رسمي – ڤ.ر.ک. سليم: باريسن ناسينل منڠ بسر⹁ ماجوريتي 11 ريبو

Baca versi Rumi di sini.

چالون باريسن ناسيونل⹁ محمد زيدي بن عزيز تله دعمومکن سباݢاي ڤمنڠ ڤيليهن راي کچيل سليم سبنتر تادي⹁ دڠن ماجوريتي يڠ ساڠت بسر ياءيت. 10,945 اوندي.

چالون بيباس ﴿ڤوکوق﴾ امير خوسايري بن محمد تنوسي هاڽ داڤت مراءيه سباڽق 2,115 اوندي⹁ مانکالا چالون بيباس ﴿بوکو﴾ ڤروفيسور سانتاراسکارن انق للاکي سوبرامانيام منداڤت 276 اوندي.

اونتوق ريکود⹁ ڤد تاهون 2018 ﴿ڤ.ر.ع. 14﴾⹁ الله يرحم داتوق محمد خوسايري عبد الطاليب ممنڠي کروسي دون سليم دڠن ماجوريتي 2,183 اوندي⹁ دان باريسن ناسيونل تيدق ڤرنه منڠ کروسي ترسبوت دڠن ماجوريتي لبيه 5,000 اوندي⹁ دان يڠ ترباڽق اداله ڤد تاهون 2004 دڠن ماجوريتي 4,875 اوندي.

ڤ.ر.ک. دون سليم دأداکن سوسولن کماتين ڤڽاندڠڽ⹁ داتوق محمد خوسايري عبد الطاليب⹁ ڤد 15 جولاي لڤس ستله منجادي واکيل رعيت دکاوسن ايت سجق 2004.

سليم اداله انتارا دون دالم ڤرليمن تانجوڠ ماليم سلاءين بيهرڠ دان سوڠکاي.

RASMI – PRK Slim: Barisan Nasional Menang Besar, Majoriti 11k

Baca versi Jawi di sini.

Calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi bin Aziz telah diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil N.58 Slim sebentar tadi, dengan majoriti yang sangat besar iaitu 10,945 undi.

Calon BEBAS (Pokok) Amir Khusyairi bin Mohd Tanusi hanya dapat meraih sebanyak 2,115 undi, manakala calon BEBAS (Buku) Profesor Santharasekaran a/l Subramaniam mendapat 276 undi.

Untuk rekod, pada tahun 2018 (PRU14), Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib memenangi kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, dan Barisan Nasional tidak pernah menang kerusi tersebut dengan majoriti lebih 5,000 undi, dan yang terbanyak adalah pada tahun 2004 dengan majoriti 4,875 undi.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, pada 15 Julai lepas, setelah menjadi wakil rakyat di kawasan itu sejak 2004.

Slim adalah antara DUN dalam Parlimen Tanjung Malim selain Behrang dan Sungkai.

ڤ.ر.ک. سليم: انتارا اءورا محضير دان نجيب

Baca versi Rumi di sini.

برجايکه ايسو داتوق سري نجيب رزاق يڠ دماءينکن تون دوکتور محضير منجاتوهکن چالون باريسن ناسيونل ڤد ڤ.ر.ک. سليم؟

ڤيليهن راي کچيل سليم مروڤاکن انتارا ڤ.ر.ک. يڠ مناريق ڤرهاتين⹁ خصوصڽ باݢي ڤمرهاتي ڤوليتيک تانه اءير دالم منيلاي ڤڠاروه ڤوليتيک تون دوکتور محضير ڤد کتيک اين.

اين اداله ڤ.ر.ک. ڤرتام سجق تون دوکتور محضير مڠعمومکن ڤنوبوهن ڤرتي باهروڽ⹁ ڤرتي ڤجواڠ تانه اءير دان چالون بيباس ﴿ڤوکوق﴾⹁ امير خوسايري محمد تنوسي مروڤاکن ڤروکسي ڤرتي تون محضير.

سيلا باچ: اناليسيس: ممڤوکه تون مراءيه اوندي بوکن ملايو؟

تون دوکتور محضير سنديري تله تورون برکيمڤين دسليم اونتوق ممستيکن کمنڠن چالون ڤيليهنڽ.

ڤميمڤين٢ ڤاکتن هارڤن توروت برکيمڤين اونتوق چالون تون محضير⁏ مناندکن سوکوڠن مريک ترهادڤ ڤرتي باهرو تون.

