Agong: Rakyat Dituntut Mencurahkan Taat Setia Kepada Raja, Payung Kedaulatan Negara

Rukun Negara yang lahir 50 tahun lepas sebagai asas kepada perpaduan nasional dan pembentukan negara ini, bukan sekadar untuk dijulang secara simbolik menerusi bacaan setiap kali negara menyambut Hari Kebangsaan, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebaliknya, titah baginda, roh dan semangat rukun negara hendaklah dihayati dan diamalkan dalam setiap aspek kehidupan seharian.

“Lima prinsip Rukun Negara adalah formula bagaimana rakyat yang berbilang bangsa, agama, budaya dan bahasa boleh mengatasi segala perbezaan serta kepelbagaian tersebut, seterusnya hidup secara rukun dan damai.

“Rukun Negara juga menuntut sebuah negara bangsa yang dibentuk atas keteguhan pegangan agama yang kukuh, manakala rakyat pula dituntut untuk mencurahkan taat setia kepada raja yang menjadi payung dan lambang kedaulatan negara,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah demikian dalam Titah Diraja bersempena sambutan 50 tahun Rukun Negara dan  Hari Kebangsaan 2020 yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan termasuk Bernama TV hari ini.

Sambutan itu berlangsung di Putrajaya.

Titah Al-Sultan Abdullah, prinsip-prinsip teras yang terkandung dalam Rukun Negara bersifat sejagat dengan merentasi nilai-nilai murni semua bangsa, agama serta berupaya menjadi panduan hidup sebagai rakyat sebuah negara yang merdeka.

Oleh itu, prinsip tersebut seharusnya menjadi panduan serta amalan oleh semua pihak termasuk pemimpin negara, kerajaan dan rakyat Malaysia, titah Seri Paduka.

Pada masa sama Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati dan mempertahankan semua perkara dan hak keistimewaan yang telah disepakati sebelum ini  dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Keadilan di negara ini adalah terikat kepada undang-undang yang wajib dihormati serta dipatuhi oleh setiap rakyat tanpa mengira pangkat dan darjat,” titah baginda.

Sementara itu dalam menyambut Hari Kebangsaan yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ tahun ini, Al-Sultan Abdullah mengucapkan tahniah kepada kerajaan yang amat prihatin dalam usaha mengukuhkan semula ekonomi negara selain terus membela kebajikan rakyat sepanjang negara berdepan pandemik COVID-19.

Yang di-Pertuan Agong juga merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat kerana menzahirkan daya tahan dan semangat prihatin yang tinggi dalam menghadapi cabaran itu.

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara kali ini, Seri Paduka mengajak seluruh rakyat untuk menghargai serta menjaga kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi negara.

“Sesungguhnya keharmonian dan kerukunan hidup dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum merupakan tunjang kepada kekuatan negara. 

“Beta berkeyakinan, jika semangat yang terkandung dalam Rukun Negara terus dihayati dan tersemat kukuh di setiap jiwa rakyat Malaysia, insya-Allah, negara kita akan terus kekal aman dan damai serta akan menjadi sebuah negara yang kukuh dan makmur dengan rakyat yang bersatu padu,” titah baginda.

Seri Paduka bersama-sama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mengambil kesempatan mendoakan supaya Malaysia terus dipelihara dan dilimpahi dengan keberkatan rezeki, kemakmuran, kesejahteraan rakyat serta keamanan dan perpaduan yang berkekalan. 

Mengakhiri titah, baginda mengucapkan selamat menyambut Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara dan selamat menyambut Hari Kebangsaan 2020 kepada seluruh rakyat Malaysia. -{BERNAMA]

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Malaysia ke-63

سلامت مڽمبوت هاري کبڠساءن مليسيا ک-63

Mustahil UMNO Bercantum Dengan PPBM Selepas Buka Keahlian: Shabery Cheek

Seorang pemimpin Umno berkata, mustahil parti itu dan PPBM boleh bercantum disebabkan ideologi berbeza selepas PPBM memutuskan untuk membuka keahlian kepada semua kaum.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Shabery Cheek berkata, asas untuk 2 parti Melayu itu kembali bersatu ialah keahlian.

