Takiyuddin Dedah Surat Campur Tangan Tun M, Guan Eng Dalam Kes Taikun Hartanah – VIDEO

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, mendakwa ada salinan surat menunjukkan campur tangan Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Guan Eng dan dan bekas peguam negara yang mengarahkan pembatalan pembekuan aset taikun hartanah, Tan Sri Lim Soon Peng berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu didedahkan Takiyuddin ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Takiyuddin mendedahkan beberapa salinan surat membabitkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas menteri kewangan, Guan Eng dan bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2018 dan tahun lalu.

“Saya nak sebut satu kes, Tan Sri Lim Soon Peng, dia terbabit dalam penggubahan wang haram daripada 1MDB sebanyak RM4 juta tetapi apabila dia dihadapkan oleh SPRM, beliau meminta peguamnya membuat surat representasi kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 20 Oktober 2018 semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

“Apa yang berlaku, surat daripada peguam ini diminitkan oleh Perdana Menteri ketujuh (Tun Dr Mahathir Mohamad) pada masa itu. Minit itu berbunyi, ‘saya berpendapat, penyelewengan oleh mantan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) tidak boleh disalahkan (kepada) Tan Sri Lim (Soon Peng).

“Oleh itu pembekuan akuan peribadinya atau syarikatnya tidak boleh dikekalkan’. Ditandatangani, 5 Disember 2018, siap dengan cop perdana menteri,” katanya.

Beliau berkata, surat itu kemudiannya diminitkan sekali lagi oleh Guan Eng bertarikh 19 Februari 2019 yang meminta supaya SPRM segera menarik semula arahan pembekuan terbabit seperti yang diminta oleh perdana menteri.

Susulan daripada surat itu, katanya, Tommy kemudian membalas surat kepada Guan Eng bertarikh 31 Mei 2019 memaklumkan mengenai status pembekuan akaun ahli perniagaan terbabit dan arahan beliau kepada SPRM.

“Tak pernah berlaku dalam sejarah malah saya percaya surat representasi Yang Berhormat Sepang (Mohamed Hanipa Maidin) tidak pernah diminitkan sebegini,” katanya.

Pendedahan itu menyebabkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Mohamed Hanipa (AMANAH-Sepang) dan Kasthuriraani Patto (DAP-Batu Kawan) mempertikaikan perkara itu.

“Yang Berhormat Menteri, janganlah cuba misleading (mengelirukan) dewan. Tolonglah, ini misleading …,” kata Mohamed Hanipa.

“Ini Yang Berhormat Menteri jawab soalan yang mana satu. Tidak ada pun soalan,” kata Kasthuriraani pula.

Terdahulu, Takiyuddin menjelaskan mengenai kes membabitkan anak tiri Najib, Riza Aziz yang dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan pengubahan wang haram membabitkan AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

Katanya, Tommy ada menulis nota mengenai surat representasi Riza Aziz berhubung kes pengubahan wang haramnya yang menunjukkan bahawa dia secara prinsip bersetuju dengan syarat-syarat penyelesaian.

“Satu hari selepas peguam Riza Aziz membuat representasi kepada AG (peguam negara). Pada 19 November 2019, Tommy telah meneliti surat representasi ini. Setelah dia meneliti surat ini, Tommy sebagai AG telah membuat satu nota tulisan tangan, berwarna dakwat merah di atas surat itu, saya baca ini adalah salinan sebenar,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terbuka kepada cadangan penambahbaikan terhadap Akta Pilihan Raya seperti yang dicadangkan oleh Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas).

“Yang Berhormat Padang Rengas mencadangkan supaya Akta Pilihan Raya dipinda bagi membolehkan pertandingan membabitkan parti yang bertanding, bukannya nama individu untuk mengatasi isu lompat parti.

“SPR sentiasa terbuka menerima cadangan penambahbaikan, namun cadangan ini membawa maksud menukar sistem pilihan raya yang sedang diguna pakai di Malaysia.

“Oleh itu, cadangan ini memerlukan kajian lanjut oleh SPR dan memandangkan ia membabitkan pindaan kepada beberapa undang-undang bukan sahaja Akta Pilihan Raya, tetapi juga Perlembagaan Persekutuan khasnya, Perkara 47, 48, 49, 50, 51 dan 54,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, SPR dan Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya Malaysia sedang meneliti sistem pilihan raya sedia ada dan mengkaji kesesuaian sistem pilihan raya yang diamalkan oleh negara lain.

Mengulas lanjut mengenai isu lompat parti, Takiyuddin turut mencabar kerajaan Pulau Pinang supaya mengosongkan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu yang melompat parti.

