Tan Sri Rahman Arshad Meninggal Dunia

Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad meninggal dunia kira-kira pukul 10.45 pagi ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Taman Ampang Utama, Ampang dekat sini.

Jenazah disolatkan di Masjid Jamiul Huda Ampang sebelum dikebumikan di Kampung Air Limau, Melaka.

Allahyarham dilantik sebagai Pro Canselor UiTM pada 15 Disember 2002 dan meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Noor Hayati Mohamed. –{Utusan Digital]


ڤرو چنسلور اونيۏرسيتي تيکنولوݢي مارا⹁ تن سري دوکتور فلسفه عبد الرحمان ارشد منيڠݢل دونيا کيرا٢ ڤوکول 10.45 ڤاݢي اين.

ﷲ يرحم مڠهمبوسکن نافس تراخير دکديامنڽ دتامن امڤڠ اوتام⹁ امڤڠ دسيني.

جنازه دصلاةکن دمسجيد جامعة الهى امڤڠ سبلوم دکبوميکن دکمڤوڠ اءير ليماو⹁ ملاک.

الله يرحم دلنتيق سباݢاي ڤرو چنسلور انيۏرسيتي تيکنولوݢي مارا ڤد 15 ديسيمبر 2002 دان منيڠݢلکن سأورڠ ايستري⹁ ڤوان سري نور حياتى محمد.

نݢارا تيدق ممڤوڽاءي تانه⹁ هرتا جيک تياد راج٢ ملايو

Baca versi Rumi di sini.

بايڠکن هورو-هارا يڠ بوليه برلاکو کتيک کراجاءن ڤاکتن هارڤن جاتوه اکيبت کريسيس ڤوليتيک ڤد فيبرواري 2020 جيک نݢارا کيت تيدق مڠعملکن سيستم راج برڤرلمباݢاءن.

سدرکه کيت باهوا کتيک ڤنوبهنڽ⹁ ڤرسکوتون تيدق ممڤوڽاءي اڤ٢⹁ تنڤا تانه يڠ دميليقي اوليه کراجاءن٢ ملايو برداولت يڠ دڤرينته اوليه راج٢ ملايو؟

مالڠڽ⹁ ماسيه راماي رعيت يڠ ݢاݢل مڠهورماتي ينستيتوسي دراج دنݢارا کيت. لبيه ڤاره اڤابيلا رعيت برسيکڤ سماکين بيادڤ ترهادڤ راج٢ ملايو خصڽ دميديا سوسيال.

ماله ڤلباݢاي فيتنه جاهت تله دبوات کاتس بݢيندا راج٢ ملايو⹁ ترماسوق فيتنه بسر ترهادڤ المرحوم المتوكل على الله سلطان اسكندر ابن المرحوم سلطان اسماعيل يڠ مسيه دڤرچاياءي اوليه سبيلڠن رعيت سهيڠݢ کهاري اين. لبيه مالڠ لاݢي اڤابيل ڤرکارا اين جوݢ دلاکوکن دان دڤنجڠکن اوليه رعيت راج سنديري.

جلاس⹁ مريک اين بوکن سهاج بوتا سجاره نݢارا بڠسا تتاڤي جوݢ ݢاݢل مڠهاياتي ڤرلمباݢاءن ڤرسکوتون سرت روکون نݢارا. ڤرلمباݢاءن ڤرسکوتون مڠاڠکت راج٢ ملايو سباݢاي کتوا اݢام اسلام دان يڠ دڤرتوان اݢوڠ سباݢاي کتوا اوتام نݢارا⁏ دمان يڠ دڤرتوان اݢوڠ ممڤوڽاءي کواس ايک‌سيکوتيف سڤرتي يڠ تله دڤرينچيکن اوليه ڤرلمباݢاءن.

اد ڤيهق يڠ هاڽ بربڠݢ تنتڠ ديموکراسي⁏ نامون تاهوکه مريک باهوا مليسيا مڠعملکن سيستم ڤمرينتهن راج برڤرلمباݢاءن دان بوکنڽ راج دالم ديموکراسي برڤرليمن سڤرتي يڠ دعملکن ديونايتد کيڠدم؟ ماله ڤرکاتاءن ‘ديموکراسي’ تيدق ڤرنه سکالي ڤون دسبوت ددالم ڤرلمباݢاءن ڤرسکوتون.

نݢارا تله ملتقکن يڠ دڤرتوان اݢوڠ ڤد کدودوقن ترڤنتيڠ دالم سيستم ڤمرينتهن نݢارا نݢارا کران ڤونچا کواس ڤمرينتهن ڤرسکوتون برڤوست کڤد يڠ دڤرتوان اݢوڠ.