Beliau memberi contoh Semangat 46 dan Umno yang kembali bersatu dengan mudah kerana mempunyai corak keahlian sama, iaitu Melayu dan Bumiputera, begitu juga Parti Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia yang merupakan parti berbilang kaum.

Tetapi, katanya, PPBM tidak mungkin dapat bersatu dengan Umno kerana ia menggunakan model PKR yang merupakan parti berbilang kaum.

“Sebaliknya, PPBM mudah bercantum dengan PKR, kalau corak keahliannya sama. Mungkin inilah hasrat Azmin Ali dan kawan-kawannya apabila menyertai PPBM. Rindu PKR.

“Mungkin Tengku Razaleigh Hamzah nak guna ‘tingkap masa’ ini buat kejutan. Kalau ada hasrat nak bertemu, jangan bergerak ke lain arah. Matlamat itu penting, walaupun kenderaan kita berbeza buat masa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmin yang merupakan bekas timbalan presiden PKR bersama 10 ahli Parlimen lain menyertai PPBM pada 22 Ogos lalu.

Pada masa sama, Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, parti itu sedia meminda perlembagaan untuk membolehkan ahli bersekutu yang bukan Bumiputera mempunyai peranan lebih meluas dan kelak boleh memegang jawatan lebih tinggi dalam parti itu.

Susulan itu, Razaleigh pada Jumaat lalu dilaporkan berkata, keputusan PPBM menerima ahli bukan Melayu menyebabkan parti itu hilang kelayakan menyertai Muafakat Nasional yang merupakan pakatan orang Melayu.

Katanya, Umno tidak pernah menjadi menyertai Perikatan Nasional (PN), sebaliknya hanya menyokongnya untuk membentuk kerajaan demi kestabilan politik negara.

Oleh itu, beliau menggesa pemimpin Umno berundur daripada Kabinet secepat mungkin supaya parti itu tidak “membuang masa” dalam kerajaan. -{Free Malaysia Today]

Muafakat Nasional Mesti Perjelaskan Hala Tuju Sebagai Pakatan Melayu-Islam: Ku Li

Muafakat Nasional (MN) sepatutnya diperkukuhkan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) namun hala tujunya ketika ini masih tidak jelas, kata Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, MN yang dibentuk oleh UMNO dan Pas kini bagaikan hilang arah tuju sebenar sebagai sebuah pakatan Melayu Islam.

Beliau berkata, pelawaan pihak yang bertanggungjawab dalam MN meminta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi anggota juga bercanggah dengan tujuan asal gabungan itu.

“Saya tidak kritik sesiapa dan hanya bagi pandangan. Kelirulah… Kalau saya keliru, orang bawah macam mana? Kita nak hadapi pilihan raya mesti jelas.

“Orang bawah bosan, keliru dan rasa sesuatu tak kena. Kalau ada orang syok sangat kepada Bersatu, dia masuk Bersatulah. Tak ada siapa nak halang. Biar dia pertahankan Bersatu itu dia punya hal.

“Tetapi kita nak jaga apa yang diberitahu kepada rakyat mesti perkara yang nak dilaksanakan oleh kita. Jangan cakap lain, bikin lain,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Bukit Cekati di sini hari ini.

Jumaat lalu, beliau dilaporkan berkata, pemimpin UMNO yang menganggotai Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sewajarnya berundur daripada melibatkan diri dalam kerajaan berikutan pengumuman Bersatu untuk menerima keahlian bukan Melayu.

Beliau berkata, tindakan Bersatu itu menjadikannya tidak layak menganggotai pakatan Melayu Islam yang didokong MN.

Sementara itu, Tengku Razaleigh berkata, kenyataannya sebelum ini yang meminta ahli UMNO dalam Kabinet PN segera berundur daripada jawatan masing-masing adalah pandangan peribadinya.

