Vigneswaran: Ini Sebab Kenapa Kuasa Raja-raja Melayu Mesti Dikembalikan

[MalaysiaGazette}- “Saya rakyat Malaysia. Raja Raja Melayu ini raja saya. Kenapa tidak dengan sedikit suara yang saya miliki, saya keluarkan untuk mengembalikan kedaulatan Raja Raja Melayu.”

Tersusun kata-kata bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Vigneswaran ketika ditanya tentang kenyataannya baru-baru ini bahawa sudah tiba masanya kuasa raja-raja Melayu dikembalikan.

Menurut beliau, pelantikan sebagai Speaker Dewan Negara dan peluang menghadiri Persidangan Speaker di Johor, memberi ruang kepadanya untuk mendengar titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Apabila saya mendengar titah Tuanku, saya berpendapat kuasa Raja Raja Melayu ini sudah dirampas, dan apabila saya pulang ke Parlimen, saya beri arahan kepada kumpulan penyelidik dan wakil peribadi untuk menyorot kembali apa sebenarnya yang berlaku.

“Apa yang berlaku pada pendapat saya, and I stand to be corrected (betulkan jika saya salah), ia adalah salah di sisi undang-undang Perlembagaan. Saya sampaikan perkara ini kepada beberapa pemimpin untuk diperbetulkan semula dan lima tahun saya menunggu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Peluang bersuara

Vigneswaran memberitahu, persaraan dari tugas sebagai Speaker Dewan Negara dianggap sebagai medan terbaik untuk beliau kembali membangkitkan isu berkenaan, apatah lagi selepas melihat kepada senario semasa negara.

“Saya ambil keputusan untuk bangkitkan selepas bersara kerana adalah tidak wajar bagi saya untuk melakukannya ketika masih menyandang jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara.

“Sebagai YDP, saya tidak boleh memberi tekanan ke atas kerajaan, kerana itu saya membangkitkan hal ini pada hari terakhir bertugas. Ia bukan sekadar milik saya seorang, sebaliknya turut mewakili ramai pihak lain yang tidak memiliki peluang untuk bersuara,” katanya.

Vigneswaran ketika berucap di Majlis Tamat Tempoh Yang di-Pertuan Negara di bangunan Parlimen pada 22 Jun lalu menyeru kerajaan agar menarik semula pindaan kontroversi 1993, kerana menyifatkan ia sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dedah beliau, sejak bercakap tentang pengembalian kuasa Raja Raja Melayu, hakikatnya tidak ada seorang pun yang tampil mencabar dirinya.

“I stand to be corrected. Saya telah buat kajian, pembacaan, bercakap dengan pakar dan pengamal undang-undang tentang isu ini. Saya tidak bercakap dengan mana-mana Raja atau diberitahu untuk bercakap tentang perkara ini. Ini adalah tanggungjawab. Perkara yang sebetulnya.

“Apa yang dilakukan oleh saya ini bukan bertujuan untuk mempromosi diri, mungkin juga ada pihak tidak akan suka dengan apa yang saya cakap ini tetapi apakan daya, tanggungjawab serta rasa cinta kepada negara ini jauh lebih tinggi dan tebal dalam sanubari saya.

“Apa yang telah berlaku sebelum ini salah dari segi undang-undang, Perlembagaan. Ini adalah pencabulan sebenarnya,” tegasnya.

Pindaan salah

Mengulas lanjut beliau yang juga Presiden MIC berkata, pindaan berkenaan dibentuk tanpa peroleh perkenan Majlis Raja Raja, sekali gus mengurangkan kuasa Raja Melayu.

Katanya, Majlis Raja Raja tidak pernah memberi perkenan untuk pindaan Perlembagaan dibuat dan secara jelas, pindaan pada tahun 1993 itu menyalahi peruntukan undang-undang sedia ada.

“Tidak pernah Raja Raja Melayu memberikan keizinan untuk menukar Perlembagaan. Jika (perkara itu) tidak pernah dibuat, jelas ia adalah salah.

“Kalau kita boleh mengubah Perlembagaan secara tidak sah, apatah lagi kuasa-kuasa orang Melayu? Semuanya boleh diubah, termasuk kerakyatan yang bukan Melayu. Ia bukan pendapat tunggal saya, sebaliknya disahkan sendiri oleh pakar perundangan,” tegasnya lagi.

Vigneswaran menegaskan, tidak pernah sama sekali Raja Raja Melayu memberi perkenan untuk pindaan Perlembagaan itu dibuat, justeru jelas dan nyata ia adalah satu kesalahan.

Pindaan 1993 kepada Perlembagaan Persekutuan diluluskan sidang Parlimen dan mula dikuat kuasakan pada Mac 1993.

Ia menyaksikan pindaan ke atas Perkara 32, 38, 42, 63, 72 dan 181 Perlembagaan Malaysia, antara lain menghapuskan imuniti ke atas keluarga dan kerabat Diraja.

