ڤ.ر.ک. سليم 29 اوݢوس⹁ ڤناماءن چالون 15 اوݢوس

Baca versi Rumi di sini.

ڤيليهن راي کچيل ﴿ڤ.ر.ک.﴾ ديوان اونداڠن نݢري سليم⹁ ڤيرق اکن دأداکن ڤد 29 اوݢوس اين مانکالا ڤناماءن چالون ڤولا ڤد 15 اوݢوس اين.

تيمبلن ڤڠروسي سوروهنجاي ڤيليهن راي⹁ دوکتور فلسفه عزمي شروم برکات⹁ تريخ باݢي ڤڠوندي اول اداله ڤد 25 اوݢوس اين.

“کوس کسلوروهن باݢي ڤ.ر.ک. ديوان اوندڠن نݢري سليم دأڠݢرکن 4.6 جوت ريڠݢيت⹁” کاتڽ سلڤس ممڤڠروسيکن مشوارت خس باݢي ڤ.ر.ک. ديوان اوندڠن نݢري سليم دأيبو ڤجابت س.ڤ.ر. هاري اين.

ڤ.ر.ک. ديوان اوندڠن نݢري سليم دأداکن بريکوتن کمتين ڤڽندڠڽ⹁ داتوق خوسايري عبد الطالب ڤد 15 جولاي لالو دهوسڤيتل بنتوڠ سلڤس مڠادو کسوکرن برنفس.

خوسايري يڠ برتنديڠ دباوه تيکيت باريسن ناسيونل ﴿ب.ن.﴾ ممنڠي کروسي ايت ڤد ڤيليهن راي عموم ک-14 سلڤس منيوسکن چالون ڤارتي ڤريبومي برساتو مليسيا ﴿ڤ.ڤ.ب.م.﴾ دان ڤارتي اسلام مليسيا ﴿ڤاس﴾ دڠن ماجوريتي 2٫183 اوندي.

عزمي برکات⹁ ديوان سري تنجوڠ⹁ مجليس داءيره تنجوڠ ماليم⹁ ڤيرق دݢونکن سباݢاي ڤوست ڤناماءن چالون دان ڤنجوملهن رسمي اوندي.

منوروتڽ⹁ ڤݢاواي داءيره معلم⹁ شامس الرضوان ادريس دلنتيق سباݢاي ڤݢاواي ڤڠوروس ڤ.ر.ک. برکناءن دان دبنتو امڤت ڤنولوڠ ڤݢاواي ڤڠوروس.

“س.ڤ.ر. برستوجو منوبوهکن دوا ڤاسوکن ڤڠوات کواس اونتوق ممانتاو سموا اکتيۏيتي سڤانجڠ تيمڤوه رسمي برکيمڤين.”

تمبهڽ⹁ دفتر ڤميليه ايندوق 2019 دان دفتر ڤميليه تمبهن ST1/2020 يڠ دکمس کيني سهيڠݢ 16 جولاي 2020 دݢونکن اونتوق ڤ.ر.ک. ايت.

کاتڽ⹁ سراماي 689 ڤتوݢس دلنتيق مڠنداليکن ڤروسيس ڤ.ر.ک. ديوان اوندڠن نݢري سليم مانکالا سباڽق 13 ڤوست مڠوندي دڠن 55 سالورن دݢونکن.

“دفتر ترسبوت مڠندوڠي 23٫094 ڤڠوندي ترديري درڤد 22٫815 ڤڠوندي بياس⹁ 227 ڤڠوندي اول ڤوليس دان دوا ڤڠوندي تيدق حدير ﴿ڤ.ت.ح.﴾ لوار نݢارا⹁” کاتڽ.

PRK Slim 29 Ogos, Penamaan Calon 15 Ogos

Baca versi Jawi di sini.

[Utusan Malaysia}- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak akan diadakan pada 29 Ogos ini manakala hari penamaan calon pula pada 15 Ogos ini.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr. Azmi Sharom berkata, tarikh bagi pengundian awal adalah pada 25 Ogos ini.

“Kos keseluruhan bagi PRK DUN Slim dianggarkan RM4.6 juta,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas bagi PRK DUN Slim di Ibu Pejabat SPR di sini hari ini.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu di Hospital Bentong selepas mengadu kesukaran bernafas.

Khusairi memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dengan majoriti 2,183 undi.

Azmi berkata, Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjong Malim, Perak digunakan sebagai pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi.

Menurutnya, Pegawai Daerah Muallim, Shamsul Ridzuan Idris dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK berkenaan dan dibantu empat penolong pegawai pengurus.

“SPR bersetuju menubuhkan dua pasukan penguat kuasa untuk memantau semua aktiviti sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Tambahnya, Daftar Pemilih Induk 2019 dan Daftar Pemilih Tambahan ST1/2020 yang dikemas kini sehingga 16 Julai 2020 digunakan untuk PRK itu.

Katanya, seramai 689 petugas dilantik mengendalikan proses PRK DUN Slim manakala sebanyak 13 pusat mengundi dengan 55 saluran digunakan.

“Daftar tersebut mengandungi 23, 094 pengundi terdiri daripada 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal polis dan dua pengundi tidak hadir (PTH) luar negara,” katanya.