سليم مروڤاکن کاوسن کوبو کوات باريسن ناسيونل⹁ دمان ﷲ يرحم داتوق محمد خوسايري تله برجاي ممڤرتاهنکن کروسي اين دڠن سليس والاوڤون ڤد ڤ.ر.ع. 14 ياءيت ڤ.ر.ع. ڤاليڠ ݢتير بوات باريسن ناسيونل.

مليهت کڤد ستاتيستيک يڠ لڤس⹁ ڤرتي ڤيمڤينن تون دوکتور محضير ڤد کتيک ايت تله ݢاݢل ممڤرتاهنکن کروسي يڠ مريک مناڠي سماس ڤ.ر.ع. 14 دان کاله کڤد باريسن ناسيونل دالم ڤ.ر.ک. سمڽيه دان ڤاليڠ تروق ڤد ڤ.ر.ک. تنجوڠ ڤيءاي.

ڤرسوءالنڽ⹁ ممڤوکه چالون ڤروکسي ڤرتي تون محضير مرمڤس کروسي سليم درڤد چالون باريسن ناسيونل؟

ساي کيرا کڤوتوسن ڤ.ر.ک. اين اکن منجادي ساتو کايو ايکور ککواتن ڤڠاروه تون دوکتور محضير دان ڤرتي باهروڽ سرت ڤاکتن هارڤن يڠ تله برکيمڤين مننتڠ باريسن ناسيونل.

ماءينن ايسو تنتڠ داتوق سري نجيب رزاق اوليه تون دوکتور محضير دان کيمڽ سماس برکيمڤين منجاديکن ڤ.ر.ک. اين سأکن-اکن ݢلاڠݢڠ ڤرتمڤورن تون دوکتور محضير مننتڠ داتوق سري نجيب رزاق.

PRK Slim: Antara Aura Mahathir dan Najib

Baca versi Jawi di sini.

Berjayakah isu Dato’ Seri Najib Razak yang dimainkan oleh Tun Dr. Mahathir menjatuhkan calon BN pada PRK Slim?

Pilihan Raya Kecil Slim merupakan antara PRK yang menarik perhatian, khususnya bagi pemerhati politik tanah air dalam menilai pengaruh politik Tun Dr. Mahathir pada ketika ini.

Ini adalah PRK pertama sejak Tun Dr. Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharunya, Parti Pejuang Tanah Air dan calon BEBAS (Pokok), Amir Khusyairi Mohamad Tanusi merupakan proksi parti Tun Mahathir.

Sila baca: Analisis: Mampukah Tun Meraih Undi Bukan Melayu?

Tun Dr. Mahathir sendiri telah turun berkempen di Slim untuk memastikan kemenangan calon pilihannya.

Pemimpin-pemimpin PH turut berkempen untuk calon Tun Mahathir; menandakan sokongan mereka terhadap parti baharu Tun.

Slim merupakan kawasan kubu kuat BN, di mana Allahyarham Datuk Mohd Khusairi telah berjaya mempertahankan kerusi ini dengan selesa walaupun pada PRU14, iaitu PRU paling getir buat Barisan Nasional.

Melihat kepada statistik yang lepas, parti pimpinan Tun Dr. Mahathir pada ketika itu telah gagal mempertahankan kerusi yang mereka menangi semasa PRU14 dan kalah kepada BN dalam PRK Semenyih dan paling teruk pada PRK Tanjung Piai.

Persoalannya, mampukah calon proksi parti Tun Mahathir merampas kerusi Silm daripada calon BN?

Saya kira keputusan PRK ini akan menjadi satu kayu ukur kekuatan pengaruh Tun Dr. Mahathir dan parti baharunya serta PH yang telah berkempen menentang BN.

Mainan isu tentang Dato’ Seri Najib Razak oleh Tun Dr. Mahathir dan kemnya semasa berkempen menjadikan PRK ini seakan-akan gelanggang pertempuran Tun Dr. Mahathir menentang Dato’ Seri Najib Razak.

Diari Remaja @ Utusan Malaysia: Merdeka itu Bendera?

Alhamdulillah, tulisan terbaharu dalam kolum saya, Diari Remaja, telah diterbit di akhbar Utusan Malaysia hari ini, bertajuk “Merdeka itu Bendera?”.

Tulisan tersebut boleh dibaca di dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini, dan insya-Allah saya akan terus menulis di akhbar Utusan Malaysia bagi hari-hari Sabtu yang akan datang.