Ahli Dewan Rakyat UMNO Nafi Bersama Anwar Bentuk Kerajaan Baharu

Sebanyak 19 nama Ahli Parlimen dari UMNO yang dikatakan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu, tampil seorang demi demi menafikan penglibatan mereka.

Nama yang telah tular di media sosial itu ialah Datuk Seri Shahidan Kassim yang merupakan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling), Datuk Ahmad Jazlan Yaakob (Machang), Datuk Seri Idris Jusoh (Besut), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Padang Rengas), Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk).

Turut tersenarai ialah Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan), Datuk Seri Noh Omar (Tanjung Karang), Datuk Seri Tengku Adnan Mansor (Putrajaya), Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian), Datuk Seri Mohamad Alamin (Kimanis), Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan), Datuk Seri Hasan Arifin (Rompin), Datuk Ramli Mohd Noor (Cameron Highlands) dan Datuk Seri Hasbullah Osman (Gerik).

Bagaimanapun, dua dari mereka dijanjikan jawatan menteri, iaitu Najib sebagai Menteri Ekonomi dan Noh (Menteri Kerja Raya).

Namun begitu, yang tampil menafikan khabar angin itu selain Najib dan Noh ialah Tajuddin, Ahmad Maslan, Jazlan, Mahdzir, Shahidan, Mohd Nizar, Idris, Ramli dan Bung Moktar.

Rabu lalu, Anwar memanggil sidang media tergempar di sebuah hotel di sini, untuk mengumumkan beliau mempunyai majoriti kukuh yang membolehkannya membentuk kerajaan baharu.

Presiden PKR itu mendakwa, dengan jumlah nombor Ahli Parlimen yang ada padanya, menyaksikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) jatuh dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, memetik portal umno-online, Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO menafikan sekeras-kerasnya beliau pernah atau terlibat menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu yang diketuai Anwar.

Selain beliau, Tajuddin turut menafikan menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, dengan berkata, beliau masih kekal dalam parti UMNO dan menyokong kerajaan PN.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu meminta Anwar membuktikan kenyataannya di Dewan Rakyat, bukan di hotel.

Noh turut mengucapkan ‘terima kasih’ kepada Anwar kerana sudi menyenaraikan namanya sebagai Menteri Kerja Raya dalam kerajaan baharunya.

“Terima kasihlah ingat pada saya, tapi saya tetap bersama keputusan parti. Nasib baik saya tidak ada darah tinggi, kalau tidak mahu saya pengsan. Bincang apapun tidak, tiba-tiba nama saya ada,” sindir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu.

Mohd Nizar pula menyifatkan Anwar terkena ‘sindrom September’, kerana apabila masuk bulan itu sahaja Presiden PKR itu akan buat hal.

“Bagi saya, saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan saya menyokong Anwar. Saya teguh bersama suara parti. Ini semua salah satu cara Anwar untuk mempengaruhi pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Bung Moktar ketika dihubungi wartawan pula berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu dan tumpuannya kini hanyalah kepada memastikan Barisan Nasional (BN) dan rakan kongsi menang dalam PRN Sabah.

“Saya tidak tahu pasal hal ini dan saya hanya mahu tumpukan pada kemenangan PRN Sabah,” ujarnya. –{MalaysiaGazette]

Mungkinkah UMNO Berkongsi Kuasa Dengan DAP? Ini Pendapat Ku Li

Setelah hampir tujuh bulan berlalu semenjak kejatuhan kerajaan PH, krisis politik telah bermula lagi, dengan pengumuman Anwar Ibrahim bahawa kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh setelah beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Sila baca: Kerakusan Politik: Pandangan Dari Kaca Mata Anak Muda

Kecoh khabar angin menyenaraikan nama-nama Ahli Parlimen UMNO yang didakwa akan menyertai kerajaan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim bersama-sama dengan parti DAP. Apakah benar dakwaan ini?

Adakah DAP sekarang sudah berubah sehingga UMNO boleh berkerjasama dengan mereka? Adakah UMNO sanggup membentuk satu kerajaan dan bersekerajaan dengan DAP? Kita dengar kata-kata Ketua Jemaah Penasihat UMNO, YBM Tengku Razaleigh Hamzah tentang parti DAP.

Sila baca: Lucut Atau Tidak Kuasa Pemerintahan Ditentukan Dewan Rakyat – Ku Li