Tan Sri Wan Mokhtar Meninggal Dunia

Innalilahiwainnailaihiraajiun

Suasana sedih dan pilu memenuhi rumah kami setelah menerima berita bahawa Atuk Wan Mokhtar (Dato’ Sri Amar Diraja Tan Sri Wan Mokhtar bin Wan Ahmad, bekas Menteri Besar Terengganu) meninggal dunia pagi tadi. Allahyarham merupakan atuk saudara saya, dan kali terakhir kami berjumpa adalah empat tahun lepas pada 11 September 2016 apabila arwah atuk saya meninggal dunia.

Allahyarham pernah menjawat jawatan Menteri Besar Terengganu selama 25 tahun.

Semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat-Nya ke atas roh Atuk Wan.
Al-Fatihah.

Diari Remaja @ Utusan Malaysia: Tak Perlu Fist Bump

Alhamdulillah, hari ini tulisan saya “Tak Perlu Fist Bump” di dalam kolum saya, Diari Remaja telah diterbit di akhbar Utusan Malaysia.

Melihat keabaian orang ramai dalam mematuhi prosidur operasi standard ketika menangani wabak Covid-19, saya semakin risau akan nasib negara jika rakyat semakin lama semakin lalai. Isyarat tangan ke dada kini telah ramai gantikan dengan fist-bump yang sebenarnya melibatkan sentuhan tangan, dan boleh menyebabkan jangkitan Covid-19.

Tulisan saya boleh dibaca pada muka surat 16 akhbar Utusan Malaysia hari ini, dan juga di Utusan Digital melalui pautan di bawah.

https://www.utusan.com.my/rencana/2020/09/tak-perlu-fist-bump/

Syed Saddiq Tubuh Parti Ikatan Demokratik Malaysia

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat permohonan pendaftaran parti baharu Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Menurutnya, parti itu bertulangbelakangkan 13 penaja.

“Struktur organisasi kita akan maklumkan kemudian tetapi kami mempunyai 13 penaja yang terdiri daripada pelbagai latar belakang,” katanya ketika ditemui selepas selesai membuat permohonan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, meskipun dikenali sebagai Muda, parti itu membuka keahlian kepada semua lapisan masyarakat dan pelbagai kaum.

“Muda Malaysia tidak boleh dilihat hanya pada faktor umur. Ia lebih kepada fahaman, ideologi, idealisme, dasar-dasar yang inklusif, itu yang paling penting,” katanya.

Sila baca: Banyaknya, Duit Siapa Tu Syed Saddiq?

Terdahulu, bekas Ketua Armada Bersatu itu tiba jam 10.30 pagi untuk menghantar borang permohonan kepada ROS.

Kehadirannya turut ditemani oleh beberapa penyokongnya.

Mengulas mengenai kelulusan pendaftaran Muda Malaysia, beliau berkata, ia terpulang kepada ROS.

Sila baca: Apabila Parti Belia Menjadi Parti Warga Emas

Diari Remaja @ Utusan Malaysia: Jangan Salah Pilih Idola

Alhamdulillah, tulisan terbaharu dalam kolum saya, Diari Remaja, telah diterbit di akhbar Utusan Malaysia hari ini, bertajuk “Jangan Salah Pilih Idola”.

Tulisan tersebut boleh dibaca di dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini, dan insya-Allah saya akan terus menulis di akhbar Utusan Malaysia bagi hari-hari Sabtu yang akan datang.

(Nota: Di dalam perenggan kedua tulisan tersebut, ada keralatan dalam pencetakan. Ayat pertamanya sepatutnya dimulai dengan “Kawan ayah meninggal dunia ketika umur saya tiga tahun …”, dan bukannya “Ayah meninggal dunia ketika umur saya tiga tahun …”)

Sultan Selangor Dukacita Isu Air di Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengutus surat kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi menzahirkan rasa dukacita baginda terhadap impak yang terpaksa ditanggung rakyat negeri akibat pencemaran sungai.

Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office memaklumkan, surat itu dihantar kepada Amirudin.

