دوکومنتري فيتنه: الجزيرة اکن دڤڠݢيل ڤوليس

Baca versi Rumi di sini.

ميديا بريت انتارابڠس⹁ الجزيرة اکن دڤڠݢيل ڤوليس اونتوق دسوءال سلڤس لاڤورن دتريم برکايتن دوکومنتري مريک يڠ مندکوا بهاوا مليسيا منديسکريميناسي ڤنداتڠ اسيڠ دالم اوسها مناڠني وابق کوۏيد-19.

منوروت لاڤورن ڤورتل بريت فري مليسيا تودي⹁ کتوا ڤوليس نݢارا⹁ تن سري عبد الحميد برادور برکات سياستن اين اداله باݢي ممستيکن سام اد ترداڤت اونسور هاسوتن اتاو ساله لاکو اوندڠ٢⹁ ترماسوق مڠايکوت قانون کسيکساءن دان اکت هاسوتن.

“کيت اکن تيڠوق داري سودوت مانا دالم اوندڠ٢ سلڤس دي منجاواب سوءالن.”

تن سري عبد الحميد برادر – الجزيرة اکن دڤڠݢيل ڤوليس – فري مليسيا تودي

ترداهولو⹁ تيمبالن ڤڠاره ﴿سياستن/ڤروندڠن﴾ جابتن سياستن جناياه بوکيت امن ميور فريد الاطرش واهد برکات بهاوا ڤيهقڽ منجالنکن سياستن سوسولن لاڤرن يڠ دبوات اوليه جابتن ايميݢريسين دبالايڤوليس ڤريسين 7 ڤوتراجاي.

“کيت تله بوک کرتس سياستن مڠيکوت سيکشن 500 قانون کسيکساءن سرت 233 اکت کومونيکاسي دان مولتيميديا 1998.”

ميور فريد الاطرش واهد – ڤوليس مولا سياستن ترهداڤ لاڤورن الجزيرة – فري مليسيا تودي

سبلوم اين⹁ منتري کانن ﴿کسلامتن﴾ اسماعيل صبري يعقوب ماهو اݢينسي بريت انتارابڠس ايت مموهون ماعف کڤد رعيت مليسيا کرن مڽيارکن فکتا تيدق بنر دان مڠليروکن.

Dokumentari Fitnah: Al Jazeera Akan Dipanggil PDRM

Baca versi Jawi di sini.

Media berita antarabangsa, Al Jazeera akan dipanggil polis untuk disoal selepas laporan diterima berkaitan dokumentari mereka yang mendakwa bahawa Malaysia mendiskriminasi pendatang asing dalam usaha menangani wabak Covid-19.

Menurut laporan portal berita Free Malaysia Today, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata siasatan ini adalah bagi memastikan sama ada terdapat unsur hasutan atau salah laku undang-undang, termasuk mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

“Kita akan tengok dari sudut mana dalam undang-undang selepas dia menjawab soalan.”

Tan Sri Abdul Hamid Bador – Al Jazeera akan dipanggil polis – Free Malaysia Today

Terdahulu, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata bahawa pihaknya menjalankan siasatan susulan laporan yang dibuat oleh Jabatan Imigresen di Balai Polis Presint 7 Putrajaya.

“Kita telah buka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.”

Mior Faridalathrash Wahid – Polis mula siasatan terhadap laporan Al-Jazeera – Free Malaysia Today

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mahu agensi berita antarabangsa itu memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana menyiarkan fakta tidak benar dan mengelirukan.