Ahli Parlimen Warisan (Batu Sapi) Koma

Ahli Parlimen Parti Warisan Sabah (Warisan) Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong disahkan koma dipercayai akibat jangkitan radang paru-paru.

Perkara itu disahkan oleh salah seorang pegawainya kepada Utusan Malaysia.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana tiada perkembangan terbaru yang diterimanya setakat ini.

“Ya,” katanya ringkas ketika ditanya apakah Vui Keong kini berada dalam keadaan koma.

Difahamkan, Vui Keong dimasukkan ke Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, Sabah selepas mendapat jangkitan radang paru-paru.

Kakitangan itu berkata, Vui Keong yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) sempat berkempen ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.

“Namun pada akhir-akhir tempoh berkempen, YB (Yang Berormat) sudah mula sakit dan saya tidak lagi mendengar perkembangan terbaru sebab YB berada di Batu Sapi. Saya pula jaga Penampang, ia jauh seperti utara dan selatan.

“Saya pun tidak mahu ulas panjang tentang perkara ini, sebab lebih baik isteri beliau sendiri yang bercakap mengenainya,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Vui Keong merampas kerusi Parlimen Batu Sapi di bawah tiket Warisan daripada calon Parti Bersatu Sabah, Datuk Linda Tsen Thau Lin dengan majoriti 4,619 undi.

Vui Keong adalah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kerajaan terdahulu ketika di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri ,Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam Kabinet bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2009 hingga 2013.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) sejak 2006 hingga 2014 itu menjadi Ahli Parlimen Sandakan selepas menang dalam pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-121 atas tiket Barisan Nasional (BN), namun usahanya untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 gagal setelah tewas kepada calon DA, Stephen Wong Tien Fatt.

Kareer politiknya bertambah buruk pada 2014 apabila tersepit dalam kemelut perebutan jawatan presiden LDP yang merupakan parti komponen BN ketika itu, apabila Datuk Teo Chee Kang dipilih untuk memimpin parti berkenaan selepas Vui Keong mengambil alih tampuk kepimpinan parti daripada Tan Sri Chong Kah Kiat pada 2006.

Namun,Vui Keong mendapat semangat dan talian hayat baharu dalam karier politiknya dengan meninggalkan LDP dan memilih untuk bersama Warisan pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal. –{Utusan Digital]

Jeffrey Kitingan Letak Jawatan Sebagai Timbalan Menteri

Timbalan ketua menteri Sabah yang baru dilantik, Jeffrey Gapari Kitingan telah meletakkan jawatannya sebagai timbalan menteri pelancongan, seni dan budaya di dalam kerajaan persekutuan.

Menurut akhbar Sin Chew Daily, Kitingan telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai hasrat pengunduran dirinya, hari ini.

Kitingan, 72, dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sabah, di Kota Kinabalu pagi ini.

Dia adalah salah satu daripada tiga timbalan ketua menteri, yang dilantik, hari ini. Selain dirinya, turut dilantik sebagai timbalan kepada ketua menteri Sabah, Hajiji Noor adalah Bung Moktar Radin dan Joachim Gunsalam.

Kitingan adalah presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan anggota Parlimen tunggal parti itu yang mewakili parlimen Keningau.

Pada pilihan raya negeri Sabah, Ahad lalu, dia berjaya mengekalkan kerusi Tambunan dengan majoriti yang lebih besar. -{Malaysiakini]

Rakaman Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri & Timbalan-timbalan Ketua Menteri Sabah

Rakaman penuh istiadat mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji bin Mohd Noor, dan Timbalan-timbalan Ketua Menteri Sabah, Dato’ Sri Bung Mokhtar Radin, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr. Joachim Gunsalam.

Hajiji Dinamakan Ketua Menteri Sabah Baharu

Baca versi Jawi di sini.

Gabungan Rakyat Sabah melalui satu pengumuman bersama telah mengumumkan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dari Perikatan Nasional sebagai Ketua Menteri Sabah baharu, sejurus memenangi Pilihan Raya Negeri Sabah dua hari lepas.

Hajiji yang juga merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia negeri Sabah dijangka akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri esok.

Jawatan Timbalan Ketua Menteri pula diberi kepada Pengerusi Barisan Nasional negeri Sabah, Dato’ Sri Bung Mokhtar Radin, yang juga merupakan ADUN Lamag.

Baca senarai penuh keputusan PRN Sabah.