Selangor Royal Office memberitahu, antara intipati surat Sultan Sharafuddin itu mahu tindakan penguatkuasaan lebih tegas diambil termasuk merobohkan rumah, kilang terutama beroperasi secara haram yang berpotensi mencemarkan anak-anak sungai dan sungai di Selangor.

“Baginda tidak berkenan adanya unsur campur tangan politik dalam penguatkuasaan isu-isu berkaitan alam sekitar dan pencemaran air sungai.

“Baginda telah lama menitahkan supaya sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan Kerajaan Selangor untuk memantau dan memastikan air sungai tidak dicemari dengan bahan kimia atau sampah sarap boleh menjejaskan bekalan air mentah kepada loji-loji rawatan air,” kata kenyataan itu, hari ini.

Selain itu, kenyataan tersebut memaklumkan, Sultan Sharafuddin mahu undang-undang lebih tegas dilaksanakan dengan segera kepada pelaku-pelaku yang menyebabkan pencemaran sungai.

“Penalti yang lebih berat wajar dikenakan kepada mereka yang mencemarkan alam sekitar khususnya sumber air. Mereka yang terbukti melakukan kesalahan hendaklah dijatuhkan hukuman penjara mandatori serta dikenakan denda yang maksimum.

“Baginda khuatir sekiranya masalah air ini berterusan, rakyat jelata akan memberontak dan boleh mengakibatkan ketegangan dan seterusnya akan menjejaskan keharmonian sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Selangor Royal Office memaklumkan, baginda turut perkenan menerima menghadap Amirudin di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Gangguan bekalan air di Selangor berlaku selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihentikan tugas akibat pencemaran sungai.

Kawasan yang terjejas ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. -{Sinar Harian]

Diari Remaja @ Utusan Malaysia: Jangan Buta Sejarah

Alhamdulillah, hari ini tulisan saya “Jangan Buta Sejarah” di dalam kolum saya, Diari Remaja telah diterbit di akhbar Utusan Malaysia.

Tulisan tersebut boleh dibaca di dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini, dan insya-Allah saya akan terus menulis di akhbar Utusan Malaysia bagi hari-hari Sabtu yang akan datang.

ݢاڠݢون اءير د7 ويلايه کوالا لومڤور دان سلاڠور بلوم ڤوليه

Baca versi Rumi di sini.

ڤڠوروسن اءيرسلاڠور سنديرين برهد ﴿اءير سلاڠور﴾ دالم سبواه کڽاتاءن تله ممعلومکن باهوا لوجي راوتن اءير سوڠاي سلاڠور فاس 1⹁ 2⹁ 3 دان رانتاو ڤانجڠ ماسيه بلوم بروڤراسي سهيڠݢ جام 6.30 ڤاݢي اين.

اين اداله دسببکن ڤنچمرن ماسيه لاݢي دکسن دموک ساءوق لوجي٢ دان براد ڤدچ تهڤ 1 TON⹁ دان لوجي راوتن اءير هاڽ بوليه بروڤراسي اڤابيلا تهڤ ڤنچمرن براد ڤد تهڤ 0 TON.

بانتون بکالن اءير اکن تروس دأݢيهکن ملالوءي لوري٢ تاڠکي اءير⹁ دان ڤڠݢون دسارنکن منداڤتکن بکلن اءير ملالوءي ڤيلي٢ عوم دان ڤوست خدمت ستمڤت يڠ سدڠ بروڤراسي 24 جام سهيڠݢ بکلن ڤوليه سڤنوهڽ.

اءير سلاڠور توروت اکن مڠمسکيني معلومت ݢڠݢون بکلن اءير تيدق برجادول در سماس کسماس منروسي سموا ميديوم کومونيکاسي اءير سلاڠور ترماسوق تويتر⹁ فيسبوک⹁ اينستݢرام دان دلامن سساوڠ اءير سلاڠور دwww.airselangor.com⹁ سرت دأڤليکاسي موده اليه مريک.

