Lucut Atau Tidak Kuasa Pemerintahan Ditentukan Dewan Rakyat – Ku Li

Ahli Parlimen tidak boleh bertindak di luar Dewan Rakyat walaupun memiliki Surat Sumpah atau Surat Akaun Bersumpah (SD) sokongan separuh daripada jumlah bilangan ahli Dewan Rakyat.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, sokongan menerusi cara itu tidak bermakna kerana lucut atau tidak kuasa pemerintahan akan ditentukan di dalam Dewan Rakyat secara undian ahli Parlimen yang hadir.

“Lucut atau tidak kuasa pemerintahan ditentukan dalam Dewan Rakyat dengan ahli yang dapat hadir sendiri untuk mengundi dan tidak boleh dilakukan secara proksi atau diwakili melalui surat sumpah atau SD.

“Perdana Menteri mesti menghadap Yang di-Pertuan Agong apabila beliau hilang sokongan untuk meletak jawatan sebagai dan mohon sama ada untuk Agong bubarkan Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU).

“Atau (Tuanku) melantik ahli Parlimen lain yang Tuanku berpendapat mempunyai sokongan majoriti ahli dalam Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sila baca: Anwar Umum Kerajaan Jatuh – Apa Kata Pakar Perlembagaan?

Tengku Razaleigh berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini yang mengumumkan beliau mempunyai cukup sokongan majoriti daripada ahli-ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Sementara itu, mengulas lanjut, Tengku Razaleigh berkata, keputusan muktamad tetap terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sila baca: UMNO, PAS, GPS Nafi Kerajaan PN Jatuh

“Ahli-ahli Parlimen tidak boleh ikut sesuka hati masing-masing walaupun mendakwa mempunyai bilangan penyokong yang cukup, pandai-pandai hendak tubuh kerajaan tanpa dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong untuk berbuat demikian. Itulah caranya,” katanya. – Sinar Harian

Anwar Umum Kerajaan Jatuh – Apa Kata Pakar Perlembagaan?

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak untuk membuat pengumuman mengatakan sebuah kerajaan telah jatuh semata-mata kerana beliau yakin telah mendapat cukup sokongan daripada ahli-ahli Parlimen.

Pakar Perlembagaan, Dr. Shamrahayu Ab. Aziz mengingatkan orang ramai di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan jelas membuktikan terdapat peranan Yang di-Pertuan Agong bagi menghadapi situasi seperti ini.

“Dalam suasana politik selepas sidang media Datuk Seri Anwar Ibrahim, beberapa isu perlembagaan mungkin menjadi persoalan.

“Antaranya, bolehkah seorang Ahli Parlimen membuat kenyataan media dengan menyatakan satu kerajaan telah jatuh?

“Adalah perlu diingat bahawa terdapat peranan Yang di-Pertuan Agong dalam keadaan ini.

“Sila rujuk Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Sila baca: UMNO, PAS, GPS Nafi Kerajaan PN Jatuh

Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut “jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

Bagaimanapun setakat ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan malah beberapa jam selepas sidang media Anwar, beliau menyampaikan perutusan khas berhubung pakej bantuan tambahan kepada rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

Malah Anwar sendiri tidak menyatakan bilangan ahli Parlimen yang menyokong beliau. -{MalaysiaGazette]

UMNO, PAS, GPS Nafi Kerajaan PN Jatuh

Pemimpin UMNO meragui pengumuman Presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang mendakwa beliau dapat sokongan cukup untuk membentuk kerajaan, menepisnya sebagai “gimik”.

Timbalan Presiden Mohamad Hasan berkata Anwar mungkin cuba mengulangi “permainan” 16 Sept 2008.

“Atau cuba mempengaruhi pengundi Sabah yang akan mengundi Sabtu ini,” katanya kepada pihak akhbar.

Sila baca: Anwar Umum Kerajaan Jatuh – Apa Kata Pakar Perlembagaan?

PAS pula mengesahkan tiada seorang pun wakil rakyatnya menyokong Anwar Ibrahim, tidak lama selepas presiden PKR itu mengumumkan beliau mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” bagi membentuk kerajaan.

“Satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan,” kata Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man kepada akhbar.

Pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) menafikan mereka menyokong ketua pembangkang, Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan baru.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan negeri akan terus memfokuskan kestabilan politik dan pembangunan di Sarawak.

Katanya, kerajaan GPS bekerjasama baik dengan kerajaan persekutuan semasa di bawah formula Perikatan Nasional (PN).

“Setahu saya, tiada pemimpin GPS yang berpaling tadah. Selain itu, kami mengadakan mesyuarat (mingguan) Kabinet dengan perdana menteri pagi ini dan membincangkan isu mengenai rakyat dan pembangunan di Sarawak,” katanya kepada akhbar.

Terdahulu, Anwar pada sidang media mengumumkan dapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk kerajaan baharu, dengan “majoriti menyokong juga dalam kalangan ahli Parlimen Melayu dan Islam”.

Anwar mendakwa beliau boleh membuktikan sokongan itu “secara konklusif”.

Daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, BN mempunyai 43 wakil rakyat, PPBM (31), PAS (18), GPS (18), PBS (1), dan STAR (1).

Di samping itu, PH mempunyai 91 wakil rakyat, Warisan (9), dan PSB (2).

Enam ahli Parlimen membentuk kumpulan penyokong Mahathir, dan seorang wakil rakyat Bebas.

Anwar Umum ‘Kerajaan Muhyiddin Telah Jatuh’

Presiden PKR, Anwar Ibrahim, hari ini mengumumkan mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” daripada ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Agong.

“Pada saat ini kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin telah jatuh,” katanya pada sidang akhbar di ibu negara hari ini, dan menambah beliau akan menghadap Agong dalam masa terdekat.

Menjawab pertanyaan pemberita, Anwar berkata beliau boleh membuktikan sokongan itu, “secara konklusif”, yang menurutnya bukan kelebihan “1, 5, atau 6” tetapi hampir 2/3.

“Mereka ahli Parlimen dari pelbagai parti,” tambahnya. “Sudah tentu ada ahli Parlimen daripada pihak pemerintah.”

“Majoriti menyokong juga dalam kalangan ahli Parlimen Melayu dan Islam.”

Anwar juga mengumumkan beliau membentuk suatu pakatan baharu dengan rakan-rakan baharu.

“Sudah tentu ini pakatan baharu…saya perlu bincang dengan rakan baharu, termasuk rakan baharu yang kuat itu,” katanya.

Ditanya pemberita adakah parti Dr Mahathir Mohamad, Pejuang, dalam sokongan yang dikatakan ini, Anwar jawab: “Belum”.

Katanya, butiran untuk media hanya akan dimaklumkan selepas ia dipersembahkan kepada Agong.

Daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, BN mempunyai 43 wakil rakyat, PPBM (31), PAS (18), GPS (18), PBS (1), dan STAR (1).

Di samping itu, PH mempunyai 91 wakil rakyat, Warisan (9), dan PSB (2).

Enam ahli Parlimen membentuk kumpulan penyokong Mahathir, dan seorang wakil rakyat Bebas.