ڤ.ر.ک. سليم: باريسن ناسيونل بردڤان دوا چالون بيباس

Baca versi Rumi di sini.

سوروهنجاي ڤيليهن راي تله مڠعمومکن باهوا تيݢ چالين اکن برتنديڠ سماس ڤيليهن راي کچيل ديوان اوندڠن نݢري ﴿دون﴾ سليم يڠ بکل برلڠسوڠ ڤد سبتو⹁ 29 اوݢوس اين.

چالون٢ ترسبوت ايله امير خسايري بن محمد تنوسي ﴿بيباس⹁ ڤوکوق﴾⹁ محمد زيدي بن عزيز ﴿باريسن ناسيونل﴾ دان سانثاراسکارن انق للاکي سوبرامانيام ﴿بيباس⹁ بوکو﴾.

ڤڠعمومن دبوات ڤڠوروس ڤ.ر.ک. دون سليم⹁ شامس الرضوان ادريس ڤد ڤوکول 10.35 ڤاݢي⹁ دان مڠصحکن باهوا سوروهن جاي ڤيليهن راي تله منريما سموا کرتس ڤنچالونن اوليه کتيݢ-تيݢ چالون ڤد ڤاݢي اين.

“ساي تله مڽيمق کرتس٢ ڤناماءن ايت دان ستله سلساي دسيمق⹁ ساي برڤواس هاتي دان مموتوسکن تياد چالون يڠ دتولق ڤنچالونن⹁” کاتڽ کتيک مجليس ڤناماءن چالون.

ڤ.ر.ک. دون سليم دأدکن سوسولن کماتين ڤڽندڠڽ⹁ داتوق محمد خوسايري عبد الطاليب⹁ ڤد 15 جولاي لڤس⹁ ستله منجادي واکيل رعيت دکاوسن ايت سجق 2004.

ڤد تاهون 2008⹁ ﷲ يرحم ممنڠي کروسي دون سليم ڤد ڤيليهن راي عموم ک-14 ﴿ڤ.ر.ع. 14﴾ سلڤس منيواسکن چالون ڤرتي کعاديلن رعيت دان ڤرتي اسلام سمليسيا دڠن ماجوريتي 2,183 اودي.

سليم اداله انتارا دون دالم ڤرليمن تنجوڠ ماليم سلاءين بيهرڠ دان سوڠکاي.

سراماي 23,094 ڤڠوندي لاياق منونايکن تڠݢوڠجاوب ماسيڠ٢ دالم ڤ.ر.ک. ايت ممبابيتکن 22,815 ڤڠوندي بياسا⹁ 227 ڤڠوندي اوال دان دوا ڤڠوندي تيدق حدير لوار نݢارا.

سوروهن جاي ڤيليهن راي منتڤکن ڤ.ر.ک. دون سليم دأدکن ڤد 29 اوݢوس اين دان ڤڠوندين اوال ڤد 25 اوݢوس اين.

PRK Slim: BN Berdepan Dua Calon Bebas

Baca versi Jawi di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan bahawa tiga calon akan bertanding semasa Pilihan Raya Kecil DUN N.58 Slim yang bakal berlangsung pada Sabtu, 29 Ogos ini.

Calon-calon tersebut ialah Amir Khusyari bin Mohamad Tanusi (BEBAS, Pokok), Mohamad Zaidi Bin Aziz (Barisan Nasional), dan Santharasekaran a/l Subramaniam (BEBAS, Buku).

Pengumuman dibuat Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Shamsul Ridzuan Idris pada pukul 10.35 pagi, dan mengesahkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima semua kertas pencalonan oleh ketiga-tiga calon pada pagi ini.

“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan itu dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak pencalonan,” katanya ketika majlis penamaan calon.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, pada 15 Julai lepas, setelah menjadi wakil rakyat di kawasan itu sejak 2004.

Pada tahun 2018, Allahyarham memenangi kerusi DUN Slim pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat dan Parti Islam Se-Malaysia dengan majoriti 2,183 undi.

Slim adalah antara DUN dalam Parlimen Tanjung Malim selain Behrang dan Sungkai.

Seramai 23,094 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu membabitkan 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal dan dua pengundi tidak hadir luar negara.

SPR menetapkan PRK DUN Slim diadakan pada 29 Ogos ini dan pengundian awal pada 25 Ogos ini.

Diari Remaja @ Utusan Malaysia: Berkawanlah Dengan Keluarga Kita

Alhamdulillah, tulisan terbaharu dalam kolum saya, Diari Remaja, telah diterbit di akhbar Utusan Malaysia hari ini, bertajuk “Berkawanlah Dengan Keluarga Kita”.

Tulisan tersebut boleh dibaca di dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini, dan insya-Allah saya akan terus menulis di akhbar Utusan Malaysia bagi hari-hari Sabtu yang akan datang.