اونتوق ريکود⹁ ݢڠݢون بکلن اءير تيدق برجادول تلهڤون دجڠک اکن برلاکو دببراڤ کاوسن د7 ويلايه ياءيت دکوالا لومڤور⹁ ڤتاليڠ جاي⹁ کلاڠ/شاه علم⹁ کوالا سلاڠور⹁ هولو سلاڠور⹁ ݢومبق دان کوالا لاڠت.

Gangguan Air di 7 Wilayah KL dan Selangor Belum Pulih

Baca versi Jawi di sini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam sebuah kenyataan telah memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang masih belum beroperasi sehingga jam 6:30 pagi ini.

Ini adalah disebabkan pencemaran masih lagi dikesan di muka sauk loji-loji dan berada pada tahap 1 TON, dan LRA hanya boleh beroperasi apabila tahap pencemaran berada pada tahap 0 TON.

Bantuan bekalan air akan terus diagihkan melalui lori-lori tangki air, dan pengguna disarankan mendapatkan bekalan air melalui pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang sedang beroperasi 24 jam sehingga bekalan pulih sepenuhnya.

Air Selangor turut akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan di laman sesawang Air Selangor di http://www.airselangor.com, serta di aplikasi mudah alih mereka.

Untuk rekod, gangguan bekalan air tidak berjadual telahpun dijangka akan berlaku di beberapa kawasan di 7 wilayah iaitu di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Apabila Parti Belia Menjadi Parti Warga Emas

Versi Jawi akan menyusul.

Syed Saddiq berhasrat menubuhkan parti politik baharu berteraskan belia dengan mencontohi ‘Future Forward’ di Thailand dan ‘En Marche’ di Perancis.

Sebab yang diberikannya ialah, “bagi memastikan suara belia mendominasi Parlimen dan di luar Parlimen” dan agar “belia tidak boleh dipandang enteng lagi.”

“Daripada teknokrat, profesional, ahli politik muda pelbagai latar belakang untuk bersatu bagi memastikan suara belia mendominasi Parlimen dan di luar Parlimen, akhirnya belia tidak boleh dipandang enteng lagi.”

Syed Saddiq- ‘Syed Saddiq bakal tubuh parti belia’ (MalaysiaGazette)

Sila baca: Banyaknya, Duit Siapa Tu Syed Saddiq?

Soalan saya:

  1. Adakah kenyataan Syed Saddiq bermakna, kerana tiada parti belia maka golongan belia selama ini dipandang enteng?
  2. Bagaimana keadaan belia ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan?
  3. Adakah kesimpulan ini berdasarkan pengalaman Syed Saddiq ketika menjadi menteri dahulu?
  4. Apakah nasib setiap golongan rakyat hanya akan terbela jika ada parti politik khas untuk golongan itu? Mengikut logik ini, jika wanita mahukan suara wanita mendominasi Parlimen, maka wanita harus tubuhkan parti wanita.

Malaysia “memerlukan lebih ramai belia dalam politik, bukannya orang tua yang berebut kuasa.” Kata-kata itu diungkapkan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi akaun Twitternya pada Ahad malam.

‘Perlu lebih ramai belia dalam politik, bukan orang tua berebut kuasa’ – Syed Saddiq (Astro Awani)

Yang muda akan tua, bagaimanakah cara parti belia ini akan ubah ansur selaras dengan peningkatan umur pengasasnya?

Apakah landskap kehidupan sekarang telah membentuk jurang yang begitu dahsyat dalam hubungan belia dan golongan yang lebih dewasa sehingga harus ada parti ‘politik tua’ dan ‘politik muda’?

Apakah telah hilang sikap muafakat jika kita berbeza umur?

Saya sering menulis tentang masalah perhubungan rentas umur dalam masyarakat yang semakin buruk dalam kalangan remaja, tetapi nampaknya masalah ini juga melanda belia yang lebih berumur daripada remaja.

Secara peribadi, saya rasa untuk menjadi seorang pemimpin negara, pengalaman adalah amat penting. Sedangkan ketua pengawas pun dipilih daripada pelajar senior dan bukannya junior; inikan pula untuk mentadbir negara.

Sebelum layak memimpin negara, sebagai generasi muda, kita mesti belajar tentang sejarah pembentukan negara bangsa daripada mereka yang telah bersusah-payah membina negara ini dan bukannya hanya berbincang sesama rakan sebaya yang lahir di zaman moden ini.

