Jangan Sampai Semangat Rukun Negara Terkubur

Versi Jawi akan menyusul.

Walaupun negara ini bermula daripada pembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang terdiri daripada 9 buah kerajaan Melayu Islam berdaulat serta 2 buah negeri yang telah dimerdekakan oleh British, namun sejarah negara telah bermula jauh lebih lama.

Negara baharu ini tidak mungkin dapat dibentuk tanpa pengorbanan Duli-duli Yang Maha Mulia Baginda Raja-raja Melayu yang telah sanggup mengorbankan kuasa-kuasa mutlak ke atas kerajaan-kerajaan baginda.

Berpandukan nasihat para ulama, maka terbentuklah Persekutuan Tanah Melayu pada 31 ogos 1957, dan seterusnya Persekutuan Malaysia pada 1963.

Selain daripada orang Melayu iaitu rakyat Raja serta kaum Bumuputera lainnya, Raja-raja Melayu telah bermurah hati bersetuju untuk menerima orang-orang Cina dan India yang ketika itu berada di Tanah Melayu sebagai warga tidak bernegara menjadi warganeraga Persekutuan Tanah Melayu berdasarkan satu Kontrak Sosial yang telah dipersetujui bersama oleh semua kaum yang terlibat.

Namun, sikap toleransi kaum yang telah berjaya dipupuk akhirnya telah dicabar oleh golongan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Tahun 1969 telah melakarkan satu titik hitam di dalam sejarah negara apabila tercetusnya insiden berdarah 13 Mei, satu peristiwa rusuhan kaum yang telah mengorbankan beratus nyawa.

Bagi mengelakkan berulangnya tragedi sebegini, Majlis Perundingan Negara telah ditugaskan untuk merangka satu ideologi negara bagi tujuan menyatupadukan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Maka lahirlah Rukun Negara yang telah diisytiharkan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-4, Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin pada 31 Ogos 1970.

Rukun Negara mempunyai 5 prinsip yang bukan sahaja harus diangkat, tetapi mesti dihayati oleh setiap rakyat sebagai asas perpaduan negara.

Namun ikrar rakyat “akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut” tidak akan memberi apa-apa makna jika rakyat hanya sekadar membaca ikrar tanpa menghayati serta merealisasikan apa yang telah diikrarkan ke dalam kehidupan mereka sehari-hari.

Perkara ini menjadi penghalang kepada kehidupan yang harmoni serta telah menghakis sikap menghormati hak orang lain. Menggunakan alasan memperjuangkan hak asasi diri mereka, ada golongan yang lantang menuntut hak sah orang lain serta mahu menghapuskan keabsahan perjanjian Kontrak Sosial demi kepentingan diri.

Kepercayaan Kepada Tuhan

Rakyat yang percaya kepada tuhan bermakna mereka beragama dan amalan beragama bermaksud tidak berideologi liberal. Ini adalah kerana asas negara Malaysia bertunjangkan agama, berdasarkan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan bahawa Islam adalah agama bagi negara. Malaysia bukan sebuah negara berideologi liberal; bukan juga sebuah negara sekular.

Kesetiaan Kepada Raja dan Negara

Perkara ini adalah asas kepada pembentukan semangat patriotisme dan perasaan cintakan negara yang melampaui pengaruh fahaman politik dalam kalangan rakyat. Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 3(2) mengangkat Raja sebagai Ketua agama Islam dan Perkara 32(1) mengangkat Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara. Malaysia adalah sebuah negara beraja yang mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berparlimen di mana Raja menjaga agama negara serta menjadi pelindung bagi seluruh rakyat.

Keluhuran Perlembagaan

Keluhuran Perlembagaan bermakna ketinggian Perlembagaan yang merupakan undang-undang utama Persekutuan seperti yang termaktub di dalam Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna setiap rakyat mesti menjunjung tinggi serta mematuhi Perlembagaan negara.

Kedaulatan Undang-undang

Rakyat Malaysia adalah diikat oleh undang-undang dan setiap rakyat wajib mematuhi undang-undang negara yang dirangka berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan. Tanpa mematuhi undang-undang, kehidupan manusia akan menjadi kucar-kacir dan negara akan menjadi huru-hara.

Kesopanan dan Kesusilaan

Kesopanan dan kesusilaan adalah tingkah laku dan adab yang baik hasil daripada sikap patuh kepada undang-undang agama dan negara. Perkara ini menjadi faktor asas kepada pembentukan sahsiah diri yang mulia, beramanah, berintegriti serta bermoral tinggi. Hal ini akan mudah tercapai jika kita berjaya menerapkan kesemua prinsip-prinsp Rukun Negara kedalam kehidupan kita.

Sempena ulang tahun ke-50 Rukun Negara, adalah menjadi harapan saya agar semua rakyat dapat menghayati semangat asal Rukun Negara serta mendalami apa yang tersurat dan tersirat di dalam lipatan sejarah negara agar rumah pusaka yang kita warisi ini tidak rebah menyembah bumi akibat kealpaan kita.

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Columnist at Utusan Malaysia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.