Bukit Kepong: “Saya Lihat Sendiri Polis dan Keluarga Mereka Dibunuh, Dibakar!”

[MalaysiaGazette}- TANGGAL 22 Februari 1950.

Ketua Polis Pagoh, Inspektor J.J Raj bersama 10 anggotanya yang lain menuju ke Balai Polis Bukit Kepong untuk membuat lawatan dan pemeriksaan ke atas balai tersebut. Ketibaan mereka disambut ketuanya, Sarjan Jamil Mohd. Shah dan penghulu kampung, Penghulu Ali.

Sila baca: Selami Kekejaman Pengganas Di Galeri Darurat Bukit Kepong (Gambar)

Raj dan Jamil ketika itu masih muda, masing-masing baru berumur 27 dan 28 tahun

Selepas menikmati makan tengah hari, kesemua mereka menaiki basikal membuat rondaan di sekitar pekan Bukit Kepong.

Pekan itu kecil sahaja, hanya ada kira-kira 30 buah kedai orang Cina tetapi di sekitar kampung-kampung berhampiran ada lebih kurang 1,300 penduduk yang terdiri daripada orang-orang Melayu.

Sebenarnya selain daripada rondaan biasa, kedatangan Raj membawa maksud yang lebih penting. Beliau bimbang kerana mendapat laporan awal dari Cawangan Khas yang mengatakan kemungkinan komunis akan cuba melakukan serangan ke atas balai-balai polis yang berada di bawah seliaannya.

Sila bila: Tragedi Hitam Bukit Kepong – Sejarah Hitam Yang Mesti Diingat

Untuk rekod, selaku Ketua Polis Pagoh, Raj bertanggungjawab menyelia dan menjaga 20 pondok serta 20 buah balai polis termasuk Balai Polis Bukit Kepong.

Sebelum beredar dari Bukit Kepong kira-kira pukul 7 malam, Raj sempat berpesan kepada Jamil agar berhati-hati. Beliau juga menyerahkan beberapa buah senjata dan peluru tambahan kepada Jamil sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

“Jangan bimbang Tuan OCPD, biar putih tulang, jangan putih mata,” kata Jamil.

Ketika itu Raj tidak begitu faham apa yang cuba disampaikan oleh Jamil. Selepas bersalaman, beliau pun bertolak pulang ke Pagoh untuk menjalankan tugasnya seperti biasa.

Rupa-rupanya sepanjang sehari suntuk bersama Jamil, Penghulu Ali dan orang-orang kampung, ada kira-kira 180 orang pengganas komunis sedang memerhatikan pergerakan mereka dari jauh.

Sila baca: Ideologi Komunis dan Kekeliruan yang Nyata

Mereka sudah pun mengepung kawasan di belakang balai polis tersebut namun ia tidak disedari oleh Raj, Jamil dan yang lain-lain kerana kawasan berkenaan dikelilingi semak samun dan hutan yang tebal.

Sila baca: Abu Chin Peng vs. Kedaulatan Undang-Undang

SERANGAN SUBUH

Tepat kira-kira pukul 4.30 pagi hari berikutnya, pengganas meniup trumpet buat kali pertama sebelum melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah Balai Polis Bukit Kepong.

Sebaik sahaja menyedari perkara tersebut, Jamil dan 20 orang anggotanya mengambil tempat masing-masing sebelum membalas tembakan menggila daripada ratusan pengganas komunis itu.

Jamil dan anggotanya berlindung daripada peluru yang bersimpang-siur dari dalam kubu yang terletak di balai berkenaan.

Mereka bertempur hampir dua jam lamanya tanpa henti.

Walaupun kekuatan musuh hampir tujuh kali ganda daripada mereka, Jamil dan anak-anak buahnya tidak menghiraukan situasi tersebut.

Dengan senjata dan peluru yang terhad, mereka tetap cuba bertahan agar balai berkenaan tidak jatuh ke tangan musuh.

Kira-kira pukul 6.30, pengganas komunis meniup trumpet untuk kali kedua meminta anggota-anggota polis di situ menyerah diri.

Biarpun menyedari ramai anggotanya telah terbunuh dan cedera parah, Jamil tetap enggan menyerah sebaliknya terus menjerit kata-kata yang pernah dia lafazkan pada Raj beberapa jam sebelumnya – biar putih tulang, jangan putih mata!

Berang dengan pekikan keramat Jamil, pengganas komunis meniup trumpet mereka untuk kali ketiga.

Rupanya tiupan itu adalah ‘signal’ untuk memberitahu rakan-rakan mereka agar mempergiatkan serangan. Kali ni pengganas komunis semakin mara ke hadapan. Pun begitu mereka masih gagal untuk masuk ke dalam kawasan balai disebabkan tindak balas agresif Jamil dan anak-anak buahnya.

Berang dengan situasi tersebut, mereka mula melemparkan ‘molotov cocktail’ hingga menyebabkan Balai Polis Bukit Kepong habis terbakar.

BERGEGAS KE LOKASI

Jam pukul 6 pagi.

Raj yang masih lagi kepenatan setelah mengharung perjalanan panjang dari Bukit Kepong ke Pagoh, tiba-tiba dikejutkan dengan berita serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong daripada anggota di Balai Polis Lenga.

Laporan itu diterima daripada penduduk Kampung Durian Chondong yang terletak tidak jauh dari Bukit Kepong.

“Sebenarnya sewaktu serangan, penduduk kampung di situ ‘terkeliru’…mereka menyangka ia adalah letupan bunga api dan mercun kerana kebetulan hari itu adalah sambutan tahun baru Cina.