Akibat sikap alpa dan tidak ambil peduli tentang sejarah negara bangsa, banyak perkara berkaitan prinsip asas kenegaraan telah kita anggap remeh; apalagi bagi yang terpengaruh dengan ideologi kebebasan Barat.

Bagi saya, memperkasakan belia bukanlah setakat memperkasakan ekonomi belia atau memberi jawatan tinggi kepada belia di dalam semua sektor termasuk menjadi pemimpin politik. Namun, perkara asas ialah usaha membina sahsiah dan jati diri belia supaya dapat menjadi rakyat yang bertanggungjawab serta patriotik yang menjunjung asas dan prinsip kenegaraan kita dan bukannya mahu mengubah dasar negara berpandukan acuan luar.

Di manakah akar umbi parti dan daripada sumber manakah nanti datangnya dana parti? Bolehkah parti ini berdikari tanpa menumpang ‘parti tua’?

Walau apapun kata mereka tentang parti tua, kemungkinan besar parti belia ini akhirnya akan menumpang ‘parti tua’; sedangkan calon Bebas (Pokok) memerlukan jentera PH ketika PRK Slim baru-baru ini.

Jangan sampai, “menang sorak kampung tergadai”.

Bukit Kepong: “Saya Lihat Sendiri Polis dan Keluarga Mereka Dibunuh, Dibakar!”

[MalaysiaGazette}- TANGGAL 22 Februari 1950.

Ketua Polis Pagoh, Inspektor J.J Raj bersama 10 anggotanya yang lain menuju ke Balai Polis Bukit Kepong untuk membuat lawatan dan pemeriksaan ke atas balai tersebut. Ketibaan mereka disambut ketuanya, Sarjan Jamil Mohd. Shah dan penghulu kampung, Penghulu Ali.

Sila baca: Selami Kekejaman Pengganas Di Galeri Darurat Bukit Kepong (Gambar)

Raj dan Jamil ketika itu masih muda, masing-masing baru berumur 27 dan 28 tahun

Selepas menikmati makan tengah hari, kesemua mereka menaiki basikal membuat rondaan di sekitar pekan Bukit Kepong.

Pekan itu kecil sahaja, hanya ada kira-kira 30 buah kedai orang Cina tetapi di sekitar kampung-kampung berhampiran ada lebih kurang 1,300 penduduk yang terdiri daripada orang-orang Melayu.

Sebenarnya selain daripada rondaan biasa, kedatangan Raj membawa maksud yang lebih penting. Beliau bimbang kerana mendapat laporan awal dari Cawangan Khas yang mengatakan kemungkinan komunis akan cuba melakukan serangan ke atas balai-balai polis yang berada di bawah seliaannya.

Sila bila: Tragedi Hitam Bukit Kepong – Sejarah Hitam Yang Mesti Diingat

Untuk rekod, selaku Ketua Polis Pagoh, Raj bertanggungjawab menyelia dan menjaga 20 pondok serta 20 buah balai polis termasuk Balai Polis Bukit Kepong.

Sebelum beredar dari Bukit Kepong kira-kira pukul 7 malam, Raj sempat berpesan kepada Jamil agar berhati-hati. Beliau juga menyerahkan beberapa buah senjata dan peluru tambahan kepada Jamil sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

“Jangan bimbang Tuan OCPD, biar putih tulang, jangan putih mata,” kata Jamil.

Ketika itu Raj tidak begitu faham apa yang cuba disampaikan oleh Jamil. Selepas bersalaman, beliau pun bertolak pulang ke Pagoh untuk menjalankan tugasnya seperti biasa.

Rupa-rupanya sepanjang sehari suntuk bersama Jamil, Penghulu Ali dan orang-orang kampung, ada kira-kira 180 orang pengganas komunis sedang memerhatikan pergerakan mereka dari jauh.