Sebelum pindaan, mana-mana pemerintah diberi kuasa untuk tidak didakwa di mahkamah jenayah, melainkan jika baginda secara sukarela melucut status imuniti undang-undang yang dimiliki.

MalaysiaGazette juga difahamkan dalam handsard pada 18 Januari 1993, Yang di-Pertua Dewan Rakyat memberitahu wakil rakyat ketika sidang Parlimen seperti berikut:

Pada jam 2.20 petang ini, saya telah menerima satu surat daripada Penyimpan Cop Mohor Raja-Raja yang dialamatkan kepada saya sebagai Speaker yang menyatakan bahawa Majlis Raja-Raja nampaknya tidak bersetuju dengan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 1993.

Krisis perlembagaan

Vigneswaran menarik perhatian, beliau telah meneliti semua ucapan ketika pindaan itu diusulkan, termasuk dari kalangan anggota pembangkang ketika itu seperti mendiang Karpal Singh, Lim Kit Siang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tidak ada dalam mana-mana ucapan berkenaan, menyatakan bahawa Majlis Raja Raja sudah memberi perkenan untuk perkara (pindaan) itu diadakan. Jelas di sini, apa yang dilakukan pada tahun 1983 dan 1993 adalah salah di sisi undang-undang.

Menurut beliau, rampasan kuasa Raja Raja Melayu ini pada hakikatnya adalah satu krisis Perlembagaan walaupun ia sudah lama berlaku.

Kuasa itu jelas Vigneswaran, wajar dikembalikan semula kepada yang berhak, khususnya selepas mengambil kira senario semasa negara.

“Kita dapat lihat bagaimana pada satu ketika, situasi politik negara menjadi tidak stabil, dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terpaksa campur tangan.

“Jika baginda tidak campur tangan, pasti keadaan menjadi lebih kucar-kacir. Kita tidak akan tahu siapa yang boleh menerajui negara, dan akan timbul pihak yang menyalahkan Perlembagaan serta membuat keputusan sesuka hati,” katanya.

Peranan Institusi Diraja

Vigneswaran berkata, kemelut politik negara khususnya pada empat bulan terdahulu adalah petanda jelas, mengapa kuasa Raja Raja Melayu perlu dikembalikan pada kadar segera.

“Adakah anda melihat apa yang berlaku empat bulan ini? Bagaimana jika ia berulang lagi? Bukankah lebih baik jika kuasa ini dikembalikan demi kesejahteraan negara?

“Sekurang-kurangnya akan ada pihak yang boleh membuat keputusan tanpa dipandu oleh sentimen politik. Segala keputusan yang dibuat adalah untuk negara semata-mata. Bukankah ia baik untuk semua pihak?” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, pengembalian semula kedaulatan institusi Diraja melambangkan ketelusan kepimpinan kerajaan, dan ia wajar diperhalusi sebaiknya.

“Sudah sampai masanya ia diselesaikan dan hak itu dikembalikan kepada yang berhak.

“Raja Raja Melayu adalah simbol kemegahan dan jati diri negara. Ia wajar diletak pada tempat yang sepatutnya,” katanya.

Kuasa Persekutuan

Ditanya apakah pengembalian kuasa itu boleh dilakukan semula, Vigneswaran yang juga Presiden MIC berkata, kerajaan perlu bersikap telus dan menggubal semula semua pindaan berkenaan, bagi memasukkan semula klausa perihal kuasa Raja Raja Melayu.

“Jika kerajaan tidak mahu, kita boleh dalam bahasa Inggerisnya, ‘invoke jurisdiction of Federal power in court’ bagi mendengar isu ini. Tetapi jika sampai perkara ini berlaku, ia bermakna kerajaan tidak bersetuju (untuk menggubal semula).

“Tapi saya percaya jika kerajaan telus dan hendak perbaiki masalah ini dari terus melarat, mereka perlu bertindak sendiri. Perkara ini tidak akan membawa sebarang impak negatif seperti dibimbangi, sebaliknya akan memperbetulkan keadaan sedia ada.

“Tapi saya percaya kerajaan yang ada kini akan membuat keputusan yang betul. Impaknya juga bukanlah seseuatu yang buruk, menakutkan atau menggerunkan. Sebaliknya ini akan membawa kepada kebaikan.

“Ingat jika perkara berkaitan Perlembagaan seperti kuasa Raja Raja boleh ‘dirampas’ di cabul begitu sahaja, apa pula nasib rakyat nanti? Saya buat kajian sehingga 72 muka surat yang ambil masa hampir lima tahun, hasil ini ada saya berikan kepada pihak berwajib.

“Saya tidak dapat panggilan daripada Raja, sekali lagi saya tegaskan, saya lakukan ini sebagai warganegara yang cintakan perlembagaan dan keamanan negara saya sendiri,” tegasnya. –MalaysiaGazette

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Columnist at Utusan Malaysia.

2 thoughts on “Vigneswaran: Ini Sebab Kenapa Kuasa Raja-raja Melayu Mesti Dikembalikan”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.