Mustahil UMNO Bercantum Dengan PPBM Selepas Buka Keahlian: Shabery Cheek

Seorang pemimpin Umno berkata, mustahil parti itu dan PPBM boleh bercantum disebabkan ideologi berbeza selepas PPBM memutuskan untuk membuka keahlian kepada semua kaum.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Shabery Cheek berkata, asas untuk 2 parti Melayu itu kembali bersatu ialah keahlian.

Beliau memberi contoh Semangat 46 dan Umno yang kembali bersatu dengan mudah kerana mempunyai corak keahlian sama, iaitu Melayu dan Bumiputera, begitu juga Parti Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia yang merupakan parti berbilang kaum.

Tetapi, katanya, PPBM tidak mungkin dapat bersatu dengan Umno kerana ia menggunakan model PKR yang merupakan parti berbilang kaum.

“Sebaliknya, PPBM mudah bercantum dengan PKR, kalau corak keahliannya sama. Mungkin inilah hasrat Azmin Ali dan kawan-kawannya apabila menyertai PPBM. Rindu PKR.

“Mungkin Tengku Razaleigh Hamzah nak guna ‘tingkap masa’ ini buat kejutan. Kalau ada hasrat nak bertemu, jangan bergerak ke lain arah. Matlamat itu penting, walaupun kenderaan kita berbeza buat masa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmin yang merupakan bekas timbalan presiden PKR bersama 10 ahli Parlimen lain menyertai PPBM pada 22 Ogos lalu.

Pada masa sama, Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, parti itu sedia meminda perlembagaan untuk membolehkan ahli bersekutu yang bukan Bumiputera mempunyai peranan lebih meluas dan kelak boleh memegang jawatan lebih tinggi dalam parti itu.

Susulan itu, Razaleigh pada Jumaat lalu dilaporkan berkata, keputusan PPBM menerima ahli bukan Melayu menyebabkan parti itu hilang kelayakan menyertai Muafakat Nasional yang merupakan pakatan orang Melayu.

Katanya, Umno tidak pernah menjadi menyertai Perikatan Nasional (PN), sebaliknya hanya menyokongnya untuk membentuk kerajaan demi kestabilan politik negara.

Oleh itu, beliau menggesa pemimpin Umno berundur daripada Kabinet secepat mungkin supaya parti itu tidak “membuang masa” dalam kerajaan. -{Free Malaysia Today]

Muafakat Nasional Mesti Perjelaskan Hala Tuju Sebagai Pakatan Melayu-Islam: Ku Li

Muafakat Nasional (MN) sepatutnya diperkukuhkan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) namun hala tujunya ketika ini masih tidak jelas, kata Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, MN yang dibentuk oleh UMNO dan Pas kini bagaikan hilang arah tuju sebenar sebagai sebuah pakatan Melayu Islam.

Beliau berkata, pelawaan pihak yang bertanggungjawab dalam MN meminta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi anggota juga bercanggah dengan tujuan asal gabungan itu.

“Saya tidak kritik sesiapa dan hanya bagi pandangan. Kelirulah… Kalau saya keliru, orang bawah macam mana? Kita nak hadapi pilihan raya mesti jelas.

“Orang bawah bosan, keliru dan rasa sesuatu tak kena. Kalau ada orang syok sangat kepada Bersatu, dia masuk Bersatulah. Tak ada siapa nak halang. Biar dia pertahankan Bersatu itu dia punya hal.

“Tetapi kita nak jaga apa yang diberitahu kepada rakyat mesti perkara yang nak dilaksanakan oleh kita. Jangan cakap lain, bikin lain,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Bukit Cekati di sini hari ini.

Jumaat lalu, beliau dilaporkan berkata, pemimpin UMNO yang menganggotai Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sewajarnya berundur daripada melibatkan diri dalam kerajaan berikutan pengumuman Bersatu untuk menerima keahlian bukan Melayu.

Beliau berkata, tindakan Bersatu itu menjadikannya tidak layak menganggotai pakatan Melayu Islam yang didokong MN.

Sementara itu, Tengku Razaleigh berkata, kenyataannya sebelum ini yang meminta ahli UMNO dalam Kabinet PN segera berundur daripada jawatan masing-masing adalah pandangan peribadinya.

Katanya, beliau tidak berniat untuk mengkritik mana-mana pemimpin atau parti lain tetapi hanya memberi pandangan dalam keadaan situasi politik yang berlaku ketika ini.

“Parti kita kata sudah tidak menyertai kerajaan PN tetapi ahli-ahli UMNO masih duduk dalam Kabinet yang ditubuh oleh kerajaan. Ini semuanya menimbulkan kekeliruan.

“Kalau pemimpin tak setuju pandangan saya dia punya hal lah. Saya hanya bagi pandangan. Nak dengar, dengarlah… tak nak dengar sudah,” katanya. –{Utusan Digital]