Sila baca: Ideologi Komunis dan Kekeliruan yang Nyata

Mereka sudah pun mengepung kawasan di belakang balai polis tersebut namun ia tidak disedari oleh Raj, Jamil dan yang lain-lain kerana kawasan berkenaan dikelilingi semak samun dan hutan yang tebal.

Sila baca: Abu Chin Peng vs. Kedaulatan Undang-Undang

SERANGAN SUBUH

Tepat kira-kira pukul 4.30 pagi hari berikutnya, pengganas meniup trumpet buat kali pertama sebelum melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah Balai Polis Bukit Kepong.

Sebaik sahaja menyedari perkara tersebut, Jamil dan 20 orang anggotanya mengambil tempat masing-masing sebelum membalas tembakan menggila daripada ratusan pengganas komunis itu.

Jamil dan anggotanya berlindung daripada peluru yang bersimpang-siur dari dalam kubu yang terletak di balai berkenaan.

Mereka bertempur hampir dua jam lamanya tanpa henti.

Walaupun kekuatan musuh hampir tujuh kali ganda daripada mereka, Jamil dan anak-anak buahnya tidak menghiraukan situasi tersebut.

Dengan senjata dan peluru yang terhad, mereka tetap cuba bertahan agar balai berkenaan tidak jatuh ke tangan musuh.

Kira-kira pukul 6.30, pengganas komunis meniup trumpet untuk kali kedua meminta anggota-anggota polis di situ menyerah diri.

Biarpun menyedari ramai anggotanya telah terbunuh dan cedera parah, Jamil tetap enggan menyerah sebaliknya terus menjerit kata-kata yang pernah dia lafazkan pada Raj beberapa jam sebelumnya – biar putih tulang, jangan putih mata!

Berang dengan pekikan keramat Jamil, pengganas komunis meniup trumpet mereka untuk kali ketiga.

Rupanya tiupan itu adalah ‘signal’ untuk memberitahu rakan-rakan mereka agar mempergiatkan serangan. Kali ni pengganas komunis semakin mara ke hadapan. Pun begitu mereka masih gagal untuk masuk ke dalam kawasan balai disebabkan tindak balas agresif Jamil dan anak-anak buahnya.

Berang dengan situasi tersebut, mereka mula melemparkan ‘molotov cocktail’ hingga menyebabkan Balai Polis Bukit Kepong habis terbakar.

BERGEGAS KE LOKASI

Jam pukul 6 pagi.

Raj yang masih lagi kepenatan setelah mengharung perjalanan panjang dari Bukit Kepong ke Pagoh, tiba-tiba dikejutkan dengan berita serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong daripada anggota di Balai Polis Lenga.

Laporan itu diterima daripada penduduk Kampung Durian Chondong yang terletak tidak jauh dari Bukit Kepong.

“Sebenarnya sewaktu serangan, penduduk kampung di situ ‘terkeliru’…mereka menyangka ia adalah letupan bunga api dan mercun kerana kebetulan hari itu adalah sambutan tahun baru Cina.

“Akhirnya setelah mengenalpasti ia adalah bunyi tembakan, penghulu kampung tersebut mengarahkan dua orang anak buahnya menaiki sampan pergi ke Balai Polis Lenga, dari situlah berita itu dipanjangkan kepada saya di Pagoh,” kata Raj dalam eksklusif dengan Malaysia Gazette di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sebaik sahaja mendapat khabar mengejutkan itu, Raj bersama 10 orang anggotanya segera mengambil keputusan untuk kembali semula ke Bukit Kepong.

Namun untuk kembali semula ke balai polis itu bukanlah satu perkara yang mudah.

Ini kerana mereka perlu menempuh perjalanan melalui darat dan sungai disamping perlu berwaspada daripada ancaman serangan hendap oleh pengganas komunis yang bersembunyi dalam kawasan hutan di situ.

Hanya kira-kira tiga jam kemudian, barulah mereka tiba di balai malang tersebut.

“Bila saya sampai, saya nampak balai polis itu telah terbakar, hati saya luluh, saya hampir tidak mengenali anggota-anggota polis ini kerana kebanyakannya telah rentung, setelah ditembak, komunis membakar pula mayat mereka.

