ڤوليس: ڤڽونتيڠ بوکو هينا جات نݢارا ملاريکن ديري کلوار نݢارا

Baca versi Rumi di sini.

ڤڽونتيڠ بوکو Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia يڠ ݢمبر کوليت بوکوڽ ددعوا مڠهينا جات نݢارا دکسن تله ملاريکن ديري کلوار نݢارا.

ڤڠاره جابتن سياستن جنايه بوکيت امان داتوق هوذير محمد برکات للاکي يڠ مروڤاکن ورݢ تمڤتن ايت دداڤتي تله کلوار نݢارا سجق 21 جانواري لالو⹁ حاصيل سيمقکن ترهادڤ دوکومن ڤرجالننڽ.

“دي ﴿ڤڽونتيڠ بوکو ترسبوت﴾ تله کلوار مليسيا⹁ نامون کامي تيدق داڤت ممستيکن کبراداءن سوسڤک سرتا لوکاسيڽ. ڤيهق جابتن سياستن جنايه تله مڽنارايکنڽ سباݢاي اورڠ يڠ دکهندقي دان اکن دتڠکڤ سلڤس دکسن⹁“ کاتڽ کڤد برنام هاري اين. هوذير برکات⹁ ڤيهقڽ جوݢ اکن بکرجاسام دڠن ڤيهق برکواس اينترڤول دان اکن مڠلوارکن نوتيس ميره سکيراڽ سوسڤک دکسن دمان٢ نݢارا.

کاتڽ ستاکت اين ڤوليس تله مراکام کتراڠن لاڤن درڤد 28 ڤنوليس يڠ مڽومبڠ ارتيکل اونتوق بوکو ايت⹁ مانکالا باکيڽ سداڠ دکسن.

“جابتن سياستن جنايه جوݢ اکن ممينتا بنتوان چاوڠن خاص سکيراڽ ارتيکل يڠ دسومبڠکن 28 ڤنوليس بوکو ايت ممڤوڽاءي عنصور٢ انچمن کسلامتن دان سباݢايڽ⹁“ کاتڽ سمبيل ممعلومکن سباڽق 203 لاڤورن ڤوليس دتريما برهوبوڠ کيس ايت دسلوروه نݢارا.

سياستن کيس ايت دلاکوکن مڠيکوت سيکشن 5 اکتا لامبڠ دان نام 2016⹁ سيکشن 4﴿1﴾ اکتا هاسوتن 1948 دان سيکشن 8﴿1﴾ ميسين چيتق دان ڤنربيتن 1984 سرتا سيکشن 233 اکتا کومونيکاسي دان مولتيميدي 1998.

بوکو Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia يڠ دسونتيڠ ڤنوليس⹁ کيان ووڠ ايت ممڤاميرکن سبواه لوݢو ميريڤ جات نݢارا منداڤت ڤرهاتين کران مڠݢوناکن ݢمبر يڠ دکاتاکن مڠهينا جات نݢارا.

ڤرکارا برکناءن منيمبولکن ڤلباݢاي ريءاکسي سلڤس اي ترسبار دان تولر دميديا سوسيال مڽببکن ڤلباݢاي ڤيهق ترماسوق ڤرتوبوهن بوکن کراجاءن سرتا ڤرتي ڤوليتيک ممبوات لاڤورن ڤوليس دان مڠݢسا تيندقن تݢس دکناکن ترهادڤ ڤيهق تربابيت.

Penyunting Buku Hina Jata Negara Melarikan Diri Ke Luar Negara – Polis

Editor buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia yang gambar kulit bukunya didakwa menghina Jata Negara dikesan telah melarikan diri ke luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata lelaki yang merupakan warga tempatan itu didapati telah ke luar negara sejak 21 Jan lalu, hasil semakan terhadap dokumen perjalanannya.

“Dia (editor) telah keluar Malaysia, namun kami tidak dapat memastikan keberadaan suspek serta lokasinya. Pihak JSJ telah menyenaraikannya sebagai Orang yang Dikehendaki dan akan ditangkap selepas dikesan,” katanya kepada Bernama hari ini.Huzir berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Interpol dan akan mengeluarkan notis merah sekiranya suspek dikesan di mana-mana negara.

Katanya setakat ini  polis telah merakam keterangan lapan daripada 28 penulis yang menyumbang artikel untuk buku itu, manakala bakinya sedang dikesan.

“JSJ juga akan meminta bantuan Cawangan Khas sekiranya artikel yang disumbangkan 28 penulis buku itu mempunyai unsur-unsur ancaman keselamatan dan sebagainya,” katanya sambil memaklumkan sebanyak 203 laporan polis diterima  berhubung kes itu di seluruh negara.

Siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Buku Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope In New Malaysiayang disunting penulis, Kean Wong itu mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara mendapat perhatian kerana menggunakan gambar yang dikatakan menghina Jata Negara.

Perkara berkenaan menimbulkan pelbagai reaksi selepas ia tersebar dan tular di media sosial menyebabkan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan serta parti politik membuat laporan polis dan menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap pihak terbabit. –{MalaysiaGazette]