“Akhirnya setelah mengenalpasti ia adalah bunyi tembakan, penghulu kampung tersebut mengarahkan dua orang anak buahnya menaiki sampan pergi ke Balai Polis Lenga, dari situlah berita itu dipanjangkan kepada saya di Pagoh,” kata Raj dalam eksklusif dengan Malaysia Gazette di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sebaik sahaja mendapat khabar mengejutkan itu, Raj bersama 10 orang anggotanya segera mengambil keputusan untuk kembali semula ke Bukit Kepong.

Namun untuk kembali semula ke balai polis itu bukanlah satu perkara yang mudah.

Ini kerana mereka perlu menempuh perjalanan melalui darat dan sungai disamping perlu berwaspada daripada ancaman serangan hendap oleh pengganas komunis yang bersembunyi dalam kawasan hutan di situ.

Hanya kira-kira tiga jam kemudian, barulah mereka tiba di balai malang tersebut.

“Bila saya sampai, saya nampak balai polis itu telah terbakar, hati saya luluh, saya hampir tidak mengenali anggota-anggota polis ini kerana kebanyakannya telah rentung, setelah ditembak, komunis membakar pula mayat mereka.

“Paling menyedihkan, mereka juga menembak hingga mati isteri dan anak-anak anggota ini, mayat mereka juga turut dibakar!,” kata Raj.

Menurutnya, antara perkara pertama yang mereka lakukan ketika sampai di balai polis itu adalah mengumpulkan anggota polis yang cedera untuk dihantar ke hospital dengan menaiki bot.

Disebabkan terlalu sedih melihat keadaan yang menimpa rakan-rakan mereka, anggota-anggota polis yang datang bersamanya tadi menjadi terlalu marah dan nekad untuk membalas dendam.

Namun beliau meminta mereka supaya bersabar dan memantau keadaan di situ terlebih dahulu agar tidak ‘tersalah langkah’ dalam mermbuat tindakan susulan.

“Mereka akhirnya akur dan diam sahaja…sebenarnya saya bimbang, kalau saya tak keluarkan arahan sebegitu, mereka akan tembak semua orang Cina di sana kerana ‘panas hati’.

“Saya kata jangan, sabar dulu,” kata Raj.

SEMANGAT MELAYU

Menyentuh mengenai semangat juang anggota-anggota polis di balai tersebut, Raj mengakui, keberanian dan semangat yang mereka miliki ternyata luar biasa.

“Mereka tidak faham (mengerti) apa erti menyerah kalah, Sarjan Jamil dan para anggotanya sebagai contoh, mereka boleh saja ambil jalan senang (mudah) dengan menyerah diri apatah lagi bila mengenangkan ada anak dan isteri mereka (di balai itu), namun mereka nekad untuk tidak mahu berbuat demikian.

“Saya perhatikan ada dua perkara yang membuatkan semangat dan kemarahan orang Melayu akan memuncak, pertama jika agama mereka digugat dan kedua jika keluarga mereka diganggu…inilah yang komunis buat pada mereka di Balai Polis Bukit Kepong sebab itu tidak hairan mengapa mereka begitu bersemangat melawan dan langsung tidak gentar.

“Sampaikan anggota polis marin yang menjaga bot di sungai pun langsung tidak ‘cabut lari’…malah mereka sanggup tunggu dan melawan walaupun akhirnya mereka juga terkorban,” kata Raj.

Untuk rekod, dalam serangan berdarah itu, seramai 27 orang telah terkorban iaitu 14 orang daripadanya adalah anggota polis, polis bantuan (5), isteri polis (4) dan anak-anak mereka (4). Empat anggota polis juga mengalami kecederaan parah.

Dalam pada itu, Raj yang kini usianya telah mencecah 99 tahun berharap, generasi sekarang tidak akan melupakan sejarah dan pengorbanan mereka yang berjuang bermati-matian dalam usaha untuk melihat negara ini mencapai keamanan seperti mana yang dinikmati ketika ini.

Namun corak perjuangan sekarang, menurut Raj, mungkin sudah berubah di mana ia memerlukan mereka menggunakan lebih banyak pemikiran berbanding kudrat.

“Mereka perlu berkata pada diri mereka…ibu bapa saya telah banyak berkorban…jadi saya perlu memastikan telah membuat persiapan dan segala keperluan bagi menghadapi sebarang keadaan dan situasi yang mendatang,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Raj yang kini bergelar Tan Sri bersara daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pangkat Komisioner Polis. Jawatan terakhirnya adalah Pengarah Pengurusan PDRM sebelum meninggalkan Bukit Aman.

Laporan asal boleh dibaca di MalaysiaGazette:
https://malaysiagazette.com/2020/08/31/bukit-kepong-saya-lihat-sendiri-polis-dan-keluarga-mereka-dibunuh-dibakar/

Rencana berkaitan:

  1. (Video) – BIADAP !!! Sejak Bila Bendera Malaysia Bintang Pecah Lima?
  2. Ideologi Komunis dan Kekeliruan yang Nyata
  3. Tragedi Hitam Bukit Kepong – Sejarah Hitam Yang Mesti Diingat
  4. Kebenaran Di Sebalik Sejarah Penubuhan Persekutuan Malaysia
  5. Di Sebalik Hari Kebangsaan Malaysia

Author: Ahmad Ali Karim

Blogger. Official Ambassador at Muafakat Pendidikan Johor (MPJ). Columnist at Utusan Malaysia.

One thought on “Bukit Kepong: “Saya Lihat Sendiri Polis dan Keluarga Mereka Dibunuh, Dibakar!””

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.