دسباليق کملت ڤوليتيک⹁ راماي ݢسا کو لي دلانتيق جادي ڤردان منتري

Baca versi Rumi di sini.

لاڤورن ڤورتل مليسياکيني تنتڠ کڽاتاءن ستياءوسها اݢوڠ ۏيترن امنو⹁ مصطفى يعقوب مڠناءي چالون ڤردان منتري اونتوق ڤ.ر.و.15 مناريق ڤرهاتين ساي.

“کالاو سموا اهلي مجليس ترتيڠݢي امنو تيدق لايق اونتوق جادي ڤردان منتري⹁ ساي نق بريتاهو: کو لي لايق … کناڤ تيدق چادڠکن نام دي؟“

مصطفى يعقوب – ‘مڠاڤ امنو تق چادڠکن کو لي چالون ڤردان منتري’ – مليسياکيني

ددالم لاڤورن ترسبوت يڠ برتاجوق⹁ ‘مڠاڤ امنو تق چادڠکن کو لي چالون ڤردان منتري’⹁ مصطفى منݢسکن بهاوا اهلي ڤارليمن ݢوا موسڠ⹁ تڠکو غزالي حمزه⹁ اتاو لبيه دکنلي سباݢاي کو لي مروڤاکن چالون يڠ ڤاليڠ لايق دڤيليه سباݢاي ڤردان منتري مليعيسى ک-9.

مروجوق کڤد کڽاتاءن موافقة ناسيونل⹁ مصطفى منمبه:

“کڽاتاءن ايت ممبري ݢمبارن سأوله٢ دوا ڤرتي اين تيدق ممڤوڽاءي اينديۏيدو يڠ لايق ﴿د﴾چالونکن سباݢاي ڤردان منتري.

“کالاو يڠ لاين تق لايق⹁ چالونکنله کو لي⹁ دري سݢي ڤڠالمن بلياو لايق دان ڤرنه ممݢڠ جاوتن ڤنتيڠ دان منتري کانن دالم کراجاءن سبلوم اين⹁“

مصطفى يعقوب – ‘مڠاڤ امنو تق چادڠکن کو لي چالون ڤردان منتري’ – مليسياکيني

سيلا باچ: سجاره اصل ڤنوبوهن ڤيترونس يڠ راماي کاکيتاڠن ڤيترونس ڤون تق تاهو

موتاخير اين⹁ نام تڠکو غزالي ناءيق لاݢي⹁ ماله⹁ نام تڠکو غزالي بݢيتو سريڠ دچادڠکن سباݢاي چالون ڤردان منتري⹁ ترماسوق کتيک کريسيس ڤوليتيک 2020⹁ سجوروس سبلوم تن سري محي الدين ياسين دلانتيق منجادي ڤردان منتري ک-8.

سيلا باچ: Ku Li, the Best Choice for Our Nation? ﴿کو لي⹁ ڤيليهن ترباءيق باݢي نݢارا؟﴾

مناريقڽ⹁ ڤڠاناليسيس ڤوليتيک ترکنال دري اونيۏرسيتي ساءينس مليسيا⹁ ڤروفيسور دوکتور فلسفه سيۏاموروݢن ڤانديان ڤرنه مناماکن تيݢ ڤميمڤين يڠ برکموڠکينن مڠݢنتي تون دوکتور محضير سباݢاي ڤردان منتري سبلوم اين⹁ ايايت درڤد ڤ.ک.ر.⹁ انور إبراهيم⹁ درڤد ڤارتي برساتو محي الدين ياسين دان درڤد امنو تڠکو غزالي.

ماله⹁ ببراڤ هاري يڠ لڤس⹁ ناءيب ڤريسيدن امنو داتوق سري محمد خلايد نوردين تله مناماکن تڠکو غزالي سباݢاي انتارا چالون-چالون ترباءيق يڠ دڤوڽاءي امنو باݢي جاوتن ڤردان منتري مليسيا⹁ سڤرتي دلاڤور اوليه اخبار سينر هارين ڤد 4 جولاي دالم بريتا يڠ برتاجوق “ليما چالون امنو برڤوتينسي جادي ڤردان منتري⹁ کات خلايد“.