سجاره تله ممبکتيکن باهوا والاوڤون تنڤا سيستم ديموکراسي⹁ سجق داهول لاݢي⹁ کراجاءن٢ ملايو درداولت تله برجاي دتدبير دڠن باءيق⹁ عاديل دان تراتور سهيڠݢ دسݢني اوليه کراجاءن٢ لاءين ڤد زمانڽ⹁ چونتوهڽ کسلطانن ملايو ملاک دان کسلطانن جوهور-ريءاو.

نݢارا اين بوکنڽ تربنتوق دڠن سنديريڽ داتس تانه يڠ تيدق برتوان سڤرتي يڠ برلاکو ددالم سستڠه ڤرماءينن ۏيديو⁏ تتاڤي ڤرسکوتون اين دتوبوهکن حصيل ڤرموافقتن دان ڤڠوربانن راج٢ ملايو يڠ سڠݢوڤ مڠوربانکن کواس موتلق بݢيندا کاتس کراجاءن ماسيڠ٢ اونتوق برݢابوڠ ممبنتوق سبواه نݢارا ڤرسکوتون يڠ لبيه کوات.

جڠن منجادي باݢاي کاچڠ لوڤاکن کوليت اتاو سڤرتي بلاندا ممينتا تانه. کيت سموا ممڤوڽاءي حق دان تڠݢوڠجاوب ماسيڠ٢ يڠ مستي دهورماتي اوليه ستياڤ اورڠ دنݢارا اين اݢر داڤت کيت بوليه هيدوڤ دالم سواسان امان دان هرموني.

جيک رعيت برچاکڤ سوءال حق مريک⹁ اينستيتوسي دراج جوݢ دڤرونتوقکن حق اوليه ڤرلمباݢاءن⹁ بݢيتو جوݢ حق نݢارا کاتس رعيت.

ڤرکارا اين تله دڤرستوجوءي اوليه سموا ڤيهقڽ يڠ تربابيت کتيک ڤمبنتوقکن نݢارا کيت داهولو⁏ مک⹁ اڤابيلا اد ڤيهق يڠ ممڤرتيکايکن دان منونتوت حق اورڠ لاءين تنتوله ايڽ منيمبولکن ڤراساءن ماره درڤد ڤيهق يڠ دتونتوت.

بلاجرله تنتڠ سجاره نݢارا دان کناليله اصل اصول نݢارا بڠسا. جڠن سمڤاي کخيلفن مڠهنچورکن تمدون بڠسا.

Negara Tidak Mempunyai Tanah, Harta Jika Tiada Raja-raja Melayu

Baca versi Jawi di sini.

Bayangkan huru-hara yang boleh berlaku ketika kerajaan PH jatuh akibat krisis politik pada Februari 2020 jika negara kita tidak mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

Sedarkah kita bahawa ketika penubuhannya, persekutuan tidak mempunyai apa-apa, tanpa tanah yang dimiliki oleh kerajaan-kerajaan Melayu berdaulat yang diperintah oleh Raja-raja Melayu?

Sila baca: Tengku Hassanal: Kekalkan Kuasa Pemerintahan Bersama Agong

Malangnya, masih ramai rakyat yang gagal menghormati institusi diraja di negara kita. Lebih parah apabila rakyat bersikap semakin biadap terhadap Raja-raja Melayu khasnya di media sosial.

Malah pelbagai fitnah jahat telah dibuat ke atas baginda Raja-raja Melayu, termasuk fitnah besar terhadap Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail yang masih dipercayai oleh sebilangan rakyat sehingga ke hari ini. Lebih malang lagi apabila perkara ini juga dilakukan dan dipanjangkan oleh rakyat Raja sendiri.

Sila baca: Fitnah Yang di-Pertuan Agong: Guardian Harus Mohon Ampun

Jelas, mereka ini bukan sahaja buta sejarah negara bangsa tetapi juga gagal menghayati Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara. Perlembagaan Persekutuan mengangkat Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam dan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara; di mana Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa eksekutif seperti yang telah diperincikan oleh Perlembagaan.

Ada pihak yang hanya berbangga tentang demokrasi; namun tahukah mereka bahawa Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan (constitutional monarchy) dan bukannya Raja dalam demokrasi berparlimen (democratic parliamentary monarchy) seperti yang diamalkan di England? Malah perkataan ‘demokrasi’ tidak pernah sekali pun disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sila baca: Kuasa Eksekutif Agong Yang Kurang Diketahui

Negara telah meletakkan Yang di-Pertuan Agong pada kedudukan terpenting dalam sistem pemerintahan negara kerana punca kuasa pemerintahan Persekutuan berpusat kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sejarah telah membuktikan bahawa walaupun tanpa sistem demokrasi, sejak dahulu lagi, kerajaan-kerajaan Melayu berdaulat telah berjaya ditadbir dengan baik, adil dan teratur sehingga disegani oleh kerajaan-kerajaan lain pada zamannya, contohnya Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Johor-Riau.

