Jangan ‘main kayu tiga’ – Ku Li

Dipetik dari Utusan Malaysia

MUKADIMAH

PENGERUSI Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dalam pertemuan eksklusif dengan Utusan Malaysia Khamis lepas banyak menekankan soal keikhlasan. Berulangkali Ahli Parlimen Gua Musang selama lapan penggal itu menyebutnya ketika bercakap soal hubungan UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (M).

Begitupun dalam satu dua soalan yang diajukan wartawan ZULKIFLI JALIL dan ZAAIN ZIN pasal Perikatan Nasional (PN) kurang menarik minat dan tumpuan pemimpin veteran UMNO itu. Biarpun tampak keletihan kerana baru selesai menghadiri sidang Parlimen, perbualan dengan Ku Li, 83 – panggilannya dalam dunia politik – bertukar rancak apabila berterus-terang mengenai survival UMNO-Pas yang berdepan kemungkinan pilihan raya umum ke-15 dalam waktu terdekat.

Apa syor-syor Ku Li? Setujukah beliau jika UMNO-Pas masuk gelanggang PRU bersekali dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ? Dan `kebetulan’ malam tadi di ibu negara dikatakan berlangsung satu pertemuan antara pemimpin UMNO, Pas dan Bersatu membincangkan soal pengagihan kerusi.

Ikuti sedutan wawancara satu jam setengah di kediaman Ku Li di Jalan Langgak Golf, Kuala Lumpur yang turut dihadiri jurugambar FAUZI BAHARUDIN.

UMNO kini dan dulu

UTUSAN: Jun lalu, genap dua tahun Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memimpin UMNO. Bagaimana prestasi beliau dalam mentransformasikan UMNO?

TENGKU RAZALEIGH: Kalau cakap pasal transformasi, ia memakan masa yang lama sebab sudah menjadi budaya dalam UMNO cara parti mengendalikan aktiviti politik. Mustahil nak pulih, ubah keadaan yang sudah jadi budaya dalam sesuatu pertubuhan apatah lagi dalam UMNO. UMNO sudah berada di situ sejak 1946 dengan good and bad habit.

Apatah lagi apabila dipilih pemimpin baharu seperti Zahid. Dia berdepan kaedah yang berlainan daripada sebelum ini iaitu kita pernah menang dengan cemerlang, berkuasa dan sebagainya. Tiba-tiba berhadapan bukan sahaja masalah kita kalah, semangat pun boleh dikatakan hampir separuh hilang dan keupayaan nak bangunkan UMNO semula pun bukan mudah, dengan akaun bank dibeku, dengan pelbagai tuduhan. Jadi kaedahnya agak menyukarkan siapa-siapa juga yang ambil alih.

Bukan saya nak mempertahankan Ahmad Zahid, tetapi bukan terpulang kepada beliau seorang, banyak pihak yang mesti memikul tanggungjawab itu. Kalau nak transformasi pun, mesti bekerjasama. Ini bukan kerja seorang manusia tetapi dia kena beri kepimpinanlah yang boleh beri kesan kepada apa jua perubahan yang hendak dilakukan. Tetapi dia (Ahmad Zahid) pun bermasalah juga, kita semua tahu, dia ada masalah peribadi yang mesti dihadapi dan kita harap sebagaimana dia kata, dia tak bersalah, kita harap begitulah. Kita berdoa kenyataan (itu) akan memihak kepada dia.

Walaupun banyak pihak kata UMNO tak boleh mengaku dia mewakili Melayu, tetapi suka tak suka, sebagai sebuah parti Melayu terbesar, UMNO ini mewakili orang Melayu. Banyak orang Melayu menyandar harapan kepada UMNO sebab sejarah membuktikan UMNO telah berjasa.
Kalau ada perubahan walau sedikitpun adalah sentuhan daripada UMNO kerana dasarnya telah menjalar ke seluruh pelosok tanah air dan menyentuh kehidupan rakyat tak kira Melayu, Cina, semua pihak telah dapat merasai perubahan yang dibawa UMNO menerusi program dan dasar yang tidak memilih bulu pun.
Kalau buat jalan, bukan untuk orang Melayu dan ahli UMNO sahaja tetapi untuk kegunaan semua pihak bagi membangunkan ekonomi negara. Begitu juga kalau buat sekolah bukan untuk ahli UMNO sahaja terbuka kepada semua, maknanya sentuhan itu terkena kepada semua pihak.

Masa depan UMNO dengan PAS

UTUSAN: Selaku Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, sejauh mana Ku merestui keputusan UMNO menjalin kerjasama dengan Pas (Muafakat Nasional) dan membentuk Perikatan Nasional (PN) dengan Bersatu?