Katanya, beliau tidak berniat untuk mengkritik mana-mana pemimpin atau parti lain tetapi hanya memberi pandangan dalam keadaan situasi politik yang berlaku ketika ini.

“Parti kita kata sudah tidak menyertai kerajaan PN tetapi ahli-ahli UMNO masih duduk dalam Kabinet yang ditubuh oleh kerajaan. Ini semuanya menimbulkan kekeliruan.

“Kalau pemimpin tak setuju pandangan saya dia punya hal lah. Saya hanya bagi pandangan. Nak dengar, dengarlah… tak nak dengar sudah,” katanya. –{Utusan Digital]

رسمي – ڤ.ر.ک. سليم: باريسن ناسينل منڠ بسر⹁ ماجوريتي 11 ريبو

Baca versi Rumi di sini.

چالون باريسن ناسيونل⹁ محمد زيدي بن عزيز تله دعمومکن سباݢاي ڤمنڠ ڤيليهن راي کچيل سليم سبنتر تادي⹁ دڠن ماجوريتي يڠ ساڠت بسر ياءيت. 10,945 اوندي.

چالون بيباس ﴿ڤوکوق﴾ امير خوسايري بن محمد تنوسي هاڽ داڤت مراءيه سباڽق 2,115 اوندي⹁ مانکالا چالون بيباس ﴿بوکو﴾ ڤروفيسور سانتاراسکارن انق للاکي سوبرامانيام منداڤت 276 اوندي.

اونتوق ريکود⹁ ڤد تاهون 2018 ﴿ڤ.ر.ع. 14﴾⹁ الله يرحم داتوق محمد خوسايري عبد الطاليب ممنڠي کروسي دون سليم دڠن ماجوريتي 2,183 اوندي⹁ دان باريسن ناسيونل تيدق ڤرنه منڠ کروسي ترسبوت دڠن ماجوريتي لبيه 5,000 اوندي⹁ دان يڠ ترباڽق اداله ڤد تاهون 2004 دڠن ماجوريتي 4,875 اوندي.

ڤ.ر.ک. دون سليم دأداکن سوسولن کماتين ڤڽاندڠڽ⹁ داتوق محمد خوسايري عبد الطاليب⹁ ڤد 15 جولاي لڤس ستله منجادي واکيل رعيت دکاوسن ايت سجق 2004.

سليم اداله انتارا دون دالم ڤرليمن تانجوڠ ماليم سلاءين بيهرڠ دان سوڠکاي.

RASMI – PRK Slim: Barisan Nasional Menang Besar, Majoriti 11k

Baca versi Jawi di sini.

Calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi bin Aziz telah diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil N.58 Slim sebentar tadi, dengan majoriti yang sangat besar iaitu 10,945 undi.

Calon BEBAS (Pokok) Amir Khusyairi bin Mohd Tanusi hanya dapat meraih sebanyak 2,115 undi, manakala calon BEBAS (Buku) Profesor Santharasekaran a/l Subramaniam mendapat 276 undi.

Untuk rekod, pada tahun 2018 (PRU14), Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib memenangi kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, dan Barisan Nasional tidak pernah menang kerusi tersebut dengan majoriti lebih 5,000 undi, dan yang terbanyak adalah pada tahun 2004 dengan majoriti 4,875 undi.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, pada 15 Julai lepas, setelah menjadi wakil rakyat di kawasan itu sejak 2004.

Slim adalah antara DUN dalam Parlimen Tanjung Malim selain Behrang dan Sungkai.

ڤ.ر.ک. سليم: انتارا اءورا محضير دان نجيب

Baca versi Rumi di sini.

برجايکه ايسو داتوق سري نجيب رزاق يڠ دماءينکن تون دوکتور محضير منجاتوهکن چالون باريسن ناسيونل ڤد ڤ.ر.ک. سليم؟

ڤيليهن راي کچيل سليم مروڤاکن انتارا ڤ.ر.ک. يڠ مناريق ڤرهاتين⹁ خصوصڽ باݢي ڤمرهاتي ڤوليتيک تانه اءير دالم منيلاي ڤڠاروه ڤوليتيک تون دوکتور محضير ڤد کتيک اين.