“Paling menyedihkan, mereka juga menembak hingga mati isteri dan anak-anak anggota ini, mayat mereka juga turut dibakar!,” kata Raj.

Menurutnya, antara perkara pertama yang mereka lakukan ketika sampai di balai polis itu adalah mengumpulkan anggota polis yang cedera untuk dihantar ke hospital dengan menaiki bot.

Disebabkan terlalu sedih melihat keadaan yang menimpa rakan-rakan mereka, anggota-anggota polis yang datang bersamanya tadi menjadi terlalu marah dan nekad untuk membalas dendam.

Namun beliau meminta mereka supaya bersabar dan memantau keadaan di situ terlebih dahulu agar tidak ‘tersalah langkah’ dalam mermbuat tindakan susulan.

“Mereka akhirnya akur dan diam sahaja…sebenarnya saya bimbang, kalau saya tak keluarkan arahan sebegitu, mereka akan tembak semua orang Cina di sana kerana ‘panas hati’.

“Saya kata jangan, sabar dulu,” kata Raj.

SEMANGAT MELAYU

Menyentuh mengenai semangat juang anggota-anggota polis di balai tersebut, Raj mengakui, keberanian dan semangat yang mereka miliki ternyata luar biasa.

“Mereka tidak faham (mengerti) apa erti menyerah kalah, Sarjan Jamil dan para anggotanya sebagai contoh, mereka boleh saja ambil jalan senang (mudah) dengan menyerah diri apatah lagi bila mengenangkan ada anak dan isteri mereka (di balai itu), namun mereka nekad untuk tidak mahu berbuat demikian.

“Saya perhatikan ada dua perkara yang membuatkan semangat dan kemarahan orang Melayu akan memuncak, pertama jika agama mereka digugat dan kedua jika keluarga mereka diganggu…inilah yang komunis buat pada mereka di Balai Polis Bukit Kepong sebab itu tidak hairan mengapa mereka begitu bersemangat melawan dan langsung tidak gentar.

“Sampaikan anggota polis marin yang menjaga bot di sungai pun langsung tidak ‘cabut lari’…malah mereka sanggup tunggu dan melawan walaupun akhirnya mereka juga terkorban,” kata Raj.

Untuk rekod, dalam serangan berdarah itu, seramai 27 orang telah terkorban iaitu 14 orang daripadanya adalah anggota polis, polis bantuan (5), isteri polis (4) dan anak-anak mereka (4). Empat anggota polis juga mengalami kecederaan parah.

Dalam pada itu, Raj yang kini usianya telah mencecah 99 tahun berharap, generasi sekarang tidak akan melupakan sejarah dan pengorbanan mereka yang berjuang bermati-matian dalam usaha untuk melihat negara ini mencapai keamanan seperti mana yang dinikmati ketika ini.

Namun corak perjuangan sekarang, menurut Raj, mungkin sudah berubah di mana ia memerlukan mereka menggunakan lebih banyak pemikiran berbanding kudrat.

“Mereka perlu berkata pada diri mereka…ibu bapa saya telah banyak berkorban…jadi saya perlu memastikan telah membuat persiapan dan segala keperluan bagi menghadapi sebarang keadaan dan situasi yang mendatang,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Raj yang kini bergelar Tan Sri bersara daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pangkat Komisioner Polis. Jawatan terakhirnya adalah Pengarah Pengurusan PDRM sebelum meninggalkan Bukit Aman.

Laporan asal boleh dibaca di MalaysiaGazette:
https://malaysiagazette.com/2020/08/31/bukit-kepong-saya-lihat-sendiri-polis-dan-keluarga-mereka-dibunuh-dibakar/

Rencana berkaitan:

  1. (Video) – BIADAP !!! Sejak Bila Bendera Malaysia Bintang Pecah Lima?
  2. Ideologi Komunis dan Kekeliruan yang Nyata
  3. Tragedi Hitam Bukit Kepong – Sejarah Hitam Yang Mesti Diingat
  4. Kebenaran Di Sebalik Sejarah Penubuhan Persekutuan Malaysia
  5. Di Sebalik Hari Kebangsaan Malaysia