Sila baca: Raja Melayu Payung Negara

Negara ini bukannya terbentuk dengan sendirinya di atas tanah yang tidak bertuan seperti yang berlaku di dalam sesetengah permainan video; tetapi persekutuan ini ditubuhkan hasil permuafakatan dan pengorbanan Raja-raja Melayu yang sanggup mengorbankan kuasa mutlak baginda ke atas kerajaan masing-masing untuk bergabung membentuk sebuah negara persekutuan yang lebih kuat.

Jangan menjadi bagai kacang lupakan kulit atau seperti Belanda meminta tanah. Kita semua mempunyai hak dan tanggungjawab masing-masing yang mesti dihormati oleh setiap orang di negara ini agar dapat kita boleh hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Sila baca: Hayati Pengorbanan Raja-Raja Melayu Dalam Menyambut Hari Kebangsaan

Jika rakyat bercakap soal hak mereka, institusi diraja juga diperuntukkan hak oleh Perlembagaan, begitu juga hak negara ke atas rakyatnya.

Perkara ini telah dipersetujui oleh semua pihak yang terbabit ketika pembentukan negara kita dahulu; maka, apabila ada pihak yang mempertikaikan dan menuntut hak orang lain tentulah ianya menimbulkan perasaan marah daripada pihak yang dituntut.

Sila baca: Masih Relevankah Sistem Beraja?

Belajarlah tentang sejarah negara dan kenalilah asal usul negara bangsa. Jangan sampai kekhilafan menghancurkan tamadun bangsa.


Tengku Hassanal: Kekalkan Kuasa Pemerintahan Bersama Agong

Kuasa eksekutif mentadbir kerajaan bertukar ganti, tetapi kuasa pemerintahan negara perlu kekal selamat di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong yang mana Seri Paduka menjadi wakil kepada Majlis Raja-raja Melayu.

Menyentuh pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan anggota Kabinetnya, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pelantikan itu meneruskan legasi kecemerlangan kerajaan yang dilantik dan diamanahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sila baca: Negara Tidak Mempunyai Tanah, Harta Jika Tiada Raja-raja Melayu

Baginda bertitah, menerusi kuasa dimiliki Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu, proses perubahan kuasa eksekutif sentiasa dapat dijalankan dalam suasana yang tenang dan membawa manfaat kepada semua pihak.

“Kuasa itu (pemerintahan negara) harus kekal bersama Raja-raja Melayu sebagai penjaga amanah kuasa Allah SWT di muka bumi ini,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-61 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Pada istiadat berkenaan, lapan anakanda Al-Sultan Abdullah antara 56 penerima darjah kebesaran dan pingat yang disempurnakan pengurniaannya oleh Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Tiga anakanda Sultan Pahang menerima Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri iaitu Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah dan Tengku Puteri Iman Afzan.

Lima lagi anakanda Al-Sultan Abdullah menerima Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) membawa gelaran Datuk Indera iaitu, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, Tengku Puteri IIisha Ameera, Tengku Puteri IIyana, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.

Daripada 56 penerima itu, 19 orang menerima SSAP, SIMP (lapan orang), Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk (lapan orang), Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) juga bergelar Datuk (16 orang).

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah, kedaulatan seseorang sultan itu merupakan anugerah yang hanya boleh diperolehi dengan memperhambakan diri secara keseluruhannya kepada Allah SWT, pemilik segala kuasa yang melimpahkurniakan pangkat, kedudukan dan menzahirkan kesultanan itu sendiri.

Dalam pada itu, baginda bertitah, negara pada ketika ini sedang diuji dengan beberapa bentuk ujian yang begitu besar.

Ujian itu titah baginda, bukan untuk menjatuhkan tetapi menjadikan rakyat lebih matang, kuat dan tabah jika dapat secara bersama-sama mengharunginya dengan sabar dan bertindak tepat.

“Yang di-Pertuan Agong telah menunjukkan contoh teladan yang baik ketika negara menghadapi ancaman Covid-19. Nasihat serta contoh teladan dipamerkan, tidak lain hanya melambangkan keikhlasan dan kasih sayang tulen yang tersemat dalam hati Seri Paduka terhadap rakyat jelata dan negara tercinta ini,” titah baginda. –{Utusan Digital]