اين اداله ڤ.ر.ک. ڤرتام سجق تون دوکتور محضير مڠعمومکن ڤنوبوهن ڤرتي باهروڽ⹁ ڤرتي ڤجواڠ تانه اءير دان چالون بيباس ﴿ڤوکوق﴾⹁ امير خوسايري محمد تنوسي مروڤاکن ڤروکسي ڤرتي تون محضير.

سيلا باچ: اناليسيس: ممڤوکه تون مراءيه اوندي بوکن ملايو؟

تون دوکتور محضير سنديري تله تورون برکيمڤين دسليم اونتوق ممستيکن کمنڠن چالون ڤيليهنڽ.

ڤميمڤين٢ ڤاکتن هارڤن توروت برکيمڤين اونتوق چالون تون محضير⁏ مناندکن سوکوڠن مريک ترهادڤ ڤرتي باهرو تون.

سليم مروڤاکن کاوسن کوبو کوات باريسن ناسيونل⹁ دمان ﷲ يرحم داتوق محمد خوسايري تله برجاي ممڤرتاهنکن کروسي اين دڠن سليس والاوڤون ڤد ڤ.ر.ع. 14 ياءيت ڤ.ر.ع. ڤاليڠ ݢتير بوات باريسن ناسيونل.

مليهت کڤد ستاتيستيک يڠ لڤس⹁ ڤرتي ڤيمڤينن تون دوکتور محضير ڤد کتيک ايت تله ݢاݢل ممڤرتاهنکن کروسي يڠ مريک مناڠي سماس ڤ.ر.ع. 14 دان کاله کڤد باريسن ناسيونل دالم ڤ.ر.ک. سمڽيه دان ڤاليڠ تروق ڤد ڤ.ر.ک. تنجوڠ ڤيءاي.

ڤرسوءالنڽ⹁ ممڤوکه چالون ڤروکسي ڤرتي تون محضير مرمڤس کروسي سليم درڤد چالون باريسن ناسيونل؟

ساي کيرا کڤوتوسن ڤ.ر.ک. اين اکن منجادي ساتو کايو ايکور ککواتن ڤڠاروه تون دوکتور محضير دان ڤرتي باهروڽ سرت ڤاکتن هارڤن يڠ تله برکيمڤين مننتڠ باريسن ناسيونل.

ماءينن ايسو تنتڠ داتوق سري نجيب رزاق اوليه تون دوکتور محضير دان کيمڽ سماس برکيمڤين منجاديکن ڤ.ر.ک. اين سأکن-اکن ݢلاڠݢڠ ڤرتمڤورن تون دوکتور محضير مننتڠ داتوق سري نجيب رزاق.

PRK Slim: Antara Aura Mahathir dan Najib

Baca versi Jawi di sini.

Berjayakah isu Dato’ Seri Najib Razak yang dimainkan oleh Tun Dr. Mahathir menjatuhkan calon BN pada PRK Slim?

Pilihan Raya Kecil Slim merupakan antara PRK yang menarik perhatian, khususnya bagi pemerhati politik tanah air dalam menilai pengaruh politik Tun Dr. Mahathir pada ketika ini.

Ini adalah PRK pertama sejak Tun Dr. Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharunya, Parti Pejuang Tanah Air dan calon BEBAS (Pokok), Amir Khusyairi Mohamad Tanusi merupakan proksi parti Tun Mahathir.

Sila baca: Analisis: Mampukah Tun Meraih Undi Bukan Melayu?

Tun Dr. Mahathir sendiri telah turun berkempen di Slim untuk memastikan kemenangan calon pilihannya.

Pemimpin-pemimpin PH turut berkempen untuk calon Tun Mahathir; menandakan sokongan mereka terhadap parti baharu Tun.

Slim merupakan kawasan kubu kuat BN, di mana Allahyarham Datuk Mohd Khusairi telah berjaya mempertahankan kerusi ini dengan selesa walaupun pada PRU14, iaitu PRU paling getir buat Barisan Nasional.