هانترن ناءيب ڤريسيدن ڤرکاس⹁ سيد حسن بن سيد علي دݢاريس ماس فيسبوک بلياو.

ستياءوسها اݢوڠ ڤرتوبوهن ڤريبومي ڤرکاس⹁ سيد حسن سيد علي جوݢ ممڤرسوءالکن مڠاڤ امنو تيدق منچالونکن تڠکو غزالي اونتوق جاوتن ڤردان منتري مليسيا⹁ ددالم ساتو هانترن دݢاريس ماس فيسبوک بلياو.

باݢي ڤمرهاتي ڤوليتيک⹁ بوکنله ساتو رهسيا دمان تڠکو غزالي تله سڠݢوڤ ملڤسکن جاوتن يڠ ساڠت کانن دالم کابينيت سمات-٢ اونتوق ممبري تومڤوان کڤد ڤمبيناءن ايکونومي نݢارا⹁ خصوصڽ دالم ممباڠونکن ڤيترونس يڠ بهارو بلياو اساسکن کتيک ايت.

سيلا باچ: اداکه اين کبنرن دسباليق ڤنوبوهن سماڠت 46؟

سباݢاي رماج يڠ بهارو بلاجر منيتي رنجاو کهيدوڤن⹁ کتاباهن دان سيکڤ استقامه تڠکو غزالي دالم مڠهادڤي ڤرجالنن ڤوليتيک يڠ برليکو امت ساي کاݢومي دان منجادي اينسڤيرسي باݢي ديري ساي⁏ بݢيتو جوݢ سيکڤ تڠکو کتيک مڠهادڤي ڤلباݢاي فتنه.

سيلا باچ: کريسيس ڤراليهن کواس: سياڤاکه ڤي عيم ستروسڽ؟


Di Sebalik Kemelut Politik, Ramai Gesa Ku Li Dilantik Jadi PM

Baca versi Jawi di sini.

Laporan portal Malaysiakini tentang kenyataan Setiausaha Agung Veteran UMNO, Mustapha Yaakub mengenai calon Perdana Menteri untuk PRU15 menarik perhatian saya.

“Kalau semua ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno tidak layak untuk jadi perdana menteri, saya nak beritahu: Ku Li layak … Kenapa tidak cadangkan nama dia?”

Mustapha Yaakub – ‘Mengapa Umno tak cadangkan Ku Li calon PM’ – Malaysiakini

Di dalam laporan tersebut yang bertajuk, ‘Mengapa Umno tak cadangkan Ku Li calon PM’, Mustapha menegaskan bahawa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, atau lebih dikenali sebagai Ku Li merupakan calon yang paling layak dipilih sebagai Perdana Menteri Malayisa ke-9.

Merujuk kepada kenyataan Muafakat Nasional, Mustapha menambah:

“Kenyataan itu memberi gambaran seolah-olah dua parti ini tidak mempunyai individu yang layak (di)calonkan sebagai perdana menteri.

“Kalau yang lain tak layak, calonkan lah Ku Li, dari segi pengalaman beliau layak dan pernah memegang jawatan penting dan menteri kanan dalam kerajaan sebelum ini,”

Mustapha Yaakub – ‘Mengapa Umno tak cadangkan Ku Li calon PM’ – Malaysiakini

Sila baca: Sejarah Asal Penubuhan PETRONAS Yang Ramai Kakitangan PETRONAS Pun Tak Tahu

Mutakhir ini, nama Tengku Razaleigh naik lagi, malah, nama Tengku Razaleigh begitu sering dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri, termasuk ketika krisis politik 2020, sejurus sebelum Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menjadi Perdana Menteri ke-8.

Sila baca: Ku Li, the Best Choice for Our Nation?

Menariknya, penganalisis politik terkenal dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian pernah menamakan tiga pemimpin yang berkemungkinan mengganti Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sebelum ini, iaitu daripada PKR, Anwar Ibrahim, daripada PPBM Muhyiddin Yassin dan daripada UMNO Tengku Razaleigh.

