Akan Berakhirkah Penantian Anwar Ibrahim?

Apakah esok akan melakarkan satu lagi titik baharu dalam sejarah politik negara?

Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beliau akan mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong esok, dikatakan untuk mempersembahkan perihal dakwaan beliau telah mempunyai sokongan majoriti Dewan Rakyat.

Pengumunan ini disambut gembira oleh penyokong beliau yang lebih 2 dekat menunggu Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri.

Namun ramai juga yang mempertikaikan dakwaan beliau, malah telah banyak penafian yang dibuat oleh Ahli-ahli Parlimen yang dikatakan telah berpaling tadah dan menyokong kepimpinan Anwar.

Jadi, apakah benar Anwar telah mendapat sokongan majoriti atau ini hanyalah satu lagi episod politik angka untuk memancing sokongan mereka yang sanggup melompat parti?

Saya melihat terdapat tiga kemungkinan utama:

  1. Anwar Ibrahim dapat membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Dewan Rakyat dan dapat menubuhkan kerajaan baharu.
  2. Anwar dapat membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan Ahli Dewan Rakyat tetapi Tan Sri Muhyiddin mencadangkan parlimen dibubarkan
  3. Anwar tidak dapat membuktikan apa-apa, maka tiada apa-apa yang berlaku.

Namun harus diingat, walaupun Anwar dapat membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Dewan Rakyat dan dapat menubuhkan kerajaan baharu, ini tidak bermakna bahawa beliau yang mesti dilantik menjadi Perdana Menteri.

Rakyat harus sedar bahawa Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri menurut budi bicara baginda.  

Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:
(a) melantik seorang Perdana Menteri;Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan

Perlembagaan Persekutuan

Walau apapun, yang pasti esok akan menjadi hari yang sibuk kepada para wartawan.

Polis Panggil Anwar Atas Senarai Didakwa Sokongan 121 Ahli Parlimen

Polis memanggil Anwar Ibrahim untuk memberi keterangan berhubung penyebaran senarai 121 ahli Parlimen didakwa menyokong ketua pembangkang itu bagi membentuk kerajaan baru.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, polis pada mulanya memanggil Anwar untuk memberi keterangan pada 11 pagi tadi, tetapi setiausahanya memaklumkan presiden PKR itu hanya dapat hadir 9 pagi esok.

“Justeru, polis menangguhkan janji temu itu sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Huzir berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, selepas menerima laporan Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris pada 8 Okt lalu.

“Sehingga kini, 6 laporan polis diterima dan polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan yang tersebar luas di media massa sejak kebelakangan ini.”

Bulan lalu, Anwar mengumumkan beliau “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru.

Ahli Parlimen Port Dickson itu dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

Huzir menasihatkan rakyat tidak bimbang dengan penyebaran berita itu dan memberi amaran polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu, tidak sahih serta mengelirukan orang ramai. -{Free Malaysia Today]