Art Harun Dilantik Yang di-Pertua Dewan Rakyat

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Azizan bin Azhar @ Harun telah dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang baharu, susulan pengosongan jawatan tersebut oleh penyandangnya, Tan Sri Mohamad Ariff bin Md Yusoff.

Beliau telah dilantik selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan usul mencadangkan nama beliau sebagai Yang di-Pertua Dewan yang baharu, dan tidak ada nama lain yang dicadangkan oleh mana-mana pihak, walaupun terdapat tentangan daripada pihak pembangkang.

Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham membantah usul tersebut atas dasar cadangan untuk melantik Datuk Azhar sebagai Yang di-Pertua Dewan dihantar sebelum jawatan tersebut dikosongkan, namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Takiyuddin Hassan memperjelaskan bahawa tiada peruntukan di dalam undang-undang negara yang melarang perkara tersebut.

Datuk Azhar kemudiannya dipanggil masuk dewan dan mengangkat sumpah jawatan, sebelum memberi satu ucapan.

ڤانس! اڤاکه کڤوتوسن ڤارليمن دالم ڤرلانتيقن اظهر هارون؟

Baca versi Rumi di sini.

ڤرسيداڠن ديون رعيت سبنتر تدي منجادي هڠت اڤابيلا ڤيهق ڤمباڠکڠ يڠ دکتواي انور ابرحم لانتڠ منولق اوسول اونتوق تن سري محمد عرف مڠوسوڠکن جاواتنڽ.

سيلا باچ: ديوان رعيت ستوجو جاواتن يڠ دڤرتوا ديوان دکوسوڠکن

نامون کڤوتوسن اوندين مميهق کڤد ڤيهق کراجاءن.

اونتوق ريکود⹁ ڤد بولان جولاي 2018⹁ کراجاءن ڤاکتن هارڤن دباواه تون دوکتور محضير جوݢ تله مڠݢنتيکن يڠ دڤرتوا ديوان دان تيمبالنڽ ستلاه مريک ممبنتوق کراجاءن.

ڤرسيداڠن اکن برسامبوڠ ڤد جام 2.30 ڤتڠ ننتي. ڤرسوءلنڽ⹁ اداکه ڤييهق ڤمباڠکڠ اکن ممباڠکڠ اوسول اونتوق ملانتيق اظهر عزيزن @ هارون سباݢاي يڠ دڤرتوا ديوان؟

جيک بنر⹁ اڤاکه الاسن يڠ اکن مريک ݢون ڤاکاي کتيک مننتڠ اوسول ترسبوت؟

اين اداله کرن تون محضير سنديري ڤرنه ملانتيق اظهر سباݢاي ڤڠروسي سوروهنجاي ڤيليهن راي⹁ ايايتو ساتو جاواتن يڠ امت ڤنتيڠ ددالم ڤنتدبيرن نݢارا.

مک ڤد داسرڽ تون محضير دان کابينيت ڤاکتن هارڤن ڤرچاي اکن کريديبيليتي دان اينتيݢريتي اظهر هارون.

PANAS: Apakah Keputusan Parlimen Dalam Perlantikan Art Harun?

Baca versi Jawi di sini.

Persidangan Dewan Rakyat sebentar tadi menjadi hangat apabila pihak pembangkang yang diketuai Anwar Ibrahim lantang menolak usul untuk Tan Sri Mohamad Ariff mengosongkan jawatannya.

Sila baca: Dewan Rakyat Setuju Jawatan Yang di-Pertua Dewan Dikosongkan

Namun keputusan undian memihak kepada pihak kerajaan.

Untuk rekod, pada bulan Julai 2018, kerajaan PH di bawah Tun Dr. Mahathir juga telah menggantikan Yang di-Pertua Dewan dan Timbalannya setelah mereka membentuk kerajaan.

Persidangan akan bersambung pada jam 2.30 petang nanti. Persoalannya, adakah pihak pembangkang akan membangkang usul untuk melantik Azhar Azizan @ Harun sebagai Yang di-Pertua Dewan?

Jika benar, apakah alasan yang akan mereka guna pakai ketika menentang usul tersebut?