Empat kerusi DUN itu membabitkan Bertam (Khaliq Mehtab Mohd Ishaq), Teluk Bahang (Zolkifly Md Lazim), Seberang Jaya (Dr Afif Bahardin) and Sungai Acheh (Zulkifli Ibrahim), semua mereka bertindak keluar PH dan menyertai Perikatan Nasional (PN).

“Dalam semua 14 negeri di Malaysia, Pulau Pinang satu-satunya negeri yang meminda perlembagaan negeri yang menyatakan mana-mana wakil rakyat yang melompat parti, perlu mengosongkan kerusi mereka.

“Jika pembangkang mahukan akta anti lompat parti ini, saya cadang supaya kerajaan Pulau Pinang mengosong empat kerusi DUN terbabit,” katanya.

Katanya, tindakan itu akan membolehkan keputusan Mahkamah Agong pada 1992 dalam kes Nordin Salleh di Kelantan, membabitkan lompat parti yang tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dalam kebebasan berpersatuan, dicabar.

“Jika kerajaan Pulau Pinang mengosongkan kerusi terbabit dan ADUN berkenaan membawa kes ke mahkamah, di situ kita akan lihat sama ada keputusan dalam kes Nordin Salleh dikekalkan atau sebaliknya.

“Jika (keputusan) berubah, barulah kita boleh bercakap mengenai akta anti lompat parti ini,” katanya. -{Berita Harian]

اناليسيس: ممڤوکه تون مراءيه اوندي بوکن ملايو؟

Baca versi Rumi di sini.

تون دوکتور محضير محمد تله مڠعمومکن ڤنوبوهن سبواه ڤرتي ڤوليتيک باهرو اونتوق ممباوا واده ڤرجواڠنڽ. ممنوروت بلياو⹁ ڤرتي ترسبوت اکن دتراجوءي اوليه انقڽ⹁ مخريز دان باکل منجادي کواس کتيݢ دالم ڤوليتيک نݢارا.

بلياو مندقوا باهوا ڤاس تيدق برسيکڤ اسلاميک⹁ امنو تيدق لاݢي سڤرتي زمان بلياو مميمڤينڽ⹁ دان ڤ.ڤ.ب.م. تيدق لاݢي مننتڠ نجيب رزاق. اڤاکه اسڤيراسي بلياو اداله اونتوق مڠݢنتيکن کسموا ڤرتي٢ ملايو اين اکن دبري مندت اوليه رعيت؟

ساي ترلالو منته اونتوق ممباچ لڠکه ڤوليتيک تون دوکتور محضير تتاڤي ساي مليهت هاڽ اد دوا چارا اونتوق ڤرتي باهر اين ممݢڠ تمڤوق کواس⹁ ڤرتام منڠ بسر دان کدوا چوبا منجادي ڤڠوبه کأداءن اتاو “king maker“.

ۏيسي ڤرتي باهرو بلياو اݢق ݢينريک⹁ ياءيتو اونتوق ممڤرجواڠکن هک سموا کاوم. ايتله يڠ دجنجي اوليه همڤير سما ڤرتي سماس ڤيليهن راي. مک اونتوق منداڤت سوکوڠن ڤادو سلوروه رعيت مليسيا⹁ تون دوکتور محضير هاروس منچاري فورمولا يڠ برکسن دان بلياو ممڤوڽاءي کورڠ درڤد تيݢ تاهون اونتوق مڠاتور لڠکه.

بردسرکن ريکود ڤيليهن راي دمليسيا⹁ لازيمڽ اکن اد هاڽ دوا کواس بسر ڤوليتيک يڠ برجاي منداڤت کروي يڠ باڽق دسمنانجوڠ مليسيا⁏ مانکالا کواس کتيݢ بياساڽ تيدق داڤت منڠ بسر.

ڤد مولاڽ⹁ کواس اوتام اداله ڤريکتن⹁ مانکالا کواس کدوا اداله ڤاس⹁ سلڤس ايت کواس کدوا برتوکر منجادي ڤرتي تيندقن ديموکراتيک ﴿دي أي ڤي﴾⹁ دان ستروسڽ باريسن الترناتيف يڠ کموديانڽ منجادي ڤاکتن رعيت دان کيني ڤاکتن هارڤن.

نامون⹁ اد دوا کيس دمان کواس کتيݢ تله منونجوقکن ڤريستاسي يڠ سيݢنيفيکن⹁ ڤرتامڽ اداله دالم ڤيليهن راي عموم ک-3 ﴿ڤ.ر.ع. 3﴾ ڤد تاهون 1969 ياءيتو ڤيليهن راي ڤرتام باݢي ڤرتي دي أي ڤي⹁ اڤابيلا مريک ممڤروليهي سباڽق 13 کروسي دان ملبيهي ڤاس يڠ هاڽ منداڤت 12. کدوا ايله دالم ڤ.ر.ع. 8 اڤبيلا سماڠت 46 برݢابوڠ برسام ڤاس.