Malah, beberapa hari yang lepas, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menamakan Tengku Razaleigh sebagai antara calon-calon terbaik yang dipunyai UMNO bagi jawatan Perdana Menteri Malaysia, seperti dilapor oleh akhbar Sinar Harian pada 4hb Julai dalam berita yang bertajuk “Lima calon UMNO berpotensi jadi Perdana Menteri, kata Khaled”.

Hantaran Naib Presiden PERKASA, Syed Hassan bin Syed Ali di garis masa Facebook beliau.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa, Syed Hassan Syed Ali juga mempersoalkan mengapa UMNO tidak mencalonkan Tengku Razaleigh untuk jawatan Perdana Menteri Malaysia, di dalam satu hantaran di garis masa Facebook beliau.

Bagi pemerhati politik, bukanlah satu rahsia di mana Tengku Razaleigh telah sanggup melepaskan jawatan yang sangat kanan dalam kabinet semata-mata untuk memberi tumpuan kepada pembinaan ekonomi negara, khususnya dalam membangunkan Petronas yang baharu beliau asaskan ketika itu.

Sila baca: Adakah Ini Kebenaran Di Sebalik Penubuhan Semangat 46?

Sebagai remaja yang baharu belajar meniti ranjau kehidupan, ketabahan dan sikap istiqamah Tengku Razaleigh dalam menghadapi perjalanan politik yang berliku amat saya kagumi dan menjadi inspirasi bagi diri saya; begitu juga sikap Tengku ketika menghadapi pelbagai fitnah.

Sila baca: Krisis Peralihan Kuasa: Siapakah PM Seterusnya?


اوتوسن مليسيا باکل کمبالي 20 جولاي اين

Baca versi Rumi di sini.

اخبر بهاس ملايو ڤرتام⹁ اوتوسن مليسيا باکل کمبالي کڤاسرن ڤد هاري ايثنين⹁ 20 جولاي اين. ڤرکارا ترسبوت تله دعمومکن اوليه ڤيهق ميديا موليا سنديرين برهد ايايتو ڤميليق بهارو اخبر ترسبوت ملالوي لامن ميديا سوسيال رسمي اوتوسن مليسيا.

اوتوسن مليسيا تله برهنتي اوڤراسي سرت مرت ڤد بولن اوکتوبر تاهون لڤس سلڤس شريکت اخبر ترسبوت تيدق داڤت ممبايار ݢاجي ڤکرج٢ مريک عاقبة مسئله کوڠن.

نمون⹁ شريکت اورورا موليا ميلوق سيد مختار البخاري تله ممڤروليهي ماجوريتي سهم دالم انق شريکت اوتوسن⹁ ديلوف سنديرين برهد سبلوم ڤنوتوڤن اخبر ترسبوت.

اوتوسن مليسيا اکن کمبالي برسام٢ اخبر ميڠݢون مليسيا⹁ کوسمو⹁ دان کوسمو اهد يڠ مروڤکن اخبر کمبرڽ.

Utusan Malaysia Bakal Kembali 20hb Julai Ini

Baca versi Jawi di sini.

Akhbar bahasa Melayu pertama, Utusan Malaysia bakal kembali ke pasaran pada hari Isnin, 20hb Julai ini. Perkara tersebut telah diumumkan oleh pihak Media Mulia Sdn. Bhd. iaitu pemilik baharu akhbar tersebut melalui laman media sosial rasmi Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia telah berhenti operasi serta merta pada bulan Oktober tahun lepas selepas syarikat akhbar tersebut tidak dapat membayar gaji pekerja-pekerja mereka akibat masalah kewangan.

Namun, syarikat Aurora Mulia milik Syed Mokhtar Al-Bukhary telah memperoleh majoriti saham dalam anak syarikat Utusan, Dilof Sdn. Bhd. sebelum penutupan akhbar tersebut.

Utusan Malaysia akan kembali bersama-sama akhbar Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo! Ahad yang merupakan akhbar kembarnya.