Ini adalah kerana Tun Mahathir sendiri pernah melantik Azhar sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, iaitu satu jawatan yang amat penting di dalam pentadbiran negara.

Maka pada dasarnya Tun Mahathir dan kabinet Pakatan Harapan percaya akan kredibiliti dan integriti Azhar Harun.

ديوان رعيت ستوجو جاواتن يڠ دڤرتوا ديوان دکوسوڠکن

Baca versi Rumi di sini.

ديوان رعيت ڤد ڤرسيدڠن هاري اين تله برستوجو اونتوق يڠ دڤرتوا دوان رعيت⹁ يڠ برهورمت تن سري داتوق محمد عريف بن محمد يوسوف اونتووق مڠوسوڠکن جاواتنڽ اتس الاسن ترداڤت ڤنچالونن لاين باݢي جاواتن توان يڠ دڤرتوا.

ستله ڤربهسن هڠت يڠ برلاڠسوڠ سلاما ببراڤا جم⹁ اهلي٢ ديوان رعيت تله مڠوندي اونتوق مموتوسکن ڤرکارا ترسبوت⹁ دان سراماي 111 اهلي ديوان رعيت مڽوکوڠ اوسول ترسبوت⹁ مانکالا هاڽ 109 اهلي منولق.

اوسول يڠ دبنتاڠکن اوليه ڤردان منتري⹁ تن سري محي الدين ياسين ايت دبهسکن اوليه 2 اورڠ اهلي ڤارليمن داري ڤيهق ڤمباڠکڠ⹁ دان 2 اورڠ اهلي ڤارليمن داري ڤيهق کراجاءن⹁ ايايتو داتوق سري انور ابرحيم درڤد ڤ.ه.⹁ نيق محمد زواوي سالح درڤد ڤاس⹁ تن دوکتور محضير محمد يڠ مروڤکن اهلي ڤارليمن بيبس⹁ دان داتوق سري شهيدان کسيم درڤد باريسن ناسيونل.

اوسول ترسبوت دݢولوڠ اوليه منتري دجباتن ڤردان منتري⹁ داتوق تاکي الدين حسن.

وقتو ريهت تڠه هاري دتڠݢوهکن کجم 1.15 تڠه هاري باݢي ممڤرچڤاتکن دان ممڤرمودهکن اوروسن ڤڠوندين⹁ ستله دچدڠکن اوليه داتوق تاکي الدين دان دڤرستوجوي اولين سڤيکر ديوان⹁ محمد رشيد حسنون.

ديوان رعيت دجڠک اکن ممبهس اوسول اونتوق ملانتيق يڠ بربهاݢيا داتوق اظهر بن عزيزن @ هارون سباݢاي توان يڠ دڤرتوا ديوان يڠ باهرو.

Dewan Rakyat Setuju Jawatan Yang di-Pertua Dewan Dikosongkan

Baca versi Jawi di sini.

Dewan Rakyat pada persidangan hari ini telah bersetuju untuk Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff bin Md Yusof untuk mengosongkan jawatannya atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan Tuan Yang di-Pertua.

Setelah perbahasan hangat yang berlangsung selama beberapa jam, Ahli-ahli Dewan Rakyat telah mengundi untuk memutuskan perkara tersebut, dan seramai 111 Ahli Dewan Rakyat menyokong usul tersebut, manakala hanya 109 Ahli menolak.

Usul yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dibahaskan oleh dua orang Ahli Parlimen dari pihak pembangkang, dan dua orang Ahli Parlimen dari pihak kerajaan, iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim daripada PH, Nik Muhammad Zawawi Saleh daripada PAS, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan seorang ahli parlimen Bebas, dan Dato’ Sri Shahidan Kassim daripada BN.

Usul tersebut digulung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Takiyuddin Hassan.

Waktu rehat tengah hari ditangguhkan ke jam 1.15 tengah hari bagi mempercepatkan dan mempermudahkan urusan pengundian, setelah dicadangkan oleh Dato’ Takiyuddin dan dipersetujui oleh Speaker Dewan, Mohd Rashid Hasnon.

Dewan Rakyat dijangka akan membahas usul untuk melantik Yang Berbahagia Datuk Azhar bin Azizan @ Harun sebagai Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang baharu.