شافعي: يڠ دڤرتوا نݢري ڤرکنن بوبر دون⹁ ڤ.ر.ن. باکل دأداکن

Baca versi Rumi di sini.

کتوا منتري صباح⹁ داتوق سري ڤڠليم شافعي بن افضل مڠعمومکن بهاوا يڠ دڤتوا نݢري صباح⹁ توان يڠ تراوتام تون جوهر ماهر الدين⹁ تله برکنن اونتوق ممبوبرکن ديوان اونداڠن نݢري ﴿دون﴾ نݢري ترسبوت باݢي ممبوليهکن سبواه ڤيليهن راي نݢري اونتوق دأداکن.

Malaysiakini

دالم سيدڠ ميديا ڤد تڠه هاري تادي⹁ شافعي برکات جوهر مڽاتکن ڤرکننڽ دالم سبواه ڤرتموان دأنتارا کدوا٢ مريک ڤاݢي اين.

“ستله بوات سورت سمالم⹁ ساي برتمو دڠن توان يڠ تراوتام اونتوق مڽرهکن سورت ﴿ڤرموهونن ڤمبوبارن دون﴾.

“سلڤس ايت ڤاݢي تادي برتمو توان يڠ تراوتام دان توان يڠ تراوتام ممڤراکوءي اونتوق ممبوبرکن ديوان⹁” کاتڽ دالم سيدڠ ميديا يڠ توروت دسرتاءي سجومله ادون يڠ مڽوکوڠڽ.

ڤيليهن راي نݢري باکل دأداکن دالم ماس 60 هاري اونتوق رعيت نݢري صباح ممستيکن سياڤ يڠ باکل تراجوءي سمولا نݢري ترسبوت.

ترداهولو⹁ بکس کتوا منتري صباح⹁ تن سري موسا امان تله مڠعمومکن بهاوا بلياو ممڤوڽاءي سوکوڠن ماجوريتي اهلي ديوان اونداڠن نݢري باݢي نݢري ترسبوت⹁ دان اکن برجومڤ دڠن يڠ دڤرتوا نݢري باݢي تجون ممبنتوق ساتو کراجاءن باهرو.

Shafie: Yang di-Pertua Negeri Perkenan Bubar DUN, PRN Bakal Diadakan

Baca versi Jawi di sini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal mengumumkan bahawa Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin, telah berkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri tersebut bagi membolehkan sebuah pilihan raya negeri untuk diadakan.

Malaysiakini

Dalam sidang medianya pada tengah hari tadi, Shafie berkata Juhar menyatakan perkenannya dalam sebuah pertemuan di antara kedua-dua mereka pagi ini.

“Setelah buat surat semalam, saya bertemu dengan TYT untuk menyerahkan surat (permohonan pembubaran DUN).

“Selepas itu pagi tadi bertemu TYT dan TYT memperakui untuk membubarkan Dewan,” katanya dalam sidang media yang turut disertai sejumlah ADUN yang menyokongnya.

Pilihan Raya Negeri bakal diadakan dalam masa 60 hari untuk rakyat negeri Sabah memastikan siapa yang bakal terajui semula negeri tersebut.

Terdahulu, bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman telah mengumumkan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri bagi negeri tersebut, dan akan berjumpa dengan Yang di-Pertua Negeri bagi tujuan membentuk satu kerajaan baharu.