Apakah Maksud Tersirat Di Sebalik Pencemaran Jata Negara?

Versi Jawi akan menyusul.

Apakah maknanya jika ada dalam kalangan rakyat yang sanggup menghina jata negara?

Ini bukanlah pertama kali simbol negara kita dicemarkan sebegini rupa.

Sebelum ini negara telah kecoh kerana kes pengibaran bendera Malaysia secara terbalik dan penggantian bintang persekutuan (bintang pecah 14) dengan bintang pecah lima, yang sering dikaitkan sebagai simbol komunis pada Jalur Gemilang di sebuah temasya sukan.

Sila baca: Apa Tersirat Di Sebalik Bendera Bintang Pecah Lima?

Pada tahun 2013 pula, sebuah pameran lukisan di Kuala Lumpur memaparkan satu gambar mirip bendera Malaysia, tetapi lambang bulan dan bintang digantikan dengan simbol tengkorak dan tulang (simbol lanun) dan empat bintang pecah lima, bersertakan kapsyen “I is for IDIOT”.

Sila baca: Lagi Penghinaan Terhadap Islam – Kini Di Publika Sri Hartamas

Amat jelas bahawa kini negara berhadapan dengan masalah salah laku yang sangat serius di mana ada dalam kalangan rakyat yang sudah hilang semangat patriotisme dan jati diri serta menentang prinsip dan ideologi negara.

Dimanakah sikap, “Kesetiaan kepada raja dan negara” yang sepatutnya kita hayati sebagai rakyat Malaysia?

Lebih teruk lagi, ada yang sudah hilang sifat ketamadunan dalam diri mereka; seperti sudah hilang punca akibat terlalu keliru tentang hak kebebasan.

Bendera dan jata negara adalah lambang sesebuah negara. Perbuatan meniru serta mengubah bentuk sebarang elemen pada lambang negara adalah perbuatan menghina serta mencabar kedaulatan negara tersebut.

Jata negara kita mempunyai makna yang amat dalam, setiap elemennya memaparkan sejarah serta prinsip asas yang menjadi tunjang pembinaan negara bangsa.

Dipayungi oleh lambang bulan dan bintang Persekutuan yang melambangkan kebesaran agama Islam dan Raja-raja Melayu, perisai yang memaparkan simbol sejarah negeri-negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia ini, diangkat pula oleh dua ekor harimau yang melambangkan keberanian dan kekuatan sebuah negara bangsa yang berdaulat dan merdeka.

Amat simbolik apabila dua ekor harimau yang gagah berani memegang perisai yang menjunjung bulan dan bintang Persekutuan. Ianya menggambarkan prinsip asas dan ideologi negara di mana kekuatan negara bangsa terletak di bawah pemerintahan Raja Berpelembagaan yang menjaga Islam iaitu agama bagi negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perbuatan mencemar simbol-simbol kedaulatan negara sendiri adalah sangat keji, ibarat memusuhi negara sendiri.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah pernah bertitah mengenai perkara ini. Baginda menyifatkan pencemaran simbol negara sebagai satu serangan terhadap kedaulatan negara.

Sila baca: Raja Nazrin: Desecrating flag an attack on nation’s sovereignty

Amat benar titah tuanku, terutamanya apabila agama Islam serta simbol diraja Raja-raja Melayu yang dicemarkan sebegitu rupa.

Sila tekan untuk memperbesarkan gambar.

Lihat sahaja gambar biadap kulit buku, “Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia”.

Perisai pada jata negara digantikan dengan imej seorang wanita yang berpakaian tidak senonoh. Kedua-dua simbol harimau pula digantikan dengan dua makhluk berwarna merah, yang entah apa maksudnya, mengangkat wanita itu. Lebih biadab lagi apabila mereka meletakkan imej seorang bayi duduk di atas lambang bulan sabit serta ‘memakai’ bintang Persekutuan di keliling mukanya.

Apakah yang cuba mereka gambarkan daripada apa yang mereka paparkan itu?

Perkara ini tidak boleh diambil ringan kerana ianya boleh menggugat keharmonian perpaduan rakyat Malaysia.

Tahniah kepada Polis Diraja Malaysia kerana akan memulakan siasatan dan memanggil semua pihak yang terlibat dalam penerbitan buku ini.

Bagi mereka yang mendakwa bahawa ini adalah hak kebebasan diri, rujuklah kembali Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, undang-undang negara adalah jelas iaitu kebebasan ada batasannya.

Merujuk kepada hak kebebasan untuk berbuat apa sahaja, saya ingin memetik titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Shah yang harus dijadikan ingatan:

“Walau apa pun yang dirasakan seseorang sebagai hak kebebasan diri untuk bersuara, konsekuens tindakan mereka tidak boleh dan tidak patut diabaikan.

“Jika batasan diabaikan atas sebab kebebasan individu, akhirnya kita tidak akan memperkukuhkan tetapi sebaliknya melemahkan ikatan yang menyatukan negara bangsa kita. Kita perlu menanamkan sifat ketanggungjawaban dan kemasyarakatan ke dalam anak-anak muda kita.”