‮”جيک اد لاݢي کيس بنديرا⹁ ساي اکن تڠکڤ لاݢي” – داتوق ايوب خان ﴿ۏيديو﴾

Baca versi Rumi di sini.

کتوا ڤوليس جوهر⹁ داتوق ايوب خان مايدين ڤيتچاي سکالي لاݢي منݢسکن باهوا ڤوليس جوهر تيدق اکن برتولق انسور دڠن مريک يڠ مڠيبرکن بنديرا نݢارا دان نݢري سچارا ترباليق دجوهر.

مروجوق کڤد کيس يڠ برلاکو دجوهر دوا هاري لڤس دمان امڤت اورڠ دتهن ڤوليس کرن مڠيبرکن بنديرا مليسيا دان جوهر سچارا ترباليق⹁ بلياو منݢسکن باهوا بنديرا بوکنله ساتو ڤرکارا يڠ بويه دأمبيل موده⹁ دان تيندقن مستي دأمبيل کأتس مريک يڠ بربوات سدميکين.

کتيک ساتو واونچارا دالم ڤروݢرم سوءل رعيت دتي ۏي 3 سمالم⹁ داتوق ايوب منرڠکن بتاڤ ڤنتيڠڽ بنديرا دان مارواه بنديرا.

ايسو بنديرا ني بوکن ساتو ايسو ريميه … اد کيس کالاو کيت ايڠت لاݢي وقتو سوکن سي ﴿سوکن اسيا تڠݢارا 2017﴾⹁ کيت ترسيلڤ چيتق ساتو بنديرا نݢارا جيرن⹁ ﴿ورنا﴾ سهاج … منتري بليا دان سوکن ترڤقس ڤرݢي موهون ماعف کڤد منتري بليا دان سوکن نݢري ترسبوت. ايتله تاهڤ ڤنتيڠڽ بنديرا دان ماروه بنديرا ني.”

داتوق ايوب خن مايدين ڤيتچاي – 12 اوݢوس 2020

داتوق ايوب برکات باهوا فونسي اوتام ڤوليس اداله اونتوق مڠوات کواس اوندڠ٢ دان دالم ايسو بنديرا⹁ ڤرکارا اين تله ترلالو لاما برلاروتن دان امرن تله دبريکن.

سوده تيبا ماسڽ ڤيهق ڤوليس برتيندق تݢس کأتس ايسو بنديرا دمي ماروه بڠس.

“ساي ايڠت سجق امڤت⹁ ليما تاهون کبلاکڠ ني ايسو اين اداله ايسو يڠ تق هابيس٢. ساي داه باݢي امرن سکالي⹁ دان سمالم اد ساتو کيس⹁ ميمڠ ساي اکن تڠکڤ.

“ساي کات ساي اکن تڠکڤ بوکن يڠ مماسڠ بنديرا⹁ تاڤي ترماسوق ڤميليق کيلاڠ⹁ ڤڠوروس شاريکت⹁ يڠ باݢين ڤرسونيلڽ⹁ کراني ڤون اکن دأمبيل. اين يڠ سڤاتوتڽ اورڠ تمڤاتن⹁ يڠ بوکنڽ بروسيا انم تاهون⹁ يڠ بروسيا انمڤولوه تيݢ تاهون. کيت داه مرديک ڤون داه انمڤولوه تيݢ تاهون … تقکن تق داڤت ممبيذاکن؟”

داتوق ايوب خن مايدين ڤيتچاي – 12 اوݢوس 2020

سبلوم اين⹁ تله برلاکو باڽق کيس دمان بنديرا نݢارا⹁ نݢري دان داءيره دکيبرکن سچارا ترباليق اتاو سچارا ساله دسلوروه نݢارا⹁ نامون لازيمڽ تيندقن تݢس تيدق دأمبيل.

منوروت داتوق ايوب⹁ کيني ڤوليس جوهر تيدق اکن برتولق انسور لاݢي دالم حل اين.

“ساي تيدق بوليه برتولق انسور لاݢي. ساي تق تاهوله موڠکين نݢري لاءين مريک بوليه بري نصيحت لاݢي⹁ ساي تق اکن بري نصيحت. کالاو اد لاݢي دجوهر⹁ ميمڠ ساي اکن تڠکڤ لاݢي. ساي اکن تڠکڤ درڤد أي سمڤاي زيد.

داتوق ايوب خن مايدين ڤيتچاي – 12 اوݢوس 2020

داتوق ايوب توروت منجلاسکن باهوا بلياو تيدق اکن ممبري ڤڠچوالين کڤد مان٢ ڤيهق دالم مڠامبيل تيندقن دان مڠوات کواس اوندڠ٢⹁ تيدق کيرا ستاتوس اينديۏيدو ترسبوست.

“ساي راس کالاو ساي بري امرن ڤون تق ݢون جوݢ … سموا اورڠ بري امرن. يڠ ڤستي⹁ ساي اکن منروسکن اوڤراسي ساي تنڤ تولق انسور. کڤد سموا ڤيهق سام اد ڤنجايه ک⹁ اهلي ڤوليتيک ک⹁ اينديۏيدو٢ ترتنتو ک⹁ ساي تيدق اکن برتولق انسور. ساي اکن تروس مڠوات کواس اوندڠ٢ دڠن تݢس دان عاديل⹁ تنڤ برتولق انسور.”

داتوق ايوب خن مايدين ڤيتچاي – 12 اوݢوس 2020

بلياو جوݢ مڠيڠتکن باهوا ڤوليس ڤرلو برسيکڤ چکڤ دان ڤروءاکتيف⹁ دان تيدق هاڽ مڠامبيل تيندقن اڤابيلا ايسو تله دبڠکيت⹁ تتاڤي سباليقڽ هاروس سنتياس منجالنکن اوڤراسي اݢر ايسو٢ ترسبوت داڤت دتاڠني سبلوم برللواس.