TENGKU RAZALEIGH: Ia bergantung kepada keikhlasan. Saya mempunyai hubungan dengan Pas lama jugalah, sifat sebagai orang UMNO kerana Kelantan itu boleh dikatakan lubuk Pas. Hubungan saya dengan pemimpin-pemimpin Pas begitu lama, dari 1962 lagi, saya kenal semua mereka, bahkan rapat dengan mereka.
Muafakat Nasional diwujudkan tahun lepas memberi kesan mendalam kepada perpaduan Melayu dan orang Islam di negara ini tetapi kalaulah pakatan ini tidak didirikan di atas keikhlasan kedua-dua pihak, saya rasa akan menjadi lebih buruk sebab akan berkecai perpaduan nak diwujudkan, kerana hampanya rakyat.

UTUSAN: Kenapa seperti ada kebimbangan menghantui fikiran Ku apabila bercakap soal keikhlasan ini?

TENGKU RAZALEIGH: Ini politik , saya bukan bimbang, sebab sudah pernah berlaku. Kita dah berpakat, semua tandatangan perjanjian membahagi kerusi sana sini, tiba-tiba dicalonkan orang yang kita rasa tak patut dicalonkan daripada parti yang tak sepatutnya bertanding di tempat yang kita telah setuju itu, yang dikhaskan kepada orang lain. Kekecewaan ini walaupun berlaku di satu tempat akan memberi kesan menyeluruh dan menandakan tiada keikhlasan.

Survival Perikatan Nasional (PN)

UTUSAN: Bagaimana kedudukan UMNO dalam PN?

TENGKU RAZALEIGH: Ada perbezaan besar antara BN dengan MN dan PN. PN belum pun didaftarkan lagi. Cuma pakatan itu wujud oleh kerana Bersatu berpecah sesudah Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan. Apabila Bersatu tidak lagi memberi kepercayaan kepada kepimpinannya, dia letak jawatan, Bersatu berpecah dan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) telah mengambil kesempatan untuk mengumpul orang dengan kerjasama orang lain maksud saya (Datuk Seri) Azmin (Ali) supaya dia mempunyai bilangan cukup untuk menubuhkan kerajaan menggantikan apa ditinggal Dr. Mahathir.

Kita di sini bukan ambil kesempatan kerana kita daripada masa Tuanku Yang di-Pertuan Agong jemput kita, nak bertanya khabar apakah sikap kita terhadap kerajaan baharu sesudah Dr. Mahathir letak jawatan, maka kita bersikap kita mahu mandat itu diserah balik kepada rakyat. Sebab itu UMNO baik, Pas baik, MCA baik MIC baik tidak menyerah nama kepada Tuanku Agong sebagai calon untuk dipertimbang bagi pihak kita kerana kita hendak supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan. Itu kita punya keputusan, jadi apabila Muhyiddin menjelma sebagai calon pihak sebelah sana, tak ada nama pun pada ketika itu, jadi kita ambil kesempatan menyokong dia, kerana nak jaga kestabilan negara kita.

Cukuplah kita berkrisis kerana rakyat berdepan banyak masalah. Lebih-lebih lagi muda-mudi kita yang tidak ada pekerjaan, jadi kita rasa apa guna kita terus berkrisis. Atas dasar itulah kita menyokong kumpulan Muhyiddin. Kita tidak memihak kepada sesiapa. Kita nak supaya distabilkan keadaan dan tidak lagi berpanjang krisis politik itu. Atas mauduk itu kita bersama, tetapi walaupun begitu kita harap akan ada kesempatan kita untuk mengukuh kedudukan kita, sebab kita parti politik. Tetapi sungguhpun begitu, belum lagi ditentu apakah jaminan untuk kita dalam kerajaan baharu atau perlukah kita wujudkan satu perjanjian supaya mengukuhkan ikatan ini.

Cuma pada ketika itu, terpaksa kita menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menyembah keadaan baharu ini kepada baginda sebagai penyelesaian krisis, maka inilah dia.
Tapi sehingga sekarang belum ada lagi persetujuan mengadakan pendaftaran PN tetapi kita sudah ada BN, kita kekalkan simbol bersama MCA dan MIC dan sudah kita isytiharkan juga MN bersama Pas. Itu sebagai notis kepada rakyat bahawa kita nak kepada perpaduan terutama di kalangan Melayu dan orang Islam apatah lagi kita lihat pimpinan PH sudah gagal menjaga kepentingan rakyat majoriti iaitu Melayu dan orang Islam sehingga berlaku ketidaktentuan.

UTUSAN: Berbalik kepada soal PN, adakah PN ini akhirnya akan dipersetujui semua pihak terbabit?

