Selamat Menyambut Maal Hijrah 1442

سلامت مڽمبوت مع الهجرة 1442

PATI: UNCHR Akui Ada Pemalsuan Kad Pelarian

Baca versi Jawi di sini.

Suruhanjaya Ting­gi Pertubuhan Bangsa-bang­sa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) mengakui tentang kewujudan kegiatan pemalsuan kad pelarian suruhanjaya tersebut.

Memetik laporan Utusan Digital, pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah menetapkan ciri keselamatan dalam kad pelarian tersebut, termasuklah ciri hologram, kod palang, sistem tindak balas pantas selamat selain pengumpulan da­­­ta biometrik yang memerlukan imbasan iris dan cap jari.

“Sebahagian daripada usa­ha berterusan kami untuk mem­ban­teras pemalsuan kad dan pemalsuan identiti, UNHCR telah membuat pelaburan yang besar dalam memperkukuhkan lagi prosedur dan memastikan inte­griti dokumen kami.

“Kesahihan kad boleh disahkan melalui aplikasi UNHCR Verify-MY yang membolehkan pegawai penguat kuasa undang-undang dan mereka yang terlibat dalam kerja perlindungan dan bantuan untuk lebih mudah membuat pengesahan kad,” katanya dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Menurut pendedahan oleh akhbar Mingguan Malaysia pada 2hb Ogos lalu, kad palsu warga asing berkenaan boleh diperoleh menerusi ejen dengan harga sekitar RM500 ke RM800 sahaja. Mereka akan diberi kad palsu tersebut jika tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh UNHCR bagi kad tersebut.

Walau bagaimanapun, sekiranya mereka ditangkap, warga asing terlibat akan diberikan kad UNHCR yang sah dengan mudah.

Utusan Malaysia pada bulan lepas turut pernah mendedahkan kira-kira 86,155 pelarian Rohingya di negara ini hampir menyamai bilangan penduduk Putrajaya namun hanya 317 yang diberikan penempatan di negara ketiga dalam tempoh enam bulan tahun ini namun hakikatnya Malaysia hanya penempatan sementara.

ڤاتي: بڠسا٢ برساتو اکوءي اد ڤمالسون کاد ڤلارين

Baca versi Rumi di sini.

سوروهنجاي تيڠݢي ڤرتوبوهن بڠسا٢ برساتو اونتوق ڤلارين ﴿يو اين ايچ سي ار﴾ مڠاکوءي تنتڠ کووجودن کݢيءاتن ڤمالسون کاد ڤلارين سوروهنجاي ترسبوت.

ممتيق لاڤورن اوتوسن ديݢيتل⹁ ڤيهق ڤرتوبوهن بڠسا٢ برساتو تله منتڤکن چيري کسلامتن دالم کاد ڤلارين ترسبوت⹁ ترماسوقله چيري هولوݢرام⹁ کود ڤالڠ⹁ سيستم تيندق بالس ڤانتس سلامت سلاءين ڤڠومڤولن دات بيوميتريک يڠ ممرلوکن ايمبسن ايريس دان چڤ جاري.

“سباهݢين درڤد اوسها برتروسن کامي اونتوق ممبنتراس ڤماسلون کاد دان ڤمالسون ايدينتيتي⹁ يو اين ايچ سي ار تله ممبوات ڤلابورن يڠ بسر دالم ممڤرکوکوهکن لاݢي ڤروسيدور دان مماستيکن اينتيݢريتي دوکومن کامي.

“کصحيهن کاد بوليه دصحکن ملالوءي اڤليکاسي يو اين ايچ سي ار ۏيريفاي-مي ﴿UNHCR Verify-MY﴾ يڠ ممبوليهکن ڤݢاواي ڤڠوات کياس اوندڠ٢ دان مريک يڠ ترليبت دالم کرج ڤرليندوڠن دان بانتون اونتوق لبيه موده ممبوات ڤڠصحن کاد⹁” کاتڽ دالم سبواه کڽاتاءن يڠ دکلوارکن سمالم.

منوروت ڤنددهن اوليه اخبر ميڠݢون مليسيا ڤد 2 اوݢوس لالو⹁ کاد السو وارݢ اسيڠ برکناءن بوليه دڤروليهي منروسي ايجين دڠن هارݢ سکيتر 500 ک 800 ريڠݢيت سهاج. مريک اکن دبري کاد ڤالسو ترسبوت جيک تيدق منڤاتي شارت يڠ دتتڤکن اوليه يو اين ايچ سي ار باݢي کاد ترسبوت.

والاو باݢايمانڤون⹁ سکيراڽ مريک دتڠکڤ⹁ وارݢ اديڠ ترليبت اکن دبري کاد يو اين ايچ سي ار يڠ صح دڠن مده.

اوتوسن مليسيا ڤد بولن لڤس توروت ڤرنه منددهکن کيرا٢ 86,155 ڤلارين روهيڠڽ دنݢارا اين هامڤير مڽاماءي بيلاڠن ڤندودوق ڤوتراجاي نامون هاڽ 317 يڠ دبريکن ڤنمڤاتن دنݢارا کتيک دالم تيمڤوه انم بولان تاهون اين نامون هاکيکتڽ مليسيا هاڽ ڤنمڤاتن سمنتارا.