Terdahulu, Gabungan Rakyat Sabah yang terdiri daripada Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah telah memenangi Pilihan Raya Negeri Sabah dengan jumlah 38 kerusi, manakala kerajaan negeri terdahulu, Warisan daripada gabungan Warisan+ hanya dapat meraih 32 kerusi.

Keputusan tersebut diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya sejurus jumlah undian selesai dikira dua hari lepas.

GRS tadi telah mengadakan satu pertemuan bagi membincangkan calon Ketua Menteri Sabah yang baharu, selepas Datuk Seri Hajiji mengumumkan bahawa GRS akan mengumumkan calon Ketua Menteri mereka secara bersama-sama.

حاجيجي محمد نور کتوا منتري سابه باهرو

Baca versi Rumi di sini.

ݢابوڠن رعيت سابه ملالوءي ساتو ڤڠعمومن برسام تله مڠعمومکن داتوق سري داتوق سري حاجيجي محمد نور سباݢاي کتوا منتري سابه باهرو⹁ سجوروس ممنڠي ڤيليهن راي نݢري سابه دوا هاري لڤس.

حاجيجي يڠ جوݢ مروڤاکن ڤڠروسي ڤرتي ڤريبومي برساتو مليسيا نݢري سابه دجاڠک اکن مڠاڠکتسومڤه جاوتن سباݢاي کتوا منتري ايسوق.

باچ سناراي ڤنوه کڤوتوسن ڤ.ر.ن. سابه.

ترداهولو⹁ ݢابوڠن رعيت سابه يڠ ترديري درڤد ڤريکاتن ناسيونل⹁ باريسن ناسيونل دان ڤرتي برساتو سابه تله ممنڠي ڤيليهن راي نݢري سابه دڠن جومله 38 کروسي⹁ مانکالا کراجاءن نݢري ترداهولو⹁ واريثن درڤد ݢابوڠن واريثن+ هاڽ داڤت مراءيه 32 کروسي.

کڤوتوسن ترسبوت دعمومکن سوروهنجاي ڤيليهن راي سجوروس جومله اوندين سلساي دکيرا.

ݢابوڠن رعيت سابه تادي تله مڠاداکن ساتو ڤرتموان باݢي ممبينچڠکن چالون کتوا منتري سابه يڠ باهرو⹁ سلڤس داتوق سري حاجيجي مڠعمومکن باهوا ݢابوڠن رعيت سابه اکن مڠعمومکن چالون کتوا منتري مريک سچارا برسام-سام.

Jalan Palestin: Kenapa Jalan Raja Laut, Bukan Jalan Nama Inggeris Diganti?

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa kelihatan tidak senag dengan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menamakan semula “Jalan Raja Laut 1” menjadi “Jalan Palestin”.

Annuar mengatakan bahawa dia tiada halangan jika sesuatu jalan dinamakan Jalan Palestin namun mempersoalkan alasan jalan yang diberi sempena nama tokoh dalam sejarah Melayu itu dipilih untuk diganti dan bukannya jalan dengan nama Inggeris.

“Saya tiada halangan nak namakan jalan di Kuala Lumpur dengan nama Jalan Palestin, sebagai tanda sokongan kepada perjuangan pembebasan Al-Quds.

“Namun saya mahukan penjelasan kenapa pilih tukar nama Jalan Raja Laut, nama besar sejarah Melayu dan Kuala Lumpur.

“Kenapa tak tukar jalan nama Inggeris seperti Jalan Stonor, Jalan Conlay, Cohrane Road,” katanya di Twitter.

Untuk rekod, DBKL berada di bawah kementerian Annuar.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, idea untuk menukar nama jalan itu dicetuskan selepas  Himpunan Hari Al-Quds Sedunia yang diadakan di Dataran DBKL pada 26 hingga 31 Mei tahun lalu.

“Kementerian Wilayah Persekutuan meminta untuk menamakan satu jalan di Kuala Lumpur sebagai Jalan Palestin.

“Menamakan semula jalan melambangkan sokongan Malaysia untuk perjuangan rakyat Palestin menentang penindasan dan akhirnya, membentuk negara Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. -{Malaysiakini]

Terkini: Ketua Menteri Sabah Angkat Sumpah Esok

Persoalan siapakah yang akan menjadi ketua menteri Sabah dijangka terjawab esok.

Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Penerangan Sabah, majlis angkat sumpah jawatan dijadualkan berlangsung di Istana Negeri pada jam 10.30 pagi.

Selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu, Hajiji Noor dan Bung Mokhtar Radin masing-masing menjadi calon ketua menteri untuk Perikatan Nasional (PN) serta Barisan Nasional (BN).

Hajiji adalah pengerusi PN Sabah, manakala Bung merupakan pengerusi BN dan 2 pemimpin itu menghadap Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, semalam.

Berikutan PRN baru-baru ini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada PN, BN dan PBS memenangi 38 kerusi, sekali gus mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Sementara itu, Warisan Plus memenangi 32 kerusi, manakala 3 lagi dimenangi calon bebas.

Bagaimanapun malam tadi, timbul spekulasi mengatakan sebuah parti dalam PN bakal bergabung dengan Warisan Plus untuk menubuhkan kerajaan.

Sumber mengatakan beberapa pemimpin parti berkenaan dan Warisan Plus berkumpul di rumah presiden Warisan, Shafie Apdal, semalam.

Setakat ini, FMT masih berusaha untuk mendapatkan maklumat sah sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya. -{Free Malaysia Today]

Terima Kasih Atas Teguran …

Saya menghargai komen tentang tulisan saya berkenaan laporan liputan langsung Astro Awani di Istana Sabah petang tadi. Sebagai seorang remaja, saya berbesar hati untuk menerima kritikan yang membina.

Dalam liputan langsung yang diikuti oleh lebih kurang 5,000 penonton, saya sebagai penonton tentunya menganggap liputan sedang ‘live’ apabila siaran langsung tersebut sudah berlangsung selama lebih sejam tanpa apa-apa makluman daripada pihak berkenaan bahawa wartawan yang sudah agak lama berada di depan kamera belum ‘live’.

Penonton hanya melihat apa yang dipaparkan untuk tontonan awam.

Daripada komen yang dibaca, ramai penonton yang setia mengikuti liputan itu, beranggapan sedemikian.

Walaubagaimanapun, saya meminta maaf kerana tafsiran saya dan sebahagian penonton lain adalah salah.

Apa yang berlaku ialah, wartawan Hasimi Muhamad sebenarnya sedang bersiap-siap untuk ke udara; namun siaran langsung Facebook Astro Awani memfokuskan ke arah beliau tanpa adanya penjelasan tentang situasi sebenarnya.

Akibatnya, para penonton khasnya yang setia menonton siaran langsung itu sejak dari mula, telah terkeliru dengan keadaan yang berlaku.

Saya ingin mengucap ribuan terima kasih kepada Tuan Hasimi Muhamad yang menghubungi saya untuk menjelaskan keadaan yang sebenar.

Terkini Dari Istana Sabah: Siapakah Ketua Menteri Sabah?

Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin berkata bakal ketua menteri Sabah yang baru akan diketahui selepas pengumuman Tuan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin.

Ini selepas BN dan PN dikatakan gagal mencapai kata sepakat mengenai calon ketua menteri Sabah yang baru.

Baca senarai penuh keputusan PRN Sabah.

Bung berkata beliau dan Ketua Bersatu Sabah Hajiji Mohd Nor akan mengadap Yang di-Pertua Negeri bagi mendapat keputusan mengenai hal ini.

“Tunggu TYT putuskan,” kata Bung

Ketika ditanya mengenai perasaannya, Bung berkata beliau “sangat gembira.”

Awal hari ini, pemimpin Gabungan Rakyat Sabah bermesyuarat di Hotel Magellan Sutre di Kota Kinabalu.

Bung kemudian dilaporkan memasuki kawasan Istana Negeri di Kota Kinabalu pada 2.27 petang tadi, manakala Ketua Bersatu Sabah Hajiji Mohd Nor tiba seminit kemudian.

Hajiji dan Bung antara nama yang disebut-sebut sebelum ini sebagai calon ketua menteri.

Tidak lama kemudian, Setiausaha Agung PBS Jahid Jahim pula tiba 2.47 petang, sementara Presiden Star Jeffrey Kitingan kelihatan memasuki Istana Negeri jam 3 petang tadi.

PN, BN dan sekutunya sekarang dilaporkan memiliki 41 kerusi DUN dan mahu calon mereka mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah yang baru hari ini.

Petugas media telah berkumpul di pintu masuk istana negeri sejak awal pagi lagi bagi membawakan laporan terkini situasi politik di Sabah.

Terdahulu, pada jam 1.30 tengah hari sebuah kereta hitam membawa Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali kelihatan masuk ke pekarangan istana. -{MalaysiaKini]