فکتور يڠ مڽببکن رماج مڠهادڤي تکنن ايموسي اياله تکنن ڤلاجرن دان ڤڤريکان⹁ هارڤن ايبوباڤ يڠ ترلالو تيڠݢي⹁ کورڠ ڤرهاتين دان کاسيه سايڠ درڤد ايبو باڤ⹁ ڤرسايڠن دڠن ساودارا کندوڠ دان کاون٢⹁ سواسان ڤرسکيترن يڠ تيدق کوندوسيف سرتا ڤڠݢوناءن ميديا سوسيال سچارا تيدق ترکاول.

تراݢدي مالڠ سڤرتي کماتين اهلي کلوارݢ تردکت⹁ مڠالمي ڤڠالمن يڠ مڠريکن دان رماج يڠ دبولي سچارا فيزيکل اتاو سچارا ايموسي خاصڽ اوليه اورڠ٢ ديواس تردکت يڠ سڤاتوتڽ مليندوڠي ڤارا رماج جوݢ منيڠݢلکن کسن ايموسي يڠ ساڠت برت اونتوق دهادڤي اوليه ڤارا رماج.

سوکر اونتوق اورڠ يڠ تيدق ڤريهاتين اونتوق ممهمي ڤراسان مڠسا دان هاڽ مريک يڠ ڤرنه مڠالمي تراݢد سبݢيني يڠ بوليه بنر-بنر ممهمي ڤراسان مڠسا⁏ نامون اين تيدق هاروس دجاديکن سبب اونتوق مريک مڠاله دان تروس ترتکان.

سباݢاي سأورڠ رماج يڠ ڤرنه مڠالمي تراݢد يڠ سبݢيني⹁ ساي ممهمي ڤراسان اندا⹁ تتاڤي کيت هاروس چوبا بڠکيت دان جاڠن بيارکن تراݢد مموسناهکن هيدوڤ کيت.

ڤارا رماج هاروس کوات⹁ سنتياس بروسها اونتوق برفيکيرن دان برسيکڤ ڤوسيتيف سرتا تيدق موده مڠاله دالم مڠهادڤي مصيبة.

جک تيدق دڤچه رويوڠ⹁ د مان بوليه منداڤت ساݢو⁏ ڤڠايوه سايڠ دباسهکن⹁ سمڤن تقکن سمڤأي ک سبرڠ. يڠ بولت تيدق داتڠ برݢوليق⹁ يڠ ڤيڤيه تيدق داتڠ ملايڠ.

مک کيت ڤارا رماج هاروس منجاديکن تراݢد يڠ کيت هادڤي سباݢاي ساتو چابرن يڠ برصفة ڤوسيتيف دان کيت ڤرلو ممبينا کقواتن ديري دمي اونتوق منجادي انسان يڠ لبيه باءيق.

رينتاڠن سرتا چابرن اکن اد د مان سهاج⹁ ماله⹁ تياد سياڤاڤون يڠ اکن داڤت لاري درڤد مڠهادڤي دوݢان هيدوڤ⁏ نامون ايمان دان تقوى اکن ممبيذاکن چارا کيت مناڠني مسئله تکنن دان ݢڠݢوان ايموسي.

اداله منجادي تڠݢوڠجواب باݢي کيت اونتوق ممينتا ڤتونجوق درڤد الله سبحان وتعالى دالم اڤ جوا کادأن کران ايتله يڠ دأجر اوليه اݢام کيت.

ڤرکارا اين هاروس دأجر دان دتانم د دالم ميندا انق-انق سجق درڤد اول لاݢي⹁ اݢر مريک داڤت ممبينا کقواتن ديري دان بروسها منجادي لبيه ماتڠ اڤابيلا مريک منيڠکت رماج.

دڠن اين⹁ ڤارا رماج اکن مماسوقکي ايرا ڤراليهن کڤد عالم ديواس دڠن لبيه برسديا دان تيدق ترڤيڠا-ڤيڠا دالم مڠݢالاس تڠݢوڠجواب يڠ لبيه بسر دري هاري ک هاري.