ڤرسوءالن ستروسڽ ايله براڤکه بيلاڠن کروسي يڠ باکل دتنديڠي اوليه ڤرتي باهرو تون دوکتور محضير ننتي دان اڤاکه ڤاکتن هارڤن اکن ممبري لالوان موده کڤد ڤارتي اين اونتوق منڠ دالم ببراڤ کروسي سلامت مريک؟

ڤد ڤ.ر.ع. 14 کتيک برݢابوڠ ممبنتوق کواس ڤوليتيک کدوا برسام ڤرتي ڤمبڠکڠ لاءينڽ⹁ ڤرتي ڤ.ڤ.ب.م. يڠ دتوبوهکن اوليه تون دوکتور محضير تله ممناڠي 13 کروسي. جوسترو⹁ ممنداڠکن ڤرتي باهرو تون دوکتور محضير اين اداله ڤرتي سرڤيهن درڤد ڤ.ڤ.ب.م.⹁ سچارا لوݢيکڽ مريک هاڽ بوليه ممڤروليهي سباڽق 13 کروسي سچارا ماکسيموم جيک برتانديڠ دالم ڤ.ر.ع. 15 سباݢاي کواس کتوݢ تنڤ سوکوڠن ڤرتي٢ لاءين.

اوليه ايت⹁ مريک ڤرلوکن ساتو فاکتور يڠ کوات اونتوک مڠاليه اوندي درڤد ڤريکتن ناسيونل دان ڤاکتن هارڤن کڤد ڤرتي باهرو اين اونتوق کمنڠن يڠ بسر. فاکتور تون سهاج موڠکين تيدق چوکوڤ باݢي ڤرتي باهرو اين اونتق ممناڠي ڤيليهن راي مسکيڤون تله اد سبيلڠن ڤميمڤين دان اهلي٢ ڤ.ڤ.ب.م. يڠ تله منيڠݢلکن ڤ.ڤ.ب.م. دمي سوکوڠن مريک کڤد تون دوکتور محضڽر.

ريکود ڤيليهن راي کچيل سجق ڤ.ر.ع. 14 ممڤرليهتکن باهوا ڤرتي ڤ.ڤ.ب.م. دباوه ڤيمڤينن تون دوکتور محضير تله هيلڠ کدوا٢ کروسي مريک دالم ڤ.ر.ک. يڠ مريک تنديڠ⁏ مله مريک تله کاله تروق دالم ڤ.ر.ک. تنجوڠ ڤيءاي.

دالم ڤ.ر.ک. چيني بارو٢ اين⹁ چالون يڠ دسوکوڠ تون دوکتور محضير بوکن سهاج کاله تتاڤي تله هيلڠ واڠ ديڤوسيت. مله ڤرتي واريثن جوݢ تله کله دالم ڤ.ر.ک. کيمانيس.

تيدق موده باݢي ڤرتي باهرو تون دوکتور محضير اونتوق مڠوبه لنسکڤ ڤوليتک نݢارا تنڤ برݢابوڠ برسام کواس ڤوليتيق يڠ لبيه بسر⹁ کچوالي جيک ڤرتي اين ممبوات ڤرجنجيان برسام ڤاکتن هارڤن سوڤاي دبريکن لالون موده اونتوق منڠ والاوڤون مريک تيدق برݢابوڠ سچارا رسمي.

Guan Eng Mengaku Tidak Bersalah Kes Terowong

Bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan penyalahgunaan kuasa berhubung projek terowong dasar laut dan jalan utama bernilai RM6.3 bilion, beberapa hari selepas beliau didakwa meminta rasuah berkaitan projek sama.

Beliau didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai ketua menteri di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk mendapatkan rasuah RM3.3 juta bagi melantik syarikat Zarul Ahmad Mohd Zulkifli melaksanakan projek itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu antara Januari 2011 hingga Ogos 2017 di pejabat ketua menteri di tingkat 28 Komtar.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda tidak lebih 5 kali ganda nilai suapan.

Lim, yang diwakili peguam Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, RSN Rayer dan V Vemal Arasan, mengaku tidak bersalah di depan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar dan Francine Cheryl Rajendram.

Jumaat lalu, Lim didakwa meminta balasan berupa 10% keuntungan daripada Zarul yang juga pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, sebagai upah membantu syarikat itu dilantik melaksanakan projek berkenaan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Hotel The Gardens di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Jika sabit kesalahan, beliau akan berdepan maksimum penjara 20 tahun dan denda sehingga 5 kali ganda nilai suapan.