TENGKU RAZALEIGH: Saya rasa mereka tak bersetuju, Nampaknya ramai orang tidak bersetuju. Jangan kata kita di sini, Sabah dan Sarawak juga tidak bersetuju, Saya tak tahu sebab apa. Itu kena tanya mereka (di Sabah dan Sarawak) tetapi kita UMNO tak setuju kerana kerusi yang sekarang ini diwakili sesetengah mereka dalam Bersatu, adalah kerusi UMNO. Dia lompat lari daripada kita dan ini bagi orang UMNO di peringkat bahagian, mereka marah betul. Mereka bekerja bermati-matian menolong calon parti UMNO, tiba-tiba dia cabut lari. Orang UMNO tempatan marah. Jadi, kalau kita bertindak memihak kepada apa dituntut oleh Bersatu, saya rasa kita semua akan dihalau oleh orang UMNO. Orang UMNO kecil hati, ada yang saya dapat tahu wakil rakyat dari kawasan yang melompat lari ini cuba bersalam ketika solat Jumaat di masjid, orang tak nak bersalam dengan dia. Sampai begitu sekali kecewa akar umbi ini.

UTUSAN: Jadi, apa formula terbaik pembahagian kerusi melibatkan UMNO, Pas dan Bersatu bagi PRU-15?

TENGKU RAZALEIGH: Tak ada (formula), tidak timbul kita dengan Bersatu. Tak ada perjanjian apa-apa. Sekarang ini kita tolong hentikan krisis, itu sahaja. Macam Menteri-menteri kita yang berada dalam kerajaan PN sekarang ini, mereka bukan mewakili UMNO. Cuma kebetulan mereka orang UMNO.

UTUSAN: Ada Ku berikan sebarang nasihat atau pandangan kepada Presiden UMNO baru-baru ini?

TENGKU RAZALEIGH: Saya nasihatkan kepada MT baru-baru ini apa yang saya dengar daripada bawah. Pegawai kerajaan, tentera dan polis yang sudah bersara serta pihak universiti. Mereka datang bertemu saya dan melahirkan harapan supaya UMNO berkuasa balik. Begitu tingginya harapan mereka kepada UMNO. Jadi, kita bukan sahaja mesti bertindak melayan tuntutan ahli UMNO, tetapi orang Melayu seluruhnya termasuk di luar UMNO. Sebab nak harapkan ahli UMNO sahaja, 3.5 juta orang tak cukup kita nak menang pilihan raya.

UTUSAN: Bagaimana kedudukan kerusi-kerusi Bersatu yang asalnya kerusi UMNO ini?

TENGKU RAZALEIGH: Itu terpulang kepada mereka tetapi kita perlu letak calon kita. Bahagian-bahagian sudah tentu nak letak calon mereka dan kita kena hormati kehendak bahagian UMNO ini. Kalau tidak, pimpinan pun akan ditolak oleh mereka. Bukan sedikit, jumlahnya besar yang bersifat khianat kepada perjuangan orang kita di bawah sana. Jangan difikirkan tentang pemimpin sahaja tetapi tengok orang bawah. Kena fikir apa sikap dan kehendak mereka?

PRU-15 dan calon PM

UTUSAN: Ku yakin kerjasama UMNO dan Pas menerusi MN boleh berjaya dalam PRU-15?

TENGKU RAZALEIGH: Kalau kita ikhlas antara satu sama lain, saya rasa kita boleh menang semua kerusi Melayu. PRU-15 ini harapannya adalah Pas dan UMNO sepakat. Jangan ada main kayu tiga saat-saat akhir, ini tak boleh. Kita kalau sudah putuskan ini kerusi UMNO, ini kerusi Pas, maka kita terima dan hadapi pihak lawan bersama. Dan ketika itu, jangan kira UMNO atau Pas lagi. Sebaliknya ini adalah Muafakat Nasional.  Calon PM itu akan ditentukan kemudian. PM akan diputus daripada orang dari kumpulan majoriti yang menang. Itulah nama yang akan dipersembah kepada Seri Paduka Baginda. Kalau dia tidak majoriti, tetapi tiba-tiba dia kata dia patut jadi calon PM, itu tidak menepati kehendak perlembagaan. Menurut Perlembagaan Negara, PM itu seseorang yang pada hemat Tuanku mempunyai keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat. (Syarat) Itu tak boleh lari.

ESOK Tengku Razaleigh bercakap mengenai Pengorbanan, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lompat Parti.

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Columnist at Utusan Malaysia.

2 thoughts on “Jangan ‘main kayu tiga’ – Ku Li”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.