Terima Kasih Atas Teguran …

Saya menghargai komen tentang tulisan saya berkenaan laporan liputan langsung Astro Awani di Istana Sabah petang tadi. Sebagai seorang remaja, saya berbesar hati untuk menerima kritikan yang membina.

Dalam liputan langsung yang diikuti oleh lebih kurang 5,000 penonton, saya sebagai penonton tentunya menganggap liputan sedang ‘live’ apabila siaran langsung tersebut sudah berlangsung selama lebih sejam tanpa apa-apa makluman daripada pihak berkenaan bahawa wartawan yang sudah agak lama berada di depan kamera belum ‘live’.

Penonton hanya melihat apa yang dipaparkan untuk tontonan awam.

Daripada komen yang dibaca, ramai penonton yang setia mengikuti liputan itu, beranggapan sedemikian.

Walaubagaimanapun, saya meminta maaf kerana tafsiran saya dan sebahagian penonton lain adalah salah.

Apa yang berlaku ialah, wartawan Hasimi Muhamad sebenarnya sedang bersiap-siap untuk ke udara; namun siaran langsung Facebook Astro Awani memfokuskan ke arah beliau tanpa adanya penjelasan tentang situasi sebenarnya.

Akibatnya, para penonton khasnya yang setia menonton siaran langsung itu sejak dari mula, telah terkeliru dengan keadaan yang berlaku.

Saya ingin mengucap ribuan terima kasih kepada Tuan Hasimi Muhamad yang menghubungi saya untuk menjelaskan keadaan yang sebenar.

Terkini Dari Istana Sabah: Siapakah Ketua Menteri Sabah?

Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin berkata bakal ketua menteri Sabah yang baru akan diketahui selepas pengumuman Tuan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin.

Ini selepas BN dan PN dikatakan gagal mencapai kata sepakat mengenai calon ketua menteri Sabah yang baru.

Baca senarai penuh keputusan PRN Sabah.

Bung berkata beliau dan Ketua Bersatu Sabah Hajiji Mohd Nor akan mengadap Yang di-Pertua Negeri bagi mendapat keputusan mengenai hal ini.

“Tunggu TYT putuskan,” kata Bung

Ketika ditanya mengenai perasaannya, Bung berkata beliau “sangat gembira.”

Awal hari ini, pemimpin Gabungan Rakyat Sabah bermesyuarat di Hotel Magellan Sutre di Kota Kinabalu.

Bung kemudian dilaporkan memasuki kawasan Istana Negeri di Kota Kinabalu pada 2.27 petang tadi, manakala Ketua Bersatu Sabah Hajiji Mohd Nor tiba seminit kemudian.

Hajiji dan Bung antara nama yang disebut-sebut sebelum ini sebagai calon ketua menteri.

Tidak lama kemudian, Setiausaha Agung PBS Jahid Jahim pula tiba 2.47 petang, sementara Presiden Star Jeffrey Kitingan kelihatan memasuki Istana Negeri jam 3 petang tadi.

PN, BN dan sekutunya sekarang dilaporkan memiliki 41 kerusi DUN dan mahu calon mereka mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah yang baru hari ini.

Petugas media telah berkumpul di pintu masuk istana negeri sejak awal pagi lagi bagi membawakan laporan terkini situasi politik di Sabah.

Terdahulu, pada jam 1.30 tengah hari sebuah kereta hitam membawa Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali kelihatan masuk ke pekarangan istana. -{MalaysiaKini]