Azhari membenarkan lanjutan ikat jamin RM1 juta daripada kes terdahulu dan permohonan pendakwaan memindahkan kes itu ke mahkamah Kuala Lumpur. -{Free Malaysia Today]

Analisis: Mampukah Tun Meraih Undi Bukan Melayu?

Baca versi Jawi di sini.

Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu untuk membawa wadah perjuangannya. Menurut beliau, parti tersebut akan diterajui oleh anaknya, Mukhriz dan bakal menjadi kuasa ketiga dalam politik negara.

Sila baca: Tun Mahathir Umum Parti Baharu Untuk Jatuhkan Najib

Beliau mendakwa bahawa PAS tidak bersikap Islamik, UMNO tidak lagi seperti zaman beliau memimpinnya, dan PPBM tidak lagi menentang Najib Razak. Apakah aspirasi beliau adalah untuk menggantikan kesemua parti-parti Melayu ini akan diberi mandat oleh rakyat?

Saya terlalu mentah untuk membaca langkah politik Tun Dr. Mahathir tetapi saya melihat hanya ada dua cara untuk parti baharu ini memegang tampuk kuasa, pertama menang besar dan kedua cuba menjadi “king maker”.

Visi parti baharu beliau agak generik, iaitu untuk memperjuangkan hak semua kaum. Itulah yang dijanji oleh hampir semua parti semasa pilihan raya. Maka untuk mendapat sokongan padu seluruh rakyat Malaysia, Tun Dr. Mahathir harus mencari formula yang berkesan dan beliau mempunyai kurang daripada tiga tahun untuk mengatur langkah.

Berdasarkan rekod pilihan raya di Malaysia, lazimnya akan ada hanya dua kuasa besar politik yang berjaya mendapat kerusi yang banyak di Semenanjung Malaysia; manakala kuasa ketiga biasanya tidak dapat menang besar.

Pada mulanya, kuasa utama adalah Perikatan, manakala kuasa kedua adalah PAS, selepas itu kuasa kedua bertukar menjadi DAP, dan seterusnya Barisan Alternatif yang kemudiannya menjadi Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan.

Namun, ada dua kes di mana kuasa ketiga telah menunjukkan prestasi yang signifikan, pertamanya adalah dalam PRU3 pada tahun 1969 iaitu pilihan raya pertama bagi parti DAP, apabila mereka memperolehi sebanyak 13 kerusi dan melebihi PAS yang hanya mendapat 12. Kedua ialah dalam PRU8 apabila Semangat 46 bergabung bersama PAS.

Persoalan seterusnya ialah berapakah bilangan kerusi yang bakal ditandingi oleh parti baharu Tun Dr. Mahathir nanti dan apakah Pakatan Harapan akan memberi laluan mudah kepada parti ini untuk menang dalam beberapa kerusi selamat mereka?

Pada PRU14 ketika bergabung membentuk kuasa politik kedua bersama parti pembangkang lainnya, parti PPBM yang ditubuhkan oleh Tun Dr. Mahathir telah memenangi 13 kerusi. Justeru, memandangkan parti baharu Tun Dr. Mahathir ini adalah parti serpihan daripada PPBM, secara logiknya mereka hanya boleh memperolehi sebanyak 13 kerusi secara maksimum jika bertanding dalam PRU15 sebagai kuasa ketiga tanpa sokongan parti-parti lain.

Oleh itu, mereka perlukan satu faktor yang kuat untuk mengalih undi daripada Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan kepada parti baharu ini untuk kemenangan yang besar. Faktor Tun sahaja mungkin tidak cukup bagi parti baharu ini untuk memenangi pilihan raya meskipun telah ada sebilangan pemimpin dan ahli-ahli PPBM yang telah meninggalkan PPBM demi sokongan mereka kepada Tun Dr. Mahathir.

Rekod Pilihan Raya Kecil sejak PRU14 memperlihatkan bahawa parti PPBM di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir telah hilang kedua-dua kerusi mereka dalam PRK yang mereka tanding; malah mereka telah kalah teruk dalam PRK Tanjung Piai.

Sila baca: Keputusan Penuh PRK Tanjung Piai: BN Menang Besar!

Dalam PRK Chini baru-baru ini, calon yang disokong oleh Tun Dr. Mahathir bukan sahaja kalah tetapi telah hilang wang deposit. Malah parti WARISAN juga telah kalah dalam PRK Kimanis.

Tidak mudah bagi parti baharu Tun Dr. Mahathir untuk mengubah lanskap politik negara tanpa bergabung bersama kuasa politik yang lebih besar, kecuali jika parti ini membuat perjanjian bersama Pakatan Harapan supaya diberikan laluan mudah untuk menang walaupun mereka tidak bergabung secara rasmi.