Ku Li: PPBM Tak Layak Jadi Pakatan Melayu-Islam, Ahli UMNO Perlu Undur Dari Kabinet

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengeluarkan kenyataan menggemparkan dengan meminta ahli-ahli UMNO yang menganggotai Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya segera berundur daripada jawatan masing-masing.

Gesaan itu dibuat berikutan pengumuman Parti Bersatu untuk menerima bukan Melayu sebagai ahli parti.

Sila baca: Adakah Ini Kebenaran Di Sebalik Penubuhan Semangat 46?

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata pengumuman Bersatu dengan sendirinya telah menghilangkan kelayakan parti tersebut sebagai anggota Pakatan Melayu Islam yang didukung oleh Muafakat Nasional.

“Kita UMNO tidak pernah menjadi anggota kerajaan Perikatan Nasional, hanya kita memberi sokongan dari awal penubuhan kerajaan ini untuk menjaga dan memelihara kestabilan politik negara.

“Dengan berlakunya perubahan yang diumumkan oleh Bersatu, wajar ahli-ahli UMNO yang menganggotai kabinet kerajaan sekarang berundur daripada melibatkan diri dalam kerajaan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan PN sekarang ditubuhkan pada 29 Feb, atas dasar sokongan beberapa parti politik iaitu Bersatu, UMNO dan PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah), MCA dan MIC.

Penubuhan kerajaan itu berlaku apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai oleh PKR, DAP, Bersatu dan Parti Amanah Negara (Amanah) hilang sokongan suara dalam Parlimen berikutan tindakan Bersatu keluar daripada PH.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac dan membentuk kabinetnya pada 10 Mac.

Bersatu diterima masuk Muafakat Nasional yang dianggotai oleh UMNO dan PAS pada 13 Ogos dan Muhyiddin menyatakan persetujuan menyertai gabungan itu pada 18 Ogos.  

Dalam kenyataan satu muka surat itu, Tengku Razaleigh berkata ahli-ahli UMNO berkenaan perlu bertindak cepat bagi membolehkan UMNO menumpukan perhatiannya kepada penyelesaian masalah golongan muda mencari pekerjaan dalam keadaan negara menghadapi pandemik COVID-19.

Seramai sembilan Ahli Parlimen daripada UMNO berada dalam kabinet kerajaan PN sekarang iaitu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, Menteri Belia dan Sukan Datuk Reezal Merican Naina Merican, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Turut menjadi anggota pentadbiran kerajaan ialah tujuh anggota Parlimen daripada UMNO iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I  Datuk Seri Abdul Rahman Mohamed, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib, Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datin Mastura Mohd Yazid, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin. —{BERNAMA]

Perkasa Rukun Negara Ke Arah Membina Sebuah Negara Bangsa Berdaulat: Sultan Selangor

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu lima prinsip Rukun Negara yang digubal pada tahun 1970 diperkasakan semula ke arah membina sebuah negara bangsa yang berdaulat dan disegani.

Menurut kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini, baginda berpandangan kurangnya penekanan terhadap Rukun Negara sejak tahun 80-an sehingga sekarang menyebabkan masih ada rakyat tidak mengamalkan asas-asas yang didukung menerusi prinsip tersebut.

Sultan Sharafuddin turut berpandangan masih kurang penghargaan dan apresiasi terhadap prinsip Rukun Negara diterapkan dalam agenda perpaduan nasional. “Ia berpunca daripada kelemahan segelintir rakyat dalam mendukung keluhuran Perlembagaan Persekutuan menerusi setiap tindakan serta kegagalan menghormati kedaulatan institusi raja di negara ini,” titah baginda dalam kenyataan itu.

Justeru, Sultan Sharafuddin mahu lima prinsip Rukun Negara itu bukan sahaja dihafal tetapi terus dihayati, diamalkan dan dipraktikkan dalam kehidupan rakyat di negara ini.

Bagaimanapun, Istana Alam Shah menyatakan baginda gembira dan sukacita melihat perkembangan semasa apabila ada usaha-usaha serius untuk menerapkan prinsip Rukun Negara ke arah memperteguh keharmonian sesama kaum di Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Sultan Sharafuddin percaya, sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, keteguhan perpaduan sedia ada mampu diperkukuhkan lagi sekiranya setiap rakyat memahami dengan sepenuh hati tentang sejarah dan perjuangan bangsa, terutamanya prinsip yang digariskan dalam Rukun Negara.

Pada masa sama, Sultan Selangor menyeru rakyat Malaysia supaya mengambil teladan daripada kaedah penghayatan dan pemahaman rakyat Indonesia terhadap prinsip nasional mereka menerusi ‘Pancasila’ yang diamalkan secara serius dan terbukti berkesan dalam memupuk semangat patriotisme.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengutus ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-63 kepada seluruh rakyat Malaysia. —{BERNAMA]