جک تيدق⹁ اکن برتروسنله برلاکوڽ ڤرکارا-ڤرکارا نيݢاتيف يڠ ترجادي هاڽ کران کݢاݢالن مأنسي مڠاول ايموسي عقيبة تياد ديسيڤلين ديري.

د سستڠه نݢارا-نݢارا بارت چونتوهڽ د اميريک شريکت⹁ ڤرکارا-ڤرکارا سبݢيني بوکن لاݢي اسيڠ⹁ چونتوهڽ⹁ کيس-کيس تيمبکن دان ڤمبونوهن براماءي-راماي تله باڽق برلاکو⹁ ترماسوقله د سکوله-سکوله دان د دالم سستڠه کيس⹁ ڤلاکوڽ اداله موريد د سکوله ايت سنديري.

باݢي کبڽقان ڤلاکوڽ⹁ مريک مراساکن بهاوا تيندقن مريک ايت اداله واجر دان مريک ممڤوڽاءي سبب اونتوق برتيندق دمکين⁏ بݢيتو جوݢ دڠن کيس-کيس ممبونوه ديري.

جک کيت تيدق مڠمبيل لڠکه سچارا سريوس اونتوق ممڤربتولکن کادأن اين⹁ مک مسئله اين اکن مربق دڠن لبيه ڤاره دالم کالڠن ݢينراسي يڠ اکن داتڠ دان اياڽ اکن منجادي سماکين سوکر اونتوق دڤربتولکن.

بايڠکن اڤابيلا ݢينراسي يڠ تيدق لاݢي داڤت مڠاول ايموسي منجادي ايبو باڤ⹁ ݢورو دان ڤميمڤين نݢارا⁏ اڤاکه نيلاي دان سيکڤ يڠ اکن مريک ڤرتورونکن کڤد انق بڠسا ننتي؟

اڤاکه يڠ باکل ترجادي کڤد نݢارا دان تمدون بڠسا يڠ تله کيت بينا سلاما اين؟

مک ترجاديله کادأن يڠ دکاتاکن سباݢاي اوندڠ-اوندڠ ريمبا⹁ د مان ستياڤ مأنسي هيدوڤ برداسرکن اوندڠ-اوندڠ مريک سنديري تنڤا مڠحرمتي حق اورڠ لاين نامون ڤد ماس يڠ سام ممقسا اورڠ لاين هيدوڤ برداسرکن اوندڠ-اوندڠ يڠ مريک چيڤتا.

ڤرينسيڤ مورل دان کونسيڤ کهيدوڤن برمشارکت تيدق لاݢي وجود⹁ ماله مريک تيدق لاݢي مڠحرمتي اوندڠ-اوندڠ اݢام سرتا نݢارا. مريک مراساکن بهاوا هاڽ مريک سهاج يڠ بتول والاوڤون ڤد حقيقتڽ مريک مڠالمي مسئله مينتل دان تيدق لاݢي هيدوڤ برتمدون.

مک ڤارا رماج مستي بيجق مڠاول ايموسي⹁ هيدوڤ برديسيڤلين سرتا مڠحرمتي ڤراتورن دان اوندڠ-اوندڠ اݢام دان نݢارا. ڤيليهن اد د تاڠن کيت⹁ کيت انسان براݢام مک کيت تيدق بوليه توندوق کڤد کهندق نفسو دان ملاين ايموسي.

برݢاولله برسام مريک يڠ اکن ممبنتو کيت منجادي انسان يڠ لبيه باءيق دان جک کيت مڠهادڤي مسئله تکنن ايموسي⹁ مينتله ڤرتولوڠن درڤد مريک يڠ بنر-بنر إخلاص ماهو ممبنتو کيت.

رماج مستي برهاتي-هاتي اݢر جاڠن سمڤأي کيت دڤرݢوناکن اوليه مريک يڠ هاڽ ماهو مڠمبيل کسمڤتن د اتس کلمهن ديري کيت.

سباݢاي اورڠ اسلام کيت مستي بروسها مندکتکن ديري کڤد الله سبحان وتعالى دان طاعة کڤد ڤرينتهڽ سرتا ڤرچاي کڤد قضاء’ دان قدر دان بلاجر اونتوق ممهمي کونسيڤ روکون ايمان اين.