Melihat kepada statistik yang lepas, parti pimpinan Tun Dr. Mahathir pada ketika itu telah gagal mempertahankan kerusi yang mereka menangi semasa PRU14 dan kalah kepada BN dalam PRK Semenyih dan paling teruk pada PRK Tanjung Piai.

Persoalannya, mampukah calon proksi parti Tun Mahathir merampas kerusi Silm daripada calon BN?

Saya kira keputusan PRK ini akan menjadi satu kayu ukur kekuatan pengaruh Tun Dr. Mahathir dan parti baharunya serta PH yang telah berkempen menentang BN.

Mainan isu tentang Dato’ Seri Najib Razak oleh Tun Dr. Mahathir dan kemnya semasa berkempen menjadikan PRK ini seakan-akan gelanggang pertempuran Tun Dr. Mahathir menentang Dato’ Seri Najib Razak.

Diari Remaja @ Utusan Malaysia: Merdeka itu Bendera?

Alhamdulillah, tulisan terbaharu dalam kolum saya, Diari Remaja, telah diterbit di akhbar Utusan Malaysia hari ini, bertajuk “Merdeka itu Bendera?”.

Tulisan tersebut boleh dibaca di dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini, dan insya-Allah saya akan terus menulis di akhbar Utusan Malaysia bagi hari-hari Sabtu yang akan datang.

Ku Li: PPBM Tak Layak Jadi Pakatan Melayu-Islam, Ahli UMNO Perlu Undur Dari Kabinet

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengeluarkan kenyataan menggemparkan dengan meminta ahli-ahli UMNO yang menganggotai Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya segera berundur daripada jawatan masing-masing.

Gesaan itu dibuat berikutan pengumuman Parti Bersatu untuk menerima bukan Melayu sebagai ahli parti.

Sila baca: Adakah Ini Kebenaran Di Sebalik Penubuhan Semangat 46?

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata pengumuman Bersatu dengan sendirinya telah menghilangkan kelayakan parti tersebut sebagai anggota Pakatan Melayu Islam yang didukung oleh Muafakat Nasional.

“Kita UMNO tidak pernah menjadi anggota kerajaan Perikatan Nasional, hanya kita memberi sokongan dari awal penubuhan kerajaan ini untuk menjaga dan memelihara kestabilan politik negara.

“Dengan berlakunya perubahan yang diumumkan oleh Bersatu, wajar ahli-ahli UMNO yang menganggotai kabinet kerajaan sekarang berundur daripada melibatkan diri dalam kerajaan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan PN sekarang ditubuhkan pada 29 Feb, atas dasar sokongan beberapa parti politik iaitu Bersatu, UMNO dan PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah), MCA dan MIC.

Penubuhan kerajaan itu berlaku apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai oleh PKR, DAP, Bersatu dan Parti Amanah Negara (Amanah) hilang sokongan suara dalam Parlimen berikutan tindakan Bersatu keluar daripada PH.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac dan membentuk kabinetnya pada 10 Mac.

Bersatu diterima masuk Muafakat Nasional yang dianggotai oleh UMNO dan PAS pada 13 Ogos dan Muhyiddin menyatakan persetujuan menyertai gabungan itu pada 18 Ogos.  

Dalam kenyataan satu muka surat itu, Tengku Razaleigh berkata ahli-ahli UMNO berkenaan perlu bertindak cepat bagi membolehkan UMNO menumpukan perhatiannya kepada penyelesaian masalah golongan muda mencari pekerjaan dalam keadaan negara menghadapi pandemik COVID-19.

Seramai sembilan Ahli Parlimen daripada UMNO berada dalam kabinet kerajaan PN sekarang iaitu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, Menteri Belia dan Sukan Datuk Reezal Merican Naina Merican, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Turut menjadi anggota pentadbiran kerajaan ialah tujuh anggota Parlimen daripada UMNO iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I  Datuk Seri Abdul Rahman Mohamed, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib, Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datin Mastura Mohd Yazid, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin. —{BERNAMA]