“کالاو کيت بوات اوڤراسي ﴿سچارا﴾ برتروسن⹁ کيت اکن داڤت منيمبولکن کياکينن مشرکت ترهادڤ ڤوليس. ڤوليس بوات کرجا⹁ ڤوليس مڠامبيل تيندقن ڤروءاکتيف. جاڠنله اد سات ايسو بارو کيت نق امبيل تيندقن. اد ساتو ايسو اورڠ عوم دلڠݢر اوليه ڤماندو مابوق⹁ بارو کيت نق بوات اوڤراسي کأتس ڤماندو مابوق … ايت ساي کات کورڠ تڤت.”

داتوق ايوب خن مايدين ڤيتچاي – 12 اوݢوس 2020

“Jika Ada Lagi Kes Bendera, Saya Akan Tangkap Lagi” – Datuk Ayob Khan (Video)

Baca versi Jawi di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sekali lagi menegaskan bahawa polis Johor tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang mengibarkan bendera negara dan negeri secara terbalik di Johor.

Merujuk kepada kes yang berlaku di Johor dua hari lepas di mana empat orang ditahan polis kerana mengibarkan bendera Malaysia dan Johor secara terbalik, beliau menegaskan bahawa bendera bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah, dan tindakan mesti diambil ke atas mereka yang berbuat sedemikian.

Sila baca: 4 Suspek Ditangkap Kerana Pasang Bendera Malaysia dan Johor Terbalik

Ketika satu wawancara dalam program Soal Rakyat di TV3 semalam, Datuk Ayob menerangkan betapa pentingnya bendera dan maruah bendera.

“Isu bendera ni bukan isu yang remeh … Ada kes kalau kita ingat lagi waktu Sukan SEA (2017), kita tersilap cetak satu bendera negara jiran, colour (warna) sahaja … Menteri Belia dan Sukan terpaksa pergi mohon maaf kepada Menteri Belia dan Sukan negeri tersebut. Itulah tahap pentingnya bendera dan maruah bendera ni.”

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay – 12 Ogos 2020

Sila baca: Maksud Tersurat dan Tersirat Di Sebalik Jalur Gemilang Yang Harus Kita Fahami

Datuk Ayob berkata bahawa fungsi utama polis adalah untuk menguat kuasa undang-undang dan dalam isu bendera, perkara ini telah terlalu lama berlarutan dan amaran telah diberikan.

Sudah tiba masanya pihak polis bertindak tegas ke atas isu bendera demi maruah bangsa.

“Saya ingat sejak empat, lima tahun ke belakang ni isu ini adalah isu yang tak habis-habis. Saya dah bagi amaran sekali, dan semalam ada satu kes, memang saya akan tangkap.

“Saya kata saya akan tangkap bukan yang memasang bendera, tapi termasuk pemilik kilang, pengurus syarikat, yang bahagian personelnya, kerani pun akan diambil. Ini yang sepatutnya orang tempatan, yang bukannya berusia enam tahun, yang berusia enampuluh tiga tahun. Kita dah merdeka pun dah enampuluh tiga tahun … takkan tak dapat membezakan?”

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay – 12 Ogos 2020

Sebelum ini, telah berlaku banyak kes di mana bendera negara, negeri dan daerah dikibarkan secara terbalik atau secara salah di seluruh negara, namun lazimnya tindakan tegas tidak diambil.

Sila baca: Why Was the Johor Flag Flown Upside Down at the Desaru Tunamaya?

Menurut Datuk Ayob, kini polis Johor tidak akan bertolak ansur lagi dalam hal ini.

“Saya tidak boleh bertolak ansur lagi. Saya tak tahulah mungkin negeri lain mereka boleh beri nasihat lagi, saya tak akan beri nasihat. Kalau ada lagi di Johor, memang saya akan tangkap lagi. Saya akan tangkap daripada A sampai Z.”

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay – 12 Ogos 2020

Sila baca: Datuk Ayob Mengingatkan Orang Politik Jangan Ganggu Tugas Polis

Datuk Ayob turut menjelaskan bahawa beliau tidak akan memberi pengecualian kepada mana-mana pihak dalam mengambil tindakan dan menguatkan kuasa undang-undang, tidak kira status individu tersebut.

“Saya rasa kalau saya beri amaran pun tak guna juga … semua orang beri amaran. Yang pasti, saya akan meneruskan operasi saya tanpa tolak ansur. Kepada semua pihak sama ada penjenayah ke, ahli politik ke, individu-individu tertentu ke, saya tidak akan bertolak ansur. Saya akan terus menguat kuasa undang-undang dengan tegas dan adil, tanpa bertolak ansur.”

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay – 12 Ogos 2020

Sila baca: Ahli Parlimen, Bekas Timbalan Menteri Disiasat Kerana Sebar Berita Palsu

Beliau juga mengingatkan bahawa polis perlu bersikap cekap dan proaktif, dan tidak hanya mengambil tindakan apabila isu telah dibangkit, tetapi sebaliknya harus sentiasa menjalankan operasi agar isu-isu tersebut dapat ditangani sebelum berleluasa.

“Kalau kita buat operasi (secara) berterusan, kita akan dapat menimbulkan keyakinan masyarakat terhadap polis. Polis buat kerja, polis mengambil tindakan proaktif. Janganlah ada satu isu baru kita nak ambil tindakan. Ada satu isu orang awam dilanggar oleh pemandu mabuk, baru kita nak buat operasi ke atas pemandu mabuk … Itu saya kata kurang tepat.”

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay – 12 Ogos 2020